Thursday, August 20, 2009

Universiti Kehidupan


Saya akan memasuki tahun ke-5 berada di Mesir. Cukup mengasyikkan. Walaupun mungkin ada yang kecewa, pastinya jika mereka meredah lorong urat dalam diri saya hingga ke sel hati, pastinya mereka juga akan turut merasa senang kerana mengetahui betapa tenangnya hati saya ketika ini.

Mesir begitu indah kerana dua perkara. Satu, kerana al-Azhar. Dua, kerana budayanya.

Hasil kombinasi dua perkara ini boleh melahirkan manusia yang sangat bijak dan berguna. Mengapa saya kata demikian?

Kerana kombinasi antara al-Azhar dengan budaya Mesir adalah ibarat kombinasi di antara teori dengan praktikal, atau dengan bahasa lain 'antara ilmu dengan pengalaman'.

Gabungan ini adalah universiti kehidupan.

Seseorang yang dikurniakan kebijaksanaan oleh Allah s.w.t akan berupaya menggunakan kelebihannya untuk mengadun ramuan yang dihasilkan oleh ilmu dan pengalaman. Apabila ilmu dan pengalaman sebati, hasilnya nanti akan menjadi sebuah cetusan hikmah yang sangat lazat.

Ilmu boleh dicari di mana-mana. Itu fakta yang amat benar. Namun, nikmat dan kelebihan itu pasti akan seseorang dapati apabila dia dapat memilih dan membeli ilmu dari gedung ilmu.

Pastinya analogi ini tepat apabila anda membeli barang. Pilihan barang yang menarik dengan harga yang murah pasti akan ditawarkan hanya di gedung membeli-belah, bukan di runcit jalanan.

Namun anda akan dapati hal yang berbeza apabila mancari pengalaman. Dunia keseluruhannya adalah gedung pengalaman. Namun lain tempat, lain isinya. Lain orang, lain ragamnya. Cabaran dan kekuatan itu akan anda dapati apabila berhadapan dengan ragam yang bermacam dan menyusahkan.

Sebab itu dikatakan dalam setiap kesusahan itu akan lahir kemenangan jika ujiannya itu dapat dilalui dengan sabar dan redha. Takdir itu diciptakan adalah yang terbaik untuk setiap manusia jika mereka menganggapinya dengan positif.

Berusahalah untuk bersangka baik dengan Allah s.w.t, kerana setiap hambaNya dibesarkan dari dalam rahim yang penuh dengan kelembutan. Rahim ibu adalah menifestasi kasih sayang Tuhan kepada hambaNya.

Pastinya rahim itu sendiri telah membawa maksud rahmat dan kasih sayang pencipta untuk manusia merenungi.

Sangatlah baik jika kehidupan ini menjadi kampus yang bermakna untuk kita pelajari. Pastinya gabungan ilmu dan pengalaman bakal menjadikan kita manusia yang berguna, hamba yang bertakwa dan insan yang mampu merubah dunia.

Ada satu kisah menarik.

Pada suatu hari, beberapa orang datang bertanya kepada Imam al-Syafi'e:

"Apakah bukti yang boleh engkau berikan kepada kami untuk menunjukkan bahawa Allah s.w.t itu wujud?".

Wajahnya berfikir beberapa detik, kemudian dijawab:

"Pokok berry".

Maka berkerut wajah mereka yang bertanya kerana kehairanan. Mereka bertanya lagi:

"Bagaimana pula pokok berry boleh menjadi bukti wujudnya Allah?"

Imam al-Syafi'e menjawab:

"Daun pokok berry itu mempunyai warna, rasa dan bentuk yang tidak berubah. Tetapi apabila ia dimakan oleh ulat sutera, maka akan terhasil darinya benang sutera. Apabila dihinggap oleh lebah pula, akan keluar darinya cecair madu. Apabila dimakan kambing, ia menjadi daging untuk kita makan, dan susu untuk diminum. Dan apabila dimakan oleh kijang, ia menghasilkan wangian kasturi yang harum.

Maka, siapakah yang menjadikan kepelbagaian ini hanya dari sepohon pokok berry...?"