Thursday, December 13, 2007

Menambat Unta

Kepada insan-insan yang sudi menegur blog saya yang agak sunyi sepi akhir-akhir ini, syukran jazilan. Terima kasih kerana sudi mengingatkan. Saya sendiri yang sedang mengalami cultural shocked ini pun kadang kala terlupa bahawa saya mempunyai sebuah laman blog yang harus sentiasa di'update' waktu demi waktu.

Ya, memang boleh dikatakan kejutan budaya. Saya terkejut dengan budaya pembelajaran yang tidak pernah saya lalui sebelum ini. Jika pada tahun lepas dan tahun sebelumnya, pada semester awal saya hanya perlu mengambil sekadar 5-6 subjek seperti yang menjadi ketentuan kuliah. Tetapi kali ini 8 subjek. Walaupun ada diantara mereka yang perlu mengambil lebih dari itu, tetapi yang pasti 8 subjek ini bakal menjadi budaya yang akan mengejutkan budaya-budaya yang saya telah biasakan sebelum ini.

Mengapa perlu terkejut dengan budaya ini?

Banyak perkara dan budaya yang berlainan dengan corak yang sebelumnya. Tahun ini saya berhadapan dengan subjek-subjek baru yang tidak pernah saya tergambar sebelum ini. Yang pasti, dalam sesuatu keadaan, gambaran (tasawwur) asas secara ijmaliy perlu dilakukan sejak dari awal agar seseorang itu tidak terkejut dan dapat bersedia dengan budaya yang baru.

Hal ini lazim terjadi kepada jemaah yang mengerjakan umrah dan haji. Sekiranya mereka pertama kali mengerjakan umrah atau haji di Makkah, pada awalnya mereka pasti terkejut kerana berhadapan dengan situasi dan lakaran budaya yang berlainan. Sebab itu sekiranya jika anda bertanya kepada orang yang sudah pertama kali pergi ke Makkah, pasti mereka mengharapkan trip umrah atau haji untuk kali yang kedua. Ini kerana mereka merasakan banyak perkara yang kurang sempurna dilakukan akibat daripada kejutan budaya dan masyarakat.

Kerana itu sesetengah orang menasihatkan agar pergi mengerjakan umrah terlebih dahulu sebelum mengerjakan haji, supaya kita dapat tasawwur (gambaran) tentang kota Makkah dan budayanya. Lagi pula jika musim haji ditambah dengan jutaan manusia yang dikumpul dengan kerenah dan budaya mereka yang tersendiri, memang sudah cukup untuk membuatkan jiwa terencat.

Tetapi tidaklah mengapa untuk yang mendapat seru haji lebih awal dari umrah. Sekurang-kurangnya mereka terlebih dahulu sudah memasuki kursus dan mendapat gambaran dari peserta dan orang yang telah dahulu pergi. Dan lebih dari itu, sekurang-kurangnya mereka itu lebih beruntung kerana dipilih untuk menjadi tetamu Allah s.w.t berbanding dengan mereka yang lansung tidak dijemput dan dipanggil untuk ke Tanah Suci Kota Makkah.

Hal sebegitu juga seolah-olah menjadi klise kepada kejutan budaya yang saya hadapi. Saya seharusnya mendapatkan gambaran awal tentang subjek bakal saya hadapi dari orang yang telah melaluinya. Itu barulah jalan yang terbaik. Tetapi perkara itu tidak saya lakukan, maka saya terpaksa menghadam kepayahannya dan terpaksa berhadapan dengan budaya baru yang saya masih belum bersedia dengannya.

Pada hakikatnya, itu bukanlah sebab untuk saya mengaku kalah. Saya perlu lebih bersedia, dan paling tidak pun ditambah lagi dengan doa-doa yang dikirimkan oleh para pembaca sekalian sudah cukup untuk membuatkan saya bersemangat semula untuk menghadami ilmu-ilmu baru yang mulai menepu ini. Saya juga terpaksa berhadapan dengan istilah-istilah baru yang lebih mencabar, lebih analitikal, lebih kritikal dan barangkali lebih 'basikal'.

1hb Januari 2008 nanti adalah tarikh pertama untuk menguji kefahaman dan ilmu saya. Saya perlu menguasai beberapa ilmu sebelum tarikh ujian itu sampai. Antaranya seperti subjek Khitobah [1/1/08], Psikologi [3/1/08], Falsafah Yunani [7/1/08], Mantiq (Logik) Moden [10/1/08], Tasawwuf [14/1/08], Tafsir [17/1/08], Perbandingan Agama [21/1/08] dan Feqh [24/1/08].

Sepanjang keberadaan saya di sini, perkara yang penting dan asas untuk menghadapi peperiksaan di Al-Azhar adalah senjata 'tawakkal'. Sepanjang pengalaman yang sedikit ini saya sering menyimpulkan bahawa sekuat mana kita bertawakkal, maka sekuat itulah kita akan berjaya melepasi peperiksaan di sini. Dan tawakkal itu pula tidak akan dinamakan dengan 'tawakkal' sekiranya ia tidak didahului dengan usaha seperti mana perlunya menambat unta dengan tali di tunggul kayu sebelum bertawakkal meninggalkannya.

Maka, apakah erti lulus dalam peperiksaan jika diri kosong dari ilmu?

*/ Selamat menyambut Hari Raya AidilAdha dan selamat menghadapi bulan peperiksaan....

Saturday, December 01, 2007

Itulah Pengalaman


Benar sekali, ia merupakan suatu pengalaman yang paling menarik dan berharga dalam diri saya dan dalam bidang fotografi. Saya belajar banyak perkara ketika membuat liputan (coverage) di Karnival Kerjaya TImur Tengah 2007 di Cairo International Conference Center (CICC) minggu lalu. Walaupun ada sesetengah perkara yang menjelirkan lidah dan meloyakan tekak, namun apa yang pasti pengalaman ini mengajar saya mengenai banyak perkara.

Betullah kata-kata mereka. Fasal pengalaman adalah pendidikan yang paling memberi kesan. Menghadami teori dan menyelami falsafah adalah dasar yang asas dalam keilmuan. Walhal, praktikal dan pengalamanlah yang menjadikan diri dan tingkah laku kita semakin matang dan berhikmah.

Saya cuma sempat untuk meng'upload' beberapa keping gambar sahaja yang diambil ketika liputan. Untuk melihat sila klik di sini.

Sunday, November 25, 2007

The Assignment


Hampir seminggu lebih blog ini dilupakan. Saya banyak tugasan, dan ada bertimbun-timbun komitmen di sisi bahu dengan tugas belajar dan mengajar.

Sungguh tak disangka, dalam rimbunan-rimbunan tanggungjawab itu, saya mendapat tugas yang lain pula. Assignment kali ini cukup mencabar fizikal dan mental. Saya dapat rasakan deru gegarannya seawal lagi. Karnival kerjaya dan lawatan rasmi Perdana Menteri yang akan diadakan esok nampaknya begitu mencabar dan mengujakan dalam tugas untuk mematangkan kerja fotografi saya.

Kali ini saya mendapat tugas dari Kedutaan Malaysia untuk merakam suasana sekitar karnival yang bakal berlansung esok. Ini memang sesuatu yang ditunggu. Jarang-jarang saya mendapat tugas rasmi sebegini selain di tanah air sendiri. Arrgh, yang paling merisaukan adalah, bateri flash tak cukup....

Thursday, November 15, 2007

What A Wonderful World

Minggu ini, lagu nostalgia perang vietnam nyanyian Louis Armstrong ini telah menjuarai carta senarai lagu dalam komputer riba saya.


WHAT A WONDERFUL WORLD

I see trees of green, red roses too
I see them bloom for me and you
And I think to myself,
what a wonderful world

I see skies of blue and clouds of white
The bright blessed day, the dark sacred night
And I think to myself,
what a wonderful world

The colours of the rainbow, so pretty in the sky
Are also on the faces of people going by
I see friends shaking hands,
saying "How do you do?"
They're really saying "I love you"

I hear babies crying, I watch them grow
They'll learn much more than I'll ever know
And I think to myself, what a wonderful world
Yes, I think to myself,
what a wonderful world.

download


Thursday, November 08, 2007

Kebergantungan Informasi

Reuters, AP, UPI dan AFP adalah nama yang tidak asing lagi dalam bidang penyiaran, termasuk juga dalam bidang kewartawanan. Mudah ceritanya, Reuters, Associated Press (AP), United Press International (UPI) dan Agence France Presse (AFP) adalah sebahagian dari agensi-agensi berita utama dunia yang dimiliki oleh Barat.

Walaupun pada hari ini bi
langan penduduk Islam di dunia dianggarkan berjumlah lebih daripada satu bilion, namun dalam aspek ekonomi, politik, ketenteraan dan teknologi, hampir kebanyakan negara-negara Islam masih lagi bergantung kepada negara-negara bukan Islam seperti Amerika Syarikat (AS), negara-negara Eropah dan Jepun. Hal ini merupakan semacam malang kepahitan yang terpaksa ditelan oleh rata-rata rakyat di negara Islam. Begitu juga halnya dengan sumber maklumat dan berita yang dibawa kepada masyarakat Islam secara umumnya.

Jika diimbas kembali dari sudut sejarah, selepas perang dunia kedua, AS telah menjadi salah satu kuasa besar dunia yang sering kali dimomokkan sebagai sebuah sebuah model negara yang sempurna, terutamanya dalam aspek memperjuangkan sistem demokrasi. Pendemokrasian ini juga justeru dapat dilihat jelas dalam aspek penyebaran informasi yang dilakukan senario politik mereka.


Konstitusi utama pada Amerika Syarikat tentang kebebasan informasi mengungkapkan seperti
berikut; ”Congress shall make no law... abridging freedom of speech or of the press” (Kongres tidak boleh membuat undang-undang… untuk menjambatani kebebasan berbicara atau akhbar). Konsep ini pada hakikatnya mengandaikan bahawa pihak pemerintah tidak boleh mengganggu proses penyebaran berita oleh pihak media. Maka itu, secara teorinya, akhbar mestilah bebas berdiri di luar pemerintah dengan kemungkinan segala macam idea, baik mahupun buruk, mestilah dibenarkan bergerak melalui pasaran idea (market place of ideas) untuk mencapai kebenaran.

Hakikatnya, kebebasan informasi ini bukanlah suatu konsep yang remeh tetapi merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan sistem peradaban dan merupakan akar ideologi Barat. Ia dapat dilihat mempunyai keterikatan yang kuat dengan konsep laissez-faire (a general principle of non-interference). Sudah tentu perang dunia kedua yang lalu telah membawa keuntungan yang besar buat Amerika Syarikat, bahkan ia muncul sebagai sebuah kuasa besar yang mempengaruhi negara-negara
lain di dunia.

Teknologi baru di da
lam bidang komputer, setelit dan televisyen yang diadun dengan jaringan perniagaan yang hebat telah mendorong AS untuk menduduki tempat utama dalam bidang ekonomi dunia, sedangkan pada masa itu, negara-negara lain di dunia masih lagi dalam peringkat pembangunan.

Dengan munculnya banyak negara-negara yang baru merdeka, iaitu sekitar akhir tahun 1950-an hingga awal 1960-an, banyak negara-negara dunia ketiga itu mula mengambil tempat dalam forum-forum dunia
seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perkembangan ini memboleh Amerika Syarikat menunjukkan tanduknya dalam membawa idea kebebasan informasi ala Barat yang bersifat sehala sahaja, iaitu dari negara-negara maju ke negara-negara miskin.

Para pengkritik ketika itu mula melihat bahawa pihak media barat sering memuatkan liputan yang tidak seimbang dan hanya menampakkan sikap imperialisme melalui medianya. Laporan Perang Teluk misalnya dilihat penuh dengan ketidakseimbangan, begitu juga laporan perang di Iraq. Ada juga negara yang mengkritik bahawa madia barat hanya memandang keuntungan semata selain membawa dan menyebarkan budaya yang kurang sihat.

Howard Kurt dalam bukunya Media Circus: The Trouble with America’s Newspapers, mendakwa media barat khususnya media di Amerika Syarikat telah hilang arah. Kebebasan media yang dibawa mereka telah menghilangkan etika kewartawanan di Barat. Beliau sendiri meminta agar para wartawan di AS supaya berusaha kembali menjulang kegemilangan zaman silam mereka dalam bidang kewartawanan.

Laporan-laporan yang dibawa dari AS dan Eropah seringkali dilihat mempunyai peranan dan propaganda politiknya yang tersendiri. Apa sahaja yang menjadi lambang Islam sudah tentu menjadi musuh media Barat. Peristiwa hancurnya World Trade Center di New York dipropagandakan untuk menuduh Islam sehingga tercetusnya ruh Islamophobia di kalangan rakyat mereka yang memakan ’muntah’ tanpa menyelidik kebersihannya terlebih dahulu. Bagi media Barat, kebangkitan Islam merupakan suatu ancaman dan ditakuti. Inilah teori yan
g dikemukakan oleh Samuel Huntington dalam bukunya Clash of Civilization.

Mustaffa Masmodi, bekas Menteri Penerangan Tuniasia adalah merupakan salah seorang tokoh utama yang memperjuangkan soal orde baru dalam bidang komunikasi. Beliau menegaskan bahawa orde baru ini bukanlah bertujuan untuk menyekat arus informasi, tetapi semata-mata untuk mencapai ’keseimbangan informasi antarabangsa’. Isu ini begitu giat diperjuangkan dan masih tidak selesai sehinggalah Setiausaha Agung UNESCO menubuhkan sebuah suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Sean MacBride.


Menerusi laporan MacBride, banyak perkara yang dibincangkan tertamanya mengenai kawalan
arus informasi yang didominasi oleh media-media barat seperti Reuters, AP, UPI dan AFP. Kesannya, pada dekad 1980-an, Amerika Syarikat memboikot dan menarik diri dari menyertai UNESCO kerana dikatakan badan itu sudah dijadikan badan yang berbaur politik.

Sesuai dengan seruan di dalam Laporan MacBride, negara-negara sedang membangun terutama negara-negara Islam sepatutnya mencari jalan keluar dengan bersatu antara satu sama lain bagi menghasilkan satu saluran mutlak negara Islam untuk disalurkan ke seluruh dunia. Hasilnya, pada hari ini kita dapat melihat perkembangan sihat saluran media Al-Jazeera yang bermula sejak tahun 1996.


Dengan bermodalkan 150 juta dolar, al-Jazeera yang berpusat di Doha, Qatar itu kini telah berjaya menjadi saluran transformasi yang dikelaskan sebagai alternative media. Ia juga telah berjaya menjadi supplier yang telus dan bebas dari gangguan politik untuk dijadikan sumber-sumber terkini kepada seluruh penduduk negara Islam yang lain.


Setelah lebih 27 tahun Laporan Suruhanjaya MacBride diterbitkan, debat orde baru masih lagi berlansung. Reaksi terhadap Laporan MacBride memang bermacam-macam. Apa yang diharapkan oleh seluruh negara Islam adalah hanya satu, iaitu jaringan komunikasi dunia yang tidak sahaja dikuasai oleh negara-negara maju, bahkan mencerminkan kerjasama antara negara-negara maju dan kelompok negara-negara membangun.

Friday, November 02, 2007

Membelakangi Hitam-Putih

Sudah hampir seminggu saya pulang ke gelanggang arena. Hampir bermula kembali sepak terajang yang hebat-hebat seperti yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Saya kini kembali bertemu lagi dengan rakan-rakan sepasukan yang lain.

Saya ketemu dengan Islam ketika sedang mengambil jadual kelas. Dia masih lagi tenang seperti dahulu. Wajah anak kelahiran Faiyoum ini semakin cengkung, dan janggutnya m
akin panjang. Dia kini di syukbah hadis, dan saya makin cemburu amat bila ramai kawan-kawan seangkatan yang berada dalam kelas hadis. Nampaknya mereka masih boleh lagi bertukar-tukar nota dan membuat ulangkaji bersama.

Seorang lagi sahabat lama, Thoha Idris pula saya ketemu di Masjid Al-Azhar, seusai solat zuhur. Memang cukup rindu setelah 4 bulan tidak ketemu. Dia menjadi rakan rapat saya sejak dari tahun satu dahulu. Budak asalan Bani Suwayf ini memang luar biasa kepandainya. Dia mendapat mumtaz dalam imtihan yang lalu. Kini sudah berada dalam pengkhususan tafsir.


Masuk tahun tiga di kuliah usuluddin, setiap pelajar harus membuat pilihan untuk
pengkhususan mereka. Sama ada Tafsir, Hadis, Aqidah Falsafah dan Dakwah.

Nampaknya tahun ini adalah tingkat yang lebih mencabar buat
saya. Saya telah mendapat syukbah pengkhususan yang Thoha katakan sebagai ’susah’. Sepanjang minggu ini, saya hanya lihat sekitar 3-4 orang sahaja rakan asia di kelas ini. Ramai rakan-rakan asia lain di syukbah hadis dan tafsir. Walaupun secara peribadi saya cukup minat dengan subjek-subjek pela-sampah (baca: falsafah) yang bakal saya harungi tahun ini, namun saya terpaksa kehilangan ramai rakan-rakan tempat rujukan yang masing-masing sudah membawa haluan di lorong mereka yang tersendiri.

Kaherah masih lagi belum sejuk sepenuhnya. Ia membuatkan pagi saya selalu segar dengan kerja-kerja luaran. Sangat seronok bila sekali sekala dapat menulis tentang diri sendiri ditempat orang seperti ini.

Sunday, October 28, 2007

Saya Sudah Pulang !!!


Buat keluarga di Malaysia, saya telah sampai di lapang debu Kota Kaherah sekitar jam 9.50 malam tadi waktu Mesir. Hadiah pertama yang saya dapat dari perlembahan Nil ini adalah, dapat melihat orang-orang Mesir berebut keluar dari kapal terbang sama seperti selalunya mereka mahu turun dari bas... haha, tahniah....

Friday, October 26, 2007

Seri Ayu

Lima hari sebelum 'Seri Ayu' dilancarkan, saya telah 'menjamah' tubuh gebunya.


Sayangnya, saya hanya ada sekeping ini untuk kenang-kenangan. Gambar dan aksi-aksi menarik di dalam perut kapal hanya ada dalam kamera Mamat (kiri, dalam gambar). Sebetulnya, kamera tidak dibenarkan sama sekali dibawa masuk ke dalam kawasan pelabuhan. Kamera kesayangan saya pun hampir-hampir dirampas setelah cahaya flashnya disedari pak guard. Ketika itu saya sedang mangambil gambar 'tubuh' Delima Puteri 2.

Sangat mengujakan. Niat asal hanya sekadar untuk menziarahi Mamat (anak kapal Delima Puteri 2), kerana kapalnya singgah di Pelabuhan Pasir Gudang selama sebulan untuk dibaiki. Kami pun mencuri masa meronda-ronda kawasan pelabuhan dengan kelajuan melucukan, iaitu 25 km/j seperti yang disyaratkan pak guard.

Setelah tiba di kawasan singgahsana 'Seri Ayu', tiba-tiba kami terserempak pula dengan kapten kapal yang sedang membawa rakannya melawat puteri cantik manis itu. Arakian, kami diperlawa masuk sekali kerana ayat-ayat manis dari Mamat yang mengenali kapten kapal.

Entah berapa besar saya tak dapat bayangkan. 'Fantastic, absolutely tramendous'. Itu mungkin kata-kata Arsene Wanger jika dia yang menaikinya, huhu....

Sayang sekali lagi, gambar-gambar menarik di dalam Navigation Bridge (NB) ketika saya sedang bergaya di dalam bilik nakhoda sambil mengangkat kening dan memegang stering kapal, hanya ditinggal di dalam fail kamera Mamat. Gambar yang ada pun tidaklah boleh dibanggakan sangat kerana seperti biasa, jurugambar adalah insan paling tidak gembira kerana wajahnya sering berada di belakang lensa. Argghhh...

Maaf Pak Lah ya, saya dapat 'merasa' Seri Ayu dahulu sebelum tuan merasmikannya....

Lagi berita perasmian di Utusan Malaysia.

Walimah

Tahniah untuk sahabatku Musa Bin Musni yang melansungkan perkahwinan dengan Azlina Binti Shahri pada 20hb Oktober yang lalu. Kami hanya sekadar mampu untuk mendoakan kebahagiaan kalian hingga ke anak, cucu, cicit, piyut dan seterusnya.


Untuk melihat gambar yang lain, sila klik sini.

Thursday, October 25, 2007

Low Ah San

“Dik, lu tanyea sama olang aa, kenal itu Asang ka, lamai olang kinal woo...”

”Oh, ya ke apek? Baguslah,” melayankan.


”Lu ada jumpa itu Latuk Latip ka? Dia ada datang sini ka?”


”Datuk Latip yang mana ni apek?.” Aku fikir ramai orang bernama Latif yang dap
at gelaran ’datuk’. Cuma yang aku kenal Setiausaha Kerajaan Johor saja, Datuk Latif yang itu.

”Dia many
ak baik sama gua, itu olang ha dik, lu cakap aja nama Asang, itu Latuk Latip manyak kinal woo. Dia misti tau itu Asang bawak bas pigi bawak itu olang lombongan.”

”Ah, sudahlah apek. Jom la naik bas, nanti bas jalan pulak”


Di dalam bas, saya bayarkan tambang untuk dua orang. Alahai, cuma RM 1.80 untuk seorang apek tua yang turun di Jamaluang bukanlah sesuatu yang berat sangat. Saya dan Apek duduk bersebelahan. Dia asyik bercerita kisah nostalgia silamnya. Saya fikir ini tentu filem hitam putih yang menarik. Dia bercereka tentang sahabatnya Cikgu Din, Latipah dan ’amoi’ Kampung Air Merah. Saya tekun mendengar. Memang sudah jadi kegemaran saya melayan cakap dengan orang tua.


Lelaki Cina tua ini saya fikir umurnya mungkin dalam lingkungan 70-an. Jalan terkedek-kedek,
membawa helmet buruknya, tentu dia seorang tua yang penuh dengan pengalaman hidup. Walaupun sudah kerepot kulit dan putih rambut, tetapi telinga masih jelas mendengar dan ingatannya masih kuat. Semua orang yang naik dan turun bas disapanya dengan mesra.

Pemandu bas dan sebahagian penumpang memang sudah biasa
dengannya. Tapi selama saya naiki bas buruk ini, tidak pernah pula saya terserempak apek tua yang baik ini.

”Apek, tu apa kat lu punya kocek”. Dia mengeluarkan sehelai
kertas yang dilipat kemas dan sebuah buku bank dari kocek bajunya.

”Low Ah San”. Saya baca nama itu setelah membuka surat yang diberikan. Terkejut juga pada mulanya, kerana surat itu mempunyai letterhead dari Kementerian Sumber Manusia. Rupanya surat itu adalah surat sokongan dari Timbalan Menteri Sumber Manusia untuk menyokong segala sumbangan yang diberikan untuk lelaki tua ini.

Surat itu diakhiri dengan
tandatangan Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu, Datuk Latif. Entah betul entah tidak, palsu atau asli surat itu saya tidak tahu, tetapi yang pasti ’Latuk Latip’ yang dicarinya itu pasti Datuk Latif, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang menandatangani surat ini.

Saya buka buku banknya. RM 4.96.


”Ada lima linggit kan?”. Apek tua itu tersengih.


”Ya, ya...”. Saya mengangguk.


"Lu mana pigi laya”


”Saya balik Muar, kampung.”


”Woo.. guwa penah dulu haa bawak itu olang lombongan pigi muar. Itu sikolah bawak pegi tampar bola...”


”Bola tampar, Apek...”

”Ya, ya... bola tampar. Ini mersing dulu manyak bagut (bagus) main itu tampar”.


Pemandu bas sudah biasa. Dia berhentikan orang tua itu sebelum simpang Jamaluang-Kluang.

”Itu drebar sula tau gua punya lorong. Cakap saja lorong Asang. Semua olang tahu...”


Yalah apek. Semua orang sudah tahu, tapi hari ini saya yang baru tahu. Apek itu melambai pada semua penumpang. Dia bukan orang gila. Dia sangat baik dan akan memarahi drebar bas jika bas dijalankan sebelum penumpang yang baru naik dapat duduk. Katanya nanti orang akan terjatuh dan tidak dapat berpaut.

Dalam perjalanan saya asyik memikirkan bagaimana saya dan orang-orang yang lain akan melalui usia emas sepertinya suatu masa nanti. Kulit yang kerepot, asyik bercerita nostalgia lama pada generasi baru dan yang paling terkesan, berapakah pula jumlah wang simpanan saya dalam buku bank saya? Adakah RM 4.96 sen juga?


Bas buruk pastinya memang lambat, tetapi kadang kala memberi pendidikan yang tidak ternilai berbanding hanya duduk membisu di dalam bas ekspres yang cepat sampai ke destinasinya.

Wednesday, October 17, 2007

Aidilfitri

Assalamualakum.

Walaupun sudah 5 hari syawal berlalu, namun saya fikir masih belum terlewat untuk mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri' untuk seluruh ummat Islam.

Haha, pelik. Begitu sukar mengeluarkan entri salam aidilfitri walaupun hanya 2 minit....

Thursday, October 11, 2007

Wujudkah 'Armenian-Genocide'?

Oleh : Ishaq Hanis Asmail

Semalam, sumber berita dari The Washington Post melaporkan bahawa majoriti daripada sidang Foreign Affairs Committee (Kongres Suruhanjaya Kebajikan Luar) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, telah menyatakan sokongan mereka terhadap resolusi ‘Armenian Genocide’, yang mendakwa telah berlakunya perbantaian secara kejam terhadap orang-orang Armenia oleh Kerajaan Turki Othmaniyah sekitar 90 tahun yang lalu.

Resolusi yang dibentangkan di Washington itu juga turut dilaporkan sedikit sebanyak memanaskan hubungan antara kerajaan Turki pimpinan Erdogan dengan kerajaan pimpinan Bush dan sekutu mereka dari kelompok Kesatuan Eropah.

Seorang jurucakap sidang tersebut, Adam Schiff, memberitahu bahawa walaupun genosid itu telah lama berlalu sekian lama dahulu, namun ia masih lagi membanyangi rakyat Armenia ketika ini, kerana ia melibatkan kehilangan ahli keluarga dan kaum kerabat.

Namun, presiden Bush secara peribadi dilihat cuba melindungi kerajaan Turki berhubung dakwaan pihak kongres terhadap kerajaan Turki Othmaniyah itu. Pada dasarnya, Bush sendiri kini berada di dalam dilema kerana Turki mengugut jika resolusi tersebut diiktiraf, maka karajaan Erdogan akan menarik balik bantuan ketenteraan mereka yang menentang puak Kurdish di utara Iraq ketika ini. Maka di sinilah dilema yang berlaku, sama ada beliau mengiktiraf resolusi tersebut ataupun bantuan ketenteraan di Iraq akan ditarik oleh Turki.

Genosid atau dalam bahasa Inggerisnya disebut ‘genocide’ adalah sebuah istilah yang pertama kali diguna pakai oleh Raphael Lemkin, seorang sarjana Poland berketurunan Yahudi di dalam bukunya Axis Rule in Occupied Europe pada tahun 1944. Kemudian pada tahun-tahun berikutnya, perkataan ini mula menjadi popular terutamanya apabila berlakunya tragedi ’The Holocaust’, pembunuhan kejam beramai-ramai rejim Nazi terhadap orang-orang Yahudi di Eropah.

Genosid membawa maksud perbantaian atau pembunuhan beramai-ramai secara besar-besaran dalam kerangka sistematik terhadap sesebuah suku kaum atau kelompok bangsa dengan tujuan untuk menghapuskan bangsa tersebut terus dari muka bumi ini.

Maka tidak hairanlah jika tragedi seperti ’The Holocaust’ dan ’Armenian Genocide’ selalu mendapat perhatian antarabangsa, kerena ia banyak sekali melibatkan kepentingan politik dan agama terhadap mereka-mereka suka ‘mencari pasal’, terutamanya dari kelompok negara kuasa besar.

‘Armenian Genocide’ yang diresolusikan di Washington baru-baru ini juga pada dasarnya dapat dilihat sebagai melibatkan kepentingan politik dan agama. Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang lain termasuk Kesatuan Eropah, Argentina, Uruguay dan Ru
ssia turut menyalahkan Kerajaan Turki Othmaniyah dibawah pimpinan Kaum Muda yang diterajui Sultan Abdul Hamid 2 sekitar tahun 1915 hingga 1917 kerana bertanggungjawab terhadap kematian beratus ribu rakyat bangsa Armenia di Deir ez-Zor, Syria.

Pada ketika itu, sekitar tahun meletusnya Perang Dunia Pertama, Kerajaan Turki Othmaniyah dikatakan telah memimpin antara 600,000 hingga 1.5 juta rakyat Armenia ke kawasan Mesopotamia dan padang pasir Deir ez-Zor di Syria. Kerajaan Turki Othmaniyah didakwa dengan sengaja membawa mereka ke kawasan tersebut tanpa apa-apa bekalan makanan dan ubat-ubatan sehingga menyebabkan rakyat bangsa Armenia mati akibat kebuluran dan sakit.

Lebih teruk lagi, mereka mendakwa kerajaan monarki Islam itu telah membenarkan tentera mereka dan orang-orang awam untuk merompak, membunuh dan mencabul wanita-wanita Armenia yang berada dalam pela
rian itu, dengan harapan untuk memusnahkan bangsa tersebut.

Walaupun hampir 21 buah negara setakat ini menyokong keberadaan berlakunya genosid ini, namun kerajaaan Turki termasuk sebahagian besar ahli-ahli sejarah telah menafikan sekeras-sekeras tuduhan ini. Mereka mendakwa bahawa kebanyakan bangsa Armenia yang mati itu disebabkan oleh peperangan yang meletus, bukan penganiayaan dari kerajaan Islam Turki. Hal ini bukan berlaku terhadap bangsa Armenia sahaja, bahkan beratus ribu rakyat Turki juga telah terkorban ketika itu.

Tambahan lagi, beberapa orang sarjana seperti Ismet Binark, seorang pustakawan da
n akribis sejarah, dan para intelektual Turki, telah membentangkan laporan dan kertas kerja berdasarkan fakta visual sejarah mengenai dakwaan palsu negara sekutu Amerika terhadap kerajaan Turki. Sebaliknya mereka mendakwa bangsa Armenia juga turut terlibat membunuh bangsa Turki berdasarkan gambar-gambar yang berada dalam arkib sejarah negara berkenaan.

Sementara itu, kerajaan Turki semakin mula menghadapi tekanan dari Eropah. Eropah dilihat telah mula meletakkan syarat untuk kerajaan Turki memasuki kesatuannya, supaya mengakui keb
eradaan tragedi genosid rakyat Armenia ini sebagai salah satu syarat untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Yang peliknya, selama bertahun-tahun sebelum ini, kebanyakan pemimpin dunia dan negara-negara Barat telah cuba menghindari untuk memperbesarkan isu ini diperingkat antarabangsa, kerana dikatakan sebagai tanda menghormati kepimpinan sekular yang dibawa Mustafa Kemal Atartuk suatu ketika dahulu.


Namun akhir-akhir ini, sejak penguasaan Parti Keadilan dan
Pembangunan (AKP) dalam kepimpinan politik Turki, yang dipelopori oleh pemimpin pro-Islam, Recep Tayyip Erdogan, tekanan terhadap kerajaan Turki semakin meningkat. Lebih-lebih lagi Amerika dan sekutu Eropahnya mula membangkitkan isu genosid ini di peringkat global, berbanding tindakan ’membisu’ mereka terhadap isu ini sewaktu pemerintahan sekular Turki dahulu.

Ya, sudah tentu Armenia begitu disayangi. Armenia yang merupakan sebuah bangsa peradaban tertua dengan struktur geografinya yang dihiasi dengan Gunung Ararat (gunung yang menjadi kesucian Yahudi-Kristian), dan negara bangsa pertama menyatakan agama Kristian sebagai agama rasminya, tentu sekali bangsa ini begitu disayangi oleh ’MEREKA’.

Monday, October 08, 2007

Pizza Ekonomi

Tinggal lagi beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut hari raya aidilfitri. Alahai, sudah besar-besar begini memang method hari raya sudah berubah. Kalau dahulu, tarikh 1 Syawal memang yang paling dinanti dan menyeronokkan. Banyak perkara, mercun ada, juga air-bom, bunga api kucing, dan paling seronok sekali boleh jalan-jalan ke rumah nenek tua si penyongel.

Itu dahulu, entah sudah berapa tahun waktu-waktu begitu sudah berlalu. Tetapi ki
ni silibus 1 syawal sudah berubah. Walaupun masih ditahap layak untuk meminta duit raya dari pakcik dan makcik di kampung, tetapi kenikmatan sambutan aidilfitri sudah jauh berbeza, agak kendur sedikit. Semacam perayaan sudah tak beri lagi apa-apa makna melainkan aktiviti berziarah sahaja.

Tetapi bila sudah dewasa (belum pun sangat), visi dan misi ada perbezaan. Ada semacam penghayatan yang sedikit istimewa pada syawal kini. Walaupun kenikmatan mercun dan bunga api kucing sudah tidak terasa, tetapi jiwa kemenangan selepas keluar dari madrasah Ram
adhan itu dapat dirasa dengan begitu baik sekali. Berbeza penghayatannya ketika masih seronok memegang bunga api kucing.

Malah kadang kala 1 Syawal disambut dengan penuh kesyukuran dan kesedihan. Sy
ukurnya terasa setelah melepasi dugaan-dugaan Ramadhan dan sedihnya apabila meninggalkan kenikmatan Ramadhan. Ini semua tidak saya rasai ketika umur yang kecil, waktu musim bunga api kucing, tetapi dengan rahmat-Nya, saya mampu merasainya setelah umur yang meningkat kini. Tahap kenikmatan itu berbeza mengikut kematangan ilmu dan penghayatan saya.

Saya bukan sahaja sedang menunggu detik-detik Sya
wal, malah lebih pahit lagi sedang menunggu detik-detik kehabisan bercuti. Ya, empat bulan di tanah air seakan-akan tidak terasa. Pakcik dan makcik yang bertanyakan soalan 'bila mahu pulang' memang betul-betul mengesankan saya. Maka itu terpaksa juga menjawab dengan berkira-kira bilakah baki cuti yang tinggal. Tentu sekali tidak lama.

Dua tiga rakan sudah bertanya-tanya:


”Kau tak boring ke cuti ni? Aku dah boring tahap muntah dah ni. Rase macam nak balik dah.”


Saya jawab 'tidak'. Itu mungkin jawapan paling jujur saya. Bagaimana mana saya mahu boring kalau banyak lagi buku dan majalah yang dibeli belum habis dibaca. Mahu diangkut semua dalam kapal terbang sungguh tidak mampu. Hanya diperuntukkan 40kg sahaja. Habis pakaian saya mahu sumbat dimana kalau yang dibawa semuanya buku?

Ibu sudah mula bising kini sebab saya menyimpan stok buku saya di biliknya. Habis biliknya berkecah dengan buku. Saya hanya menyerakkan di bawah sahaja, lagi mudah dilihat. Kalau disusun tinggi, agak begitu susah untuk mengambilnya. Letak sahaja dibawah, barangkali saya fikir susunan begitu lebih praktikal.


Saya tak pandai menipu. Memang ada sedikit kerinduan untuk pulang. Teringat akan ahli bait saya yang rajin membancuh teh susu, tuan rumah yang asyik mahu menaikkan sewa rumah, khutbah syeikh Ismail yang bersemangat, dan yang paling istimewa, rindu untuk mendengar kembali suara imam polis berdahi hitam yang selalu saya ajuk-ajuk bacaannya ketika disana.

Memang manusia selalu begitu. Saat benda yang jauh dari kelopak mata, ia begitu dirindukan. Tetapi apabila sudah berada di hadapan mata, maka dibuat acuh tak acuh sahaja. Ketika ini akan kembali rindu itu pada nostalgia-nostalgia yang lama. Sifirnya memang begitu bagi saya. Seperti waktu ini, roti canai sudah malas mahu saya kunyah, walhal itulah makanan yang paling rindui k
etika bercadang mahu pulang dahulu.

Dan kini, sudah mula dipalit kerinduan sedikit demi sedikit dengan rutin-rutin isi perut di sana. Isyh (roti pita) dan fuul yang menjadi menu mingguan saya, makarona bil laham dan kusyary hindi yang kedainya berada tepat di tengah suuk asyir. Lagi pula dengan kibdah dan sogoq 30 qirsy yang saya gemari, dimakan bersama dengan jeruk lobak merah, jeruk sengkuang dan buah zaitun, juga yang paling dirindui adalah potongan-potongan pizza ekonom
i yang selalu dibelanjai Akmal.

Ya, pizza ekonomi memang menu tambahan untuk rumah kami.
Saya gelarkan ia 'pizza ekonomi' kerana harganya murah dan rasa yang sedap, lagi pula ada khidmat penghantaran ke rumah berbanding dengan kedai lain. Memang ekonomik!

Kini walaupun sudah hampir 4 bulan bercuti di rumah, saya masih belum terasa mahu pulang lagi. Tetapi rindu untuk pulang tetap juga ada walaupun sedikit. Kuliah yang padat sudah lama tak dengar. Kerenah kawan-kawan arab dan loya buruk mereka pun sudah lama tidak dilayan. Ya, tiket saya hujung bulan ini. Nampaknya, saya pulang seorang mungkin, sebab rakan yang lain pulang pada tarikh dan waktu yang berlainan.


Huh, beginilah cuti saya. Kata orang, hujan emas dinegeri orang, hujan batu dinegeri sendiri. Tapi dua-dua pun baik dan saya sukai. Sama sahaja emas atau batu, dua-dua tak boleh diminum berbanding hujan biasa. Nampaknya saya tidak dapat gunakan pepatah itu pada waktu sebegini. Haha....

Thursday, October 04, 2007

Mahu Baca Tentang Kehidupan?

Kehidupan itu kadang-kadang sesuatu yang misteri. Ya, kerana sesungguhnya kehidupan itu adalah termasuk di dalam rahsia Tuhan, rahsia yang tidak diketahui oleh mana-mana manusia mahupun sekalian makhluk-makhlukNya. Tuhan telahpun merahsiakan perkara itu pada dinding Luuh-Nya. Sebab itu, kehidupan ini adalah perjalanan sukar untuk diramal.

Dalam kehidupan ini, manusia akan lalui bukit bukaunya. Lurah, tebing yang curam, dataran yang luas, jalan yang berbukit, pastinya liku-liku ini akan manusia h
adapi. Maka, perjuangan itu bermula sejak manusia dilahirkan. Di dalam gerak tangis kita membuka alis mata. Di dalam bedungan ibu, kita menggerakkan badan melepaskan ikatan bedung. Lepas dari asuhan ibu, kita merangkak, kita beransur tegak dan kita jatuh, lalu bangkit berusaha semula untuk tegak kembali lalu jatuh. Akhirnya, kita mampu terus tegak berdiri untuk berjuang di medan permainan.

Kita sudah belajar seawal di
kantung buai lagi apabila mendengar ibu berzikir tentang Tuhannya ketika menghenjut buaian. Ibu menyebut setiap hari, dan kita mendengarnya lagi. Itulah permulaan ilmu. Setelah lama belajar dan mengaji, ilmu manusia itu akan sentiasa bertambah hari demi hari, waktu demi waktu. Maka itu, kita mengenali tiap perkara 'itu dan ini', merasanya, mencerap pada fikiran, dan mena'kul semaju manusia lain. Pada saat inilah manusia kenal tentang Tuhannya. Betullah sabda Nabi s.a.w, ”Permulaan agama adalah mengenali Allah”. Ia perlahan-lahan menghalusi jiwa.

Manusia akan mula belajar mengaji dan membaca al-Quran, kitab yang melengkapkan hidup, membacanya
dengan tartil, dan mencerap. Inilah lapangan ilmu yang lebih luas lagi. Barulah ketika itu manusia sedar bahawa hidupnya ini bukanlah sesuatu misteri seperti yang disangkanya. Setelah didengarnya apa itu syurga, sesudah dikenalinya panas api neraka, dan setelah ditekuni tentang hakikat takdir, barulah diketahui kini bahawa kehidupan itu penuh dengan keindahan yang cukup bermakna. Oh ya, barulah ketika itu juga diketahuinya tentang tujuan hidup, dan barulah waktunya kini dia ketahui erti falsafah hidup.

Sebab itu, liku-liku hidup adalah medan perujian yang sebenar dan maha dahsyat. Penilaian
peperiksaan di sekolah dan universiti itu adalah 0.025% sahaja dari ujian hidup, sedangkan di luar sekolah dan kampus itu masih terdapat baki peratusan ujian yang menanti kita dalam kehidupan. Bukan bererti kita gagal dalam pembelajaran, makanya kita telah gagal dalam kehidupan. Bahkan ramai manusia yang tidak pernah bersekolah, telah berjaya dalam hidup. Dan tidak kurang juga ramai yang telah berjaya di dalam persekolahan, tetapi hakikatnya manusia paling gagal dalam hidup.

Begitu juga dengan nasib dan takdir dalam hidup manusia. Sungguh, Tuhan itu maha adil sek
ali. Apabila terjadinya sesuatu perkara dengan qadarnya, maka bukanlah itu suatu penghinaan untuk manusia, bukanlah pula ia suatu kebencian dari Yang Maha Pencipta, bahkan Tuhan waktu itu mahu mendidik kita tentang erti kehidupan. Pasti ada rahsianya dan hikmah yang diberinya pada kemudian hari. Maka usahlah khuatir dan bersangka baiklah pada Tuhanmu.

Seperti katanya orang-orang hikmah. Manusia itu selalu menyalahkan Tuhan dengan takdir. Selalu berburuk sangka dengan Allah s.w.t dengan perkiraan bahawa Tuhannya itu tidak adil dalam menjalankan kehidupannya. Manusia kerap dilontar dengan fitnah, dimehnah dengan ujian, diperasangka buruk-buruk oleh orang ramai, sedangkan takdir sebegitu tidak dimahukan oleh dirinya. Dengan itu, Tuhan pula yang selalu dipersalahkan pada nalurinya.

Orang-orang hikmah selalu berpesan supaya memegang suatu analogi dalam perkara ini, dengan mengajar ’rumus pelangi’. Kerana dalam mencari kehidupan, manusia kerap kali menginginkan cahaya matahari, agar hidupnya sentiasa cerah, aman dan bahagia. Dan pada suatu ketika, Tuhannya menghilangkan cahaya matahari, dengan didatangkannya hujan, angin ribut dan guruh yang gelap. Maka hidup manusia itu tiba-tiba gelap seketika
kerana cahaya matahari terselindung di balik awanan guruh yang gelap dan kehujanan.

Manusia cukup mengesali perihal itu. Lantas selalu bersangka buruk pada Tuhannya. Katan
ya, ”Ya Tuhan, mengapa engkau meragut kenikmatan kami dengan menutup sinar mataharimu, yang selama ini membahagiakan kami. Kau lihat sekarang, kami berada dalam kegelapan awanan, guruh dan hujan. Mengapa Engkau selalu meragut kebahagiaan kami ketika kami sedang menikmati kehidupan kami”. Kata hati kecil mereka yang selalu berperasangka buruk.

Sesungguhnya, awanan gelap yang membawa hujan itu hanya sebab dari Tuhan untuk menghadiahkan manusia dengan sebuah pelangi yang cantik dan indah. Tuhan mahu menambah nikmat kehidupan manusia dengan kecantikan pelangi. Kegelapan dan kehujanan itu hanya menjadi sebab yang sebentar untuk Tuhan menghadiahkan nikmat pelangi kepada manusia, kerana bagaimana mahu terjadinya pelangi tanpa turunnya air hujan dan membiaskan cahaya? Dan bagaimana pula harus turunnya hujan tanpa dibawa oleh titisan-titisan air dalam awanan yang gelap?

Semua itu kerja Tuhan dan urusan alam yang manusia kadang-kala tidak mampu memahaminya. Manusia itu hanya tahu menyalahkan, mengadu hiba dan mengeluh, sedangkan hikmah yang sedia menanti mereka di garis akhir tidak mampu untuk mereka baca. Itulah hikmah dan kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa.

Sunday, September 30, 2007

Kecoh Akibat Kepelbagaian Fatwa

Oleh : Dr Ismail Ibrahim
Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi

Virus, sindrom, penyakit atau wabak merupakan beberapa fenomena yang menyerang dunia Islam pada masa kini dalam konteks fatwa. Universiti Al-Azhar terpaksa memecat dan mewajibkan persaraan seorang sarjananya yang mengeluarkan fatwa dalam bulan April lalu yang mengharuskan seorang wanita menyusu seorang lelaki dewasa untuk menjadikan lelaki dewasa itu sebagai anak susunya. Maka dengan itu lelaki tersebut akan menjadi muhrimnya.

Sementara itu, Arab Saudi terpaksa membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa orang ulama tentang Hari Kebangsaan yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu fatwa yang mengharamkan perayaan Hari Kebangsaan atas alasan bahawa perayaan di dalam Islam hanya diharuskan bagi dua peristiwa, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban. Merayakan hari lain adalah haram, termasuk Hari Kebangsaan.

Mufti Kerajaan Saudi terpaksa mengeluarkan fatwanya bahawa perayaan Hari Kebangsaan itu adalah satu sambutan kebangsaan yang tidak berkaitan dengan perayaan agama. Maka dengan itu Hari Kebangsaan Saudi dapat disambut pada 23 September setiap tahun, yang terakhirnya ialah pada hari Ahad lalu, 23 September.

Banyak fatwa lain yang lebih serius lagi berlaku di dalam dunia Islam, seperti fatwa yang mengharuskan seorang Islam bagi membunuh dirinya untuk membunuh orang lain yang dianggap musuh sama ada musuh seagama atau musuh yang bukan Islam. Fatwa begini yang berkemungkinan besar telah mengakibatkan berlakunya kejadian bom kenderaan, atau perbuatan pengebom berani mati yang meletupkan dirinya di tengah khalayak ramai atau di mana-mana sahaja yang banyak berlaku sekarang.

Menurut berita akhbar mengenai fatwa menyusu lelaki dewasa yang dikeluarkan di Mesir itu, Dr. Izzat Attiyah, Ketua Jabatan Hadis, Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar, dipecat kerana fatwanya menimbulkan rasa malu, sinikal, jelik, jenaka, lucah, dan berbagai-bagai gambaran negatif terhadap Islam, bukan sahaja di Mesir, malah di dunia Islam dan global seluruhnya. Oleh itu, beliau seharusnya diberhentikan kerja dan diwajibkan bersara. Keputusan ini muktamad.

Majlis Tatatertib yang mendengar kes Dr. Izzat itu menekankan tentang implikasi fatwa yang menghina Islam, setelah media menyiarkan begitu banyak unsur jenaka dan lucah akibat fatwa tersebut di kalangan angkatan muda, terutama anak-anak muda lelaki yang sering menjadikan fatwa itu bahan senda gurau mereka terhadap anak-anak gadis dan wanita-wanita muda yang diganggu di jalan-jalan kota dan kampung.

Dr. Izzat yang mendakwa dirinya “mujtahid” iaitu yang melakukan ijtihad sendiri berdasarkan sumber-sumber syariah, pada April lalu, mengeluarkan fatwa mengharuskan seorang wanita menyusukan seorang lelaki dewasa, iaitu wanita yang terpaksa bersendirian dengan lelaki dewasa di bilik pejabat umpamanya, supaya dengan itu kedudukan mereka berdua-duaan di dalam bilik atau tempat tertentu tidaklah termasuk di dalam istilah khalwat haram, kerana mereka berdua adalah muhrim mengikut hukum ibu susu dengan anak susunya.

Fatwa ini menimbulkan perdebatan hangat di dalam media dan masyarakat tempatan dan antarabangsa, termasuk internet, sehingga kes ini juga dibawa ke Parlimen Mesir. Ahli-ahli Parlimen menimbulkan kekecohan ketika menyoal Yang Dipertua Dewan secara bertalu-talu dan menimbulkan ketegangan, diselang-seli gelak ketawa ketika terdapat ahli Parlimen yang membuat jenaka tentang fatwa itu. Selama ini apa yang diketahui anak susu hanya terdiri daripada bayi yang disusukan oleh wanita asing selama beberapa kali kenyang, tetapi kini nampaknya orang dewasa lelaki pun boleh mendapatkan wanita untuk dihisap susunya supaya dapat menjadi anak susu wanita itu.

