Sunday, September 30, 2007

Kecoh Akibat Kepelbagaian Fatwa

Oleh : Dr Ismail Ibrahim
Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi

Virus, sindrom, penyakit atau wabak merupakan beberapa fenomena yang menyerang dunia Islam pada masa kini dalam konteks fatwa. Universiti Al-Azhar terpaksa memecat dan mewajibkan persaraan seorang sarjananya yang mengeluarkan fatwa dalam bulan April lalu yang mengharuskan seorang wanita menyusu seorang lelaki dewasa untuk menjadikan lelaki dewasa itu sebagai anak susunya. Maka dengan itu lelaki tersebut akan menjadi muhrimnya.

Sementara itu, Arab Saudi terpaksa membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa orang ulama tentang Hari Kebangsaan yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu fatwa yang mengharamkan perayaan Hari Kebangsaan atas alasan bahawa perayaan di dalam Islam hanya diharuskan bagi dua peristiwa, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban. Merayakan hari lain adalah haram, termasuk Hari Kebangsaan.

Mufti Kerajaan Saudi terpaksa mengeluarkan fatwanya bahawa perayaan Hari Kebangsaan itu adalah satu sambutan kebangsaan yang tidak berkaitan dengan perayaan agama. Maka dengan itu Hari Kebangsaan Saudi dapat disambut pada 23 September setiap tahun, yang terakhirnya ialah pada hari Ahad lalu, 23 September.

Banyak fatwa lain yang lebih serius lagi berlaku di dalam dunia Islam, seperti fatwa yang mengharuskan seorang Islam bagi membunuh dirinya untuk membunuh orang lain yang dianggap musuh sama ada musuh seagama atau musuh yang bukan Islam. Fatwa begini yang berkemungkinan besar telah mengakibatkan berlakunya kejadian bom kenderaan, atau perbuatan pengebom berani mati yang meletupkan dirinya di tengah khalayak ramai atau di mana-mana sahaja yang banyak berlaku sekarang.

Menurut berita akhbar mengenai fatwa menyusu lelaki dewasa yang dikeluarkan di Mesir itu, Dr. Izzat Attiyah, Ketua Jabatan Hadis, Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar, dipecat kerana fatwanya menimbulkan rasa malu, sinikal, jelik, jenaka, lucah, dan berbagai-bagai gambaran negatif terhadap Islam, bukan sahaja di Mesir, malah di dunia Islam dan global seluruhnya. Oleh itu, beliau seharusnya diberhentikan kerja dan diwajibkan bersara. Keputusan ini muktamad.

Majlis Tatatertib yang mendengar kes Dr. Izzat itu menekankan tentang implikasi fatwa yang menghina Islam, setelah media menyiarkan begitu banyak unsur jenaka dan lucah akibat fatwa tersebut di kalangan angkatan muda, terutama anak-anak muda lelaki yang sering menjadikan fatwa itu bahan senda gurau mereka terhadap anak-anak gadis dan wanita-wanita muda yang diganggu di jalan-jalan kota dan kampung.

Dr. Izzat yang mendakwa dirinya “mujtahid” iaitu yang melakukan ijtihad sendiri berdasarkan sumber-sumber syariah, pada April lalu, mengeluarkan fatwa mengharuskan seorang wanita menyusukan seorang lelaki dewasa, iaitu wanita yang terpaksa bersendirian dengan lelaki dewasa di bilik pejabat umpamanya, supaya dengan itu kedudukan mereka berdua-duaan di dalam bilik atau tempat tertentu tidaklah termasuk di dalam istilah khalwat haram, kerana mereka berdua adalah muhrim mengikut hukum ibu susu dengan anak susunya.

Fatwa ini menimbulkan perdebatan hangat di dalam media dan masyarakat tempatan dan antarabangsa, termasuk internet, sehingga kes ini juga dibawa ke Parlimen Mesir. Ahli-ahli Parlimen menimbulkan kekecohan ketika menyoal Yang Dipertua Dewan secara bertalu-talu dan menimbulkan ketegangan, diselang-seli gelak ketawa ketika terdapat ahli Parlimen yang membuat jenaka tentang fatwa itu. Selama ini apa yang diketahui anak susu hanya terdiri daripada bayi yang disusukan oleh wanita asing selama beberapa kali kenyang, tetapi kini nampaknya orang dewasa lelaki pun boleh mendapatkan wanita untuk dihisap susunya supaya dapat menjadi anak susu wanita itu.

Saya bayangkan, Parlimen Malaysia pun akan riuh-rendah sekiranya kes seperti ini dibincangkan, kerana ahli-ahli Yang Berhormat kita seperti Datuk Badruddin Amiruldin, Datuk Bung Moktar Radin dan lain-lain tentulah tidak melepaskan peluang untuk berbincang panjang lebar tentang hal yang sensasi ini. Tetapi yang lebih teruk untuk bersilat tentulah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam urusan agama, juga Yang Dipertua Dewan Rakyat. Syukurlah di Malaysia sehingga ke masa ini belum pernah mendengar fatwa seperti ini dikeluarkan di bumi kita.

Akibat perdebatan dan bantahan besar-besaran yang timbul, maka Majlis Tertinggi Universiti Al-Azhar mengeluarkan kenyataan menganggap fatwa tersebut bertentangan dengan prinsip agama Islam dan bercanggah dengan prinsip moral dan akhlak, sekali gus mencemarkan nama baik Al-Azhar sebagai institusi Islam yang berprestasi.

Menurut keputusan Majlis Tatatertib yang memecat Dr. Izzat itu juga bahawa beliau dengan sendirinya mengeluarkan fatwa secara yang amat tidak bertanggungjawab dan telah bertindak demikian di luar kapasitinya, kerana dia tidak bertanggungjawab untuk mengeluarkan fatwa, sebaliknya Mesir mempunyai Majlis Fatwanya di samping Al-Azhar yang bertanggungjawab tentang fatwa.

Fenomena fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama sering menimbulkan kekecohan seperti yang berlaku di Mesir. Hal yang sama mungkin kita temui sekiranya kajian dilakukan di seluruh dunia Islam. Ini meliputi kemunculan fatwa daripada kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab tentang fatwa, dan keghairahan orang Islam mengambil fatwa yang dikeluarkan oleh orang lain yang dianggap ulama dan mufti, tanpa membezakan di antara pandangan peribadi pengeluar fatwa itu, atau latar belakang lain yang seharusnya diteliti sebelum tergopah- gapah menyebarkan fatwa tersebut.

Saya dapat bayangkan juga bagaimana kecohnya masyarakat kita di Malaysia, sekiranya setiap mufti di Malaysia mengeluarkan fatwa masing-masing yang bercanggahan sama sendiri. Malaysia, sungguhpun negara kecil dengan penduduk Islamnya yang kecil jika dibandingkan dengan negara Islam lain seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan sebagainya, tetapi kita mempunyai mufti yang banyak, iaitu 14 orang. Kita boleh gambarkan betapa kecohnya masyarakat Islam kita sekiranya para mufti membelakangkan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa sendiri. Andaikata Mufti Kedah mengeluarkan fatwa haram merokok umpamanya, dan orang Kedah yang menghisap rokok akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan didenda atau dipenjara, maka mungkin orang Kedah di sempadan akan melepaskan dirinya dari kuat kuasa fatwa dengan menyeberang ke Perlis atau Perak bagi menghisap rokok kerana negeri itu tidak mempunyai fatwa yang sama. Selepas menghilangkan ketagih, balik ke Kedah tanpa melakukan kesalahan.

Pendeknya isu fatwa di negara-negara Islam telah menjadi seperti satu fenomena yang ditangani dengan mudah oleh sesiapa sahaja yang merasakan dirinya lebih pandai daripada orang lain dalam ajaran agama. Masalah kesalah fahaman fatwa inilah yang menimbulkan banyak kekeliruan umat Islam sendiri dalam mengamalkan ajaran agamanya. Fatwa “jihad” umpamanya lahir dalam banyak bentuk dan tafsiran seperti yang telah sedia difahami di dalam masyarakat Islam, demikian juga dengan isu kehidupan lain yang seharusnya ditangani dengan penuh hikmah dan bijaksana, tetapi telah diambil mudah sahaja oleh umat Islam.

Akhirnya timbullah segala macam fatwa, termasuk fatwa yang ganjil seperti fatwa wanita menyusukan lelaki dewasa yang dikeluarkan di Mesir itu. Fatwa ini merupakan satu contoh sahaja yang dapat kita baca kerana dihebohkan di dalam media, sedangkan fatwa-fatwa yang lain tentu banyak tersebar di dalam masyarakat Islam tempatan di negara Islam yang tidak dapat kita lihat dan baca kerana tidak mempunyai unsur sensasi sehebat ini. Tidak syak lagi bahawa fatwa- fatwa itu tentulah amat berpengaruh di dalam masyarakatnya sendiri, dan dapat membentuk budaya berfikir dan bertindak masyarakat berkenaan yang mungkin dalam keadaan yang tertentu tidak sejajar dengan ajaran Islam sendiri.

Tetapi sekali lagi dalam keadaan ini, kita tidak mempunyai formula untuk mencari penyelesaiannya kerana dunia Islam telah diciptakan Tuhan untuk berpakat supaya tidak bersatu dan bersetuju di antara satu dengan lain. Dalam satu negara pun berlaku kepelbagaian fatwa yang mengelirukan, inikan pula bagi semua negara Islam di seluruh dunia, yang mempunyai umatnya lebih satu bilion, tentulah jauh semanggang daripada api untuk semua umat mendapatkan fatwa yang sama dalam isu-isu dasar dan prinsip agama itu sendiri.

No comments: