Tuesday, February 27, 2007

- Pelancaran -

Dengan lafaz BismillahirRahmanirRahim...

Saya melancarkan sub-blog untuk laman ishaqhanis.blogspot.com. Ini adalah sebuah laman galeri yang bebas memuatkan beberapa hasil seni fotografi yang diambil oleh saya sendiri.

http://www.galerifotografi.blogspot.com


BLOGGER



Gambar yang dimuatkan adalah hanya sekadar untuk tontonan dan perkongsian kreativiti manusia dalam bidang fotografi. Semoga memberi manfaat kepada pengunjung galeri.

Sekian Terima Kasih,

Falsafah: "Gambar memberitahu anda 1001 perkara berbanding mulut"...

Friday, February 23, 2007

Antara Dua...

Saya tidak pernah termimpi untuk berkahwin awal. Apatah lagi mendirikan rumah tangga dalam jangka umur yang sangat muda ini. Umur saya belum mencecah suku abad lagi, tetapi ramai yang memberitahu bahawa jodoh itu di tangan tuhan. Kadang-kadang ia datang dengan tak disangka-sangka.

Saya mengenali 'A' sejak dari sekolah menengah lagi. Kali pertama ketemunya adalah di kedai gambar berhadapan dengan Wetex Parade, di Muar, Johor. Tauke kedai itu yang memperkenalkan saya dengannya. Memang saya menyukainya sejak dari pandang pertama lagi. Mereka kata itu adalah cinta pandang pertama. Tapi bagi saya cinta itu bukanlah apa yang dipandang, tetapi ia adalah apa yang dipupuk.

Setelah tamat sekolah menengah, saya berkenalan dengan 'E' pula. Kali ini melalui internet. Kemaruk saya pada 'A' kini beralih arah pula pada 'E'. Saya kerap menghabiskan masa untuknya berjam-jam dengan alasan untuk berkenalan lebih dekat. Rupanya saya dapat tahu yang si 'E' ini mengenali 'A'. Mereka rupanya kerap bersama ke kedai gambar. Habislah....

Akhirnya saya buat keputusan untuk berdiam diri, hinggalah saya ke luar negara untuk menyambung pelajaran.

Tetapi ketika saya pulang ke tanah air kali ini, si 'A' dan 'E' memang membuatkan saya betul-betul berfikir tentang hidup. Memang betul. Pasangan itu berdua. Saya dan pasangan saya itu. Tetapi mana mungkin saya memilih si 'A' dan 'E' sekaligus. Gila. Mana saya ada wang untuk mengambil mereka berdua sekali gus menjadi teman hidup. Orang lain mungkin boleh, tetapi tidak bagi saya.

Saya ada pendirian dan prinsip saya yang tersendiri. Kasih sayang itu tidak boleh dikongsi dengan dua teman yang berbeza dalam neraca kezaliman. Kalau saya rasa saya tidak mampu, maka tidak perlu saya menggatal untuk berkongsi kasih. Tetapi persoalan yang paling teruja adalah mahukah si 'A' dan 'E' ini bermadu? dan saya terfikir berapakah hari untuk saya bersama dengan 'A'? dan berapa hari pula masa yang terluang untuk berada disisi 'E'.

Saya telah berbincang dengan ibu dan ayah saya. Tetap sama, mereka berdiam sahaja. Dari awal lagi saya sudah jangkakan yang mereka pasti tidak gembira. Alasan mereka hanyalah saya masih belajar lagi. Ini pun sudah kali yang ke berapa saya minta izin dengan mereka, saya pun sudah tak ingat. Tetapi kali ini nasib saya bertuah. Mereka senyum bersetuju.

Lagi indah khabar yang saya dengar adalah mereka akan membantu saya dari segi kewangan! Ibu berjanji akan keluar wang lebih untuk saya. Entah apa rahmat yang datang, saya pun tidak mengetahui. Hanya DIA yang tahu.

Ditambah lagi pula, mereka inginkan ianya berlansung sederhana dan kalau boleh sebelum saya pulang ke sana untuk menyambung pelajaran. Mungkin mereka mahu saya bawanya sekali ke sana. Mereka kata takut saya terasa kesunyian. Saya tidak ada masalah. Orang sorong bantal, lagi cepat kita lelapkan mata.

Tetapi masalah masih tak selesai. Saya tidak mahu salah pilih. Saya tidak sanggup untuk melihat diantara mereka ada yang kecewa. Ketika ini teringat pula lagu 'Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu' dari Ukays. Oh... saya begitu tidak mampu untuk mengambil kedua-duanya.

Semalam, saya ke Jusco Tebrau. Bertemu dengan 'A'. Petangnya pula saya berjumpa dengan 'E' di tempat yang sama. Kami bersua muka setelah lama tidak ketemu. Hilang rasa rindu yang selama ini kegersangan. Cukup lama kami bersua muka. Kulit si 'A' semakin gelap, katanya selalu terdedah pada cahaya. Cermin mata lensa si 'E' pula tetap tidak berubah seperti dulu. Tetapi mereka dua-dua masih 'okey' lagi.

'Alpha' dari Sony dan 'EOS' dari Canon adalah dua siri kamera digital yang menarik, yang membuatkan saya rambang mata dan teruja untuk memilih. Kepala saya pening untuk memilih antara dua ini walaupun ibu saya bersedia untuk 'support' separuh dari harganya.

Tetapi saya tidak akan tunggu lebih lama. Majlis pembelian ini harus berlansung sebelum saya pulang ke sana. Mereka kata biarlah sederhana dalam memilih, tidak mahal dan tidak murah kerana yang murah lazimnya cepat rosak dan yang mahal selalunya terasa merugikan.

Jangankan kerana Sony Alpha dan Canon EOS kerap diletakkan bersebelahan di dalam kedai gambar, saya sudah rambang mata untuk memilih antara keduanya. Jadilah pemilih dan pencinta yang bijak...

Tuesday, February 13, 2007

Aku, Cinta dan Air Mata...

(Penulisan ini tidak ada kena mengena langsung dengan Valentine's Day yang dicipta orang-orang dungu itu)

Seni cinta, adalah sesuatu yang abstrak. Tidak dapat disentuh dengan tangan dan tidak dapat dirasai kewujudannya oleh pancaindera yang lima. Tetapi cinta adalah seni halus yang bermain di jiwa, bercorak pada mata hati, berbuai-buai dengan buaian mesra dan kasih sayang. Cukup asyik.

Dalam konteks cinta manusia, selalunya berkaitan rapat dengan perhubungan kekal atau perkahwinan. Tetapi bagaimana pula istilah cinta dengan selain dari manusia? Adakah ia sama sepertinya cinta manusia atau ia mempunyai skema yang tersendiri?

Istilah cinta monyet, beruk atau beruang selalunya mengiring manusia pada proses menempiaskan hawa nafsu. Perlu diketahui, bahawa ramai manusia buta tentang cinta, hawa nafsu dan perbezaan antara dua istilah ini. Manusia kerap kali mengonotasikan hati yang berdebar-debar bila berdekatan dengan orang yang disukai adalah cinta. Karut. Cinta bukanlah hati yang berdebar-debar. Cinta adalah ketenangan, cinta adalah sakinah.

"Dan diantara tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kami cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantara kamu mawaddah (rasa kasih sayang) dan rahmat..." - Surah ar-Rum Ayat 21.

Perkahwinan adalah suatu manifestasi daripada frasa cinta dan kasih sayang. Tetapi adakah ianya benar? dan semua orang yang berkahwin melalui frasa cinta dan kasih sayang?

Saya pernah bertanya kepada beberapa orang rakan sewaktu di sekolah menengah dahulu. Ketika itu saya fikir mereka masih belum matang sepenuhnya untuk berbicara tentang cinta. Namun saya cuba membawa pemikiran cinta yang sebenar pada mereka. Persoalan saya pada kawan-kawan saya itu adalah 'Apakah sebenarnya matlamat yang paling utama manusia berkahwin? Adakah kerana cinta, atau kerana sekadar mengikut sunnah, ataupun sebab nafsu semulajadi manusia, ataupun lainnya untuk perkembangan zuriat?'

Ada yang memberi jawapan kesemuanya. Namun saya menolak kerana kerana itu jawapan diatas kertas periksa. Saya mahu jawapan itu dijawab dengan ikhlas dari sumber hati rakan saya yang disoal itu. Masing-masing memikirkannya untuk mencari satu jawapan yang tepat. Ada yang memberikan jawapan kerana zuriat, ada pula yang menjawab kerana nafsu manusiawi, dan jawapan-jawapan lain. Tetapi jawapan cinta amat sedikit yang saya dengari. Saya membuat kesimpulan awal, mereka masih belum kenal erti cinta mungkin, ataupun memang remaja selalunya menipu apabila mereka ditanya tentang cinta kerana mereka belum faham erti cinta.

Cinta Mengubah Dunia

Cinta adalah sesuatu yang agung dan dahsyat. Semalam ia mengubah dunia, hari ini ia mampu mengembalikan semula dunia kepada asal. Semalam boleh berlalu tanpa apa-apa, tetapi hari ini ia boleh mengubah segala-galanya dek penangan cinta.

Taj Mahal yang terletak di Agra, India adalah suatu simbol erotik cinta sejati Mumtaz Mahal dan Shah Jahan. Cinta dan lara pemerintah kerajaan Moghul itu kepada seorang wanita dimanifestasikan dalam seni binaan yang tidak ternilai oleh akal manusia. Ini adalah dekorasi hasil cinta yang disemadikan dalam seni bina sejarah yang tidak akan hilang dalam sejarah dunia, ia adalah hanya sebuah citra cinta.

Kisah cinta Jalaluddin al-Rumi dalam kitabnya Masnawi. Cinta Rasulullah s.a.w pada umatnya dengan hadith-hadith yang ditinggalkan. Bahana cinta Rabiatul Adawiyah pada Allah s.w.t dengan mengorbankan dunianya. Manifestasi cinta seorang ibu sanggup mengorbankan diri untuk kelahiran anaknya. Romeo dan Juliet beradu cinta dan lara. Laila dan Majnun merana dalam rindu kasih cinta mereka dikuburan lembah pasir. Cinta kembara agung putera raja Qamaruzaman dengan Puteri Budur dalam kisah seribu satu malam dan banyak lagi dalam bingkisan sejarah dunia adalah jagoan-jagoan kisah cinta yang berputik dari kehalusan hati mereka.


Kecintaan kepada ilmu telah mewujudkan ketamadunan manusia sejak berpuluh ribu tahun yang dahulu. Orang-orang Islam dan Greek masing-masing berlumba-lumba mengembangkan ilmu pemikiran dan sains falsafah kerana kehidupan mereka yang penuh kecintaan terhadap ilmu. Buktinya, balai cerap dibina untuk meneroka ruang angkasa dan kitab-kitab ulung yang ditulis sebagai bukti sejarah kecintaan masyarakat Islam pada bidang astrologi dan ilmu-ilmu lain. Ilmu logik berpindah dari satu generasi ke satu generasi dan sekolah 'Academy' yang didirikan Plato menjadi kegilaan orang Greek terutamanya di Athens. Kisah cinta ilmu ini pula menjadi subtopik dalam seni falsafah cinta sepanjang hidup manusia.

Air mata

Cinta... cinta.... Sudah berapa galen air mata engkau keluarkan dari mata-mata manusia sejak Nabi Adam dilahirkan hingga sekarang disebabkan oleh cinta yang dusta. Berapa ramaikah hati dan perasaan wanita yang telah engkau pasrahkan bermula sejak manusia mengenal erti cinta? Lantaran hati wanita yang sensitif, engkau mudah memperkosa hati mereka hingga hilang mahkota cintanya pada seorang lelaki hingusan. Amat menghairankan.

Memang air mata adalah penawar dan kesudahan bagi episod cinta yang berakhir terlalu awal. Hawa nafsu, permainan lidah dan kebobrokan hati menjadi kunci beracun cinta yang durjana. Air mata selalu dikaitkan dengan wanita. Sebagai rakan karib, wanita sering ditemani air mata kesedihan setelah cintanya ditolak atau dipermainkan oleh lelaki. Apa kurangnya dengan lelaki. Hero kampung pun boleh menitiskan air mata kalau sekiranya penolakan cinta itu yang menjadi bahannya.

Cintailah makhluk lain. Kerana sesungguhnya sesiapa yang tidak menyintai, dia tidak akan dicintai. Rindu, gelisah dan nafsu adalah permainan cinta. Kalau anda sanggup berkorban untuk cinta, maka cinta akan menjadi sesuatu kuasa yang amat luar biasa dalam sejarah hidup anda. Ia adalah kuasa ultra. Cintailah Allah dan agamanya...
*/ Tahniah pada Ibrahim Adham dan Nur Alia bt Mohd Ali di atas majlis pertunangan kalian.
*/ Kesibukan di JB amat melalaikan...

Monday, February 05, 2007

Gigi Acha (2)

Bagi apa jua jenis benda yang kita namakan sebagai makanan, termasuk buah-buahan dan kuih-muih, maka tentu sekali gigi menjadi musuh atau ketakutan bagi mereka. Tidak kiralah gigi manusia ataupun haiwan, gigi menjadi suatu fungsi utama dalam proses pemakanan manusia.

Saya cuba untuk membawa kepada pembaca memahami hakikat gigi dalam konteks manusia kerana saya yakin lebih dari 70% daripada pembaca entry ini adalah manusia. Maaf jika yang membaca blog ini adalah haiwan kerana saya tidak memfokus kepada gigi haiwan, tetapi manusia.

Kebanyakan dari manusia tahu tentang fakta bahawa gigi adalah sebahagian dari anggota badan yang paling keras dan paling kuat sekali. Tetapi tahukah kebanyakan manusia bahawa gigi adalah anggota yang hidup dan mengalami tumbesaran berperingkat-peringkat disebabkan ianya mempunyai saluran darah dan urat?

Gigi melalui proses pertumbuhan awal seawal 6 hingga 7 bulan umur manusia. Jadi, bayi seawal 6 hingga 7 bulan akan mula gatal-gatal di bahagian gusi depan dan atas mereka disebabkan gigi yang mahu tumbuh keluar. Mereka akan mengalami kehilangan gigi susu yang pertama seawal umur 7 tahun.

Mahkota

Rambut sering dikatakan sebagai mahkota bagi manusia. Jika anda tiada rambut sudah pasti terasa janggal dan canggung di hadapan manusia. Tetapi bagaimana pula dengan gigi? Adakah ia tidak layak berada disisi rambut untuk diiktiraf sebagai mahkota manusia?

Cuba anda bayangkan seseorang lelaki muda yang berkepala botak. Ia tidaklah terlalu canggung sangat kerana gaya botak dan tiada rambut sering menjadi trend pilihan remaja masa kini. Ia bukan sahaja berlaku pada lelaki, malahan di barat gadis-gadis muda termasuk artis wanita sering berfesyen dengan membotakkan kepala sebagai menunjukkan kebebasan mereka daripada pengaruh gender.

Justeru, masih layakkah lagi rambut bergelar mahkota jika dibandingkan dengan gigi?

Setakat ini trend tidak bergigi masih belum diamalkan di barat mahupun di timur, apalagi di utara dan selatan. Malahan manusia mula mempunyai rasa tanggungjawab yang lebih untuk menjaga gigi mereka. Gigi digosok berulang kali setiap hari berbanding dengan rambut yang kadang-kadang dicuci 2 hari sekali. Gigi yang kuning dan coklat diberikan rawatan pemutihan berbanding dengan rambut yang beruban kadang-kadang tidak mahu diwarnakan. Gigi yang sudah rongak lazimnya diganti dengan gigi palsu dibandingkan dengan rambut yang telah gugur tidak diganti terutamanya di bahagian hadapan kepala.

Persoalannya sudah berubahkah realiti manusia untuk memahkotakan sesuatu di kelas kedua berbanding sesuatu yang layak diberi prioriti?

Baizura vs Acha

Mungkin segelintir pembaca ada yang tidak gemar penulisan di bawah tajuk ini. Tetapi sebagai penulis, saya ingin berkongsi beberapa individu yang saya rasakan mempunyai gigi yang cantik.

Sebelum itu perlu saya definisikan istilah 'cantik' supaya nanti tidak ada orang yang berbalah dek kerana kecantikan yang berbeza.

Cantik adalah 'subjective argument' yang berbeza menurut jenis manusia yang pelbagai. Kesubjektifan ini kadang kala sering menjadi bahan perbalahan manusia. Contoh ini berlaku dimana-mana. Ada yang berkata jenis baju sekian cantik sedangkan orang lain menganggap tidak cantik, begitu pula sebaliknya.

Malahan pernahkan anda mendengar tentang seorang pemuda berkepala botak dari Johor, berketurunan jawa, tidak pandai bergaya, pemalu, dilabel sebagai jejaka paling hensem bagi kebanyakan gadis-gadis di Malaysia? Sedangkan ramai lagi gadis yang menafikan label ini pada jejaka tersebut. Ini adalah suatu contoh berbezanya istilah cantik dan hensem bagi manusia.

Begitu pun haruslah kita ketahui bahawa perbezaan kecantikan ini merupakan seni penciptaan oleh yang Maha Pencipta. Dengan perbezaan ini menjadikan manusia lebih aman dan bahagia.

Berbalik kepada isu individu yang saya rasa mempunyai gigi yang cantik. Saya gemar untuk membawakan contoh gigi 2 orang penggiat seni baru tanah air dan seberang. Bagi saya Baizura Kahar dan Acha Septriasa mempunyai jenis bentuk gigi dan rahang yang sama yang boleh saya lebelkan sebagai gigi yang cantik.

Ciri-cirinya gigi mereka adalah tersusun rapi, seimbang, dan rahang yang atas agak terkedepan sedikit berbanding rahang bawah. Kalau istilah kampungnya kita gelar 'jongang', tetapi bukanlah jongang yang keterlaluan. Bila individu yang mempunyai jenis gigi dan rahang sebegini tersenyum dan tersengih, ia benar-benar membuatkan orang yang melihatnya kaget. Saya memberi interpretasi berdasarkan gigi, bukan orangnya.

Senyum

Oleh yang demikian, gigi merupakan kurniaan Tuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan pada diri manusia. Kepelbagaian guna ini menjadikan ianya sesuatu yang penting dan berharga bagi manusia, dan penting sekali untuk ia dipelihara sebagai bukti kita menghargai dan bersyukur dengan pemberian Tuhan ini.

Oleh itu hargailah gigi anda, gosoknya setiap hari dan lakukan pemeriksaan setiap 6 bulan sebagai bukti anda menghargai pemberian yang Maha Esa ini. Selain itu berilah senyuman anda kepada semua orang dan peliharalah gigi anda ketika tertawa seperti peliharanya Baginda Rasulullah s.a.w terhadap gigi Baginda sewaktu tertawa.

Sunday, February 04, 2007

Thursday, February 01, 2007

Enigma

Ketika saya di sekolah menengah dahulu, saya adalah 'sajak-maniac'. Bermacam-macam sajak saya karang dan coret. Segala yang terlintas saya akan sajakkan. Sajak untuk pokok, sajak cinta, sajak kemanusiaan, sajak kecelaruan fikiran dan macam-macam sajak lagi.

Kalau Mohd Hanis (tempat duduknya dalam kelas bersebelahan saya) terbaca entry ini pastinya dia akan terpecah perut sebab ketawa. Ketawa kerana terkenangkan kegilaan saya ini.

Saya ada bermacam-macam nama pena yang saya pun tak tahu bagaimana nama-nama ini boleh tercipta. Antaranya adalah 'tikar mengkuang', 'kalipso', 'kalikausar', 'kasa kencana', 'karma gempita' dan 'lagam jargon'. Sebab itu jika Mohd Hanis yang duduk di sebelah saya itu mendengar nama-nama ini, pasti berulat perutnya sebab ketawa. Ketawa sebab terkenang kegilaan nama ini. (Nasib baik laman web ini tidak dibikin dengan nama lagamjargon.blogspot)

Inspirasi dalam kecenderungan ini sebenarnya datang dari dua orang insan yang saya rasa menjadi candu kegilaan saya, iaitu Datuk Usman Awang dan M.Nasir. Buku-buku Datuk Usman Awang dan koleksi-koleksi album M Nasir sentiasa dalam simpanan saya. Saya tidak tahu inspirasi apa ini, cukup menakjubkan.

Selepas saya membaca karya mereka berdua, pasti keinginan saya untuk berpuisi membuak-buak. Idea-idea datang spontan. Seakan-akan api kecil yang disimbah minyak petrol. Karya-karya mereka telah berjaya menembusi pintu sempadan hati-hati manusia.

Saya menulis tentang puisi ini sebaik sahaja menjejak kaki pulang bercuti di Malaysia. Sampai di rumah baru di Mersing, saya terus mengemas bilik. Dalam episod kemas-mengemas itulah saya terjumpa kembali buku-buku koleksi sajak saya. Entah berapa ratus sajak di dalamnya, tapi yang pasti memang cukup banyak.


Memori-memori lalu datang semula. Pernah guru menegur saya kerana tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Ketika itu saya sedang asyik mencari idea untuk berpuisi. Saya suka akan puisi pokok kerana pokok mempunyai banyak makna tersirat yang sukar dihuraikan oleh keberadaan manusia. Kebetulan pokok-pokok banyak terdapat betul di kawasan luar kelas 5A yang mana berhadapan dengan saya.

Memang seronok sekali-sekali pulang ke kampung halaman. Mengorek semula memori-memori berharga dan kenangan yang tidak boleh dilupakan ketika usia-usia muda. Usia yang dipenuhi kebodohan dan kecerdikan yang melampau. Usia jiwa-jiwa yang 'sceptical' dengan dunia. Sentiasa dipenuhi dengan semangat ingin tahu dan mencuba sesuatu, syak wasangka dan curiga dengan keseronokan dunia.

Mersing

Jarang sekali saya ke daerah Mersing, apa lagi memahami jalan rayanya yang memeningkan. Daerah 'cowboy' ini tetap menyimpan rahsia unggul. Saya sempat bersiar-siar bersama 'orang lama' di sini. Pakcik Md.Zin yang telah lama tinggal di sini menunjukkan kepada saya beberapa buah pulau di persisiran pantai Mersing. Dia seronok menunjukkan saya sebuah pulau yang dinamakan Pulau Cawan. Bukan pulau itu dipenuhi penjual cawan, tetapi pulau kecil itu berbentuk cawan batu yang ditangkainya telah patah.

Pak Zin : Dulu tangkainya ada, tapi sekarang sudah patah. Kena hakis. Dalamnya ada ruang kosong berlubang. Memang betul-betul macam cawan.

Saya mengangguk, menunjukkan kagum dengan keajaiban alam dan semangat ingin tahu.

Pak Zin : Pernah tengok cerita Sri Mersing?

Filosofis : Ohh... ya... (Wat-wat tau... walhal saya sudah tak ingat ceritanya, ataupun yang seingat saya, saya tak pernah menonton cerita itu... hehehe)

Pak Zin : Kan perasankan, sewaktu Demak hendak memulakan pelayaran, dia melalui pulau cawan ini.

Filosofis : Ermmm... (mengangguk...)

Saya mengangguk pura-pura kagum. Walaupun memang kagum dengan keselarian sejarah yang berlaku antara Pulau Cawan dan cerita Sri Mersing, saya menginsafi diri kerana kedunguan dalam sejarah di tempat sendiri dan tidak ambil tahu dengan sejarah tanah air sendiri. Saya sibuk menelaah idea-idea sejarah Islam dan Eropah, sedangkan telah melalaikan diri dengan sejarah tempatan.

Cerita klasik sejarah sepatutnya dijadikan hidangan bagi anak-anak muda generasi baru untuk memahami sejarah di tempat sendiri, bukan asyik terlena disajikan dengan siri-siri realiti yang pelbagai.

Kalau anda impikan untuk berada di sebuah rumah yang mana apabila anda buka pintu dan tingkapnya anda akan diperlihatkan dengan keindahan ombak pantai dan kulit pipi anda dihembus dengan angin bayu laut, maka datanglah ke rumah saya.

*/ Untuk ahli bait, saya telah selamat sampai jam 12.30 tgh hari 29hb lalu.
*/ Susah nak contact lar, tepon x de... internet pon x de... hehehe...