Thursday, October 04, 2007

Mahu Baca Tentang Kehidupan?

Kehidupan itu kadang-kadang sesuatu yang misteri. Ya, kerana sesungguhnya kehidupan itu adalah termasuk di dalam rahsia Tuhan, rahsia yang tidak diketahui oleh mana-mana manusia mahupun sekalian makhluk-makhlukNya. Tuhan telahpun merahsiakan perkara itu pada dinding Luuh-Nya. Sebab itu, kehidupan ini adalah perjalanan sukar untuk diramal.

Dalam kehidupan ini, manusia akan lalui bukit bukaunya. Lurah, tebing yang curam, dataran yang luas, jalan yang berbukit, pastinya liku-liku ini akan manusia h
adapi. Maka, perjuangan itu bermula sejak manusia dilahirkan. Di dalam gerak tangis kita membuka alis mata. Di dalam bedungan ibu, kita menggerakkan badan melepaskan ikatan bedung. Lepas dari asuhan ibu, kita merangkak, kita beransur tegak dan kita jatuh, lalu bangkit berusaha semula untuk tegak kembali lalu jatuh. Akhirnya, kita mampu terus tegak berdiri untuk berjuang di medan permainan.

Kita sudah belajar seawal di
kantung buai lagi apabila mendengar ibu berzikir tentang Tuhannya ketika menghenjut buaian. Ibu menyebut setiap hari, dan kita mendengarnya lagi. Itulah permulaan ilmu. Setelah lama belajar dan mengaji, ilmu manusia itu akan sentiasa bertambah hari demi hari, waktu demi waktu. Maka itu, kita mengenali tiap perkara 'itu dan ini', merasanya, mencerap pada fikiran, dan mena'kul semaju manusia lain. Pada saat inilah manusia kenal tentang Tuhannya. Betullah sabda Nabi s.a.w, ”Permulaan agama adalah mengenali Allah”. Ia perlahan-lahan menghalusi jiwa.

Manusia akan mula belajar mengaji dan membaca al-Quran, kitab yang melengkapkan hidup, membacanya
dengan tartil, dan mencerap. Inilah lapangan ilmu yang lebih luas lagi. Barulah ketika itu manusia sedar bahawa hidupnya ini bukanlah sesuatu misteri seperti yang disangkanya. Setelah didengarnya apa itu syurga, sesudah dikenalinya panas api neraka, dan setelah ditekuni tentang hakikat takdir, barulah diketahui kini bahawa kehidupan itu penuh dengan keindahan yang cukup bermakna. Oh ya, barulah ketika itu juga diketahuinya tentang tujuan hidup, dan barulah waktunya kini dia ketahui erti falsafah hidup.

Sebab itu, liku-liku hidup adalah medan perujian yang sebenar dan maha dahsyat. Penilaian
peperiksaan di sekolah dan universiti itu adalah 0.025% sahaja dari ujian hidup, sedangkan di luar sekolah dan kampus itu masih terdapat baki peratusan ujian yang menanti kita dalam kehidupan. Bukan bererti kita gagal dalam pembelajaran, makanya kita telah gagal dalam kehidupan. Bahkan ramai manusia yang tidak pernah bersekolah, telah berjaya dalam hidup. Dan tidak kurang juga ramai yang telah berjaya di dalam persekolahan, tetapi hakikatnya manusia paling gagal dalam hidup.

Begitu juga dengan nasib dan takdir dalam hidup manusia. Sungguh, Tuhan itu maha adil sek
ali. Apabila terjadinya sesuatu perkara dengan qadarnya, maka bukanlah itu suatu penghinaan untuk manusia, bukanlah pula ia suatu kebencian dari Yang Maha Pencipta, bahkan Tuhan waktu itu mahu mendidik kita tentang erti kehidupan. Pasti ada rahsianya dan hikmah yang diberinya pada kemudian hari. Maka usahlah khuatir dan bersangka baiklah pada Tuhanmu.

Seperti katanya orang-orang hikmah. Manusia itu selalu menyalahkan Tuhan dengan takdir. Selalu berburuk sangka dengan Allah s.w.t dengan perkiraan bahawa Tuhannya itu tidak adil dalam menjalankan kehidupannya. Manusia kerap dilontar dengan fitnah, dimehnah dengan ujian, diperasangka buruk-buruk oleh orang ramai, sedangkan takdir sebegitu tidak dimahukan oleh dirinya. Dengan itu, Tuhan pula yang selalu dipersalahkan pada nalurinya.

Orang-orang hikmah selalu berpesan supaya memegang suatu analogi dalam perkara ini, dengan mengajar ’rumus pelangi’. Kerana dalam mencari kehidupan, manusia kerap kali menginginkan cahaya matahari, agar hidupnya sentiasa cerah, aman dan bahagia. Dan pada suatu ketika, Tuhannya menghilangkan cahaya matahari, dengan didatangkannya hujan, angin ribut dan guruh yang gelap. Maka hidup manusia itu tiba-tiba gelap seketika
kerana cahaya matahari terselindung di balik awanan guruh yang gelap dan kehujanan.

Manusia cukup mengesali perihal itu. Lantas selalu bersangka buruk pada Tuhannya. Katan
ya, ”Ya Tuhan, mengapa engkau meragut kenikmatan kami dengan menutup sinar mataharimu, yang selama ini membahagiakan kami. Kau lihat sekarang, kami berada dalam kegelapan awanan, guruh dan hujan. Mengapa Engkau selalu meragut kebahagiaan kami ketika kami sedang menikmati kehidupan kami”. Kata hati kecil mereka yang selalu berperasangka buruk.

Sesungguhnya, awanan gelap yang membawa hujan itu hanya sebab dari Tuhan untuk menghadiahkan manusia dengan sebuah pelangi yang cantik dan indah. Tuhan mahu menambah nikmat kehidupan manusia dengan kecantikan pelangi. Kegelapan dan kehujanan itu hanya menjadi sebab yang sebentar untuk Tuhan menghadiahkan nikmat pelangi kepada manusia, kerana bagaimana mahu terjadinya pelangi tanpa turunnya air hujan dan membiaskan cahaya? Dan bagaimana pula harus turunnya hujan tanpa dibawa oleh titisan-titisan air dalam awanan yang gelap?

Semua itu kerja Tuhan dan urusan alam yang manusia kadang-kala tidak mampu memahaminya. Manusia itu hanya tahu menyalahkan, mengadu hiba dan mengeluh, sedangkan hikmah yang sedia menanti mereka di garis akhir tidak mampu untuk mereka baca. Itulah hikmah dan kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa.

No comments: