Wednesday, July 16, 2008

Masih Tersepit

Semalam boleh diibaratkan sebagai hari yang begitu bersejarah dalam dunia keintelektualan dan politik Malaysia. Ia adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh majoriti rakyat Malaysia apabila buat pertama kalinya dianjurkan debat secara terbuka diantara pemimpin tertinggi rakyat.

Sebenarnya, walaupun debat ini dihujani dengan beberapa fakta ilmiah (terutama dari Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebahagian dari Datuk Shabery Cheek), namun saya katakan bahawa ia tidak lain sekadar debat dunia politik. Ianya adalah semata-mata retorik (pengucapan) politik dari kedua-dua belah pihak yang mahukan tampuk pemerintahan.

Retorik Politik?

Mengapa saya katakan begitu? Kerana debat semalam adalah sekadar pengukuhan hujah dan idea partisan dari kedua belah pihak (kerajaan-pembangkang) dalam membentuk minda rakyat supaya menyokong gagasan mereka tanpa membincangkan krisis minyak secara intelektual.

Kita pun sedia maklum dengan tajuknya, 'Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak' adalah semata-mata tajuk politik jangka pendek dan bukan melihat dasar dan matlamat minyak secara jangka panjang.

Saya tidak mahu menjadi hakim antara siapa yang menang dan siapa yang kalah. Bagi saya kedua-duanya telah kalah teruk kerana keterbukaan intelektual ini membawa jurang yang besar bagi 'Melayu' yang majoritinya Islam. Pencernaan minda yang terhasil dari debat ini cukup bagus kepada para penonton dan rakyat, namun tiada nampak hala tuju yang mampu dilakukan melainkan kedua-duanya mempertahankan hujah masing-masing.

Sebab itu saya katakan ia adalah sekadar retorik (baca: pengucapan) politik semata-mata.

Hujah dan Fakta

Sebagai masyarakat yang terbuka, kita tidak harus mengharapkan suatu solusi yang mantap dari debat sesingkat ini. Debat semala satu jam ini adalah sekadar tiang kepada hujah sedangkan banyak lagi dahan-dahan yang perlu kita kaji.

Secara hujah dan Fakta, Anwar dilihat memberikan idea ekonominya dalam menyelesaikan kemelut harga minyak yang sedang berlaku. Manakala Shabery Cheek pula sebagai wakil dari kerajaan dilihat mempertahankan dasar dan idea ekonomi yang 'telah' dilakukan oleh kerajaan.

Tidak hairan jika Anwar dilihat garang kerana hujah dan faktanya yang banyak. Ini kerana saudara Anwar mengutarakan suatu idea yang baru. Sedangkan Shabery pula kurang mengutarakan idea kerana tugasnya adalah memberi sebab tentang idea yang 'telah' dilakukan oleh kerajaan dan bukan tugasnya untuk memberi hujah yang baru.

Ini adalah perang antara 'hujah idea' dan 'sikap mempertahankan'. Bukan 'idea' vs 'idea' seperti debat calon presiden demokratik-republikan. Saudara Anwar melontarkan hujah idea manakala saudara Shabery mempertahankan idea yang sedia ada. Masing-masing masih berdiri dengan premis masing-masing dan bukannya menghala kepada suatu solusi dan penyelesaian.

Akhirnya, rakyat masih lagi menganga....

Lawan Sebenar

Jelas saya katakan ia adalah debat politik dan bukan debat untuk mengatasi kemelut harga minyak. Manakan tidak, orang yang dijemput untuk berdebat pun adalah orang politik. Jika mereka betul-betul ikhlas mahukan sebuah medium untuk menyelesaikan kemelut harga minyak, maka bukan berdebat caranya.

Forum yang dihadiri oleh pakar-pakar ekonomi dan ahli-ahli politik dilihat lebih berkesan kalau betul-betul mereka mahu bergabung tenaga menyelesaikan krisis harga minyak yang meruncingi rakyat. Debat semalam semata-mata mahu mengangkat mana yang lebih hebat antara kedua-dua pendebat yang mewakili gagasan parti masing-masing.

Pertemuan Anwar-Shabery juga bukanlah sesuatu yang menyeronokkan bagi sesetengah orang. Anwar yang dilihat lebih menguasai dunia ekonomi bukanlah tandingan yang ideal buat Shabery yang lebih muda umur dan pengalaman dari Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam debat ekonomi dan kemelut harga minyak seperti ini, sepatutnya konsep 'idea vs idea' dilakukan sebelum kerajaan bertindak. Debat 'buku bertemu ruas' seperti ini harus diwakili oleh mereka yang betul-betul masak dan matang dalam bidang ekonomi negara dan dunia.

Secocoknya, saya melihat lawan yang sebenar dan sepatutnya ditemukan semalam adalah pertemuan 'mentor-protoge' yang paling popular di Malaysia pada tahun 1997 dahulu, iaitu 'Anwar- Mahathir'. Mereka ini orang yang begitu jaguh dan masak dengan sistem ekonomi Malaysia dan wajar diberi ruang bersuara dalam debat malam tadi.

Cumanya berkemungkinan Tun Dr. Mahathir dilihat tidak akan menyebelahi kerajaan kerana beliau mempunyai idealisme yang tersendiri dalam bidang ekonomi.

Anwarisme

Saya masih teringat pada tahun 1997 ketika gagasan Anwarisme sudah menguasai hampir 80% di setiap sendi UMNO ketika itu dan Anwar sudah menjadi orang kanan dalam negara, Anwar mengemukakan suatu idea ekonomi yang bertentangan dengan mentornya Dr Mahathir ketika berlakunya krisis kewangan tahun 1997.

Pada saya jelas Anwar seseorang yang mempunyai idea namun beliau gemar mengambil risiko berbanding Mahathir yang dikatakan seorang yang 'protectionis' dalam polisi ekonominya.

Ini jelas sewaktu krisis ekonomi 1997 berlaku. Anwar yang ketika itu sebagai menteri kewangan menyokong kemasukan bantuan kewangan dari IMF yang kesan buruknya akan membuka ruang kemasukan lebih banyak pelabur-pelabur asing dan menyingkirkan pelabur-pelabur kerdil tempatan yang baru mula bertapak.

Idea ekonomi Anwar ketika itu ditolak oleh Mahathir kerana kesan hutang yang mampu membankrapkan negara. Justeru Mahathir bergerak dengan meneropong sektor-sektor lain seperti pertanian dan luar bandar bagi membantu ekonomi negara. Sebab itu tidak hairan jika Tun Dr Mahathir digelar dengan 'protectionis'.

Saya rasa debat antara seorang 'protectionis' dengan seorang 'pengambil risiko' akan lebih mengghairahkan lagi debat semalam, sepatutnya. Kerana mereka adalah golongan idealis dan pemidato yang baik.

Namun apa yang berlaku semalam adalah suatu langkah keterbukaan yang bagus dalam dunia politik Malaysia. Syabas kepada Shabery kerana anda dilihat sebagai seorang menteri penerangan yang terbaik setakat ini kerana begitu berani membuka ruang demokrasi terhadap pihak yang berlawanan.

Apapun, bagi saya debat semalam sesuatu yang gah dengan nama, namun tiada ke mana arah tujuannya kerana 'orang kita' masih lagi tersepit.

No comments: