
Terkenang pula sebuah drama kemerdekaan yang saya tonton malam semalam di televisyen tempatan, lakonan Nasir Bilal Khan. Suka saya mendengar apa yang disebutnya; ’Kalaulah begini jadinya anak-anak Melayu merdeka kita sekarang, lagi bagus dahulu tak usah merdeka.’ Kata-kata sinis. Ini bukan provokasi saya. Jangan disaman laman ini mahupun menyekat sekiranya apa yang disampaikan adalah realiti yang sukar ditelan.
Saya seorang rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas merdeka. Saya hanya soroti sejarah-sejarah perjuangan negara melalui pembacaan dan kuliah. Sejak dari kecil lagi saya sudah diajar guru mengenai merdeka. Pada bulan Ogos setiap tahun, nama-nama seperti Tuanku Abdul Rahman dan pejuang-pejuang kemerdekaan selalu saya dengar diceritakan oleh guru. Guru-guru asyik sekali berceloteh tentang merdeka, dengan sejumlah besar fakta-fakta yang memenuhi corong telinga.
Saya kerap melongo. Tak mampu untuk bertanya, kerana ini adalah wacana yang penuh dengan fakta dan sejarah yang tidak mampu untuk saya ubah. Saya lebih gemar untuk hanya menjadi pendengar setia, sebab itu selalu jadi pak longo

Saya tidak pasti apakah itu merdeka, kerana saya adalah anak pasca-merdeka!
Pada malam-malam merdeka setiap tahun pula, berpuluh-puluh ribu wang habis dibakar dan dihanguskan untuk memeriahkan dan mewarna-warnikan pusat bandar. Masing-masing daerah dan negeri mahu melawan, mana yang paling lama membunyikan letup-letup di udara. Sehingga pernah di suatu daerah, saya menyambut malam merdeka dengan letupan selama hampir setengah jam lamanya. Hebatnya Malaysia menyambut hari merdekanya!
Tidak setakat itu. Bukan sahaja pejuang-pejuang kemerdekaan dan anak watan yang menunggu hari merdeka ini saban tahun, malah syaitan juga menjadi penanti setia seperti mereka. Dengan pertolongan makhluk-makhluk bertanduk inilah maka telah ramai gadis-gadis remaja muslimah y

Ini bukan main-main, bukan cakap-cakap kosong. Alat bantuan pencegahan mengandung yang diperbuat daripada getah kenyal, selalu itulah bahan buktinya. Bersepah-sepah pada malam merdeka. Kalau bukan ahli majlis perbandaran yang memungutnya, siapalah lagi yang sudi untuk mengutipnya. Ibarat berak dibiarkan tahi. Cemar secemar cemarnya. Itu belum dikira lagi kawasan taman-taman yang sunyi. Kalau dicampur masuk yang rempit-rempitan lagi?
Wah, peratus keuntungan jualan getah kenyal itu ada potensi meningkat menjelang bulan Ogos. Tersenyum pengedarnya. Maklumlah, esoknya hari cuti, tak balik ke rumah malam tu pun tak apa! Hitunglah sembilan bulan lagi, berderet-deret anak-anak yang tidak berbapa di wad bersalin hospital. Yang lelakinya pula sibuk turun naik mahkamah tinggi. Kelak, makin penuh rumah anak-anak yatim yang diidamkan sepi. Kesian tanah airku. Dahulunya, ya, tempat tumpah darah para pejuang dan pahlawan. Kini macam-macam pula yang bertupahan!
Pada siang hari, tidak perlu diberitahu lagi. Semua orang maklum dah tahu. Si kecil pasti mahu pergi melihatnya, dan pastinya ibu bapa yang diajak; Perbarisan, cabutan bertuah

Merdeka ke-50 kali ini, saya sudah letih mahu manyambutnya ramai-ramai. Kerana setiap tahun beginilah saya dan rakyat Malaysia menyambut merdeka. Klise lagunya. Hari ini, saya habiskan malam merdeka kali ini dan siangnya di rumah, menonton televisyen. Mungkin rencana-rencana dan drama kemerdekaan yang bersifat patriotik lebih membuatkan hati ini terbangun daripada perpekik terlolong seperti kongkang jantan mengawan.
Mungkin juga saya ini kurang patriotik, bebal sejarah dan malas bersosial. Tetapi apalah erti kemerdekaan jika saya menyambutnya pada malam hari dengan rakan-rakan sepermotoran, terpekik terlolong dan seribu satu macam gaya membawa bendera Jalur Gemilang kehulu dan kehilir tanpa rasa apa-apa terhadap perjuangan kemerdekaan tanah air kita suatu masa dahulu?

Kali ini, saya hanya ingin menyambut merdeka di rumah sahaja. Lebih patriotik mungkin. Lebih baik mencari yang berpatriotik dari tidak berpatriotik lansung. Tak sanggup untuk saya menonton pakcik, makcik dan anak-anak sunti dengan punggung melentok ke kiri dan ke kanan di dalam jalan perbarisan. Ah, mungkin menonton dokumentari kemerdekaan di rumah lebih mendatangkan semangat perjuangan merdeka, kerana di luar mereka giat berpesta namun tidak mampu untuk menghidupkan semangat ’merdeka’ di hati saya.

Oh Tuhan, jauhkanlah daku dan galur keturunanku dari penyakit-penyakit itu.
Apalah ertinya saya menyambut kemerdekaan negara dengan masyarakat yang berkalut semacam ini. Betullah apa yang dikatakan; ’Kalaulah begini jadinya anak-anak Melayu merdeka kita sekarang, lagi bagus dahulu tak usah merdeka!’ Mungkin saya perlu berjuang mengangkat senjata bersama dengan pahlawan-pahlawan tanah air untuk memerdekakan negara suatu ketika dahulu, barulah itu akan membuatkan jiwa saya gagah menyambut hari merdeka.
Tapi sayang, perjuangan itu telah pun luput dimakan zaman. Pahlawan-pahlawan itu telah pun pergi semuanya dengan basahan darah. Ianya telah pun jauh berlalu. Dan saya, anak kelahiran selepas merdeka begitu tidak mampu sama sekali untuk menghidu perjuangan suci mereka.
MERDEKA!!!