Friday, August 31, 2007

Aku Anak Pasca-Merdeka

Salam kemerdekaan untuk semua rakyat Malaysia. Walaupun pedih mengucap merdeka kepada sebuah negara yang hanya mampu untuk memerdekakan nama dan bendera negara, namun hanya itulah yang mampu untuk ditelan biarpun pahit seperti ubat jadam. Salam merdeka juga untuk anak-anak pasca-merdeka seperti saya ini yang amat haus dengan wacana kemerdekaan negara.

Terkenang pula sebuah drama kemerde
kaan yang saya tonton malam semalam di televisyen tempatan, lakonan Nasir Bilal Khan. Suka saya mendengar apa yang disebutnya; ’Kalaulah begini jadinya anak-anak Melayu merdeka kita sekarang, lagi bagus dahulu tak usah merdeka.’ Kata-kata sinis. Ini bukan provokasi saya. Jangan disaman laman ini mahupun menyekat sekiranya apa yang disampaikan adalah realiti yang sukar ditelan.

Saya seorang rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas merdeka. Saya hanya soroti sejarah-sejarah perjuangan negara melalui pembacaan dan kuliah. Sejak dari kecil lagi saya sudah diajar guru mengenai merdeka. Pada bulan Ogos setiap tahun, nama-nama seperti Tuanku Abd
ul Rahman dan pejuang-pejuang kemerdekaan selalu saya dengar diceritakan oleh guru. Guru-guru asyik sekali berceloteh tentang merdeka, dengan sejumlah besar fakta-fakta yang memenuhi corong telinga.

Saya kerap melo
ngo. Tak mampu untuk bertanya, kerana ini adalah wacana yang penuh dengan fakta dan sejarah yang tidak mampu untuk saya ubah. Saya lebih gemar untuk hanya menjadi pendengar setia, sebab itu selalu jadi pak longo dan pak angguk. Lebih-lebih lagi bila tiba pada sejarah kemerdekaan tingkatan lima. Maklumlah, subjek sejarah. Itu hanya di sekolah.

Saya tidak pasti apakah itu merdeka, kerana saya adalah anak pasca-merdeka!


Pada malam-mala
m merdeka setiap tahun pula, berpuluh-puluh ribu wang habis dibakar dan dihanguskan untuk memeriahkan dan mewarna-warnikan pusat bandar. Masing-masing daerah dan negeri mahu melawan, mana yang paling lama membunyikan letup-letup di udara. Sehingga pernah di suatu daerah, saya menyambut malam merdeka dengan letupan selama hampir setengah jam lamanya. Hebatnya Malaysia menyambut hari merdekanya!

Tidak setakat itu. Bukan sahaja pejuang-pejuang kemerdekaan dan anak watan yang menunggu hari merdeka ini saban tahun, malah syaitan juga menjadi penanti setia seperti m
ereka. Dengan pertolongan makhluk-makhluk bertanduk inilah maka telah ramai gadis-gadis remaja muslimah yang ’merdeka’. Jangankan dibandar, malah di felda-felda dan anak-anak kampung juga berpesta. Pemimpin negara ghairah memekik ungkapan merdeka, mereka juga sibuk berghairah terpekik-pekik status ’merdeka’nya bersama pasangan masing-masing. 'Tercemar...', bak kata Pak Samad.

Ini bukan main-main, bukan cakap-cakap ko
song. Alat bantuan pencegahan mengandung yang diperbuat daripada getah kenyal, selalu itulah bahan buktinya. Bersepah-sepah pada malam merdeka. Kalau bukan ahli majlis perbandaran yang memungutnya, siapalah lagi yang sudi untuk mengutipnya. Ibarat berak dibiarkan tahi. Cemar secemar cemarnya. Itu belum dikira lagi kawasan taman-taman yang sunyi. Kalau dicampur masuk yang rempit-rempitan lagi?

Wah, peratus keuntungan jualan getah kenyal itu ada potensi meningkat menjelang bulan Ogos. Tersenyum pengedarnya. Maklumlah, esoknya hari cuti, tak balik ke rumah malam tu pun tak apa! Hitunglah sembilan bulan lagi, berderet-deret anak-anak yang tidak berbapa di wad bersalin hospital. Yang lelakinya pula
sibuk turun naik mahkamah tinggi. Kelak, makin penuh rumah anak-anak yatim yang diidamkan sepi. Kesian tanah airku. Dahulunya, ya, tempat tumpah darah para pejuang dan pahlawan. Kini macam-macam pula yang bertupahan!

Pada siang hari, tidak perlu diberitahu lagi. Semua orang maklum dah tahu. Si k
ecil pasti mahu pergi melihatnya, dan pastinya ibu bapa yang diajak; Perbarisan, cabutan bertuah, pertandingan melukis, sukaneka, pasti itu sahaja acara wajib saban tahun. Huh, untuk pembaca dari Indonesia dan Brunei, sungguh saya katakan, beginilah cara Malaysia menyambut merdeka di tanah airnya!

Merdeka ke-50 kali ini, saya sudah letih mahu manyambutnya ramai-ramai. Kerana setiap tahun beginilah saya dan rakyat Malaysia menyambut merdeka. Klise lagunya. Hari ini, saya habiskan malam merdeka kali in
i dan siangnya di rumah, menonton televisyen. Mungkin rencana-rencana dan drama kemerdekaan yang bersifat patriotik lebih membuatkan hati ini terbangun daripada perpekik terlolong seperti kongkang jantan mengawan.

Mungkin
juga saya ini kurang patriotik, bebal sejarah dan malas bersosial. Tetapi apalah erti kemerdekaan jika saya menyambutnya pada malam hari dengan rakan-rakan sepermotoran, terpekik terlolong dan seribu satu macam gaya membawa bendera Jalur Gemilang kehulu dan kehilir tanpa rasa apa-apa terhadap perjuangan kemerdekaan tanah air kita suatu masa dahulu?

Atau adakah itu yang dikatakan erti kemerdekaan, dengan menyerahkan gadaian maruah dan harga diri, berpesta sakan, menonggak air kencing pelali syaitan, terhuyung-hayang membabi buta dan tak tentu fasal? Semata-mata kerana esoknya adalah hari cuti yang diberikan oleh negara untuk menyambut merdeka?

Kali ini, saya hanya ingin menyambut merdeka di rumah sahaja. Lebih patriotik mungkin. Lebih baik mencari yang berpatriotik dari tidak berpatriotik lansung. Tak sanggup untuk saya menonton pakcik, makcik dan anak-anak sunti dengan punggung melentok ke kiri dan ke kanan di dalam jalan perbarisan. Ah, mungkin menonton dokumentari kemerdekaan di rumah lebih mendatangkan semangat perjuangan merdeka, kerana di luar mereka giat berpesta namun tidak mampu untuk menghidupkan semangat ’merdeka’ di hati saya.


Oh Tuhan, jauhkanlah daku dan galur keturunanku dari penyakit-penyakit itu.


Apalah ertinya saya menyambut kemerdekaan negara dengan masyarakat yang
berkalut semacam ini. Betullah apa yang dikatakan; ’Kalaulah begini jadinya anak-anak Melayu merdeka kita sekarang, lagi bagus dahulu tak usah merdeka!’ Mungkin saya perlu berjuang mengangkat senjata bersama dengan pahlawan-pahlawan tanah air untuk memerdekakan negara suatu ketika dahulu, barulah itu akan membuatkan jiwa saya gagah menyambut hari merdeka.

Tapi sayang, perjuangan itu telah pun luput dimakan zaman. Pahlawan-pahlawan itu telah pun pergi semuanya dengan basahan darah. Ianya telah pun jauh berlalu. Dan saya, anak kelahiran selepas merdeka begitu tidak mampu sama sekali untuk menghidu perjuangan suci mereka.

MERDEKA!!!

Monday, August 27, 2007

Bicara Hati, Menggali Diri

Banyak perkara dalam dunia ini yang menggerakkan kita. Yang menggerakkan kita adalah juga yang menjadikan daya, pantulan, tenaga, dan juga hati. Maka sudah tentu yang menggerakkan itu adalah punca segala kuasa, dan tempat segalanya bermula. Tanpa sumber yang menjadi kuasa mutlak segala sesuatu, maka daya, pantulan, tenaga dan juga hati tidak akan terjadi dengan sendiri.

Maka, apalah daya manusia bergerak tanpa menggunakan kaki, yang mana kaki bergerak sebab mendapat isyarat dari beberapa saraf dari bahagian otak dan suisnya lahir dari sebuku darah merah yang bernama hati! Maka lahirnya hati bukan bererti jaminan untuk menja
di seorang ’manusia’ yang sejati.

Bahkan ratusan haiwan pun mempunyai hati; ayam, lembu, serigala, gorilla dan merpati. Walau hidup de
ngan seketul darah yang dinamakan hati, namun mereka masih tetap hidup di dalam alam hewani, mereka adalah binatang yang punya naluri, tetapi bertaraf hewani.

Maka, janganlan terkejut jika kalian bertemu dengan haiwan yang sangat
manusia, sehingga mereka digelarnya ’haiwan-insani’. Dan kadang-kala dapat bertemu pula dengan ratusan jenis-jenis pemangsa yang kami gelarnya sebagai ’insan-hewani’, jenis homo sapiens dari kumpulan kerang dan siput-siput yang membawa ’Norwalk’ giat mencemarkan wilayah di sekitar perut.

Hati itu tidaklah memandang, kerana memandang adalah hak mata. Hati
juga tidaklah mendengar, kerana pendengaran itu adalah perihal telinga. Hati tidak lansung dapat menghidu, kerana tugas itu pastinya milik hidung. Hati pula tidak mampu merasa kerana rasa itu adalah kerja mulut dan kulit.

Tetapi ramai yang ditipu dengan kerja itu.


Sebab hati itu seketul daging dengan darah yang mampu.


Ramai yang tertipu kerana menyangka hati itu bisu, kaku dan tidak bertugas apa-apa. Mereka tertipu kerana diri mereka telah men’sunyi’kan khidmat hati itu. Lagi teruk, mereka biarkan hati itu keras tidak berfungsi, membeku dan nihil tanpa rasa seorang ’manusia’.


Hati itu kalbu. Mengapa lafaz hati yang sering disebut Tuhan sebagai mudah berpenyakit dalam ayat-ayat kalam-Nya? Mengapa pula hati yang diambil Jibril a.s untuk dibasuhi dengan air syurga dari dada bidang Baginda s.a.w?

Kerana ia adalah
ibu segala pancaindera. Mampu memandang, mampu mendengar, mampu menghidu dan mampu merasa. Justeru, hati itu adalah mata, hati itu adalah telinga dan hati itu adalah hidung, malah juga kerja mulut dan kulit mampu ia selubung. Hati itu adalah usul pancaindera. Puncak segala derita dan tunjang segala bahagia.

Firman Allah s.w.t :

لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

(Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya)

Dan kerana itu manusia selalu memilih mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan lidah untuk merasa. Tetapi hakikatnya mereka itu buta, pekak dan tuli, seakan merai belasungkawa, padahal belum lagi ada penggali yang bersedia untuk mereka. Mereka lupa bahawa mata, telinga, mulut dan hidung itu asal kerjanya dari hati.

Maka itulah yang dikatakan hewani, firman Allah s.w.t :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

(Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai)
Al-A’raf : 179

Jika yang dilihat itu adalah dari mata hati, maka sempurnalah ia. Sebab, bila hati sudah dicuci bersih, maka segala yang lahir dari perbuatan dan amalan akan menjadi bersih, mulus dan tidak sia-sia. Segala perbuatan itu perlu kepada hati. Justeru hati itulah tempat tinggal kepada segala niat yang lahir, dan amal perbuatan yang tidak bersama dengan niat adalah seumpama pohon yang tidak berbuah, sia-sia, tidak bermakna, dan hilang segala serinya.

Maka niat yang kudus itu hanya akan lahir dari hati yang kudus.

Thursday, August 16, 2007

Bijaksana Yang Dungu

Barangkali amat sukar untuk menerima idea ataupun prinsip yang dikemukakan oleh Niccolo Machiavelli di dalam bukunya The Prince. Beliau menyarankan cara bagaimana seorang raja harus mengekalkan kuasa.

Menurutnya kerajaan merupakan matlamat raja. Jika raja mendapati kedudukannya tergugat disebabkan oleh penasihatnya yang tidak jujur, raja harus mengorbankannya demi kepentingan diri sendiri.

Secara kasarnya, penulis melihat idea ini di’klise’kan dan persis pernah berlaku di tanah air kita, jika tidak silap pada sekitar penghujung tahun 90-an dimana seorang menteri kanan digugurkan oleh ’perdana’nya atas sebab-sebab yang tidak masuk akal. Dan sehingga menteri kanan itu dibebaskan kini, masih belum terdapat lagi bukti kukuh yang boleh membenarkan tuduhan yang berlaku 7-8 tahun yang lalu itu.

Walaupun kisah yang berlaku itu bukan dikalangan raja dan penasihatnya, tetapi gagasan idea yang dibawa Machiavelli sejak beratus-ratus tahun itu telah digunapakai dengan jayanya. Idea garapan seperti ini sebenarnya telah menimbulkan kebencian dan halilintar peperangan antara penduduk dunia sejak zaman dahulu hingga kini.

Dari kacamata sejarah, konsep idea yang dimajukan ini sudah membuka jalan kepada penubuhan beberapa buah negara bangsa di Eropah, antaranya England, Sepanyol dan Perancis.

Hakikatnya, idea-idea yang gila-gila, songsang, tidak praktikal dan tidak diterima akal ini boleh dikategorikan sebagai antilogik ataupun neo-antilogic kerana ia bukan sahaja bersifat generatif bahkan juga bersifat provokatif. Contoh yang mudah untuk memisalkan perkara ini adalah kisah seorang jurutera syarikat pembuat kereta yang mengemukakan idea agar syarikat itu mencipta dan menjual roda-roda empat segi.

Walaupun idea ini pelik, tetapi hasilnya terciptalah sistem teknologi suspension hidraulik yang akhirnya berjaya dipatenkan. Antara contoh lain idea gila-gila yang bersifat provokatif ialah; semua kilang perusahaan diminta mengeluarkan produk haiwan dan tumbuhan baru. Ataupun, semua kereta akan dibuat dengan getah bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Kesongsangan idea yang bersifat provokatif pula boleh dicerna dan menghasilkan seperti contoh berikut; Penjual barang sepatutnya memberi barang-barang jualannya secara percuma dan membayar harganya sekali pada para pelanggan. Ataupun, guru-guru sepatutnya diajar oleh murid-muridnya.

Dari sudut garapan, idea-idea ini ada kalanya boleh timbul dalam apa juga situasi dan ada ketikanya membawa kepada bentuk lelucon. Penulis pernah berbual bersama seorang teman sewaktu sedang bersarapan di sebuah restoran. Dia berkata, ’mengapa kita perlu membancuh kopi dengan gula dan susu sebelum meminumnya. Kan mudah jika minum sahaja kopi kosong itu, kemudian baru makan gula dan susu. Proses yang berlainan tetapi kuantiti yang masuk ke dalam perut adalah sama!’.

Saya terdiam berfikir sejenak, kemudian membalas dengan jawapan beranalogi; ’Kalau begitu mengapa saja kau tak ke kedai ayam. Memilih seekor dan menelannya, kemudian di dalam perut baru kamu sembelih ayam itu!’. Dua-dua ketawa besar. Dua idea songsang yang berbentuk lelucon berjaya menyedarkan fikiran disamping mencuit hati kami.

(bersambung)

Wednesday, August 01, 2007

Tentang Sejarah

Selamat menyambut ulang tahun yang ke-47 buat bonda tersayang, Hajah Rohani Bte Haron. Semoga dengan bertambah umur, maka bertambah juga ikatan kemesraan dan kasih sayang antara kita sekeluarga.

Sabtu yang lepas, seorang sahabat telah me
lansungkan perkahwinan. Tahniah buat rakan sekolah lama, Mohd Audi Bin Hj Musa kerana menjadi rakan yang kedua melansungkan perkahwinan. Masa begitu cepat berlalu, sungguh. Kenangan nakal ketika bersekolah dahulu terasa semacam baru semalam ditinggalkan.

Di hari perkahwinan sebegini selalunya terjadi ’reunion’ rakan-rakan sekolah secara
kecil-kecilan. Bak kata orang, mahu mengambil berkat dengan meraikan orang yang 'jalan dulu' dalam dunia perkahwinan ini. Mana tidaknya, rakan yang dahulunya sama-sama berhingus-hingusan dalam bilik darjah, termasuk juga muntah dan cirit birit, sekarang telah memikul tugas yang besar menjadi ketua dalam keluarga, bakal memimpin isteri, mendidik anak-anak, memberi nafkah, berlaku baik terhadap orang tua dan jiran tetangga, kesemua itu terletak diatas pundak bahunya. Semacam sesuatu yang sukar dipercaya.

Setiap manusia bakal melaluinya. Yalah, man
a ada manusia yang umurnya semakin mengecil, baru lahir berumur 64 tahun dan sebelum dikebumi berumur 7 bulan, karut. Ini adalah resam dan hukum alam. Semakin lama hidup, umur semakin meningkat, kulit semakin mengendur, rambut semakin gugur membotak, gigi mula belajar tanggal menanggal, pandangan mata mula mengabur dan fikiran semakin mula matang lantas akhirnya nyanyuk.

Ketika meminta diri untuk pulang, saya bersalaman dengan tuan punya majlis, Hj musa.
Lantas dia menarik tangan saya untuk ke dalam. Hj Musa memang kenal dengan bapa saya kerana pernah bermesyuarat bersama. Saya masuk dan diperkenalkan dengan mertua perempuannya yang layak saya gelarkan ’nenek’, kerana umurnya sekitar 60-an. Ternampak saya, orang tua itu lantas tunduk dengan alur mata yang berkaca-kaca. Dia menangis!

Aduh... sudah, bikin saya rasa kaget. Apa yang telah saya lakukan sehingga orang tua in
i merajuk entah apa. Dalam hati saya mula membicara apakah perilaku saya yang telah menyentap hati orang tua ini? Saya mengambil bunga telurnya kah? Atau makan nasi minyak dengan kurang sopan dihadapannya sehingga dia terliur? atau mungkin saya bersikap kurang sopan terhadapnya?

Dia membuka bicara. Menantunya sudah menceritakan kepadanya tentang ayah saya yang berasal dari Gersik, anak Imam Kadir. Melihat diri saya rupanya dia tiba-tiba terkenang arwah atuk
saya. Dia bilang, dirinya merasa terharu bertemu dengan cucu kepada insan yang menjadi wakil menikahkan dirinya hampir 40 tahun dahulu. Dia yang memanggil atuk saya dengan panggilan ’abang’ (kerana punyai pertalian saudara yang dekat) sememangnya kenal benar dengan atuk saya.

Mana tidaknya, pekan Gersik itu sangat kecil. Malah pusat
nya betul-betul di masjid yang tegak berdiri ditepi jalan besar kampung itu. Dia mengatakan yang atuk merupakan orang yang sangat dikenali, seorang imam yang dihormati, malah cukup terkenal sebagai tukang nikah di kampungnya dan kampung-kampung sekeliling. Di pekan itu tidaklah lain, para penduduknya boleh dikatakan hampir kenal antara satu dengan yang lain. Pendek kata penduduk di kampung itu bukanlah orang lain, hampir kebanyakannya mempunyai talian persaudaraan walaupun sebahagiannya bau-bau bacang.

Saya pun jadi terharu. Mahu menangis, aduhai, cukup tercabar di hadapan kawan-kawan disitu. Tetapi secara jujurnya saya tidak dapat menyembunyikan parasaan sedih tika itu. Saya juga terkejut, kerana ada orang yang masih menghargai ikatan persaudaraan ini walaupun sudah jauh. Yang menariknya, nenek tua itu menceritakan perihal mengenai atuk saya dengan begitu teruja sekali sehingga merasakan orang tua ini cukup mengenali atuk saya berbanding cucunya sendiri.


Saya sempat berjumpa dengan atuk walaupun ketika itu pada peringkat umur yan
g kecil. Ya, apalah yang saya mempu ketahui pada peringkat umur yang sekecil itu. Yang saya ingat di kampung itu hanyalah jalan ke kedai mercun dan di tepi sungai tempat penduduk berborak kosong dan ada sebahagiannya mencuci pakaian disitu. Yang paling mencabar pun, hanyalah meredah hutan pokok-pokok getah dan perigi buta untuk beraya di rumah seorang nenek tua yang kuat bersongel, saya pun telah lupa namanya.

Kadang-kadang bila semakin dewasa (belumlah dewasa sangat), amat sulit untuk mengenangkan kisah-kisah lama, terutama kisah-kisah di kampung. Kebanyakannya sudah mula dikikis dengan peristiwa moden yang semakin banyak menjelma.


Saya fikir, kalau dahulu saya sudah mempu mengenali atuk saya, sudah tentu saya akan menyuruhnya menulis autobiografi dirinya. Ata
upun setidak-tidaknya, saya akan menulis autobiografi untuknya, supaya anak-anak dan cucu-cicit saya nanti kenal siapa moyangnya. Dan jika tidak pun, sekurang-kurangnya mereka dapat tahu bahawa mereka dari keturunan yang dihormati, dimuliakan oleh orang-orang yang sezaman dengannya dan dikasihi oleh kaum-kaum kerabatnya.

Penulisan Autobiografi


Berkenaan perihal autobiografi ini, saya teringat apa yang telah berlaku di Jepun sepuluh tahun kebelakangan ini yang mengalami ledakan ’kepopularan’ penulisan autobiografi di kalangan masyarakatnya. ’Jibunshiatau kata lainnya ’sejarah hidup peribadi’ bukanlah semata-mata untuk dipasarkan demi pembacaan awam Jepun, tetapi ia sekadar untuk diberi kepada saudara mara terdekat yang mengenali diri si penulis.

Seperti lazi
m di Malaysia, kebanyakan penulisan autobiografi lahir dari mereka yang menjadi ikon tumpuan atau ’public figure’ di dalam masyarakat. Ia terdiri daripada ahli perniagaan yang berjaya, pesara kerajaan berjawatan tinggi, ahli-ahli politik dan sebagainya.

Tetapi di Jepun, ia menjadi trend di kalangan orang awan sendiri sehingga dengan jumlah yang banyak itu, ditubuhkan perpustakaan untuk menyimpan buku-buku autobiografi di serata kota dan daerah di Jepun. Misalnya di dae
rah Shinagawa, Tokyo, ada menyimpan sekitar 15 ribu karya autobiografi di perpustakaan daerah itu. Ahli sosiologinya percaya bahawa motif mereka menulis sejarah hidup mereka itu adalah untuk mengenang kembali sejarah yang mereka telah lalui dan menceritakan pengalaman hidup.

Kebanyakan yang menulis adalah mereka yang melalui era Showa (1926-89) yang penuh gelojak, malalui zaman perang sehingga Jepun menjadi sebuah negara industri maju dan moden. Meraka menjadi saksi ’mata’ bagi perubahan radikal dalam masyarakat. Itulah barangkali yang mendorang mereka untuk menulis autobiografi peribadi.


Sejarah hidup merupakan sesuatu yang amat penting bagi tatapan generasi muda yang tidak pernah melalui trauma penderitaan dan kesusahan. Kita hanya gembira melihat bahawa penulisan autobiografi di Malaysia sekadar berkisar mengenai orang ternama. Sedangkan masih ramai lagi tokoh ’orang kecil’ yang masih hidup yang telah melalui zaman keperitan yang perlu diketahui generasi muda.


Kita patut sedar untuk mencontohi Prof Hamka, seorang ilmuan yang bukan sekadar menulis buku tentang pemikirannya, tetapi juga telah menulis sebuah buku autobiografi mengenai kisah hidup bapanya. Begitu pun, bagi tokoh-tokoh muda, jangan terlupa untuk bertindak sekarang dan tidak perlu untuk menunggu waktu usia tua untuk menulis autobiografi diri sendiri.


Belajarlah menulis tentang diri sedikit demi sedikit mulai sekarang. Setidak-tidak pun, tulislah catatan peribadi diri anda di blog sekiranya malas untuk membuka diari. Kelak 20-30 tahun akan datang, pasti anda menangis atau terharu mengenang peristiwa yang terdapat dalam arkib blog anda.


Sejarah dan pengalaman hidup yang anda lalui amat berharga dan sekurang-kurangnya jika ia tidak penting untuk tatapan umum, ia tetap penting bagi keluarga, kaum kerabat, cucu cicit dan salasilah keturanan anda.