Tuesday, January 02, 2007

Tazkirah Tahun Baru (2007)

Bismillah

Selamat tahun baru (masehi) 2007 bagi diri saya dan juga rakan-rakan. Meninggalkan seribu satu sejarah dibelakang, menelusi sejarah dan mengukirnya. Itulah sebenar hakikat yang seluruh manusia hadapi ketika ini di tahun baru.

Bagi setiap manusia, lazimnya di awal tahun barulah bermula segala azam dan cita-cita baru. Apa tidaknya, bermacam-macam perkara yang difikirkannya. Ada yang mahu berjaya dan cemerlang dalam pelajaran, ada yang mahu skor 20A1 untuk SPM, ada yang mengimpikan tahun ini sebagai tahun 'raja sehari' dan mungkin ada yang ingin tukar kereta baru menggantikan yang lama. Tahun baru tentulah azam baru.

Apapun setiap tahun muncul impian dan azam-azam yang berbeza mengikut individu. Persoalanya, sudahkah anda menilai diri bagi tahun yang sudah berlalu ini? Tercapaikah semua azam dan cita-cita yang anda azamkan pada awal tahun 2006 lalu? Atau adakah azam di tahun 2006 masih lagi sama dengan azam 2007? Ternyata saya tidak mampu menjawabnya.

Tepuk dada tanya diri.

Saya teringat pesanan Syeikh Ahmed Deedat dalam sebuah rencana biografinya. Apabila ditanya tentang rahsia kejayaan dan keberaniannya, beliau menjawab:

"Ballighu 'anni walau aayah"
(Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat) -riwayat Bukhari-

Menurut Ahmed, hadith inilah yang telah menjadi kunci bagi dirinya dan memberi kekuatan yang luar biasa terhadap usaha dakwah yang dilakukan.

Hadith ini sebenarnya memberikan suatu impak yang positif jika dilihat dari sudut pengaplikasiannya. Teorinya mudah. Siapa yang mengajarkan ilmu pada orang lain, bukan ilmunya akan berkurang malah ilmunya akan bertambah dan penguasaan tentang apa yang diajar itu akan lebih dirasai oleh yang mengajarnya dengan rahmat Allah S.W.T.

Ilmu itu adalah hak Allah, bukan kepunyaan manusia. Kadang-kala kita diberi ilmu dan kadang-kala ilmu kita itu ditarik. Itu semua adalah dari kehendakNya jua. Kalau diberi sesuatu, maka bersyukurlah dan gunakannya pada jalan yang sebaiknya. Walhal jika pemberian itu ditarik semula, maka koreksi dan nilailah semula diri anda. Mungkin ada sesuatu kealphaan yang kita lakukan ataupun mungkin ia digunakan pada tempat yang tidak selayaknya.

Saya secara peribadi memang memegang dan mengakui pada teori hadith itu sejak dahulu lagi kerana hasil dan kesannya memang jelas dapat dirasakan. Anda bagaimana???

*/ Kullu sanah wa antum bikhair...

No comments: