Monday, February 05, 2007

Gigi Acha (2)

Bagi apa jua jenis benda yang kita namakan sebagai makanan, termasuk buah-buahan dan kuih-muih, maka tentu sekali gigi menjadi musuh atau ketakutan bagi mereka. Tidak kiralah gigi manusia ataupun haiwan, gigi menjadi suatu fungsi utama dalam proses pemakanan manusia.

Saya cuba untuk membawa kepada pembaca memahami hakikat gigi dalam konteks manusia kerana saya yakin lebih dari 70% daripada pembaca entry ini adalah manusia. Maaf jika yang membaca blog ini adalah haiwan kerana saya tidak memfokus kepada gigi haiwan, tetapi manusia.

Kebanyakan dari manusia tahu tentang fakta bahawa gigi adalah sebahagian dari anggota badan yang paling keras dan paling kuat sekali. Tetapi tahukah kebanyakan manusia bahawa gigi adalah anggota yang hidup dan mengalami tumbesaran berperingkat-peringkat disebabkan ianya mempunyai saluran darah dan urat?

Gigi melalui proses pertumbuhan awal seawal 6 hingga 7 bulan umur manusia. Jadi, bayi seawal 6 hingga 7 bulan akan mula gatal-gatal di bahagian gusi depan dan atas mereka disebabkan gigi yang mahu tumbuh keluar. Mereka akan mengalami kehilangan gigi susu yang pertama seawal umur 7 tahun.

Mahkota

Rambut sering dikatakan sebagai mahkota bagi manusia. Jika anda tiada rambut sudah pasti terasa janggal dan canggung di hadapan manusia. Tetapi bagaimana pula dengan gigi? Adakah ia tidak layak berada disisi rambut untuk diiktiraf sebagai mahkota manusia?

Cuba anda bayangkan seseorang lelaki muda yang berkepala botak. Ia tidaklah terlalu canggung sangat kerana gaya botak dan tiada rambut sering menjadi trend pilihan remaja masa kini. Ia bukan sahaja berlaku pada lelaki, malahan di barat gadis-gadis muda termasuk artis wanita sering berfesyen dengan membotakkan kepala sebagai menunjukkan kebebasan mereka daripada pengaruh gender.

Justeru, masih layakkah lagi rambut bergelar mahkota jika dibandingkan dengan gigi?

Setakat ini trend tidak bergigi masih belum diamalkan di barat mahupun di timur, apalagi di utara dan selatan. Malahan manusia mula mempunyai rasa tanggungjawab yang lebih untuk menjaga gigi mereka. Gigi digosok berulang kali setiap hari berbanding dengan rambut yang kadang-kadang dicuci 2 hari sekali. Gigi yang kuning dan coklat diberikan rawatan pemutihan berbanding dengan rambut yang beruban kadang-kadang tidak mahu diwarnakan. Gigi yang sudah rongak lazimnya diganti dengan gigi palsu dibandingkan dengan rambut yang telah gugur tidak diganti terutamanya di bahagian hadapan kepala.

Persoalannya sudah berubahkah realiti manusia untuk memahkotakan sesuatu di kelas kedua berbanding sesuatu yang layak diberi prioriti?

Baizura vs Acha

Mungkin segelintir pembaca ada yang tidak gemar penulisan di bawah tajuk ini. Tetapi sebagai penulis, saya ingin berkongsi beberapa individu yang saya rasakan mempunyai gigi yang cantik.

Sebelum itu perlu saya definisikan istilah 'cantik' supaya nanti tidak ada orang yang berbalah dek kerana kecantikan yang berbeza.

Cantik adalah 'subjective argument' yang berbeza menurut jenis manusia yang pelbagai. Kesubjektifan ini kadang kala sering menjadi bahan perbalahan manusia. Contoh ini berlaku dimana-mana. Ada yang berkata jenis baju sekian cantik sedangkan orang lain menganggap tidak cantik, begitu pula sebaliknya.

Malahan pernahkan anda mendengar tentang seorang pemuda berkepala botak dari Johor, berketurunan jawa, tidak pandai bergaya, pemalu, dilabel sebagai jejaka paling hensem bagi kebanyakan gadis-gadis di Malaysia? Sedangkan ramai lagi gadis yang menafikan label ini pada jejaka tersebut. Ini adalah suatu contoh berbezanya istilah cantik dan hensem bagi manusia.

Begitu pun haruslah kita ketahui bahawa perbezaan kecantikan ini merupakan seni penciptaan oleh yang Maha Pencipta. Dengan perbezaan ini menjadikan manusia lebih aman dan bahagia.

Berbalik kepada isu individu yang saya rasa mempunyai gigi yang cantik. Saya gemar untuk membawakan contoh gigi 2 orang penggiat seni baru tanah air dan seberang. Bagi saya Baizura Kahar dan Acha Septriasa mempunyai jenis bentuk gigi dan rahang yang sama yang boleh saya lebelkan sebagai gigi yang cantik.

Ciri-cirinya gigi mereka adalah tersusun rapi, seimbang, dan rahang yang atas agak terkedepan sedikit berbanding rahang bawah. Kalau istilah kampungnya kita gelar 'jongang', tetapi bukanlah jongang yang keterlaluan. Bila individu yang mempunyai jenis gigi dan rahang sebegini tersenyum dan tersengih, ia benar-benar membuatkan orang yang melihatnya kaget. Saya memberi interpretasi berdasarkan gigi, bukan orangnya.

Senyum

Oleh yang demikian, gigi merupakan kurniaan Tuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan pada diri manusia. Kepelbagaian guna ini menjadikan ianya sesuatu yang penting dan berharga bagi manusia, dan penting sekali untuk ia dipelihara sebagai bukti kita menghargai dan bersyukur dengan pemberian Tuhan ini.

Oleh itu hargailah gigi anda, gosoknya setiap hari dan lakukan pemeriksaan setiap 6 bulan sebagai bukti anda menghargai pemberian yang Maha Esa ini. Selain itu berilah senyuman anda kepada semua orang dan peliharalah gigi anda ketika tertawa seperti peliharanya Baginda Rasulullah s.a.w terhadap gigi Baginda sewaktu tertawa.

No comments: