Sunday, October 28, 2007

Saya Sudah Pulang !!!


Buat keluarga di Malaysia, saya telah sampai di lapang debu Kota Kaherah sekitar jam 9.50 malam tadi waktu Mesir. Hadiah pertama yang saya dapat dari perlembahan Nil ini adalah, dapat melihat orang-orang Mesir berebut keluar dari kapal terbang sama seperti selalunya mereka mahu turun dari bas... haha, tahniah....

Friday, October 26, 2007

Seri Ayu

Lima hari sebelum 'Seri Ayu' dilancarkan, saya telah 'menjamah' tubuh gebunya.


Sayangnya, saya hanya ada sekeping ini untuk kenang-kenangan. Gambar dan aksi-aksi menarik di dalam perut kapal hanya ada dalam kamera Mamat (kiri, dalam gambar). Sebetulnya, kamera tidak dibenarkan sama sekali dibawa masuk ke dalam kawasan pelabuhan. Kamera kesayangan saya pun hampir-hampir dirampas setelah cahaya flashnya disedari pak guard. Ketika itu saya sedang mangambil gambar 'tubuh' Delima Puteri 2.

Sangat mengujakan. Niat asal hanya sekadar untuk menziarahi Mamat (anak kapal Delima Puteri 2), kerana kapalnya singgah di Pelabuhan Pasir Gudang selama sebulan untuk dibaiki. Kami pun mencuri masa meronda-ronda kawasan pelabuhan dengan kelajuan melucukan, iaitu 25 km/j seperti yang disyaratkan pak guard.

Setelah tiba di kawasan singgahsana 'Seri Ayu', tiba-tiba kami terserempak pula dengan kapten kapal yang sedang membawa rakannya melawat puteri cantik manis itu. Arakian, kami diperlawa masuk sekali kerana ayat-ayat manis dari Mamat yang mengenali kapten kapal.

Entah berapa besar saya tak dapat bayangkan. 'Fantastic, absolutely tramendous'. Itu mungkin kata-kata Arsene Wanger jika dia yang menaikinya, huhu....

Sayang sekali lagi, gambar-gambar menarik di dalam Navigation Bridge (NB) ketika saya sedang bergaya di dalam bilik nakhoda sambil mengangkat kening dan memegang stering kapal, hanya ditinggal di dalam fail kamera Mamat. Gambar yang ada pun tidaklah boleh dibanggakan sangat kerana seperti biasa, jurugambar adalah insan paling tidak gembira kerana wajahnya sering berada di belakang lensa. Argghhh...

Maaf Pak Lah ya, saya dapat 'merasa' Seri Ayu dahulu sebelum tuan merasmikannya....

Lagi berita perasmian di Utusan Malaysia.

Walimah

Tahniah untuk sahabatku Musa Bin Musni yang melansungkan perkahwinan dengan Azlina Binti Shahri pada 20hb Oktober yang lalu. Kami hanya sekadar mampu untuk mendoakan kebahagiaan kalian hingga ke anak, cucu, cicit, piyut dan seterusnya.


Untuk melihat gambar yang lain, sila klik sini.

Thursday, October 25, 2007

Low Ah San

“Dik, lu tanyea sama olang aa, kenal itu Asang ka, lamai olang kinal woo...”

”Oh, ya ke apek? Baguslah,” melayankan.


”Lu ada jumpa itu Latuk Latip ka? Dia ada datang sini ka?”


”Datuk Latip yang mana ni apek?.” Aku fikir ramai orang bernama Latif yang dap
at gelaran ’datuk’. Cuma yang aku kenal Setiausaha Kerajaan Johor saja, Datuk Latif yang itu.

”Dia many
ak baik sama gua, itu olang ha dik, lu cakap aja nama Asang, itu Latuk Latip manyak kinal woo. Dia misti tau itu Asang bawak bas pigi bawak itu olang lombongan.”

”Ah, sudahlah apek. Jom la naik bas, nanti bas jalan pulak”


Di dalam bas, saya bayarkan tambang untuk dua orang. Alahai, cuma RM 1.80 untuk seorang apek tua yang turun di Jamaluang bukanlah sesuatu yang berat sangat. Saya dan Apek duduk bersebelahan. Dia asyik bercerita kisah nostalgia silamnya. Saya fikir ini tentu filem hitam putih yang menarik. Dia bercereka tentang sahabatnya Cikgu Din, Latipah dan ’amoi’ Kampung Air Merah. Saya tekun mendengar. Memang sudah jadi kegemaran saya melayan cakap dengan orang tua.


Lelaki Cina tua ini saya fikir umurnya mungkin dalam lingkungan 70-an. Jalan terkedek-kedek,
membawa helmet buruknya, tentu dia seorang tua yang penuh dengan pengalaman hidup. Walaupun sudah kerepot kulit dan putih rambut, tetapi telinga masih jelas mendengar dan ingatannya masih kuat. Semua orang yang naik dan turun bas disapanya dengan mesra.

Pemandu bas dan sebahagian penumpang memang sudah biasa
dengannya. Tapi selama saya naiki bas buruk ini, tidak pernah pula saya terserempak apek tua yang baik ini.

”Apek, tu apa kat lu punya kocek”. Dia mengeluarkan sehelai
kertas yang dilipat kemas dan sebuah buku bank dari kocek bajunya.

”Low Ah San”. Saya baca nama itu setelah membuka surat yang diberikan. Terkejut juga pada mulanya, kerana surat itu mempunyai letterhead dari Kementerian Sumber Manusia. Rupanya surat itu adalah surat sokongan dari Timbalan Menteri Sumber Manusia untuk menyokong segala sumbangan yang diberikan untuk lelaki tua ini.

Surat itu diakhiri dengan
tandatangan Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu, Datuk Latif. Entah betul entah tidak, palsu atau asli surat itu saya tidak tahu, tetapi yang pasti ’Latuk Latip’ yang dicarinya itu pasti Datuk Latif, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang menandatangani surat ini.

Saya buka buku banknya. RM 4.96.


”Ada lima linggit kan?”. Apek tua itu tersengih.


”Ya, ya...”. Saya mengangguk.


"Lu mana pigi laya”


”Saya balik Muar, kampung.”


”Woo.. guwa penah dulu haa bawak itu olang lombongan pigi muar. Itu sikolah bawak pegi tampar bola...”


”Bola tampar, Apek...”

”Ya, ya... bola tampar. Ini mersing dulu manyak bagut (bagus) main itu tampar”.


Pemandu bas sudah biasa. Dia berhentikan orang tua itu sebelum simpang Jamaluang-Kluang.

”Itu drebar sula tau gua punya lorong. Cakap saja lorong Asang. Semua olang tahu...”


Yalah apek. Semua orang sudah tahu, tapi hari ini saya yang baru tahu. Apek itu melambai pada semua penumpang. Dia bukan orang gila. Dia sangat baik dan akan memarahi drebar bas jika bas dijalankan sebelum penumpang yang baru naik dapat duduk. Katanya nanti orang akan terjatuh dan tidak dapat berpaut.

Dalam perjalanan saya asyik memikirkan bagaimana saya dan orang-orang yang lain akan melalui usia emas sepertinya suatu masa nanti. Kulit yang kerepot, asyik bercerita nostalgia lama pada generasi baru dan yang paling terkesan, berapakah pula jumlah wang simpanan saya dalam buku bank saya? Adakah RM 4.96 sen juga?


Bas buruk pastinya memang lambat, tetapi kadang kala memberi pendidikan yang tidak ternilai berbanding hanya duduk membisu di dalam bas ekspres yang cepat sampai ke destinasinya.

Wednesday, October 17, 2007

Aidilfitri

Assalamualakum.

Walaupun sudah 5 hari syawal berlalu, namun saya fikir masih belum terlewat untuk mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri' untuk seluruh ummat Islam.

Haha, pelik. Begitu sukar mengeluarkan entri salam aidilfitri walaupun hanya 2 minit....

