Thursday, February 01, 2007

Enigma

Ketika saya di sekolah menengah dahulu, saya adalah 'sajak-maniac'. Bermacam-macam sajak saya karang dan coret. Segala yang terlintas saya akan sajakkan. Sajak untuk pokok, sajak cinta, sajak kemanusiaan, sajak kecelaruan fikiran dan macam-macam sajak lagi.

Kalau Mohd Hanis (tempat duduknya dalam kelas bersebelahan saya) terbaca entry ini pastinya dia akan terpecah perut sebab ketawa. Ketawa kerana terkenangkan kegilaan saya ini.

Saya ada bermacam-macam nama pena yang saya pun tak tahu bagaimana nama-nama ini boleh tercipta. Antaranya adalah 'tikar mengkuang', 'kalipso', 'kalikausar', 'kasa kencana', 'karma gempita' dan 'lagam jargon'. Sebab itu jika Mohd Hanis yang duduk di sebelah saya itu mendengar nama-nama ini, pasti berulat perutnya sebab ketawa. Ketawa sebab terkenang kegilaan nama ini. (Nasib baik laman web ini tidak dibikin dengan nama lagamjargon.blogspot)

Inspirasi dalam kecenderungan ini sebenarnya datang dari dua orang insan yang saya rasa menjadi candu kegilaan saya, iaitu Datuk Usman Awang dan M.Nasir. Buku-buku Datuk Usman Awang dan koleksi-koleksi album M Nasir sentiasa dalam simpanan saya. Saya tidak tahu inspirasi apa ini, cukup menakjubkan.

Selepas saya membaca karya mereka berdua, pasti keinginan saya untuk berpuisi membuak-buak. Idea-idea datang spontan. Seakan-akan api kecil yang disimbah minyak petrol. Karya-karya mereka telah berjaya menembusi pintu sempadan hati-hati manusia.

Saya menulis tentang puisi ini sebaik sahaja menjejak kaki pulang bercuti di Malaysia. Sampai di rumah baru di Mersing, saya terus mengemas bilik. Dalam episod kemas-mengemas itulah saya terjumpa kembali buku-buku koleksi sajak saya. Entah berapa ratus sajak di dalamnya, tapi yang pasti memang cukup banyak.


Memori-memori lalu datang semula. Pernah guru menegur saya kerana tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Ketika itu saya sedang asyik mencari idea untuk berpuisi. Saya suka akan puisi pokok kerana pokok mempunyai banyak makna tersirat yang sukar dihuraikan oleh keberadaan manusia. Kebetulan pokok-pokok banyak terdapat betul di kawasan luar kelas 5A yang mana berhadapan dengan saya.

Memang seronok sekali-sekali pulang ke kampung halaman. Mengorek semula memori-memori berharga dan kenangan yang tidak boleh dilupakan ketika usia-usia muda. Usia yang dipenuhi kebodohan dan kecerdikan yang melampau. Usia jiwa-jiwa yang 'sceptical' dengan dunia. Sentiasa dipenuhi dengan semangat ingin tahu dan mencuba sesuatu, syak wasangka dan curiga dengan keseronokan dunia.

Mersing

Jarang sekali saya ke daerah Mersing, apa lagi memahami jalan rayanya yang memeningkan. Daerah 'cowboy' ini tetap menyimpan rahsia unggul. Saya sempat bersiar-siar bersama 'orang lama' di sini. Pakcik Md.Zin yang telah lama tinggal di sini menunjukkan kepada saya beberapa buah pulau di persisiran pantai Mersing. Dia seronok menunjukkan saya sebuah pulau yang dinamakan Pulau Cawan. Bukan pulau itu dipenuhi penjual cawan, tetapi pulau kecil itu berbentuk cawan batu yang ditangkainya telah patah.

Pak Zin : Dulu tangkainya ada, tapi sekarang sudah patah. Kena hakis. Dalamnya ada ruang kosong berlubang. Memang betul-betul macam cawan.

Saya mengangguk, menunjukkan kagum dengan keajaiban alam dan semangat ingin tahu.

Pak Zin : Pernah tengok cerita Sri Mersing?

Filosofis : Ohh... ya... (Wat-wat tau... walhal saya sudah tak ingat ceritanya, ataupun yang seingat saya, saya tak pernah menonton cerita itu... hehehe)

Pak Zin : Kan perasankan, sewaktu Demak hendak memulakan pelayaran, dia melalui pulau cawan ini.

Filosofis : Ermmm... (mengangguk...)

Saya mengangguk pura-pura kagum. Walaupun memang kagum dengan keselarian sejarah yang berlaku antara Pulau Cawan dan cerita Sri Mersing, saya menginsafi diri kerana kedunguan dalam sejarah di tempat sendiri dan tidak ambil tahu dengan sejarah tanah air sendiri. Saya sibuk menelaah idea-idea sejarah Islam dan Eropah, sedangkan telah melalaikan diri dengan sejarah tempatan.

Cerita klasik sejarah sepatutnya dijadikan hidangan bagi anak-anak muda generasi baru untuk memahami sejarah di tempat sendiri, bukan asyik terlena disajikan dengan siri-siri realiti yang pelbagai.

Kalau anda impikan untuk berada di sebuah rumah yang mana apabila anda buka pintu dan tingkapnya anda akan diperlihatkan dengan keindahan ombak pantai dan kulit pipi anda dihembus dengan angin bayu laut, maka datanglah ke rumah saya.

*/ Untuk ahli bait, saya telah selamat sampai jam 12.30 tgh hari 29hb lalu.
*/ Susah nak contact lar, tepon x de... internet pon x de... hehehe...

No comments: