Thursday, July 24, 2008

Satu Hari di Bukit Tabuh

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya kalau kita rajin untuk berfikir. Namun hasil yang maksima dan keberkesanan yang jitu akan terhasil apabila kita membuat langkah penyelesaian dalam situasi yang tepat (langkah dan waktunya) dan matang.

Setiap orang ada mempunyai idea ekonominya yang tersendiri. Sehingga jika diajak sepuluh orang ke stage untuk berdebat tentang perancangan ekonomi, maka saya percaya akan ada sepuluh idea yang berbeza mengikut individu yang menyampaikannya.

Namun yang pasti dalam sepuluh strategi ekonomi itu, pasti ada satu dari kalangan sepuluh itu yang akan membuahkan hasil dan natijah yang terbaik apabila langkah yang diambil bertepatan dengan waktunya.

Apabila langkah diambil secara melulu dan membuta tuli tanpa memikirkan akibat lain yang lebih besar, maka itu adalah satu ciri keputusan yang tidak matang. Bukan diri sendiri yang akan menyesalinya nanti, bahkan suatu tindakan pra matang itu akan mengakibatkan kesengsaraan dipihak yang lain.

Ekonomi adalah salah satu dari aspek pengurusan. Pengurusan yang baik akan menatijahkan ekonomi yang mantap, dan ekonomi yang mantap tidak akan terjadi tanpa kerjasama dari kesemua anggota ahlinya. Sikap matang dan terbuka inilah yang amat payah sekali untuk dilihat di Malaysia.

Bukit Tabuh


Terima kasih buat Serambi Maya Production. Jarang-jarang waktu cuti dalam pengalaman yang sebegini hebatnya. Bro Suhail, Bro Mali, Bro Na'min, Bro Anuar, Akiem, Syafa dan Puteri, thanks guys, sebab ajak sekali sekala mendaki dan 'rock climbing' di Bukit Tabuh.

Bukit Tabuh terletak di Melawati. Awal-awal pendakian nampak macam mudah. Bila Bro Anuar sebut 15 minit atau setengah jam, rasa macam jalan dari kuliyah Azhar ke Bu'uth saja. Namun lepas setengah jam masih belum sampai di puncak lagi.

Rock Climbing yang mengujakan

Dataran ini boleh dikatakan hanya sebuah bukit dan bukan gunung. Namun cabarannya secara teknikal melebihi dari sebuah gunung. Gunung Lambak misalnya yang terletak di Kluang, Johor, hanyalah sebuah dataran tinggi yang bertanah. Tetapi Bukit Tabuh ini pula boleh dikatakan sebagai sebuah dataran tinggi yang dikombinasi antara tanah dan batuan.

Team Pendaki di puncak

Sebab itu tidak hairan jika cabarannya boleh mengundang maut. Paling mencabar adalah apabila melintasi dari puncak ke puncak yang penuh dengan cerun berbatu. 'Rock climbing' seperti ini memang mengujakan bagi orang yang tak biasa mendaki seperti saya ini.

Awalnya kami bercadang untuk selesaikan daki dan turun sebelum waktu zohor memandangkan pendakian dimulai pada awal pagi. Namun atas semangat setia kawan (hehe...), kami telah terlambat. Kami di antara yang lambat turun dan beberapa kumpulan pendaki yang lain telah selesai turun awal.

Kampus UIAM dari puncak bukit

Jarang sekali saya dapat pengalaman seperti ini apabila pulang ke Malaysia. Terima kasih kepada Serambi Maya (hehe... promosi lagi) kerana sudi memperlawaku untuk menyertai pendakian bukit dan jalan-jalan sekitar festival landskap & taman yang diadakan di Tasik Perdana. Moga ukhuwwah sentiasa terjalin.

Wednesday, July 16, 2008

Masih Tersepit

Semalam boleh diibaratkan sebagai hari yang begitu bersejarah dalam dunia keintelektualan dan politik Malaysia. Ia adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh majoriti rakyat Malaysia apabila buat pertama kalinya dianjurkan debat secara terbuka diantara pemimpin tertinggi rakyat.

Sebenarnya, walaupun debat ini dihujani dengan beberapa fakta ilmiah (terutama dari Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebahagian dari Datuk Shabery Cheek), namun saya katakan bahawa ia tidak lain sekadar debat dunia politik. Ianya adalah semata-mata retorik (pengucapan) politik dari kedua-dua belah pihak yang mahukan tampuk pemerintahan.

Retorik Politik?

Mengapa saya katakan begitu? Kerana debat semalam adalah sekadar pengukuhan hujah dan idea partisan dari kedua belah pihak (kerajaan-pembangkang) dalam membentuk minda rakyat supaya menyokong gagasan mereka tanpa membincangkan krisis minyak secara intelektual.

Kita pun sedia maklum dengan tajuknya, 'Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak' adalah semata-mata tajuk politik jangka pendek dan bukan melihat dasar dan matlamat minyak secara jangka panjang.

Saya tidak mahu menjadi hakim antara siapa yang menang dan siapa yang kalah. Bagi saya kedua-duanya telah kalah teruk kerana keterbukaan intelektual ini membawa jurang yang besar bagi 'Melayu' yang majoritinya Islam. Pencernaan minda yang terhasil dari debat ini cukup bagus kepada para penonton dan rakyat, namun tiada nampak hala tuju yang mampu dilakukan melainkan kedua-duanya mempertahankan hujah masing-masing.

Sebab itu saya katakan ia adalah sekadar retorik (baca: pengucapan) politik semata-mata.

Hujah dan Fakta

Sebagai masyarakat yang terbuka, kita tidak harus mengharapkan suatu solusi yang mantap dari debat sesingkat ini. Debat semala satu jam ini adalah sekadar tiang kepada hujah sedangkan banyak lagi dahan-dahan yang perlu kita kaji.

Secara hujah dan Fakta, Anwar dilihat memberikan idea ekonominya dalam menyelesaikan kemelut harga minyak yang sedang berlaku. Manakala Shabery Cheek pula sebagai wakil dari kerajaan dilihat mempertahankan dasar dan idea ekonomi yang 'telah' dilakukan oleh kerajaan.

Tidak hairan jika Anwar dilihat garang kerana hujah dan faktanya yang banyak. Ini kerana saudara Anwar mengutarakan suatu idea yang baru. Sedangkan Shabery pula kurang mengutarakan idea kerana tugasnya adalah memberi sebab tentang idea yang 'telah' dilakukan oleh kerajaan dan bukan tugasnya untuk memberi hujah yang baru.

Ini adalah perang antara 'hujah idea' dan 'sikap mempertahankan'. Bukan 'idea' vs 'idea' seperti debat calon presiden demokratik-republikan. Saudara Anwar melontarkan hujah idea manakala saudara Shabery mempertahankan idea yang sedia ada. Masing-masing masih berdiri dengan premis masing-masing dan bukannya menghala kepada suatu solusi dan penyelesaian.

Akhirnya, rakyat masih lagi menganga....

Lawan Sebenar

Jelas saya katakan ia adalah debat politik dan bukan debat untuk mengatasi kemelut harga minyak. Manakan tidak, orang yang dijemput untuk berdebat pun adalah orang politik. Jika mereka betul-betul ikhlas mahukan sebuah medium untuk menyelesaikan kemelut harga minyak, maka bukan berdebat caranya.

Forum yang dihadiri oleh pakar-pakar ekonomi dan ahli-ahli politik dilihat lebih berkesan kalau betul-betul mereka mahu bergabung tenaga menyelesaikan krisis harga minyak yang meruncingi rakyat. Debat semalam semata-mata mahu mengangkat mana yang lebih hebat antara kedua-dua pendebat yang mewakili gagasan parti masing-masing.

Pertemuan Anwar-Shabery juga bukanlah sesuatu yang menyeronokkan bagi sesetengah orang. Anwar yang dilihat lebih menguasai dunia ekonomi bukanlah tandingan yang ideal buat Shabery yang lebih muda umur dan pengalaman dari Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam debat ekonomi dan kemelut harga minyak seperti ini, sepatutnya konsep 'idea vs idea' dilakukan sebelum kerajaan bertindak. Debat 'buku bertemu ruas' seperti ini harus diwakili oleh mereka yang betul-betul masak dan matang dalam bidang ekonomi negara dan dunia.

Secocoknya, saya melihat lawan yang sebenar dan sepatutnya ditemukan semalam adalah pertemuan 'mentor-protoge' yang paling popular di Malaysia pada tahun 1997 dahulu, iaitu 'Anwar- Mahathir'. Mereka ini orang yang begitu jaguh dan masak dengan sistem ekonomi Malaysia dan wajar diberi ruang bersuara dalam debat malam tadi.

Cumanya berkemungkinan Tun Dr. Mahathir dilihat tidak akan menyebelahi kerajaan kerana beliau mempunyai idealisme yang tersendiri dalam bidang ekonomi.

Anwarisme

Saya masih teringat pada tahun 1997 ketika gagasan Anwarisme sudah menguasai hampir 80% di setiap sendi UMNO ketika itu dan Anwar sudah menjadi orang kanan dalam negara, Anwar mengemukakan suatu idea ekonomi yang bertentangan dengan mentornya Dr Mahathir ketika berlakunya krisis kewangan tahun 1997.

Pada saya jelas Anwar seseorang yang mempunyai idea namun beliau gemar mengambil risiko berbanding Mahathir yang dikatakan seorang yang 'protectionis' dalam polisi ekonominya.

Ini jelas sewaktu krisis ekonomi 1997 berlaku. Anwar yang ketika itu sebagai menteri kewangan menyokong kemasukan bantuan kewangan dari IMF yang kesan buruknya akan membuka ruang kemasukan lebih banyak pelabur-pelabur asing dan menyingkirkan pelabur-pelabur kerdil tempatan yang baru mula bertapak.

Idea ekonomi Anwar ketika itu ditolak oleh Mahathir kerana kesan hutang yang mampu membankrapkan negara. Justeru Mahathir bergerak dengan meneropong sektor-sektor lain seperti pertanian dan luar bandar bagi membantu ekonomi negara. Sebab itu tidak hairan jika Tun Dr Mahathir digelar dengan 'protectionis'.

Saya rasa debat antara seorang 'protectionis' dengan seorang 'pengambil risiko' akan lebih mengghairahkan lagi debat semalam, sepatutnya. Kerana mereka adalah golongan idealis dan pemidato yang baik.

Namun apa yang berlaku semalam adalah suatu langkah keterbukaan yang bagus dalam dunia politik Malaysia. Syabas kepada Shabery kerana anda dilihat sebagai seorang menteri penerangan yang terbaik setakat ini kerana begitu berani membuka ruang demokrasi terhadap pihak yang berlawanan.

Apapun, bagi saya debat semalam sesuatu yang gah dengan nama, namun tiada ke mana arah tujuannya kerana 'orang kita' masih lagi tersepit.

Tuesday, July 08, 2008

Jangan Tanya Nostradamus

Orang yang sedang menonton drama, jarang punya masa mahu berhenti sebentar untuk melakukan kerja lain. Fokusnya hanya pada drama dan jalan ceritanya. Kesinambungan plot sentiasa berada dalam mindanya dan dia tidak mahu sekali-kali terlepas menonton adegan-adegan yang begitu penting.

Mungkin secara jujurnya begitulah saya ketika ini, sedang asyik menonton drama politik Malaysia yang mengagumkan. Jauh lebih kagum dari drama yang terbit pada tahun 1998 dahulu.

Apabila saya menonton sesebuah cerita, saya suka mengkritik jalan ceritanya tetapi jarang untuk saya membuat tafsiran dan andaian awal.

Seperti juga saya menonton hasil buah tangan Kabir Bhatia yang terbaru iaitu 'Sepi' baru-baru ini, buah tangan Kabir Bhatia jarang ada yang mengecewakan saya. Sinematografinya yang superb membuatkan saya telah jatuh cinta dengan filem 'Cinta'nya. Dan 'Sepi' adalah sebuah lagi hasil karya yang mengagumkan walaupun pada saya tidaklah sehebat 'Cinta'.

Walau terdetik dihati, namun saya tidak membuat prediksi awal terhadap jalan cerita ini sehinggalah filem ini ditonton sampai habis. Khusyuk menonton drama (apa-apa cerita pun), saya jarang mahu membuat agakkan awal atau ramalan melulu terhadap drama itu ataupun 'ending'nya. Ianya pasti sekali hanya membawa sekadar agakkan atau ramalan yang mungkin betul atau mungkin tidak.

Justeru sesuatu ramalan itu hanya boleh mendatangkan prasangka yang bukan-bukan termasuk juga khabar angin dan fitnah. Dalam erti kata lain, peramal boleh sahaja terlibat dalam dosa-dosa besar dan juga umpatan-umpatan yang tercela dan kemurkaan ALLAH s.w.t jika ia termasuk di dalam cerita-cerita yang membawa kebinasaan dan kemungkaran.

Konsep tidak membuat prediksi awal inilah yang saya suka ambil dalam menonton apa juga drama. Ianya lebih selamat dan saya akan mula mengkritik ketika drama ini apabila sudah selesai kelak.

Meramal

Bagi mereka yang suka meramal, inilah waktunya. Warung kedai kopi ketika ini sangat mengujakan untuk para peramal menilik kehebatannya. Ada kalanya mereka ini betul dan kebanyakan waktunya mereka ini salah. Mereka gemarkan publisiti hingga membawa kepada cakap-cakap kosong dan memfitnah. Ia tidak ubah seperti gosip-gosip liar terhadap artis.

Membuat dan mendengar ramalan merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Prediksi demi prediksi boleh membuatkan hati anda melonjak-lonjak gembira dan kadang-kadang begitu kecewa. Dan akhirnya; the ending of the story will upset you and changing our minds.

Tak salah untuk meramal atau untuk membuat cerita tetapi biarlah berpada-pada. Harus berdasarkan bukti-bukti dan 'hint' yang ada. Tak usah menjadi produser untuk menambah-nambahkan cerita, bahkan bersenyap merupakan jalan yang lebih baik dari mereka-reka cerita.

Ramai yang percaya, tetapi ramai juga yang tidak percaya perliwatan telah berlaku. Persoalan inilah yang menimbulkan banyak andaian. Jangan terlalu banyak mengandai-andai dan bersangka kerana aidaian dan sangkaan itu selalu akan disusuli hasutan syaitan. Ia akan memesongkan langkah kita jika kita mudah dan terlalu percaya dengan khabar angin.

Memerhati

Sudah lama saya tidak meng'update' blog ini walaupun setiap hari saya melayari internet. Terus terang saya katakan yang drama ini begitu hebat, malah ia layak dianugerah cerekarama terbaik dalam sejarah politik Malaysia. Kehebatannya membuatkan saya terhenti menulis seketika untuk mengkaji perkara ini sedalam dalamnya. Saya tidak mahu ketinggalan walau secebis cerita.

Saya suka untuk tidak membuat prediksi awal kerana akan menjadikan jiwa dan gerak hati ini cenderung dan memberi sebuah ketidak-adilan terhadap realiti. Saya pasti setiap orang ada ramalan tersendiri dalam hati masing-masing dan itu sesuatu yang tidak mampu untuk kita halang. Namun secara dasarnya kita perlu sedar bahawa sesunguhnya sebarang kemungkinan boleh sahaja berlaku.

Kita harus terima nanti sama ada perliwatan itu benar-benar berlaku, atau juga ianya benar-benar sebuah fitnah. Semua itu berkemungkinan yang tidak mustahil berlaku kerana tidak ada kesempurnaan dan kemaksuman bagi seseorang manusia melainkan mereka itu dari kalangan para Nabi-Nabi Allah a.s.

Mungkin hari ini kita melihat jiran kita menghantar makanan dan bersedekah kepada fakir. Itu perkara yang baik lagi terpuji, namun bukan menjadi satu jaminan dia itu seorang jiran yang baik. Bahkan apabila kelak nanti ditangkap kerana mencuri, kita akan menepuk dahi dan mengatakan andaian kita selama ini telah tersilap sama sekali.

Andaian dan ramalan selalu didorong oleh hawa nafsu. Kita selalu tersilap dalam menghukum kerana kerap menggunakan undang-undang nafsu. Kita akan kata dia benar kerana dia memimpin kita dan kita akan kata dia salah kerana dia memimpin musuh kita. Ini kaedah yang salah kerana benar dan salah itu bukan dihukum berdasarkan dia pemimpin kumpulan mana, tetapi perbuatannya itu yang dilakukan sama ada salah atau betul.

Perkara yang terbaik adalah kita harus selalu bersangka baik dan perlu saling hormat menghormati walaupun mereka itu pernah menjadi seorang pelaku salah. Biarlah yang menghukum dan mengadilinya itu diserahan kepada mereka yang selayaknya. Mereka lebih tahu mengenai kaedah-kaedah sebenar seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.

Bersumpah adalah sebagai langkah yang terakhir setelah analisis dilakukan dengan kaedah-kaedah saintifik terhadap bukti-bukti yang zahir. Sumpahan atas nama ALLAH s.w.t itu merupakan suatu ikrar batin yang dianjurkan sebagai simbol penyerahan diri terhadap bagi keadilan Tuhan yang Maha Adil.

Syariah adalah sebuah undang-undang zahir dan hukuman yang dijalankan adalah berdasarkan bukti-bukti melalui kaedah saintifik yang zahir. Seperti yang berlaku pada al-Hallaj yang dihukum sesat oleh para ulama disebabkan dia itu secara zahirnya telah berlaku sesat dan menyesatkan, walhal dari suatu sudut pandang yang lain (batin), hukumnya adalah antara dia dengan ALLAH s.w.t.

Ramalan : Jangan bertanya pada Nostradamus...!!