Thursday, October 11, 2007

Wujudkah 'Armenian-Genocide'?

Oleh : Ishaq Hanis Asmail

Semalam, sumber berita dari The Washington Post melaporkan bahawa majoriti daripada sidang Foreign Affairs Committee (Kongres Suruhanjaya Kebajikan Luar) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, telah menyatakan sokongan mereka terhadap resolusi ‘Armenian Genocide’, yang mendakwa telah berlakunya perbantaian secara kejam terhadap orang-orang Armenia oleh Kerajaan Turki Othmaniyah sekitar 90 tahun yang lalu.

Resolusi yang dibentangkan di Washington itu juga turut dilaporkan sedikit sebanyak memanaskan hubungan antara kerajaan Turki pimpinan Erdogan dengan kerajaan pimpinan Bush dan sekutu mereka dari kelompok Kesatuan Eropah.

Seorang jurucakap sidang tersebut, Adam Schiff, memberitahu bahawa walaupun genosid itu telah lama berlalu sekian lama dahulu, namun ia masih lagi membanyangi rakyat Armenia ketika ini, kerana ia melibatkan kehilangan ahli keluarga dan kaum kerabat.

Namun, presiden Bush secara peribadi dilihat cuba melindungi kerajaan Turki berhubung dakwaan pihak kongres terhadap kerajaan Turki Othmaniyah itu. Pada dasarnya, Bush sendiri kini berada di dalam dilema kerana Turki mengugut jika resolusi tersebut diiktiraf, maka karajaan Erdogan akan menarik balik bantuan ketenteraan mereka yang menentang puak Kurdish di utara Iraq ketika ini. Maka di sinilah dilema yang berlaku, sama ada beliau mengiktiraf resolusi tersebut ataupun bantuan ketenteraan di Iraq akan ditarik oleh Turki.

Genosid atau dalam bahasa Inggerisnya disebut ‘genocide’ adalah sebuah istilah yang pertama kali diguna pakai oleh Raphael Lemkin, seorang sarjana Poland berketurunan Yahudi di dalam bukunya Axis Rule in Occupied Europe pada tahun 1944. Kemudian pada tahun-tahun berikutnya, perkataan ini mula menjadi popular terutamanya apabila berlakunya tragedi ’The Holocaust’, pembunuhan kejam beramai-ramai rejim Nazi terhadap orang-orang Yahudi di Eropah.

Genosid membawa maksud perbantaian atau pembunuhan beramai-ramai secara besar-besaran dalam kerangka sistematik terhadap sesebuah suku kaum atau kelompok bangsa dengan tujuan untuk menghapuskan bangsa tersebut terus dari muka bumi ini.

Maka tidak hairanlah jika tragedi seperti ’The Holocaust’ dan ’Armenian Genocide’ selalu mendapat perhatian antarabangsa, kerena ia banyak sekali melibatkan kepentingan politik dan agama terhadap mereka-mereka suka ‘mencari pasal’, terutamanya dari kelompok negara kuasa besar.

‘Armenian Genocide’ yang diresolusikan di Washington baru-baru ini juga pada dasarnya dapat dilihat sebagai melibatkan kepentingan politik dan agama. Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang lain termasuk Kesatuan Eropah, Argentina, Uruguay dan Ru
ssia turut menyalahkan Kerajaan Turki Othmaniyah dibawah pimpinan Kaum Muda yang diterajui Sultan Abdul Hamid 2 sekitar tahun 1915 hingga 1917 kerana bertanggungjawab terhadap kematian beratus ribu rakyat bangsa Armenia di Deir ez-Zor, Syria.

Pada ketika itu, sekitar tahun meletusnya Perang Dunia Pertama, Kerajaan Turki Othmaniyah dikatakan telah memimpin antara 600,000 hingga 1.5 juta rakyat Armenia ke kawasan Mesopotamia dan padang pasir Deir ez-Zor di Syria. Kerajaan Turki Othmaniyah didakwa dengan sengaja membawa mereka ke kawasan tersebut tanpa apa-apa bekalan makanan dan ubat-ubatan sehingga menyebabkan rakyat bangsa Armenia mati akibat kebuluran dan sakit.

Lebih teruk lagi, mereka mendakwa kerajaan monarki Islam itu telah membenarkan tentera mereka dan orang-orang awam untuk merompak, membunuh dan mencabul wanita-wanita Armenia yang berada dalam pela
rian itu, dengan harapan untuk memusnahkan bangsa tersebut.

Walaupun hampir 21 buah negara setakat ini menyokong keberadaan berlakunya genosid ini, namun kerajaaan Turki termasuk sebahagian besar ahli-ahli sejarah telah menafikan sekeras-sekeras tuduhan ini. Mereka mendakwa bahawa kebanyakan bangsa Armenia yang mati itu disebabkan oleh peperangan yang meletus, bukan penganiayaan dari kerajaan Islam Turki. Hal ini bukan berlaku terhadap bangsa Armenia sahaja, bahkan beratus ribu rakyat Turki juga telah terkorban ketika itu.

Tambahan lagi, beberapa orang sarjana seperti Ismet Binark, seorang pustakawan da
n akribis sejarah, dan para intelektual Turki, telah membentangkan laporan dan kertas kerja berdasarkan fakta visual sejarah mengenai dakwaan palsu negara sekutu Amerika terhadap kerajaan Turki. Sebaliknya mereka mendakwa bangsa Armenia juga turut terlibat membunuh bangsa Turki berdasarkan gambar-gambar yang berada dalam arkib sejarah negara berkenaan.

Sementara itu, kerajaan Turki semakin mula menghadapi tekanan dari Eropah. Eropah dilihat telah mula meletakkan syarat untuk kerajaan Turki memasuki kesatuannya, supaya mengakui keb
eradaan tragedi genosid rakyat Armenia ini sebagai salah satu syarat untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Yang peliknya, selama bertahun-tahun sebelum ini, kebanyakan pemimpin dunia dan negara-negara Barat telah cuba menghindari untuk memperbesarkan isu ini diperingkat antarabangsa, kerana dikatakan sebagai tanda menghormati kepimpinan sekular yang dibawa Mustafa Kemal Atartuk suatu ketika dahulu.


Namun akhir-akhir ini, sejak penguasaan Parti Keadilan dan
Pembangunan (AKP) dalam kepimpinan politik Turki, yang dipelopori oleh pemimpin pro-Islam, Recep Tayyip Erdogan, tekanan terhadap kerajaan Turki semakin meningkat. Lebih-lebih lagi Amerika dan sekutu Eropahnya mula membangkitkan isu genosid ini di peringkat global, berbanding tindakan ’membisu’ mereka terhadap isu ini sewaktu pemerintahan sekular Turki dahulu.

Ya, sudah tentu Armenia begitu disayangi. Armenia yang merupakan sebuah bangsa peradaban tertua dengan struktur geografinya yang dihiasi dengan Gunung Ararat (gunung yang menjadi kesucian Yahudi-Kristian), dan negara bangsa pertama menyatakan agama Kristian sebagai agama rasminya, tentu sekali bangsa ini begitu disayangi oleh ’MEREKA’.

Monday, October 08, 2007

Pizza Ekonomi

Tinggal lagi beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut hari raya aidilfitri. Alahai, sudah besar-besar begini memang method hari raya sudah berubah. Kalau dahulu, tarikh 1 Syawal memang yang paling dinanti dan menyeronokkan. Banyak perkara, mercun ada, juga air-bom, bunga api kucing, dan paling seronok sekali boleh jalan-jalan ke rumah nenek tua si penyongel.

Itu dahulu, entah sudah berapa tahun waktu-waktu begitu sudah berlalu. Tetapi ki
ni silibus 1 syawal sudah berubah. Walaupun masih ditahap layak untuk meminta duit raya dari pakcik dan makcik di kampung, tetapi kenikmatan sambutan aidilfitri sudah jauh berbeza, agak kendur sedikit. Semacam perayaan sudah tak beri lagi apa-apa makna melainkan aktiviti berziarah sahaja.

Tetapi bila sudah dewasa (belum pun sangat), visi dan misi ada perbezaan. Ada semacam penghayatan yang sedikit istimewa pada syawal kini. Walaupun kenikmatan mercun dan bunga api kucing sudah tidak terasa, tetapi jiwa kemenangan selepas keluar dari madrasah Ram
adhan itu dapat dirasa dengan begitu baik sekali. Berbeza penghayatannya ketika masih seronok memegang bunga api kucing.

Malah kadang kala 1 Syawal disambut dengan penuh kesyukuran dan kesedihan. Sy
ukurnya terasa setelah melepasi dugaan-dugaan Ramadhan dan sedihnya apabila meninggalkan kenikmatan Ramadhan. Ini semua tidak saya rasai ketika umur yang kecil, waktu musim bunga api kucing, tetapi dengan rahmat-Nya, saya mampu merasainya setelah umur yang meningkat kini. Tahap kenikmatan itu berbeza mengikut kematangan ilmu dan penghayatan saya.

Saya bukan sahaja sedang menunggu detik-detik Sya
wal, malah lebih pahit lagi sedang menunggu detik-detik kehabisan bercuti. Ya, empat bulan di tanah air seakan-akan tidak terasa. Pakcik dan makcik yang bertanyakan soalan 'bila mahu pulang' memang betul-betul mengesankan saya. Maka itu terpaksa juga menjawab dengan berkira-kira bilakah baki cuti yang tinggal. Tentu sekali tidak lama.

Dua tiga rakan sudah bertanya-tanya:


”Kau tak boring ke cuti ni? Aku dah boring tahap muntah dah ni. Rase macam nak balik dah.”


Saya jawab 'tidak'. Itu mungkin jawapan paling jujur saya. Bagaimana mana saya mahu boring kalau banyak lagi buku dan majalah yang dibeli belum habis dibaca. Mahu diangkut semua dalam kapal terbang sungguh tidak mampu. Hanya diperuntukkan 40kg sahaja. Habis pakaian saya mahu sumbat dimana kalau yang dibawa semuanya buku?

Ibu sudah mula bising kini sebab saya menyimpan stok buku saya di biliknya. Habis biliknya berkecah dengan buku. Saya hanya menyerakkan di bawah sahaja, lagi mudah dilihat. Kalau disusun tinggi, agak begitu susah untuk mengambilnya. Letak sahaja dibawah, barangkali saya fikir susunan begitu lebih praktikal.


Saya tak pandai menipu. Memang ada sedikit kerinduan untuk pulang. Teringat akan ahli bait saya yang rajin membancuh teh susu, tuan rumah yang asyik mahu menaikkan sewa rumah, khutbah syeikh Ismail yang bersemangat, dan yang paling istimewa, rindu untuk mendengar kembali suara imam polis berdahi hitam yang selalu saya ajuk-ajuk bacaannya ketika disana.

Memang manusia selalu begitu. Saat benda yang jauh dari kelopak mata, ia begitu dirindukan. Tetapi apabila sudah berada di hadapan mata, maka dibuat acuh tak acuh sahaja. Ketika ini akan kembali rindu itu pada nostalgia-nostalgia yang lama. Sifirnya memang begitu bagi saya. Seperti waktu ini, roti canai sudah malas mahu saya kunyah, walhal itulah makanan yang paling rindui k
etika bercadang mahu pulang dahulu.

Dan kini, sudah mula dipalit kerinduan sedikit demi sedikit dengan rutin-rutin isi perut di sana. Isyh (roti pita) dan fuul yang menjadi menu mingguan saya, makarona bil laham dan kusyary hindi yang kedainya berada tepat di tengah suuk asyir. Lagi pula dengan kibdah dan sogoq 30 qirsy yang saya gemari, dimakan bersama dengan jeruk lobak merah, jeruk sengkuang dan buah zaitun, juga yang paling dirindui adalah potongan-potongan pizza ekonom
i yang selalu dibelanjai Akmal.

Ya, pizza ekonomi memang menu tambahan untuk rumah kami.
Saya gelarkan ia 'pizza ekonomi' kerana harganya murah dan rasa yang sedap, lagi pula ada khidmat penghantaran ke rumah berbanding dengan kedai lain. Memang ekonomik!

Kini walaupun sudah hampir 4 bulan bercuti di rumah, saya masih belum terasa mahu pulang lagi. Tetapi rindu untuk pulang tetap juga ada walaupun sedikit. Kuliah yang padat sudah lama tak dengar. Kerenah kawan-kawan arab dan loya buruk mereka pun sudah lama tidak dilayan. Ya, tiket saya hujung bulan ini. Nampaknya, saya pulang seorang mungkin, sebab rakan yang lain pulang pada tarikh dan waktu yang berlainan.


Huh, beginilah cuti saya. Kata orang, hujan emas dinegeri orang, hujan batu dinegeri sendiri. Tapi dua-dua pun baik dan saya sukai. Sama sahaja emas atau batu, dua-dua tak boleh diminum berbanding hujan biasa. Nampaknya saya tidak dapat gunakan pepatah itu pada waktu sebegini. Haha....

Thursday, October 04, 2007

Mahu Baca Tentang Kehidupan?

Kehidupan itu kadang-kadang sesuatu yang misteri. Ya, kerana sesungguhnya kehidupan itu adalah termasuk di dalam rahsia Tuhan, rahsia yang tidak diketahui oleh mana-mana manusia mahupun sekalian makhluk-makhlukNya. Tuhan telahpun merahsiakan perkara itu pada dinding Luuh-Nya. Sebab itu, kehidupan ini adalah perjalanan sukar untuk diramal.

Dalam kehidupan ini, manusia akan lalui bukit bukaunya. Lurah, tebing yang curam, dataran yang luas, jalan yang berbukit, pastinya liku-liku ini akan manusia h
adapi. Maka, perjuangan itu bermula sejak manusia dilahirkan. Di dalam gerak tangis kita membuka alis mata. Di dalam bedungan ibu, kita menggerakkan badan melepaskan ikatan bedung. Lepas dari asuhan ibu, kita merangkak, kita beransur tegak dan kita jatuh, lalu bangkit berusaha semula untuk tegak kembali lalu jatuh. Akhirnya, kita mampu terus tegak berdiri untuk berjuang di medan permainan.

Kita sudah belajar seawal di
kantung buai lagi apabila mendengar ibu berzikir tentang Tuhannya ketika menghenjut buaian. Ibu menyebut setiap hari, dan kita mendengarnya lagi. Itulah permulaan ilmu. Setelah lama belajar dan mengaji, ilmu manusia itu akan sentiasa bertambah hari demi hari, waktu demi waktu. Maka itu, kita mengenali tiap perkara 'itu dan ini', merasanya, mencerap pada fikiran, dan mena'kul semaju manusia lain. Pada saat inilah manusia kenal tentang Tuhannya. Betullah sabda Nabi s.a.w, ”Permulaan agama adalah mengenali Allah”. Ia perlahan-lahan menghalusi jiwa.

Manusia akan mula belajar mengaji dan membaca al-Quran, kitab yang melengkapkan hidup, membacanya
dengan tartil, dan mencerap. Inilah lapangan ilmu yang lebih luas lagi. Barulah ketika itu manusia sedar bahawa hidupnya ini bukanlah sesuatu misteri seperti yang disangkanya. Setelah didengarnya apa itu syurga, sesudah dikenalinya panas api neraka, dan setelah ditekuni tentang hakikat takdir, barulah diketahui kini bahawa kehidupan itu penuh dengan keindahan yang cukup bermakna. Oh ya, barulah ketika itu juga diketahuinya tentang tujuan hidup, dan barulah waktunya kini dia ketahui erti falsafah hidup.

Sebab itu, liku-liku hidup adalah medan perujian yang sebenar dan maha dahsyat. Penilaian
peperiksaan di sekolah dan universiti itu adalah 0.025% sahaja dari ujian hidup, sedangkan di luar sekolah dan kampus itu masih terdapat baki peratusan ujian yang menanti kita dalam kehidupan. Bukan bererti kita gagal dalam pembelajaran, makanya kita telah gagal dalam kehidupan. Bahkan ramai manusia yang tidak pernah bersekolah, telah berjaya dalam hidup. Dan tidak kurang juga ramai yang telah berjaya di dalam persekolahan, tetapi hakikatnya manusia paling gagal dalam hidup.

Begitu juga dengan nasib dan takdir dalam hidup manusia. Sungguh, Tuhan itu maha adil sek
ali. Apabila terjadinya sesuatu perkara dengan qadarnya, maka bukanlah itu suatu penghinaan untuk manusia, bukanlah pula ia suatu kebencian dari Yang Maha Pencipta, bahkan Tuhan waktu itu mahu mendidik kita tentang erti kehidupan. Pasti ada rahsianya dan hikmah yang diberinya pada kemudian hari. Maka usahlah khuatir dan bersangka baiklah pada Tuhanmu.

Seperti katanya orang-orang hikmah. Manusia itu selalu menyalahkan Tuhan dengan takdir. Selalu berburuk sangka dengan Allah s.w.t dengan perkiraan bahawa Tuhannya itu tidak adil dalam menjalankan kehidupannya. Manusia kerap dilontar dengan fitnah, dimehnah dengan ujian, diperasangka buruk-buruk oleh orang ramai, sedangkan takdir sebegitu tidak dimahukan oleh dirinya. Dengan itu, Tuhan pula yang selalu dipersalahkan pada nalurinya.

Orang-orang hikmah selalu berpesan supaya memegang suatu analogi dalam perkara ini, dengan mengajar ’rumus pelangi’. Kerana dalam mencari kehidupan, manusia kerap kali menginginkan cahaya matahari, agar hidupnya sentiasa cerah, aman dan bahagia. Dan pada suatu ketika, Tuhannya menghilangkan cahaya matahari, dengan didatangkannya hujan, angin ribut dan guruh yang gelap. Maka hidup manusia itu tiba-tiba gelap seketika
kerana cahaya matahari terselindung di balik awanan guruh yang gelap dan kehujanan.

Manusia cukup mengesali perihal itu. Lantas selalu bersangka buruk pada Tuhannya. Katan
ya, ”Ya Tuhan, mengapa engkau meragut kenikmatan kami dengan menutup sinar mataharimu, yang selama ini membahagiakan kami. Kau lihat sekarang, kami berada dalam kegelapan awanan, guruh dan hujan. Mengapa Engkau selalu meragut kebahagiaan kami ketika kami sedang menikmati kehidupan kami”. Kata hati kecil mereka yang selalu berperasangka buruk.

Sesungguhnya, awanan gelap yang membawa hujan itu hanya sebab dari Tuhan untuk menghadiahkan manusia dengan sebuah pelangi yang cantik dan indah. Tuhan mahu menambah nikmat kehidupan manusia dengan kecantikan pelangi. Kegelapan dan kehujanan itu hanya menjadi sebab yang sebentar untuk Tuhan menghadiahkan nikmat pelangi kepada manusia, kerana bagaimana mahu terjadinya pelangi tanpa turunnya air hujan dan membiaskan cahaya? Dan bagaimana pula harus turunnya hujan tanpa dibawa oleh titisan-titisan air dalam awanan yang gelap?

Semua itu kerja Tuhan dan urusan alam yang manusia kadang-kala tidak mampu memahaminya. Manusia itu hanya tahu menyalahkan, mengadu hiba dan mengeluh, sedangkan hikmah yang sedia menanti mereka di garis akhir tidak mampu untuk mereka baca. Itulah hikmah dan kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa.