Monday, September 17, 2007

Tuhan Manusia

Pertama sekali, terima kasih kepada Ujana Ilmu atas kiriman kertas sampul tebal ’Dijamin Sampai Esok’nya. Ini pengalaman pertama saya membeli secara online, dan Ujana Ilmu adalah perantis sulungnya! (sungguh saya ketinggalan zaman). Saya memesan Pakej Tuhan Manusia yang saya kirakan kalau saya membelinya sendiri di kedai buku, harganya hampir serupa kerana diskaun yang diberikan oleh Ujana.

Nampaknya selepas ini, tidak perlu lagi saya turun ke Johor Bahru, bersesak-sesak dengan lampu isyarat dan orang ramai untuk membeli senaskah buku. ’Cepat dan Mudah’. Kedai buku impian saya kini hanya berada di hujung jari pada ruang tamu, sebuah rumah putih yang menghadap ke laut, di Jalan Nong Yahya! – (Kredit untuk Typeace)

Tapi saya sedar, itu hanya apabila berada di Malaysia. Jika sudah pulang nanti, nampaknya saya pasti terpaksa menahan malu barangkali untuk berkirim-kirim dengan orang, hanya untuk berkirim senaskah buku.

Tuhan manusia, adalah antara tajuk novel Faisal Tehrani yang diterbitkan pada tahun ini. Saya kira beliau begitu berghairah sekali, kerana hampir 5-6 buah naskhahnya terbit dalam tahun ini. Seperti yang disebut oleh Pak Jiwa Rasa; menulis bagi FT adalah ibarat seperti memakan kacang! Ini belum lagi termasuk dua buah novelnya lagi yang bakal keluar tidak lama lagi, iaitu Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu yang memenangi hadiah utama sayembara Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka tempoh hari.

Menyelak sekali imbas inti novel telah membuatkan saya teruja untuk melangsaikannya segera. Namun, seperti adatnya, saya perlu membaca dan menghadam sesebuah novel itu berulang kali (dengan menggaris mana yang perlu) untuk betul-betul boleh memahami konteks yang tersirat secara detail.

Saya fikir, mungkin novel ini telah mendirikan ghairah saya untuk membaca seawal penerbitannya lagi kerana disebabkan oleh perbahasan mengenai aspek teologi dan kisah berkenaan manipulasi aqidah yang berlaku dalam pemikiran Islam. Diselangi dengan garapan aspek-aspek falsafah barat yang menyesatkan dan nilai oksidentalisme yang tinggi sememangnya menjadi antara perkara yang memang tidak akan saya lepaskan.

Isu Pluralisme yang digemburkan oleh medan liberalisme telah banyak mempengaruhi minat saya untuk membaca novel ini berbanding novel-novel FT yang sebelumnya, saya kecualikan novel ’Bedar Sukma Bisu’ yang akan terbit tidak lama lagi kerana dikhabarkan berkisar mengenai pemikiran ’Nusantara’ yang begitu mengujakan.

Sekali imbas, novel wacana ini kelihatan cukup berat untuk pembaca yang belum terdedah dengan corak huraian kefalsafahan. Walaupun penulis cuba memesrakan wacana dengan adunan watak keremajaannya, namun idea-idea yang digarap bukanlah sesuatu mudah untuk ’masuk’ ke dalam kefahaman kelompok sembarangan. Silap-silap pembaca perlu mengulang 2-3 kali pembacaan terhadap novel ini untuk memahami sekitar isu yang ingin dibawa oleh penulisnya.

Yang menariknya, cerpen Homo Fabulans Homo Islamicus dalam antologi 9! oleh mantan MPR adalah mukadimah yang wajar saya kira untuk pembaca yang belum memulakan cernaan terhadap ’Tuhan Manusia’. Walaupun ia bukan berfokus sekitar wacana pluralisme, namun cerpen itu mampu untuk membuatkan pembaca menggigil kaki untuk memulakan halaman novel Tuhan Manusia. Cerpen ini pada saya lebih menonjolkan idea gagasan ’Persuratan Baru’ yang gemar diselitkan oleh Faisal dalam karyanya mutakhir ini.

Kepada yang meminati perbincangan berunsur teologi, mungkin novel ini sesuatu yang harus anda miliki. Ada satu dua perkara yang menjentik fikiran saya, err... tak apalah. Selamat membaca!

No comments: