Wednesday, February 03, 2010

Cairo Book Fair 2010

Sudah dua hari berturut-turut saya mengunjungi Cairo Bookfair 2010. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kedudukan kedai-kedai dan susunan buku masih lagi pada keadaan yang sama dan tak banyak yang berubah.

Dua tiga hari ini keadaan kelihatan stabil, aman dan tidak ada yang beratur panjng memasukinya.

Pada tahun lepas mungkin berjuraian juga peluh saya kerana mengangkat kotak-kotak buku. Alhamdulillah segala set buku berjilid yang saya idamkan sudah pun dibeli pada bookfair yang lepas. Pada tahun ini saya hanya berlenggang kangkung memburu buku-buku kecil yang bermanfaat. (Adakah kangkung berlenggang seperti saya?.. musykil).

Seperti biasa tiap-tiap tahun ada saja yang bertanya buku apa yang bagus untuk dibeli. Soalan ini memang soalan popular terutama untuk mahasiswa yang baru dan masih berkebat-kebat lagi duit dolar dalam poket mereka (hehe).

Saya menolak untuk bercakap dalam forum pengenalan Maarad Kutub yang akan pada hari Khamis ini (4 Februaru 2010) di dewan Rumah Johor, atas beberapa keuzuran. Namun saya tidak lokek untuk memberi beberapa tips yang bagus terutama untuk mereka yang masih baru.

Buat permulaan, antara kitab yang saya cadangkan untuk mereka yang fresh ini ialah kitab al-Feqh al-Islamiy Wa Adillatuhu. Ia sebuah kitab karangan Dr Wahbah Az-Zuhailiy, seorang ulama dari Syria yang diakui keahliannya dalam ilmu feqah.

Kitab ini agak mahal namun berbaloi. Harga di Mesir sekitar LE 510. Peluh dan keringat yang menitis ketika mengangkatnya pulang pasti memberi anda kepuasan kelak apabila telah memilikinya.

Ada beberapa kelebihan kitab ini berbanding kitab lain. Antara yang utama ialah kitab ini mengeluarkan hukum dan pendapat yang muktamad dari empat mazhab yang muktabar dalam Islam, iaitu Syafi'e, Maliki, Hambali dan Hanafi. Justeru anda tidak lagi perlu susah-susah untuk merujuk kitab-kitab lain dalam mazhab-mazhab tertentu untuk mengeluarkan hukum dengan pantas.


Masalah yang sering dihadapi kerap kali wujud di dalam kitab-kitab intra-mazhab, apabila terdapat pendapat-pendapat yang saling rajih merajihi antara satu sama lain. Misalnya, terdapat ramai ulama dalam mazhab as-Syafi'e yang berijtihad dalam sesuatu masalah.

Dalam beberapa masalah, pendapat orang-orang lama (qadim) dalam mazhab Syafi'e lebih rajih berbanding yg baru (jadid), begitu juga terdapat sebaliknya. Maka kelebihan kitab ini ialah ia hanya mengeluarkan qaul yang muktamad dalam sesuatu masalah.

Selain itu, kitab ini juga mengandungi pelbagai isu dan masalah kontemporari dalam dunia feqh. Susunan dalam kitab ini juga tidak kurang menarik, disertakan dengan fihris (index), laras bahasa yang mudah difahami, serta sesuai untuk rujukan dalam pelbagai peringkat.

Kitab kedua yang harus dimiliki pada pandangan saya ialah kitab 'Tafsir al-Wasit' karangan Syaikh al-Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi, mengandungi 15 jilid, harga sekitar Le 160 (cetakan Darul Sa'adah yang saya miliki).

Seperti mana kitab Feqh Islami karangan Dr Wahbah, kitab tafsir ini mengeluarkan qaul dan pendapat yang terpilih dari kitab-kitab tafsir yang ada. Laras bahasanya yang mudah membolehkan tafsiran difahami dengan mudah dan pantas.

Ulasan dan tafsiran bagi sesuatu ayat al-Quran disertakan juga dengan pendapat imam-imam tafsir yang pelbagai, merangkumi sudut bahasa, falsafah, balaghah, hukum dan pengajaran yang diperoleh dari ayat tersebut.

Dua buah buku ini cukup hebat dan sangat bermanfaat untuk mereka yang baru dalam dunia ilmu Islam. Bukan kitab-kitab lain tidak bermanfaat, tetapi dua buku berjilid ini sangat baik bagi seorang pemula yang tidak tahu buku apa yang terbaik untuk mereka beli di bookfair.

Apa yang saya khuatiri ialah kita selalu membeli sesuatu kitab kerana orang lain juga turut membelinya. Dapat mengumpulkan kitab yang berjilid-jilid memang sesuatu kepuasan, tetapi sangat menyedihkan apabila ia tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Saya khuatir kalau-kalau anda membeli kitab seperti 'Siyar' az-Zahabi lantas ia tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana kitab ini pada pengamatan saya adalah pilihan terbaik untuk mereka yang berada dalam bidang hadis ataupun untuk mereka yang sudah memasuki ijazah lanjutan bermethodkan kajian.

Membeli kitab yang terbaik dan memberi manfaat untuk diri sendiri adalah yang paling dialu-alukan.

Selain membeli kitab-kitab yang mahu anda talaqqikan, saya juga cadangkan supaya kita tidak mengenepikan kitab-kitab pemikiran bersifat kontemporari. Darul Syurooq adalah sebuah maktabah yang baik untuk anda singgah. jaraknya tak jauh dari pintu masuk utama.

Nama-nama penulis seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Muhammad Al-Ghazali dan Dr Muhammad Imarah adalah begitu sinonim dengan Darul Syurooq. Banyak buku-buku terkini yang diterbitkan malahan tidak kalah juga dengan manfaat yang kita peroleh ketika membacanya.

Jangan lupa untuk singgah di kedai-kedai buku bundle (belakang dewan 4B) sekiranya anda mahu mencari bahan bacaan alternatif di dalam bahasa Inggeris dan Perancis dengan harga yang sangat murah. Buku-buku rujukan dalam bidang perubatan, politik, kejuruteraan dan seni juga sangat mudah didapati dan murah jika dibandingkan dengan buku asal yang baru.

Selamat membeli belah di Cairo Bookfair 2010. I'm the fan of Darul Syurooq and the bundle bookstore.... =)

1 comment:

Habib Jauhari said...

Akhirnya.. ada juga entri setelah lama honeymoon ye.. penerangan kitab esok datang ye.. anda diperlukan..