Saya bayangkan, Parlimen Malaysia pun akan riuh-rendah sekiranya kes seperti ini dibincangkan, kerana ahli-ahli Yang Berhormat kita seperti Datuk Badruddin Amiruldin, Datuk Bung Moktar Radin dan lain-lain tentulah tidak melepaskan peluang untuk berbincang panjang lebar tentang hal yang sensasi ini. Tetapi yang lebih teruk untuk bersilat tentulah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam urusan agama, juga Yang Dipertua Dewan Rakyat. Syukurlah di Malaysia sehingga ke masa ini belum pernah mendengar fatwa seperti ini dikeluarkan di bumi kita.

Akibat perdebatan dan bantahan besar-besaran yang timbul, maka Majlis Tertinggi Universiti Al-Azhar mengeluarkan kenyataan menganggap fatwa tersebut bertentangan dengan prinsip agama Islam dan bercanggah dengan prinsip moral dan akhlak, sekali gus mencemarkan nama baik Al-Azhar sebagai institusi Islam yang berprestasi.

Menurut keputusan Majlis Tatatertib yang memecat Dr. Izzat itu juga bahawa beliau dengan sendirinya mengeluarkan fatwa secara yang amat tidak bertanggungjawab dan telah bertindak demikian di luar kapasitinya, kerana dia tidak bertanggungjawab untuk mengeluarkan fatwa, sebaliknya Mesir mempunyai Majlis Fatwanya di samping Al-Azhar yang bertanggungjawab tentang fatwa.

Fenomena fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama sering menimbulkan kekecohan seperti yang berlaku di Mesir. Hal yang sama mungkin kita temui sekiranya kajian dilakukan di seluruh dunia Islam. Ini meliputi kemunculan fatwa daripada kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab tentang fatwa, dan keghairahan orang Islam mengambil fatwa yang dikeluarkan oleh orang lain yang dianggap ulama dan mufti, tanpa membezakan di antara pandangan peribadi pengeluar fatwa itu, atau latar belakang lain yang seharusnya diteliti sebelum tergopah- gapah menyebarkan fatwa tersebut.

Saya dapat bayangkan juga bagaimana kecohnya masyarakat kita di Malaysia, sekiranya setiap mufti di Malaysia mengeluarkan fatwa masing-masing yang bercanggahan sama sendiri. Malaysia, sungguhpun negara kecil dengan penduduk Islamnya yang kecil jika dibandingkan dengan negara Islam lain seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan sebagainya, tetapi kita mempunyai mufti yang banyak, iaitu 14 orang. Kita boleh gambarkan betapa kecohnya masyarakat Islam kita sekiranya para mufti membelakangkan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa sendiri. Andaikata Mufti Kedah mengeluarkan fatwa haram merokok umpamanya, dan orang Kedah yang menghisap rokok akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan didenda atau dipenjara, maka mungkin orang Kedah di sempadan akan melepaskan dirinya dari kuat kuasa fatwa dengan menyeberang ke Perlis atau Perak bagi menghisap rokok kerana negeri itu tidak mempunyai fatwa yang sama. Selepas menghilangkan ketagih, balik ke Kedah tanpa melakukan kesalahan.

Pendeknya isu fatwa di negara-negara Islam telah menjadi seperti satu fenomena yang ditangani dengan mudah oleh sesiapa sahaja yang merasakan dirinya lebih pandai daripada orang lain dalam ajaran agama. Masalah kesalah fahaman fatwa inilah yang menimbulkan banyak kekeliruan umat Islam sendiri dalam mengamalkan ajaran agamanya. Fatwa “jihad” umpamanya lahir dalam banyak bentuk dan tafsiran seperti yang telah sedia difahami di dalam masyarakat Islam, demikian juga dengan isu kehidupan lain yang seharusnya ditangani dengan penuh hikmah dan bijaksana, tetapi telah diambil mudah sahaja oleh umat Islam.

Akhirnya timbullah segala macam fatwa, termasuk fatwa yang ganjil seperti fatwa wanita menyusukan lelaki dewasa yang dikeluarkan di Mesir itu. Fatwa ini merupakan satu contoh sahaja yang dapat kita baca kerana dihebohkan di dalam media, sedangkan fatwa-fatwa yang lain tentu banyak tersebar di dalam masyarakat Islam tempatan di negara Islam yang tidak dapat kita lihat dan baca kerana tidak mempunyai unsur sensasi sehebat ini. Tidak syak lagi bahawa fatwa- fatwa itu tentulah amat berpengaruh di dalam masyarakatnya sendiri, dan dapat membentuk budaya berfikir dan bertindak masyarakat berkenaan yang mungkin dalam keadaan yang tertentu tidak sejajar dengan ajaran Islam sendiri.

Tetapi sekali lagi dalam keadaan ini, kita tidak mempunyai formula untuk mencari penyelesaiannya kerana dunia Islam telah diciptakan Tuhan untuk berpakat supaya tidak bersatu dan bersetuju di antara satu dengan lain. Dalam satu negara pun berlaku kepelbagaian fatwa yang mengelirukan, inikan pula bagi semua negara Islam di seluruh dunia, yang mempunyai umatnya lebih satu bilion, tentulah jauh semanggang daripada api untuk semua umat mendapatkan fatwa yang sama dalam isu-isu dasar dan prinsip agama itu sendiri.

Tuesday, September 25, 2007

Pondok dan 'Exodus' Nilai

(Ini adalah entri bersambung)

Istilah ‘memondok’ bukanlah membawa maksud berkelakuan seperti tikus mondok, ataupun ia memberi erti sebuah gagasan idea berkaitan dengan haiwan yang menjengkelkan itu. Malah istilah ini barangkali lebih lama hidupnya dari anda yang sedang membaca blog ini.

Pengajian pondok
di Malaysia merupakan sebahagian dari perkembangan pendidikan Islam itu sendiri. Sungguhpun sejarah pengajian pondok ini mungkin bermula lebih awal, iaitu seawal penapakan Islam di Semenanjung Tanah Melayu, namun secara tepatnya ia dikatakan mula diasaskan seawal kurun ke-17 lagi dan mula mencapai era kegemilangan pada kurun ke-19 hingga ke pertengahan abad ke-20.

Institusi pondok sebenarnya bukanlah sekadar pusat penyebaran ilmu-ilmu tradisional Islam, bahkan sesebuah persekolahan pondok yang ideal dikatakan menjadi sebuah pusat kehidupan; dalam erti kata sebenar, ia menarik perhatian, mendapat pengamatan luar, melahirkan
pengaruh dan nilai, dan menurut Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dalam sebuah tulisan bertajuk ’Pondok Education As Indigenous Education’ pondok telah menggarap tugas dalam pemindahan dan penyebaran welstanschuung tauhid menerusi proses tarbiyah ta’lim dan ta’dibnya.

Mungkin ramai yang mengatakan bahawa sistem pendidikan
Islam telah mampu diambil alih oleh institusi-institusi konvensional, namun hakikatnya para konvensionalis itu terbukti tidak mampu untuk mentarbiyah spiritual dan nilai etika dalam masyarakat Malaysia kini seperti yang dilakukan institusi pondok dengan jayanya suatu ketika dahulu. Buktinya cukup jelas sekali. Kanak-kanak tadika pun tahu bahawa institusi pondok suatu ketika dahulu telah berjaya menyebarkan wacana Islam dan berusaha menentang golongan penjajah di tanah air berbanding graduan konvensionalis kini yang lebih merosakkan Islam dari orang yang bukan Islam.

Lazimnya, kemunculan sekolah pondok telah membawa sama berkembangnya sesebuah perkampungan yang baru, atau memperkukuhkan lagi kawasan perkampungan di sekitarnya. Ini kerana, tumpuan masyarakat akan beralih kepada fokus pengajian agama di kawasan terbabit selain daripada sokongan yang kuat penggerak pondok yang terdiri daripada golongan ’elit kampung’ yang terdiri daripada penghulu, penggawa, hartawan dan
ibu bapa untuk memeriahkan lagi institusi ini.

Hal ini dapat diperhatikan sewaktu Syeikh Abdul Malek Abdullah ketika mengasaskan pengajian pondok di Pulau Manis, Ulu Terengganu sehinggakan tempat pengajian itu telah muncul s
ebagai daerah yang mendapat perhatian dan tumpuan orang ramai dari pelbagai ceruk rantau. Begitu juga dengan terdirinya pondok di Tebauk oleh Haji Abdul Hamid dan pondok di Kampung Nyior Kembar yang didirikan Haji Mat Syafie tidak jauh dari Kuala Terengganu, sehingga kampung itu dikenali ramai dengan nama Losong Haji Mat Syafie.

Ternyata sekali dari dahulu hingga sekarang (termasuk di negeri-negeri lain), pembinaan sekolah pondok bererti permulaan dan berkembangnya sesebuah perkampungan yang ada. Sehinggakan pada akhirnya sukar untuk ditent
ukan titik atau garis pemisah antara pondok dengan kampung, iaitu suatu keadaan yang menyerupai perkembangan ’pekan universiti’ seperti Oxford dan Cambridge!

Walau bagaimanapun, hakikat itu telah semakin berkurangan pada masa kini. Keterampilan dan nilai kekuatan sekolah pondok dalam proses pengakaran nilai Islam telah diambil alih oleh sistem persekolahan moden. Beberapa buah pondok tradisional ya
ng masih tegak dan berfungsi tidak lagi berperanan sebagai sebahagian daripada proses pendidikan formal dalam negara. Sebaliknya, ia seakan dipaksa untuk bertindak berasingan di pinggiran kota atau di desa-desa.

Mudah ceritanya, keadaan institusi pondok dewasa ini telah bertukar wajah. Pondok-pondok di Malaysia mengalami nasib
serupa seperti yang dialami oleh pesantren di Indonesia. Di Indonesia, kejayaan Kompeni Hindia Belanda (VOC) yang telah mendominasi pusat-pusat kehidupan dan perniagaan di kawasan pesisiran sekaligus telah menyebabkan institusi pesantren tertekan dan kemudian terpaksa dipindahkan ke daerah-daerah pedalaman, dan ulama pula terpaksa memunculkan diri sebagai counter-elite.

Sesungguhnya, transformasi keadaan yang membawa angin perubahan pada kedudukan pondok juga telah melambangkan ’exodus’ yang berlaku dalam masyarakat Melayu berikutan anjing bernama pembaratan dan sekularisasi ini. Pengaruh penjajahan bersama-sama dengan nilai moden acuan barat telah meresap dan menular masuk ke dalam masyarakat Malaysia lantas melahirkan corak kehidupan dan pusat kegiatan baru yang berasaskan nilai Barat dan sekular sekali gus menyebabkan fungsi dan peranan institusi pondok semakin tersepit dan dikikis.


(bersambung)

Monday, September 17, 2007

Tuhan Manusia

Pertama sekali, terima kasih kepada Ujana Ilmu atas kiriman kertas sampul tebal ’Dijamin Sampai Esok’nya. Ini pengalaman pertama saya membeli secara online, dan Ujana Ilmu adalah perantis sulungnya! (sungguh saya ketinggalan zaman). Saya memesan Pakej Tuhan Manusia yang saya kirakan kalau saya membelinya sendiri di kedai buku, harganya hampir serupa kerana diskaun yang diberikan oleh Ujana.

Nampaknya selepas ini, tidak perlu lagi saya turun ke Johor Bahru, bersesak-sesak dengan lampu isyarat dan orang ramai untuk membeli senaskah buku. ’Cepat dan Mudah’. Kedai buku impian saya kini hanya berada di hujung jari pada ruang tamu, sebuah rumah putih yang menghadap ke laut, di Jalan Nong Yahya! – (Kredit untuk Typeace)

Tapi saya sedar, itu hanya apabila berada di Malaysia. Jika sudah pulang nanti, nampaknya saya pasti terpaksa menahan malu barangkali untuk berkirim-kirim dengan orang, hanya untuk berkirim senaskah buku.

Tuhan manusia, adalah antara tajuk novel Faisal Tehrani yang diterbitkan pada tahun ini. Saya kira beliau begitu berghairah sekali, kerana hampir 5-6 buah naskhahnya terbit dalam tahun ini. Seperti yang disebut oleh Pak Jiwa Rasa; menulis bagi FT adalah ibarat seperti memakan kacang! Ini belum lagi termasuk dua buah novelnya lagi yang bakal keluar tidak lama lagi, iaitu Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu yang memenangi hadiah utama sayembara Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka tempoh hari.

Menyelak sekali imbas inti novel telah membuatkan saya teruja untuk melangsaikannya segera. Namun, seperti adatnya, saya perlu membaca dan menghadam sesebuah novel itu berulang kali (dengan menggaris mana yang perlu) untuk betul-betul boleh memahami konteks yang tersirat secara detail.

Saya fikir, mungkin novel ini telah mendirikan ghairah saya untuk membaca seawal penerbitannya lagi kerana disebabkan oleh perbahasan mengenai aspek teologi dan kisah berkenaan manipulasi aqidah yang berlaku dalam pemikiran Islam. Diselangi dengan garapan aspek-aspek falsafah barat yang menyesatkan dan nilai oksidentalisme yang tinggi sememangnya menjadi antara perkara yang memang tidak akan saya lepaskan.

Isu Pluralisme yang digemburkan oleh medan liberalisme telah banyak mempengaruhi minat saya untuk membaca novel ini berbanding novel-novel FT yang sebelumnya, saya kecualikan novel ’Bedar Sukma Bisu’ yang akan terbit tidak lama lagi kerana dikhabarkan berkisar mengenai pemikiran ’Nusantara’ yang begitu mengujakan.

Sekali imbas, novel wacana ini kelihatan cukup berat untuk pembaca yang belum terdedah dengan corak huraian kefalsafahan. Walaupun penulis cuba memesrakan wacana dengan adunan watak keremajaannya, namun idea-idea yang digarap bukanlah sesuatu mudah untuk ’masuk’ ke dalam kefahaman kelompok sembarangan. Silap-silap pembaca perlu mengulang 2-3 kali pembacaan terhadap novel ini untuk memahami sekitar isu yang ingin dibawa oleh penulisnya.

Yang menariknya, cerpen Homo Fabulans Homo Islamicus dalam antologi 9! oleh mantan MPR adalah mukadimah yang wajar saya kira untuk pembaca yang belum memulakan cernaan terhadap ’Tuhan Manusia’. Walaupun ia bukan berfokus sekitar wacana pluralisme, namun cerpen itu mampu untuk membuatkan pembaca menggigil kaki untuk memulakan halaman novel Tuhan Manusia. Cerpen ini pada saya lebih menonjolkan idea gagasan ’Persuratan Baru’ yang gemar diselitkan oleh Faisal dalam karyanya mutakhir ini.

Kepada yang meminati perbincangan berunsur teologi, mungkin novel ini sesuatu yang harus anda miliki. Ada satu dua perkara yang menjentik fikiran saya, err... tak apalah. Selamat membaca!

Thursday, September 13, 2007

Ramadhan Kareem...


"Ramadhan itu adalah namanya sebuah sekolah untuk jiwa. Ramai lepasan manusia telah bahagia dan damai setelah bergelar graduan dari sekolah itu. Ia mendidik jiwa makhluk untuk akur dan sujud pada aksara tauhid."

"Dengan kitab rujukan al-Quran, dan dibimbing oleh profesor-profesor al-Hadith, ia menjanjikan sebuah konvokesyen yang indah buat anak didik yang mengikhlaskan diri.
Kartu ijazah mereka selalu dilimpah dengan basahan air mata. Jubah mahasiswanya pula giat disulam dengan benang iman, yang dibeli dari kilang taqwa."

"Madrasah ini ada dalam diri, ianya muncul setahun sekali, pada bulan ini."
"Ramadhan yang dimuliakan Tuhan..."

Thursday, September 06, 2007

'Konon' dan 'Kononya'

Orang-orang yang pergi berperang, akan membawa bersama mereka peralatan senjata yang mencukupi. Mereka tidak lain mahu menang. Tidak ada satu pun kumpulan yang pergi berperang, tetapi mahu kalah. Mereka akan mengatur strategi, memenangi taktikal musuh dan mempengaruhi semangat juang para tentera untuk terus menang.

Perang bukan sahaja berlaku di darat, air atau udara, bahkan konsep per
ang adalah begitu luas. Perang juga berlaku di atas helaian kertas, di lembaran skrin monitor dan juga pada bukaan mulut manusia. Maka, perang merupakan suatu tindakan manusia yang universal, tidak berlaku hanya pada keinginan menakluki sesebuah negara, bahkan juga berlaku di antara pemikiran manusia.

Bunyinya seperti berbelit-belit. Tetapi apa yang ingin disampaikan ini adalah perkara yang berada di hadapan mata kita. Ya, manusia memang bebas dan mempunyai hak untuk bersuara. Tetapi kalau meletakkan hak itu bukan pada tempatnya, maka ia bukanlah sesuatu boleh
dianggap keadilan, bahkan kezaliman. Nah, ini adalah kezaliman daripada mereka yang selalu diberi kepercayaan oleh manusia.

Dalam lapangan keintektualan, saya kerap kali tidak melepaskan
peluang untuk mengikuti perang intelektual diantara ahli golongan tersebut (sebahagiannya bersuara walaupun bukan ahlinya). Di dada akhbar perdana misalnya, setiap hujung minggu adalah merupakan hari untuk melontarkan batu terhadap musuh yang tidak sealiran. Saya kerap kali tidak melepaskan peluang untuk membaca makalah mereka dan kadang-kadang ketawa kecil dengan gelagat sundal ini.

Tidak kiralah berjawatan tinggi atau rendah, guru atau pens
yarah, ’mufti’ ataupun pengarah (lebih-lebih lagi dua regu ini), hampir kebanyakannya sama sahaja, menjelerkan sikap tidak matang mereka di helaian-helaian akhbar mingguan kita. Tak habis-habis mendabik dada ingin memenangi fokus para pembaca dengan wacana keintelektualan yang berat sebelah dan bersikap tidak neutral di dalam mengutarakan perselisihan. Hanya yang mereka tahu ingin menang bicara di khalayak pembaca agaknya.

Mungkin ini kesengajaan yang bijak diatur oleh media massa yang tersihir untuk menarik sidang pembacanya. Malah, mungkin juga para editor
ingin mengajak pembaca bermain catur dengan buah hitam-putih para ilmuan yang diminta untuk menulis di akhbar mereka. Maka, di sinilah selalunya hak dan maruah agama kita dipulas, malah kerapkali tergadai!

Dengan berbolak-balik mengenai perkara-perkara khilafiyah yang sememangnya tidak habis-habis, mereka begitu seronok bermain-main dengan isu-isu sensitif berkaitan agama yang selalu dicemarkan oleh tangan-tangan mereka sendiri. Walhal mereka selal
u lupa (atau mungkin disengaja, kerana perkara ini sedia maklum), bahawa dengan dibangkitkan perkara-perkara sebegini boleh menimbulkan perselisihan pegangan dan perbalahan umum di kalangan masyarakat Islam umum yang tidak mampu untuk menilai dengan sewajarnya, lantaran kekurangan ilmu-ilmu asas dalam agama.

Suatu perkara yang sewajarnya diketahui oleh para pembaca sekalian
(kerana para pembaca kerap ditipu), iaitu penggunaan senjata verbal oleh mereka yang menulisnya. Jika khalayak yang membaca perasan, salah satu perkataan yang seringkali digunakapai oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini adalah perkataan ’konon’ ataupun ’kononnya...’. Jika anda tidak percaya, dipersila untuk merujuk artikel-artikel mereka yang lalu. Saya sudah puas dan termuntah-muntah kerana begitu loya anak tekak membacanya walaupun rasanya agak manis.

Saya suka untuk membawa suatu contoh kepada anda mengenai istilah 'kononnya' ini. Cuba anda perhatikan ayat di bawah :-


”Pada suatu masa dahulu, ada sebuah tasik yang diberi nama Tasek Chini. Dibe
ritakan bahawa kononnya terdapat seekor naga yang tinggal di dasar tasik itu....”

Nah, jika saya seorang kanak-kanak dibawah usia 8 tahun, sudah tentu saya mempercayai mitos dan dongengan berkaitan kewujudan naga itu. Tetapi saya yakin, jika mereka membaca sekali lalu mengenai artikel di dada-dada akhbar, pasti ramai
pembaca yang kerap ditipu dengan perkataan ini sekalipun umur mereka yang membaca ini di atas usia 15 tahun hanya kerana penulis meletakkan perkataan ’kononnya’ di dalam ayat mereka. Walhal sudah tentu perkataan itu telah sedia maklum merupakan sesuatu argumentasi yang belum pasti, bersifat lagenda, ada 'sidq' dan 'kazib'nya, bertema dongengan dan hikayat kanak-kanak zaman purbakala. Aduh kasihan mereka yang membaca!

Maka inilah dia perkataan yang teringin sangat saya sebutkan kepada mereka yang sering menipu, ditipu, tertipu dan dimanipulasikan oleh tangan penulis. Sesuatu prasangka dan dakwaan kabur yang tidak disusuli dengan bukti dan kekuatan dalil yang jelas. Mirip peluru sasar yang ditembak lepas dengan bebas tan
pa hala tuju. Ia merupakan sebuah prasangka dongengan ciptaan para ilmuan yang mahu dirinya menjadi juara antara sekalian juara hanya dengan peluru-peluru dongeng purba yang dilepaskan dari tangan orang yang diamanatkan oleh agama yang suci dan kesarjanaan ’PHD’! Ya, hanya kerana ramai pembaca kerap 'ditipu' dengan perkataan 'kononnya'.

Sungguh halus 'pesimisme'nya. Senjata yang beremosi dan provokatif dari para tokoh ilmuan. Bila diperhalusi dalam-dalam, perkataan ini gemar digunapakai oleh mereka yang pro-sesuatu (lebih-lebih lagi untuk menyampai 'isme'nya), untuk mengaburi mata pembaca mengenai apa yang ingin disampaikannya. Secara jujur, ia adalah tidak wajar digunakan oleh seorang agamawan yang bertaraf akademik, dengan meletakkan persijilan PHDnya, apatah lagi berbincang tentang agama. Kerana perkataan 'konon' adalah satu prasangka yang belum terbukti kesahihannya (sidq dan kazb) dalam lapangan akademik, malah menipu para pembaca, seterusya menafikan dan merendah-rendahkan pendapat orang lain tanpa mengemukakan bukti yang kukuh kepada para pembaca.

Inilah hakikat sebenar yang diperintahkan oleh Allah s.w.t, agar manusia ber’tabayyun’ (seperti dalam firman Allah s.w.t dalam surah Hujuraat, ayat 6) dan menjauhi daripada prasangka-prasangka manusia yang tidak berdasarkan epistemologi dan keberadaan yang jelas, kerana ianya meruntun manusia kepada bahana dosa semata-mata.

Firman Allah s.w.t dalam surah Hujuraat, ayat 12 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

(Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa)

Maka itu, selagi masih ada pihak-pihak yang tidak memberi keadilan terhadap konsep perselisihan dan khilafiyyah ini diberi peluang menulis, maka selagi itu kita membenarkan rahmat agama kita dicabuli oleh mereka yang berkepentingan. Mereka harus sedar, bahawa ummat Islam menghadapi musuh yang lebih besar daripada ini. Musuh yang mencucuk-cucuk untuk memecahkan benteng persaudaraan dan kesatuan yang sudah sekian lama dibibitkan oleh Baginga s.a.w, sejak dipersaudarakan antara kaum muhajirin dan ansar lagi.

Kita punyai musuh yang lebih besar dari itu wahai saudara-saudaraku. Musuh yang sentiasa ingin melihat ummat Islam kita berbalah, berbunuh-bunuhan dan bermusuhan sesama sendiri.

Oleh itu, hakikat konsep kesatuan (tauhidic) inilah yang seharusnya difikirkan oleh golongan ilmuan ini, bukan hanya bertekak-tekak dalam permasalahan furu’ sahaja. Mereka harus sedar bahawa perjuangan mereka bukanlah untuk mengisi perut antara golongan mereka sahaja, tetapi perlu berlandaskan tarbiyah manhaj Rabbani, iaitu menjadikan isi tarbiyah perjuangan mereka kearah keTuhanan, perjuangan yang memerlukan ummat Islam kembali meletakkan agama sebagai cara hidup mereka.

Sunday, September 02, 2007

Bijaksana Yang Dungu (2)

Entri ini adalah sambungan entri yang lepas bertajuk ’Bijaksana Yang Dungu’. Maaf sekiranya siri-siri ini membawa wacana yang agak berat. Sebenarnya, sudah lama saya menyiapkan siri ini, hanya mana ianya disimpan lama bersama-sama ikan pekasam, kerana masa begitu mencemburui.

Falsafah ilmu seringkali membincangkan ten
tang tradisi berfikir dalam sejarah peradaban manusia. Menurut Rudyard Kipling, timur tetap timur dan barat tetap barat, dan kedua-duanya sama sekali tidak akan dapat bertemu. (East is East and West is West and never the twain shall meet). Tradisi keilmuan dan berfikir seringkali dipisahkan dan dibahagi-bahagikan antara wilayah gagasan timur dan barat.

S.Radhakrishnan dalam bukunya yang berjudul Eastern Religions and Western Thought (1940), juga semacam membelahkan-bahagikan dunia timur sebagai pewaris agama dan dunia barat sebagai pewaris pemikiran dan falsafah. Sebenarnya prinsip dikotomi Timur lawan Barat seperti ini tidak berlaku. Bahkan apa yang berlaku ialah sebaliknya, di mana bukan sahaja agama malah juga ilmu dan falsafah yang berkembang di dunia barat itupun berasal dari dunia timur.

Apa yang berlak
u pada hakikatnya selepas itu adalah proses songsangan yang sengaja dibiarkan, mungkin disebabkan oleh faktor-faktor dalaman yang tidak diperasani. Ilmu pengetahun yang berasal dari timur itu mengalami perkembangan pesat di barat dengan meninggalkan agama (hasil suntikan ganja pelali seperti materialisme dan sekularisme). Sedangkan agama pula terus berkembang di timur dengan pesat sambil tradisi ilmu terus dilalaikan (mungkin hasil tradisi kejumudan, pembid’ahan, dan semangat ke'wahabi'an yang sering diangkat-angkat).

Mengenai tradisi berfikir di barat, terdapat dua prinsip yang terkenal dan
sering digunapakai, iaitu prinsip logik (disebut juga oleh Edward de Bono sebagai pemikiran vertikal) dan prinsip lateral yang disebut juga sebagai pemikiran paralel.

Secara mudahnya, logik adalah sebuah ilmu ataupun undang-undang (qanun) yang menyelidiki sama ada benar ataupun tidak terhadap sesuatu perkara yang difikirkan. Perkataan logik adalah
berasal daripada perkataan Yunani, ”logos” yang bererti kata, pernyataan, pemikiran dan akal fikiran. Di dalam bahasa Arab, perkataan ”Mantiq” (nutq) yang membawa makna ”ucapan” merupakan asas perkataan yang dipilih sebagai terjemahan literal dan tiruan bagi makna teknikal ”logos”.

Menurut Franz Rosenthal, umat Islam telah menggunakan perkataan ”ilm al-mantiq” yang membawa makna ”sains ucapan” sebagai istilah yang diguna pakai terhadap ilmu logik. Sekali-sekala, para sarjana perlu mengingatkan diri mereka, begitu juga para pembaca bahawa ”mantiq” sebenarnya mempunyai dua makna yang luas bezanya dan adalah penting untuk mengetahui yang manakah antara dua makna ini yang dimaksudkan dalam sesuatu perbincangan.

Maka itu, Ibn Hazm menyatakan bahawa ”nutq” yang disebutkan dalam displin ini bukanlah pertuturan (kalam). Ia adalah pengamatan di kalangan benda-benda dan pemikiran tentang sains dan seni, perusahaan perniagaan dan pengurusan hal-hal. Ia adalah sebagai alat atau organ bagi setiap disiplin keilmu
an yang membolehkan seseorang yang berfikir mendapatkan makna yang sebenar. Ia sudah tentu bertujuan untuk membezakan antara yang betul dan yang salah, antara kebenaran dan kepalsuan.

Sebenarnya, sejak era Socrates lagi (470-399 SM) peranan logik sebagai alat memproses dan menganalisis mula digunakan bagi tujuan menghadapi golongan Sophist (jika tidak keberatan, saya akan memperkatakan perihal golongan Sophist ini pada entri yang lain).
Seterusnya Plato memperluaskan peranan logik sebagai proses analisis dan kaedah mencapai kebenaran. Kemudian pula, Aristotle mengasingkan dan menyusun status logik yang masih bercampur-aduk dengan berbagai ilmu supaya menjadi sebuah kaedah yang kemas dan sempurna.

Selepas berlalunya zaman Aristotle, ilmu logik mengalami proses penyempurnaan dari semasa ke semasa, sehingga membentuk aliran logik atau mantik klasik (mantiq qodim), yang dikenali sebagai Logik Formal. Ciri penting aliran klasik ini ialah menggunakan kaedah rasional-deduktif atau lebih dikenali sebagai ”silogisme” ataupun ”qiyas”. Jika tidak silap, kaedah ini diguna pakai dalam sukatan matapelajaran KBSM matematik di sekolah menengah di Malaysia untuk peperikasaan SPM dibawah tajuk ”Set” dan ”Penaakulan Matematik”.


(bersambung)