Sunday, September 02, 2007

Bijaksana Yang Dungu (2)

Entri ini adalah sambungan entri yang lepas bertajuk ’Bijaksana Yang Dungu’. Maaf sekiranya siri-siri ini membawa wacana yang agak berat. Sebenarnya, sudah lama saya menyiapkan siri ini, hanya mana ianya disimpan lama bersama-sama ikan pekasam, kerana masa begitu mencemburui.

Falsafah ilmu seringkali membincangkan ten
tang tradisi berfikir dalam sejarah peradaban manusia. Menurut Rudyard Kipling, timur tetap timur dan barat tetap barat, dan kedua-duanya sama sekali tidak akan dapat bertemu. (East is East and West is West and never the twain shall meet). Tradisi keilmuan dan berfikir seringkali dipisahkan dan dibahagi-bahagikan antara wilayah gagasan timur dan barat.

S.Radhakrishnan dalam bukunya yang berjudul Eastern Religions and Western Thought (1940), juga semacam membelahkan-bahagikan dunia timur sebagai pewaris agama dan dunia barat sebagai pewaris pemikiran dan falsafah. Sebenarnya prinsip dikotomi Timur lawan Barat seperti ini tidak berlaku. Bahkan apa yang berlaku ialah sebaliknya, di mana bukan sahaja agama malah juga ilmu dan falsafah yang berkembang di dunia barat itupun berasal dari dunia timur.

Apa yang berlak
u pada hakikatnya selepas itu adalah proses songsangan yang sengaja dibiarkan, mungkin disebabkan oleh faktor-faktor dalaman yang tidak diperasani. Ilmu pengetahun yang berasal dari timur itu mengalami perkembangan pesat di barat dengan meninggalkan agama (hasil suntikan ganja pelali seperti materialisme dan sekularisme). Sedangkan agama pula terus berkembang di timur dengan pesat sambil tradisi ilmu terus dilalaikan (mungkin hasil tradisi kejumudan, pembid’ahan, dan semangat ke'wahabi'an yang sering diangkat-angkat).

Mengenai tradisi berfikir di barat, terdapat dua prinsip yang terkenal dan
sering digunapakai, iaitu prinsip logik (disebut juga oleh Edward de Bono sebagai pemikiran vertikal) dan prinsip lateral yang disebut juga sebagai pemikiran paralel.

Secara mudahnya, logik adalah sebuah ilmu ataupun undang-undang (qanun) yang menyelidiki sama ada benar ataupun tidak terhadap sesuatu perkara yang difikirkan. Perkataan logik adalah
berasal daripada perkataan Yunani, ”logos” yang bererti kata, pernyataan, pemikiran dan akal fikiran. Di dalam bahasa Arab, perkataan ”Mantiq” (nutq) yang membawa makna ”ucapan” merupakan asas perkataan yang dipilih sebagai terjemahan literal dan tiruan bagi makna teknikal ”logos”.

Menurut Franz Rosenthal, umat Islam telah menggunakan perkataan ”ilm al-mantiq” yang membawa makna ”sains ucapan” sebagai istilah yang diguna pakai terhadap ilmu logik. Sekali-sekala, para sarjana perlu mengingatkan diri mereka, begitu juga para pembaca bahawa ”mantiq” sebenarnya mempunyai dua makna yang luas bezanya dan adalah penting untuk mengetahui yang manakah antara dua makna ini yang dimaksudkan dalam sesuatu perbincangan.

Maka itu, Ibn Hazm menyatakan bahawa ”nutq” yang disebutkan dalam displin ini bukanlah pertuturan (kalam). Ia adalah pengamatan di kalangan benda-benda dan pemikiran tentang sains dan seni, perusahaan perniagaan dan pengurusan hal-hal. Ia adalah sebagai alat atau organ bagi setiap disiplin keilmu
an yang membolehkan seseorang yang berfikir mendapatkan makna yang sebenar. Ia sudah tentu bertujuan untuk membezakan antara yang betul dan yang salah, antara kebenaran dan kepalsuan.

Sebenarnya, sejak era Socrates lagi (470-399 SM) peranan logik sebagai alat memproses dan menganalisis mula digunakan bagi tujuan menghadapi golongan Sophist (jika tidak keberatan, saya akan memperkatakan perihal golongan Sophist ini pada entri yang lain).
Seterusnya Plato memperluaskan peranan logik sebagai proses analisis dan kaedah mencapai kebenaran. Kemudian pula, Aristotle mengasingkan dan menyusun status logik yang masih bercampur-aduk dengan berbagai ilmu supaya menjadi sebuah kaedah yang kemas dan sempurna.

Selepas berlalunya zaman Aristotle, ilmu logik mengalami proses penyempurnaan dari semasa ke semasa, sehingga membentuk aliran logik atau mantik klasik (mantiq qodim), yang dikenali sebagai Logik Formal. Ciri penting aliran klasik ini ialah menggunakan kaedah rasional-deduktif atau lebih dikenali sebagai ”silogisme” ataupun ”qiyas”. Jika tidak silap, kaedah ini diguna pakai dalam sukatan matapelajaran KBSM matematik di sekolah menengah di Malaysia untuk peperikasaan SPM dibawah tajuk ”Set” dan ”Penaakulan Matematik”.


(bersambung)

No comments: