Thursday, October 25, 2007

Low Ah San

“Dik, lu tanyea sama olang aa, kenal itu Asang ka, lamai olang kinal woo...”

”Oh, ya ke apek? Baguslah,” melayankan.


”Lu ada jumpa itu Latuk Latip ka? Dia ada datang sini ka?”


”Datuk Latip yang mana ni apek?.” Aku fikir ramai orang bernama Latif yang dap
at gelaran ’datuk’. Cuma yang aku kenal Setiausaha Kerajaan Johor saja, Datuk Latif yang itu.

”Dia many
ak baik sama gua, itu olang ha dik, lu cakap aja nama Asang, itu Latuk Latip manyak kinal woo. Dia misti tau itu Asang bawak bas pigi bawak itu olang lombongan.”

”Ah, sudahlah apek. Jom la naik bas, nanti bas jalan pulak”


Di dalam bas, saya bayarkan tambang untuk dua orang. Alahai, cuma RM 1.80 untuk seorang apek tua yang turun di Jamaluang bukanlah sesuatu yang berat sangat. Saya dan Apek duduk bersebelahan. Dia asyik bercerita kisah nostalgia silamnya. Saya fikir ini tentu filem hitam putih yang menarik. Dia bercereka tentang sahabatnya Cikgu Din, Latipah dan ’amoi’ Kampung Air Merah. Saya tekun mendengar. Memang sudah jadi kegemaran saya melayan cakap dengan orang tua.


Lelaki Cina tua ini saya fikir umurnya mungkin dalam lingkungan 70-an. Jalan terkedek-kedek,
membawa helmet buruknya, tentu dia seorang tua yang penuh dengan pengalaman hidup. Walaupun sudah kerepot kulit dan putih rambut, tetapi telinga masih jelas mendengar dan ingatannya masih kuat. Semua orang yang naik dan turun bas disapanya dengan mesra.

Pemandu bas dan sebahagian penumpang memang sudah biasa
dengannya. Tapi selama saya naiki bas buruk ini, tidak pernah pula saya terserempak apek tua yang baik ini.

”Apek, tu apa kat lu punya kocek”. Dia mengeluarkan sehelai
kertas yang dilipat kemas dan sebuah buku bank dari kocek bajunya.

”Low Ah San”. Saya baca nama itu setelah membuka surat yang diberikan. Terkejut juga pada mulanya, kerana surat itu mempunyai letterhead dari Kementerian Sumber Manusia. Rupanya surat itu adalah surat sokongan dari Timbalan Menteri Sumber Manusia untuk menyokong segala sumbangan yang diberikan untuk lelaki tua ini.

Surat itu diakhiri dengan
tandatangan Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu, Datuk Latif. Entah betul entah tidak, palsu atau asli surat itu saya tidak tahu, tetapi yang pasti ’Latuk Latip’ yang dicarinya itu pasti Datuk Latif, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang menandatangani surat ini.

Saya buka buku banknya. RM 4.96.


”Ada lima linggit kan?”. Apek tua itu tersengih.


”Ya, ya...”. Saya mengangguk.


"Lu mana pigi laya”


”Saya balik Muar, kampung.”


”Woo.. guwa penah dulu haa bawak itu olang lombongan pigi muar. Itu sikolah bawak pegi tampar bola...”


”Bola tampar, Apek...”

”Ya, ya... bola tampar. Ini mersing dulu manyak bagut (bagus) main itu tampar”.


Pemandu bas sudah biasa. Dia berhentikan orang tua itu sebelum simpang Jamaluang-Kluang.

”Itu drebar sula tau gua punya lorong. Cakap saja lorong Asang. Semua olang tahu...”


Yalah apek. Semua orang sudah tahu, tapi hari ini saya yang baru tahu. Apek itu melambai pada semua penumpang. Dia bukan orang gila. Dia sangat baik dan akan memarahi drebar bas jika bas dijalankan sebelum penumpang yang baru naik dapat duduk. Katanya nanti orang akan terjatuh dan tidak dapat berpaut.

Dalam perjalanan saya asyik memikirkan bagaimana saya dan orang-orang yang lain akan melalui usia emas sepertinya suatu masa nanti. Kulit yang kerepot, asyik bercerita nostalgia lama pada generasi baru dan yang paling terkesan, berapakah pula jumlah wang simpanan saya dalam buku bank saya? Adakah RM 4.96 sen juga?


Bas buruk pastinya memang lambat, tetapi kadang kala memberi pendidikan yang tidak ternilai berbanding hanya duduk membisu di dalam bas ekspres yang cepat sampai ke destinasinya.

No comments: