Tuesday, September 25, 2007

Pondok dan 'Exodus' Nilai

(Ini adalah entri bersambung)

Istilah ‘memondok’ bukanlah membawa maksud berkelakuan seperti tikus mondok, ataupun ia memberi erti sebuah gagasan idea berkaitan dengan haiwan yang menjengkelkan itu. Malah istilah ini barangkali lebih lama hidupnya dari anda yang sedang membaca blog ini.

Pengajian pondok
di Malaysia merupakan sebahagian dari perkembangan pendidikan Islam itu sendiri. Sungguhpun sejarah pengajian pondok ini mungkin bermula lebih awal, iaitu seawal penapakan Islam di Semenanjung Tanah Melayu, namun secara tepatnya ia dikatakan mula diasaskan seawal kurun ke-17 lagi dan mula mencapai era kegemilangan pada kurun ke-19 hingga ke pertengahan abad ke-20.

Institusi pondok sebenarnya bukanlah sekadar pusat penyebaran ilmu-ilmu tradisional Islam, bahkan sesebuah persekolahan pondok yang ideal dikatakan menjadi sebuah pusat kehidupan; dalam erti kata sebenar, ia menarik perhatian, mendapat pengamatan luar, melahirkan
pengaruh dan nilai, dan menurut Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dalam sebuah tulisan bertajuk ’Pondok Education As Indigenous Education’ pondok telah menggarap tugas dalam pemindahan dan penyebaran welstanschuung tauhid menerusi proses tarbiyah ta’lim dan ta’dibnya.

Mungkin ramai yang mengatakan bahawa sistem pendidikan
Islam telah mampu diambil alih oleh institusi-institusi konvensional, namun hakikatnya para konvensionalis itu terbukti tidak mampu untuk mentarbiyah spiritual dan nilai etika dalam masyarakat Malaysia kini seperti yang dilakukan institusi pondok dengan jayanya suatu ketika dahulu. Buktinya cukup jelas sekali. Kanak-kanak tadika pun tahu bahawa institusi pondok suatu ketika dahulu telah berjaya menyebarkan wacana Islam dan berusaha menentang golongan penjajah di tanah air berbanding graduan konvensionalis kini yang lebih merosakkan Islam dari orang yang bukan Islam.

Lazimnya, kemunculan sekolah pondok telah membawa sama berkembangnya sesebuah perkampungan yang baru, atau memperkukuhkan lagi kawasan perkampungan di sekitarnya. Ini kerana, tumpuan masyarakat akan beralih kepada fokus pengajian agama di kawasan terbabit selain daripada sokongan yang kuat penggerak pondok yang terdiri daripada golongan ’elit kampung’ yang terdiri daripada penghulu, penggawa, hartawan dan
ibu bapa untuk memeriahkan lagi institusi ini.

Hal ini dapat diperhatikan sewaktu Syeikh Abdul Malek Abdullah ketika mengasaskan pengajian pondok di Pulau Manis, Ulu Terengganu sehinggakan tempat pengajian itu telah muncul s
ebagai daerah yang mendapat perhatian dan tumpuan orang ramai dari pelbagai ceruk rantau. Begitu juga dengan terdirinya pondok di Tebauk oleh Haji Abdul Hamid dan pondok di Kampung Nyior Kembar yang didirikan Haji Mat Syafie tidak jauh dari Kuala Terengganu, sehingga kampung itu dikenali ramai dengan nama Losong Haji Mat Syafie.

Ternyata sekali dari dahulu hingga sekarang (termasuk di negeri-negeri lain), pembinaan sekolah pondok bererti permulaan dan berkembangnya sesebuah perkampungan yang ada. Sehinggakan pada akhirnya sukar untuk ditent
ukan titik atau garis pemisah antara pondok dengan kampung, iaitu suatu keadaan yang menyerupai perkembangan ’pekan universiti’ seperti Oxford dan Cambridge!

Walau bagaimanapun, hakikat itu telah semakin berkurangan pada masa kini. Keterampilan dan nilai kekuatan sekolah pondok dalam proses pengakaran nilai Islam telah diambil alih oleh sistem persekolahan moden. Beberapa buah pondok tradisional ya
ng masih tegak dan berfungsi tidak lagi berperanan sebagai sebahagian daripada proses pendidikan formal dalam negara. Sebaliknya, ia seakan dipaksa untuk bertindak berasingan di pinggiran kota atau di desa-desa.

Mudah ceritanya, keadaan institusi pondok dewasa ini telah bertukar wajah. Pondok-pondok di Malaysia mengalami nasib
serupa seperti yang dialami oleh pesantren di Indonesia. Di Indonesia, kejayaan Kompeni Hindia Belanda (VOC) yang telah mendominasi pusat-pusat kehidupan dan perniagaan di kawasan pesisiran sekaligus telah menyebabkan institusi pesantren tertekan dan kemudian terpaksa dipindahkan ke daerah-daerah pedalaman, dan ulama pula terpaksa memunculkan diri sebagai counter-elite.

Sesungguhnya, transformasi keadaan yang membawa angin perubahan pada kedudukan pondok juga telah melambangkan ’exodus’ yang berlaku dalam masyarakat Melayu berikutan anjing bernama pembaratan dan sekularisasi ini. Pengaruh penjajahan bersama-sama dengan nilai moden acuan barat telah meresap dan menular masuk ke dalam masyarakat Malaysia lantas melahirkan corak kehidupan dan pusat kegiatan baru yang berasaskan nilai Barat dan sekular sekali gus menyebabkan fungsi dan peranan institusi pondok semakin tersepit dan dikikis.


(bersambung)

No comments: