Monday, August 27, 2007

Bicara Hati, Menggali Diri

Banyak perkara dalam dunia ini yang menggerakkan kita. Yang menggerakkan kita adalah juga yang menjadikan daya, pantulan, tenaga, dan juga hati. Maka sudah tentu yang menggerakkan itu adalah punca segala kuasa, dan tempat segalanya bermula. Tanpa sumber yang menjadi kuasa mutlak segala sesuatu, maka daya, pantulan, tenaga dan juga hati tidak akan terjadi dengan sendiri.

Maka, apalah daya manusia bergerak tanpa menggunakan kaki, yang mana kaki bergerak sebab mendapat isyarat dari beberapa saraf dari bahagian otak dan suisnya lahir dari sebuku darah merah yang bernama hati! Maka lahirnya hati bukan bererti jaminan untuk menja
di seorang ’manusia’ yang sejati.

Bahkan ratusan haiwan pun mempunyai hati; ayam, lembu, serigala, gorilla dan merpati. Walau hidup de
ngan seketul darah yang dinamakan hati, namun mereka masih tetap hidup di dalam alam hewani, mereka adalah binatang yang punya naluri, tetapi bertaraf hewani.

Maka, janganlan terkejut jika kalian bertemu dengan haiwan yang sangat
manusia, sehingga mereka digelarnya ’haiwan-insani’. Dan kadang-kala dapat bertemu pula dengan ratusan jenis-jenis pemangsa yang kami gelarnya sebagai ’insan-hewani’, jenis homo sapiens dari kumpulan kerang dan siput-siput yang membawa ’Norwalk’ giat mencemarkan wilayah di sekitar perut.

Hati itu tidaklah memandang, kerana memandang adalah hak mata. Hati
juga tidaklah mendengar, kerana pendengaran itu adalah perihal telinga. Hati tidak lansung dapat menghidu, kerana tugas itu pastinya milik hidung. Hati pula tidak mampu merasa kerana rasa itu adalah kerja mulut dan kulit.

Tetapi ramai yang ditipu dengan kerja itu.


Sebab hati itu seketul daging dengan darah yang mampu.


Ramai yang tertipu kerana menyangka hati itu bisu, kaku dan tidak bertugas apa-apa. Mereka tertipu kerana diri mereka telah men’sunyi’kan khidmat hati itu. Lagi teruk, mereka biarkan hati itu keras tidak berfungsi, membeku dan nihil tanpa rasa seorang ’manusia’.


Hati itu kalbu. Mengapa lafaz hati yang sering disebut Tuhan sebagai mudah berpenyakit dalam ayat-ayat kalam-Nya? Mengapa pula hati yang diambil Jibril a.s untuk dibasuhi dengan air syurga dari dada bidang Baginda s.a.w?

Kerana ia adalah
ibu segala pancaindera. Mampu memandang, mampu mendengar, mampu menghidu dan mampu merasa. Justeru, hati itu adalah mata, hati itu adalah telinga dan hati itu adalah hidung, malah juga kerja mulut dan kulit mampu ia selubung. Hati itu adalah usul pancaindera. Puncak segala derita dan tunjang segala bahagia.

Firman Allah s.w.t :

لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

(Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya)

Dan kerana itu manusia selalu memilih mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan lidah untuk merasa. Tetapi hakikatnya mereka itu buta, pekak dan tuli, seakan merai belasungkawa, padahal belum lagi ada penggali yang bersedia untuk mereka. Mereka lupa bahawa mata, telinga, mulut dan hidung itu asal kerjanya dari hati.

Maka itulah yang dikatakan hewani, firman Allah s.w.t :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

(Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai)
Al-A’raf : 179

Jika yang dilihat itu adalah dari mata hati, maka sempurnalah ia. Sebab, bila hati sudah dicuci bersih, maka segala yang lahir dari perbuatan dan amalan akan menjadi bersih, mulus dan tidak sia-sia. Segala perbuatan itu perlu kepada hati. Justeru hati itulah tempat tinggal kepada segala niat yang lahir, dan amal perbuatan yang tidak bersama dengan niat adalah seumpama pohon yang tidak berbuah, sia-sia, tidak bermakna, dan hilang segala serinya.

Maka niat yang kudus itu hanya akan lahir dari hati yang kudus.

No comments: