Tuesday, January 16, 2007

Coretan Pulang Dari Pikse

Hampir setiap hari saya mendengar laungan tajdid ke udara. Tajdid... tajdid... proses pemurnian... proses penulenan...

Ah... saya hampir lumpuh. Malu menyebut saya seorang Islam pada orang bukan Islam. Sebab apa? Sebab mereka (sebahagian orang Islam sendiri) kata Islam saya bukan Islam yang sebenar. Sebab selama ini Islam yang saya guna pakai telah salah, telah silap, ternoda oleh dosa, dan yang lebih teruk aqidah dan kepercayaan saya telah terpesong oleh takrifan bid'ah yang mereka jajakan.

Ini menguatkan kesungguhan saya untuk mendaftar pengkhususan di syu'bah aqidah kelak jika Allah mentakdirkan saya lulus tahun ini. Saya ingin belajar semula aqidah. Adakah aqidah saya selama ini telah silap? Adakah saya berpegang pada konsep trinitarian dan tri-hypostasis selama ini, seperti sesetengah umat Islam yg digelar shibih trinitarian dengan mengatakan unsur ketauhidan ada tiga?

Adakah aqidah saya selama ini telah terpesong? Adakah selama ini saya berpegang yakin pada tuhan Vishnu dan Siva yang banyak tangan itu, seperti sesetengah umat Islam yang mujassim (menyamakan tangan Allah dengan tangan manusia) terhadap ayat-ayat mutasyabih??? ah... seperti mahu lumpuh kembali.

Tajdid dan tajdid. Apa yang mahu ditajdid? Adakah aqidah dan kepercayaan umat Islam Malaysia sudah terpesong lantas menjaja aqidah salaf sebagai barang dagangan?

Aqidah salaf atau khalaf bukanlah ukuran. Belum pun saya mendengar dari lidah ulama muktabar yang aqidah khalaf silap dan terpesong. Salafkah kita atau khalafkah kita bukanlah maqasid diutuskan Nabi S.A.W kepada manusia. Salafkah kita atau khalafkah kita masih tetap keduanya mempercayai tuhan yang satu (monotheism), dan masih lagi mengakui Muhammad itu Rasulullah yang terakhir diutuskan. Salafkah kita atau khalafkah kita bukan jaminan tempat kita di syurga.

Tauhid adalah tauhid dan aqidah adalah aqidah. Aqidah dan tauhid adalah sesuatu yang tunggal. Tiada tri-tunggal atau dwi-tunggal. Tiada yang salaf dan tiada yang khalaf. Janganlah kerana pergelinciran kecil pada bab ta'wil sudah menjurangkan umat Islam kepada dua golongan ini. Setakat yang saya mengaji, tiada bukti lagi dalam al-Quran dan al-Hadith yang Asya'ariyyin sesat dan tidak boleh dibuat menantu pengikutnya !!!

Apa yang perlu dilakukan? Tajdid ataupun Tafhim...???

Kita imbas kembali cerminan sejarah. Khalaf itu adalah salaf, dan salaf itu adalah khalaf.

No comments: