Tuesday, February 28, 2006

:: Sout Minal Fam::

Wah... leganya tangan-tangan dari bergerak, sebab '24 hours project' dah selesai. Itu adalah projek besar pertama tahun ini, iaitu menyiapkan laman web yang kedua: http://ikutsaje.blogspot.com

Sebetar tadi baru pulang dari kuliah. Ape yang mengembirakan adalah hampir keseluruhan yang diperkatakan oleh doktor dapat difahami. Ini adalah suatu hipotesis yang mengembirakan. Segala inferens dan eksperimen ketika cuti semesta yang lepas berjaya hampir 80% .

Sebenarnya 4 bulan yang lepas, iaitu ketika baru menjejakkan kaki di bumi mesir ini, saya terasa begitu lemah sekali penguasaan bahasa Arab dan juga bahasa pasarnya yang juga disebut bahasa Ammi.

Setelah memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah ini, akhirnya eksperimen dibuat. Tajuk eksperimen tersebut adalah 'menghabiskan seluruh waktu cuti semester dengan menonton televisyen'!.

Bunyi tajuknya seperti agak janggal sedikit. Tidak seperti tajuk-tajuk eksperimen yang dibuat oleh Einstein mahupun Puan Rohaya (guru sains di sekolah rendah saya 1992-1998). Tiap-tiap hari berhadapan dengan televisyen dan kadang-kala agak membosankan.

Yang saya agak suka sedikit adalah apabila tersiar cerita-cerita Arab zaman 'hitam putih' di televisyen. Ceritanya agak kelakar dan bahasa 'Ammi'nya dapat didengar dengan jelas. Dari situ saya mencatit beberapa istilah yang lazim digunakan oleh masyarakat Arab.

Sebenarnya ada orang mengatakan yang untuk apa belajar bahasa Ammi ini, sedangkan yang pentingnya adalah 'Fushah'. Ada juga segelintir pelajar Malaysia yang langsung tidak mahu bercakap Ammiyah malahan mendengar sekalipun tidak mahu. Alasannya amiyyah ini adalah perosak bahasa.

Di sini saya melihat pada dua keadaan.

Pertama, sikap sombong diri yang ada pada diri orang yang berbicara tersebut. Untuk memahaminya lagi, saya bawakan pepatah orang Melayu lama. "Masuk kandang harimau mengaum, masuk kandang kambing mengembek". Maafkan saya kerana mungkin telah ditukar sedikit pepatah itu. Tiada salahnya mempelajari Lahjah Amiyyah kerana lahjah ini asalnya adalah dari lahjah Fushah.

Kita harus sedar bahawa kita seorang tidak boleh menukar seluruh penduduk Mesir yang berjumlah hampir 80 juta orang. Mungkin hampir mustahil. Tidak perlu rasanya untuk menongkah arus. Ikut sahaja aliran air sungai itu. InsyaALLAH sampai matlamatnya.
Hakikatnya seluruh negara Arab mempunyai lahjah amiyyah mereka yang tersendiri, yang tidak boleh mereka larikan darinya.

Kedua, Apa salahnya kalau disamping menguasai lahjah Fushah, kita kuasai juga lahjah Amiyyah. Bukan mustahil. Sekurang-kurangnya kita lebih berkemahiran dari manusia yang mengusai Lahjah Fushah sahaja. Dan tidak kekok bila berhadapan dengan 'Pak Arab' yang ber'lahjah' amiyyah ketika di Malaysia kelak.

Kelak kita mempu berhadapan dengan 'syeikh-syeikh' Arab yang berlahjah amiyyah tatkala berdiskusi dan membuat muzakarah ilmiah dengan mereka. tidak kekok kerana sudah biasa dengan percakapan mereka berbanding dengan mahasiswa Bahasa Arab di universiti tempatan yang tidak didedahkan dengan lahjah-lahjah ini. Mungkin mereka terpinga-pinga kerana tidak faham atau lambat untuk menangkap kata-kata orang Arab tersebut!.

Inilah sebenarnya kelebihan yang kita (pelajar-pelajar di timur tengah) ada. Kelebihan ini sebenarnya patut kita ambil manfaatnya dengan baik, bukan memandang ia dengan pandangan yang cetek. "Ambillah ia secara positif ya Azhariyyin !!!".

/* Kalau mereka yang cakap begini menguasai lahjah Fushah dengan baik tidaklah mengapa, tetapi sebahagian besarnya hampir tidak mengusai lahjah Fushah dengan baik. Apa sebenarnya yang mereka cari?

Thursday, February 23, 2006

Lelaki Acuan Al-Quran

LELAKI ACUAN AL-QURAN
SEORANG LELAKI YANG BERIMAN
MEMILIH MUSLIM MUTTAQEEN SEBAGAI JATI DIRI
HATINYA DISALUTI RASA TAQWA KEPADA ALLAH SWT
APABILA DISEBUT ASMA' ALLLAH..
GEMENTAR HATINYA, BERDEBAR JANTUNGNYA

LELAKI ACUAN AL-QURAN

SENTIASA HAUS DENGAN ILMU
SOLATNYA ADALAH MARUAH DIRINYA
TIDAK PERNAH GENTAR UNTUK BERKATA BENAR
TIDAK PERNAH LESU UNTUK MELAWAN NAFSU

LELAKI ACUAN AL-QURAN
TUTUR KATANYA AMAT DIJAGA
TIDAK PERNAH BERMEGAH DENGAN ILMUNYA
TIDAK PERNAH BERMEGAH DENGAN HARTA DUNIA YANG MENIPU
SENTIASA BERBUAT KEBAIKAN KERANA SIFAT PELINDUNGNYA
MEMPUNYAI RAMAI KAWAN
NAMUN TIDAK MEMPUNYAI MUSUH

LELAKI ACUAN AL-QURAN
LELAKI YANG MENGHORMATI IBU BAPANYA
BAKTI DIHULURKAN BUAT AYAHBONDA DAN KELUARGA
DIA BAKAL MENJAGA KEHARMONIAN RUMAHTANGGANYA
KELAK MEMBERIKAN BIMBINGAN DUNIA DAN AKHIRAT
BUAT ZAUJAH JUA PERMATA HATINYA
WASATIAH AMALAN HIDUPNYA
PENDORONG MENUJU BAITI JANNATI
KERANA DUNIA BAGINYA HANYALAH
LADANG MENUJU AKHIRATJUA RUMAH SEMENTARA SAHAJA
MENUNGGU YANG NYATA DI AKHIRAT SANA

LELAKI ACUAN AL-QURAN
SENTIASA BERSEDIA UNTUK AD-DEENNYA
HIDUPNYA DISINARI CAHAYA NAUNGAN AL-QURANUL KARIM
SIFAT RASULULLAH KETAATAN DIRINYA
BICARANYA ADALAH AMALANNYA
GERAK LAKUNYA ADALAH ILMUNYA

LELAKI ACUAN AL-QURAN
APABILA MENGHADAP WAJAHNYA KEPADA YANG MENCIPTA
BERDIRINYA PENUH TERTIB
RUKUKNYA PENUH TAWADHU'
SUJUDNYA PENUH KUSYUK
DUDUKNYA PENUH TASYAHHUD
DOANYA PENUH MALU
"YA ALLAH, ANDAINYA KEJAHATAN TAK KU LAKUKAN
KERANA TAKUT AKAN NERAKA-MU,
MAKA KAU CAMPAKKANLAH AKU KEDALAMNYA,
ANDAINYA AKU MENGHARAPKAN SYURGA-MU
KERANA PAHALA YG KAU JANJIKAN,
MAKA KAU HARAMKANLAH KAKIKU MENJEJAK SYURGA DAMBAANKU ITU,
TETAPI JIKA HIDUPKU MATIKU KERANA MENGHARAPKAN REDHA-MU YA RABB, MAKA JANGANLAH KAU MALAPKAN HATI INI
KERANA HATI INI TELAH BERLABUH UNTUK SENTIASA TAAT
DAN DEKAT DENGANMU,
WAHAI RABBUL 'IZZATI..

"LELAKI ACUAN AL-QURAN
BASAH MATANYA KERNA RINDU-NYA PADA YANG KHALIQ
BASAH LIDAHNYA KERANA SELALU MENYEBUT ASMA' TUHANNYA
GEMAR TELINGANYA MENDENGAR ALUNAN ZIKIR MUNAJAT
TANGKAS LANGKAH KAKINYA BERJEMAAH DI RUMAH ALLAH

LELAKI ACUAN AL-QURAN
KELUAR DIJALAN ALLAH SETINGGI CITA-CITANYA
TEGAKNYA MEMASAKKAN KALIMAH ALLAH DI PELUSUK DUNIA
KEWAJIPAN SEORANG DA'E BAGAI DIRINYA
HATINYA BAGAIKAN TAHU
BAHAWA MASIH RAMAI YANG CUKUP DAHAGAKAN
SUATU GEMERLAPAN CAHAYA ISLAM
YG MAHA INDAH
MEDAN PERJUANGAN SYAHID IMPIANNYA
HAYYA 'ALAL JIHAAD!!
MENYERU PARA MUJAHIDDEEN
DIALAH KUBU PERTAHANAN ISLAM
TEGAS DENGAN KAFIR LAKNATULLAH
TAKKAN MUDAH ISLAM TUNDUK PADA KUASA KUFFAR

DIALAH LELAKI ACUAN AL-QURAN
DIA LAYAK BUAT WANITA ACUAN AL-QURAN JUA..
KERANA ANDAI DIRI MENGHARAP TEMAN SEZUHUD ALI KARRAMALLAHU WAJHAH HIASILAH DIRI UMPAMA PEMURAHNYA FATIMAH AZ-ZAHRA
USAH DIDAMBA TEMAN SESABAR NABI ALLAH IBRAHIM
ANDAI DIRI TIDAK SETABAH SITI HAJAR
MENGAPA MENGHARAP TEMAN SEHEBAT KEKASIH ALLAH,
MUHAMMAD SAW
ANDAI DIRI TIDAK SESETIA KHADIJAH AL-KHUWAILID

/* Entah macam mana terbaca sajak ini di web-blog orang...
/* Maaf kepada pemiliknya... Saya terlalu bersyahdu membacanya...huhuhu...ALLAH...

Monday, February 20, 2006

:: Antonim ::

Ahh... gelombang demam telah datang melanda. Seluruh tubuh terasa bahangnya. Geseran kuat terasa amat di kawasan kerongkong. Lubang-lubang dikawasan hidung kerapkali tersumbat, disusuli dengan beberapa lelehan-lelehan air terkadang-kadang. Ah.. teramat dasyat dirasakan terutama pada waktu malam. Cubaan... baru ini dinamakan ujian, itupun baru sedikit cuma.

Tadi baru sebentar pulang dari Rumah Negeri Johor, baru selesai kelas Tahfatus Saniyyah (syarah Matan Ajurumiyyah) oleh Syafiq Elias. Malam ini perlu tidur awal sebab esok pagi jam tujuh ada kelas dengan Hafiz Mansor iaitu Ulum Quran dan jam 10.30 pagi pula ada pengajian kitab dengan Dr. Rabi' di Rauq Abasiyy di Masjid Azhar.

Wah... nampaknya esok dan hari seturusnya bakal bergelumang dengan kelas-kelas thaqafah, mungkin balasan setelah dua hari terkurung di rumah akibat kurang sihat. Maklumlah kuliah sudah bermula, dan perubahan cuaca sudah bermula pergerakannya. Mungkin demam yang dikurniakan ini adalah kafarah daripada mencari gaduh dengan blogger-blogger. Huhuhu... kurang kerja sudah.

Hati ini terus mencari-cari jalannya. Tidak tahu dimana, dan masih belum berjumpa jalannya. Istiqamah dan amal perlu berterusan. Amal yang banyak sebenarnya bukanlah jaminan dalam ketenangan. Kerana ketenangan adalah datang dari jiwa. Dan jiwa itu perlu memahami erti keikhlasan. Sebenarnya, sebelum mencari ibadat yang banyak, jiwa ini perlu dahulu mengenal erti ikhlas. Keikhlasan yang tulus, yang bening dari jiwa. Bukan mencari hati yang berdebu...

/* Berdebar-debar menanti perlawanan antara Arsenal dan Real Madrid esok.
/* Bangkit Arsenal.... hahahah....

Sunday, February 19, 2006

' Pasar ilmu '

Sepatutnya sudah bermula kuliah minggu ini, tetapi di Kuliah Usuluddin hanya beberapa muhadharah (kuliah) sahaja yang sudah bermula. Selebihnya Syeikh (pensyarah) masih belum memulakan muhadharah. Tetapi di kesempatan masa yang banyak lapang ini dihabiskan di rumah dan di masjid Al-Azhar.

Di Rauq Al-Abbassiy itu tersimpan jutaan ilmu. Ruang itu menjadi tempat bertalaqqi (berguru) antara orang ramai dengan masyaikh yang terdiri dari 'orang lama' Al-Azhar. Di situlah sebenarnya lahirnya keberkatan dari sumber yang paling berharga di Al-Azhar.

Al-Azhar sebenarnya adalah nama bagi sebuah masjid yang dibangunkan sejak dari zaman Kerajaan Fatimiyah lagi. Dari masjid beralih fungsinya menjadi pusat pengembangan agama syiah ketika zaman itu. Kemudian setelah Mesir diperintah oleh kerajaan Salahuddin Al-Ayubi, maka Al-Azhar bertukar menjadi pusat penyebaran agama Islam yang ulung terutamanya bagi puak Sunni.

Dahulunya masjid itulah yang menjadi saksi lahirnya para ulama' dan cendikiawan Islam yang kemudiannya bertebaran berdakwah ke seluruh alam.





Wah... bunyinya macam nak buat artikel tentang Al-Azhar Asy-Syarif. Banyak perkara yang perlu disediakan kerana Al-Azhar ini berselindung di sebalik jutaan fakta-fakta sejarah yang tidak saya ketahui. Mainan politik, kepentingan peribadi dan banyak lagi sejarah dan isi tersirat di belakang jejaka bernama Al-Azhar ini dan mungkin tidak diketahui sesiapa, mahupun tercalit di sejarah dunia.

Saturday, February 11, 2006

:: Pusing-pusing Rumi ::

"Bila Rumi menari
habis kerja pun tak menjadi
tali kasut pun belum diikat lagi
kalut kepalaku kian menjadi
tawa-tawa di dalam kendi
habis kerjaku tak menjadi
lagi-lagi bila rumi menari..."

Thursday, February 09, 2006

Pasir Ini Bukan Kawan

Gegaran di Kota Kaherah masih kedengaran lagi. Terutama ketika muntakhab (pasukan) Mesir menang dalam perlawanan mereka dengan pasukan yang bertamu. Bunyi hon kereta dan dan pukulan gendang sering membisingi jalan-jalan kota. Apa yang mereka semua raikan barangkali sebagai satu simbol kebangkitan bola sepak Mesir pada Kejohanan Piala Afrika 2006 ini.

Negara-negara Afrika sudah bangkit untuk berada di taraf dunia. Pemain-pemain mereka sudah menjadi 'hero' di EPL dan La Liga. Barangkali bilakah pula dapat melihat pasukan negara yang 'mesti' kalah di setiap pertandingan yang disertai akan bangkit setaraf dengan negara-negara lain?. Entah bila mungkin dapat melihat mimpi itu menjadi kenyataan. Masalah dadah pun belum tentu dapat diselesaikan inikan pula permainan.

Geram juga melihat pasukan Senegal yang tewas pada tuan rumah. Semua gara-gara mutu pengadilan yang gagal menyerlah. Memberi kelebihan kepada tuan rumah bukanlah alasan yang terbaik. Senegal sepatutnya dihadiahkan penalti gara-gara Diomansy Kamara dijatuhkan. Pada saya Senegal bermain cemerlang malam tadi dan menghampiri perlawanan akhir, tetapi hak mereka dinafikan pengadil.

Pasukan yang terbaik adalah yang seharusnya layak untuk mara, bukan tuan rumah seharusnya menang. Huh... ditambah lagi dengan adegan Mido dan Hassan Shehata yang memalukan. Seluruh manusia di dunia ini menyaksikan drama pergaduhan yang memalukan itu. Macam budak-budak. Hanya dapat katakan, tunggulah dan rasakan gegaran Ivory Coast yang ingin membalas dendam di perlawanan akhir nanti... (huhuhu....)

Minggu ini mungkin minggu terakhir berada dalam kerehatan yang panjang. Ah, tidak panjang mana, baru beberapa minggu bercuti. Cuti memang menyeronokkan, terutama apabila dapat meluang masa yang banyak untuk tidur!

Tetapi cuti yang terlalu lama juga membosankan, terutama apabila fikiran menjadi malas untuk berfikir, otot menjadi keras untuk bergerak dan tubuh menjadi berat untuk bangun. Barangkali cuti membolehkan diri untuk berehat seketika, minum air, dan menyambung semula perjalanan yang masih jauh.

Untuk semester dua ini sahaja ada lebih kurang 8-9 madah yang perlu disediakan. Memang agak parah. Lima madah pun sudah memitamkan, inikan pula sembilan. Tetapi hati perlu tabah. Jika tidak susah itu bukan nama berlajar, barangkali mengeja. Bermuhasabah kembali, apakah yang telah diperolehi sepanjang cuti ini ya?

Cuti itu merehatkan atau cuti itu rehat. Dua perkara yang berbeza. Mungkin jawapannya terpulang pada individu. Tetapi saya lebih cenderung pada kenyataan cuti itu merehatkan. Merehatkan bukan bererti rehat tetapi lebih kepada menenangkan fikiran sebentar setelah letih menjalani proses pembelajaran.

Minggu ini agak terkurung. Jarang keluar rumah kecuali ke masjid berdekatan. Kota Kaherah agak teruk diliputi oleh debu disebabkan ribut pasir yang seronok melanda. Pakaian pun tidak dijemur diluar disebabkan debu. Agak mengejutkan kerana sebelum ini tidak seteruk ini.

Debu berserakan dimerata-rata tempat, tiada yang tidak berdebu. Mungkin ini juga petanda bahawa tamatnya musin sejuk. Tetapi pada pagi saya menulis ini udara agak sejuk juga. Lihaf (selimut tebal) sehelai sahaja tak memadai. (Terkurung dalam kesejukan dinihari...)

Tuesday, February 07, 2006

...Saksi...

Salam takbir di Wadi al-Muqaddas
aku hadir dalam dingin senja
wadi antara gunung-gunung
menjadi saksi akan ketakwaan Musa,

Tatkala mereka berkata
wahai Musa kami kehausan
maka inilah untukmu
pukul batu itu dengan tongkatmu
dan pukulan yang ke-12 itu tahu
engkau menggembirakan hati mereka
dan terik mentari itu menderhaka,

Amat sungguh jihadmu Musa
degil mereka engkau layani
dengan hati redha
dalam kepanasan yang membara
bersama kepingan-kepingan batu
kalam dari Yang Satu,



Ini isi hatimu
Tuhan sahaja yang tahu
limpahan sejahtera untukmu
dari wadi ini aku bertamu.

28/02/2006, "Wadi el-Muqaddas"....

*/ sempat juga menulis di dalam bas...

Sunday, February 05, 2006

Deru Pantai Montazah...

Deru pantai Montazah
melupakan aku seketika pada debu Kaherah
senja kuning yang berlabuh dari awanan
di lembah-lembah rakus
hilang tanpa pedoman
menyingkap tabir pintu ketenangan,

Buih-buih di pantai Montazah
kelibat keretapi di tebing Mandarah
sayangku pada mereka
kuasa pencipta yang tiada tara
aku jatuh tersungkur
di ufuk turunnya mentari senja
mata kail dan jaringan ikan
mengingatkanku seketika
di gigi pantai Montazah,



Pantai Montazah
deru ombak memukul batu-batu
karang dan lubang-lubang air
hatiku terluka lagi oleh deru pantai
yang menghiris
darahnya menitis membajai lautan
syurga dunia
karang-karang Montazah
aku akan pergi jua,

Pagar istana kukuh dalam
aku terhenti di hadapan
menyelami kepedihan berjuta insan
dalam diam berkata
adakah ini dunia?
tiba-tiba melayang
melayari kepedihan seluruh alam,

Montazah dalam dingin
melintasi keluar gerbang senja
meniti tepiannya
menghirup kembali debu-debu Kaherah
dengan sejuta hidayah
bahawa DIA segalanya.



*/ Menginsafi diri perlu memandangkan diri yang asyik dibuai leka, tenggelam dalam dunia semata membuatkan insan terlepas dari menghidu wangian syurga...

Wednesday, February 01, 2006

Sinai... Antara Suka Dan Duka....

Perkataan 'mengagumkan' dan lafaz 'Subhanallah' sering terlafaz dibibir. Semacam ada kesaktian. Hakikatnya memnag mengagumkan. Sinai mengukir tempat dihati ini. Semacam ada panggilan untuk ke sana lagi. Dari hari pertama ke Terusan Suez hinggalah hari ketiga ke Toba, perjalanan yang penuh ketenangan ini dihiasi panorama bergunung-ganang yang mungkin jarang ditemui di mantiqah (kawasan) lain.

'Jabal Tursina' adalah salah satu destinasi di Sinai ini. Bukan kami sahaja, malah bagi pelancong luar yang meluangkan masa di bumi kontang ini. Puncak Jabal Tursina menjadi saksi penaklukan ekspedisi kami. Tidak lansung dapat membayangkan bagaimana begitu penat sekali Nabi Musa a.s bermunajat di puncaknya, turun naik untuk berbicara dengan ALLAH, dan menanggung segala kerenah manusiawi kaumnya Bani Israel yang teramat degilnya. Sukar memikirkannya dengan fikiran tabi'i.

Sempat juga dalam saat-saat kesejukan dan menanti masa pendakian ini untuk mengeluarkan nota kecil dan menulis beberapa catatan pada waktu itu :

"(28/1/2006), 9.50 mlm. (Tempat) : Wadi al-Muqaddas.

Keadaan sangat sejuk ketika ini. Tidak pasti berapakah sukatan celsius kesejukan di tanah suci Wadi al-Muqaddas ini. Tanah di mana bermukimnya NabiMusa a.s dan kaumnya Bani Israel.
Memang menakjubkan. Dan kagum sekagum-kagumnya. Sukar tergambar betapa klasik dan uniknya gurun bergunung-ganang ini. Wadi al-Muqaddas, wadi yang dikelilingi oleh puluhan gunung batu yang tinggi. Di sini terdapat Wadi al-Arbain dan juga Uyun Musa (mata air nabi Musa), dua belas pukulan yang menjadi dua belas mata air untuk dua belas suku kaum Bani Israel.

Rombongan ketika ini sedang menunggu saat-saat jam 12 malam untuk memulakan ekspedisi pendakian Bukit 'Tursina', tempat di mana Nabi Musa a.s berbicara dengan ALLAH diikuti bersama 70 orang dari kaum Bani Israel.

Mulut ini tidak henti-henti menghembuskan wap panas tatkala bernafas. Tubuh menjadi tebal diseliputi lapisan-lapisan baju sejuk. Tidak pernah mungkin para rombongan merasainya di tanah air sendiri. Sangat sejuk. Oh... bagaimana aku boleh dapat kepanasan di gurun 'Sinai' ini..."