Thursday, September 03, 2009

Berteleku di Kubur PPSMI

PPSMI sudah pun dimansuhkan beberapa bulan yang lalu. Ia telah pun masuk kubur dan telah menjadi sebuah lipatan sejarah. Cadangan yang disyorkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu ditolak oleh kebanyakan pihak seperti mana yang kita tahu. Ya, itu juga adalah sebuah fakta dan kisah sejarah.

Namun dalam banyak-banyak mereka yang menentang itu, ada juga kelompok minoriti yang menyokong cadangan tersebut. Salah seorang dari mereka yang menyokong itu barangkali adalah saya.

Bagi saya, ramai yang menentang terdorong atas beberapa faktor yang bermain di sekeliling mereka. Cuma saya mungkin berani katakan bahawa faktor 'sentimen' adalah merupakan faktor terkuat yang memonopoli kebanyakan mereka yang menentang.

Dalam isu ini, saya secara peribadi lebih suka melihat perkara ini bukan dari sudut sentimen, kerana kadang-kala sentimen ini bakal membuatkan langkah kita jadi tidak tentu hala.

Seorang yang melangkah ke mesjid boleh terhenti langkahnya dan berpatah balik kerana sentimen. Ada juga yang tidak menyekolahkan anak mereka dan tidak membenarkan anaknya masuk universiti kerana sentimen. Membenci, sakit hati, hasad dengki, dendam lama; itu semua bakal membuatkan sentimen kita mendidih berbuak-buak, padahal mungkin ianya perkara yang baik, bahkan mungkin suatu keperluan.

Akhirnya ia akan mengatur kita untuk membaca sesuatu dengan silap. Hasilnya kemungkinan kita juga yang akan rugi.

PPSMI bagi saya bukan wadah untuk menjadikan generasi kita cakap berslang 'owreng peuteeh'. Kalau begitu nescaya seluruh subjek di sekolah termasuk sejarah, pendidikan seni, kemahiran hidup dan lain-lain lagi ditukarkan menjadi bahasa Inggeris. Itu kalaulah dasar PPSMI untuk menjadikan mulut kita berslang Inggeris.

Namun apa yang berlaku adalah hanya dua subjek yang diInggeriskan, iaitu sains dan matematik.

Ramai yang berpendapat bahawa kita boleh menguasai sains dan teknologi tanpa perlu belajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Sudah banyak pun kita lihat di luar sana saintis anak tempatan yang menguasai sains dan teknologi, namun ketika di sekolah dahulu mereka sekadar belajar sains dan matematik dengan bahasa melayu..!!

Tambahan lagi, negara-negara lain seperti Jepun dan German mampu membina teknologi sendiri tanpa menukarkan subjek matematik dan sains mereka dalam bahasa inggeris.

Hujah itu baik. Namun belum pasti baiknya dimana. Cuba sekali-sekala kita ubah pola hujah dari sudut yang berbeza.

Saya senada dengan syor bekas perdana menteri ini dari sudut PPSMI mampu mewujudkan budaya ilmu yang sihat.

Buktinya apabila kita melihat kembali sejarah lalu ketika mana tamadun-tamadun terdahulu membina kemajuan mereka, ia terikat pada sebuah alat yang dinamakan lingua franca. Setiap tamadun berpusat pada lingua franca mereka dan ia berbeza pada setiap zaman dan tamadun.

Zaman tamadun Islam misalnya, kebanyakan dari ulama dan cendekiawan yang membina sains dan teknologi bukan dari orang Arab, bahkan kebanyakan mereka adalah orang Parsi. Imam al-Ghazali dalam bidang falsafah dan logik, Ibnu Sina dalam lapangan perubatan misalnya, dan ramai lagi. Mereka ini bukan dikalangan orang Arab tetapi disebut orang A'jam (selain Arab).

Walaupun bahasa Arab bukan bahasa ibunda mereka, namun hampir kebanyakan tulisan dan pengkuliahan mereka ditulis dalam bahasa Arab. Bagi saya, itu menunjukkan bahawa lingua franca pada ketika itu menjadi bahasa ilmu dan bahasa dakwah bersesuaian dengan tamadun yang mengusai dunia.

Orang-orang Eropah dalam perang salib juga berkomunikasi dalam bahasa Arab. Buka sejarah dan anda akan jumpai bahawa orang-orang Eropah berpakaian dan bertutur dengan bahasa dan budaya Arab di Andalus dan Sicily. Mereka memasuki madrasah dan universiti yang hampir seluruhnya menggunakan bahasa Arab.

Lantas selepas itu ilmu dipelajari, dibawa dan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris seterusnya menjadikan mereka bangsa yang mengusai sains dan teknologi selepas kejatuhan tamadun Islam. Ini adalah sejarah, ia merupakan fakta yang harus kita terima.

Maka kita harus menerima bahawa sains moden yang dibina hari ini adalah dipelopori oleh orang eropah. Saya tambahkan istilah 'moden' supaya kita dapat bezakan dengan sains dan teknologi secara umum. Ini kerana sains dan teknologi ada pada setiap tamadun, tamadun Islam, tamadun China, Mesir dan sebagainya, masing-masing punyai arkib sains dan teknologi masing-masing.

Cuma bila kita menyebut 'sains moden', ia adalah sains untuk tamadun pada zaman ini yang 'pioneer'nya adalah eropah, iaitu bermula sejak kurun ke-16 dan 17 Masehi lagi.

Maka bagi saya dengan rendah diri kita harus terima untuk dikatakan bahawa lingua franca pada masa dan zaman kini adalah bahasa Inggeris. Ia adalah bahasa ilmu dan bahasa dakwah.

Hari ini memang kita dapati bahawa Jepun merupakan negara yang maju dari segi teknologi, bahkan lebih terkedepan dari eropah. Namun kebanyakan apa yang kita lihat hari ini adalah pengusaan mereka tertumpu pada lapangan teknologi, bukan sains secara keseluruhan.

Sains bukan semata-mata teknologi. Sains adalah sesuatu sangat luas, merangkumi aeroangkasa, metematik, falsafah, biologi, perubatan dan pelbagai lagi. Sains adalah Scientia, dan Scientia bermaksud knowledge, pengetahuan.

Jepun maju kini berfaktorkan sifat kiasu (tak mahu kalah) mereka. Mereka ada semangat untuk berlumba dan displin diri yang tinggi menyebabkan mereka boleh memecut laju ke hadapan dalam bidang teknologi. Ini juga yang dimahukan oleh Dr Mahathir ketika melaksanakan dasar pandang ke timur pada sekitar tahun 80-an dahulu.

Malah ketika buah epal jatuh di atas kepala Sir Issac Newton pada sekitar kurun ke-17 dahulu, Jepun masih lagi berhadapan dengan peperangan antara maharaja. Sehinggalah pada awal kurun ke-20 iaitu sesudah era Meiji, barulah jepun mula mengorak langkah membangunkan sains dan teknologi mereka bermula dengan mencipta senjata api, yang mana ketika itu di eropah sudahpun mempunyai beratus-ratus kajian sains yang dibukukan di arkib mereka.

Jepun kuat dari segi teknologi, namun dari sudut sains moden secara universal, eropah adalah pioneer yang telah bermula sejak dahulu lagi.

Justeru, apa yang disyorkan oleh bekas perdana menteri itu bukanlah bersifat main-main iaitu mahukan orang Malaysia menguasai bahasa Inggeris, tetapi dasarnya adalah mahu mengusai bahasa ilmu dan bahasa dakwah. Kerana kita perlu akur bahawa lingua franca pada zaman ini adalah di eropah.

PPSMI seharusnya tidak dilihat rakyat dari sudut sentimen. Saya melihat pertentangan ini adalah diantara mereka yang memperjuangkan bahasa ibunda dan mereka yang mahukan cepatnya pengusaan ilmu. Yang lain memang turut serta, namun hanya membawa bendera sentimen.

Bagi saya, kerajaan penakut untuk meneruskan PPSMI. Memandangkan situasi politik mereka yang tidak stabil, mereka terpaksa mengalah kerana tidak tahu apakah masih boleh memerintah lagi dalam jangka masa yang tak sampai dua tahun ini. Sikap mahu 'mengambil hati' ini tersangatlah berbau politik dan merugikan bangsa sendiri.

Bukanlah alasan kerana Pak Samad kelihatan lebih tua, maka kita perlu turun berdemo menentang PPSMI. Kalaulah kiranya anda tahu bahawa Dr Mahathir itu umurnya lebih tua 10 tahun dari Pak Samad, nescaya anda juga barangkali akan letakkan sentimen di sebelah sebentar dan kita sama-sama duduk berbincang mengenainya.

Masing-masing ada betulnya. Namun kita perlu ingat bahawa PPSMI bukan mahu tukarkan sekolah kita jadi sekolah Inggeris, tetapi sekadar mahu generasi boleh menguasai sains dan teknologi dengan lebih cepat lagi, hanya dengan menggunakan bahasa ilmu dalam dua subjek ini....

4 comments:

Fathullah said...

secara amnya saya setuju dengan hujah saudara..terima kasih kerana membawa isu ini dari sudut berbeza.

Nur Aliaa Ahmad said...

salam paman ishak..
paman,ada satu buku ulas ttg ppsmi ni dr emiterus dr abdullah hassan..tajuk bukunya lupalaa..edisi yg ke2..sikit yg sgt ingt
>dibeberapa negara eropah,jepun dan china mereka membangun dengan teknologi yg maju tnpa mempelajari bhasa ingeris>
cubalaa paman baca..ia sgt bagus!!

IshaQHaniS said...

saya memang suka tulisan prof abdullah hassan & isterinya pn ainon... dua2 mmg sama naik.. hu2

pasangan ideal..!! =P

fakta pembangunan teknologi di negara lain itu mmg semua org sudah tahu, cuma orang kita belum lagi sebagus mereka... ini pun fakta juga.. =)

MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS said...

Orang tentang PPSMI bukan kerana sentimen semata, tapi kerana bukti kegagalannya membawa masyarakat melayu cemerlang dalam subjek sains dan metematik. Kalau mahu cerdik BI bukan dengan menginggriskan Sains dan Matematik, akan tetapi memperbetulakn kaedah pembelajaran bahasa inggeris itu sendiri. Sekadar pandangan. Ramai cikgu mengajar inggeris menggunakan bahasa melayu..