Monday, November 03, 2008

Mendungnya Cahaya Siang, 'al-Fatihah'

Semalam, telah kembali rahmatullah guruku, murabbiku, seorang yang banyak berpengaruh dalam perjalanan hidupku, yang mencorakkan sebahagian besar dalam pemikiran dan keintelektualanku, kerana semalam Tuhan lebih menyayanginya dan mencintainya.

Dr Muhammad Sayyid Ahmad Musayyar, semalam adalah tarikh beliau meninggalkan kami. Sesiapa yang pernah menghadiri kuliahnya pasti terkejut dengan kelembutannya berbicara dan ketegasannya dalam mengeluarkan hujah. Beliau mengajarku sejak dari tahun satu sehinggalah aku berada di tahun tiga yang lalu.

Rasa hormat kami padanya tersangat-sangatlah tinggi, sehingga jika beliau tidak membenarkan kami masuk kelas kerana terlambat, akan kami pasang anak telinga di pintu luar. Kuliahnya tidak pernah sunyi dari para pelajar, dan selalunya kelas tidak akan muat lalu meja akan selalu menjadi tempat duduk kami.

Seorang yang sangat aku cintai. Sebahagian dari karyanya selalu mempengaruhi kehidupanku dan perjalanan pemikiranku. Beliau seorang yang sangat merendah diri dan tidak pernah mendabik dada dengan hujah ilmiahnya, dan aku katakan bahawa beliau adalah seorang ulama yang amat luas ilmunya dalam bidang falsafah dan akidah.

Geniusnya dalam berhujah, dan penguasaan ilmunya dalam perbahasan metafizik menyebabkan aku tidak terlepas dari membeli karangannya. Beliau amat masak falsafah barat dan timur, juga menguasai perbandingan antara agama.

Tulisannya tidak jauh bedanya dengan mulut, justeru dihiasi dengan kecermatan dalam menaqalkan dalil. Kerana cermatnya beliau dalam lapangan ilmu menyebabkan kelopak mataku berair sewaktu menyolatkan jenazahnya.

Semalam, jasad beliau disolatkan di masjid al-Azhar sebagai penghormatan terakhir kami kepadanya. Masjid al-Azhar lewat tengah hari semalam dipenuhi para ulama yang turun ingin menunaikan solat jenazah sebagai penghormatan terakhir buatnya.

Ketika imam berbicara tentang dirinya sebelum menunaikan solat, air mata kami basah lagi, terutama rakan-rakannya di kalangan ulama yang tidak dapat menahan linangan air mata. Beliau hanya meninggalkan nama dan mungkin tiada lagi tulisannya di akhbar-akhbar perdana dan majalah di Mesir lagi selepas ini. Yang ada hanyalah nama.

Sesungguhnya di antara tanda-tanda hampirnya hari kiamat adalah dengan dicabutkan ilmu dari manusia, dan tercabutnya ilmu dari manusia itu adalah dengan matinya para ulama.

Moga ruh beliau digolongkan di kalangan hamba-hamba yang dicintaiNya.
Al-Fatihah....

1 comment:

miza said...

semoga rohnya dicucuri rahmat...alfatihah...