Wednesday, October 14, 2009

Hampir Mengenali Diri Sendiri

Bukan anda sahaja, saya sendiri pun sudah tidak sabar untuk menantikan blog ini menjadi suam kembali. Hampir setahun lebih saya 'menghilang', seperti sengaja blog ini saya tinggalkan dalam beberapa jangka waktu.

Pernah seorang rakan penulis bertanya tentang mengapa penulisan saya terhenti. Ada sebab tersendiri yang selama ini dirahsiakan. Mungkin kini dan waktu sebegini adalah ruang yang paling sesuai untuk saya beritahu.

Setiap sesuatu yang baik untuk orang lain, tidak mesti baik untuk diri kita. Begitu juga sebaliknya, yang baik untuk diri kita tidak mesti akan baik untuk orang lain. Itu yang saya pelajari.

Walaupun saya menulis sesuatu yang bermanfaat untuk orang lain, namun saya sendiri belum tentu mendapat kebaikan dari apa yang kita tulis.

Mengapa?

Persoalan inlah yang selalu bermain-main dalam fikiran saya selama lebih setahun ini. Saya telah kehilangan diri sendiri apabila saya gagal nampak tentang kebaikan menulis dalam diri sendiri berbanding kabaikan pada orang lain.

Sehingga pada suatu tahap, saya telah merasakan yang menjadi penulis telah menumbuhkan ego dalam diri sendiri. Inilah yang saya ceritakan pada rakan penulis tadi. Muka beliau mengerut pelik.

Beliau bertanya, bagaimana pula penulisan boleh menumbuhkan ego?

Saya katakan yang ini adalah masalah peribagi, mungkin subjektif untuk diterima oleh orang lain. Saya selalu berfikir, apabila kita menulis, kita selalu mahu orang yang membaca tulisan kita berasa seronok dengan apa yang kita tulis.

Lama kelamaan, timbul satu kekaburan dalam hati bahawa kita menulis untuk orang lain berasa seronok, bukan untuk orang lain bermuhasabah tentang diri sendiri.

Kita seronok buat orang tersenyum dengan tulisan kita, kita rasa bangga bila orang terhibur ketika membaca entry kita. Kita selalu mahu kelihatan gah dengan cerita yang kadang-kala kita reka-reka sendiri.

Mudah kata, kita telah terkeluar dari manhaj rabbani yang perlu berpegang pada prinsip 'berpesan-pesan kepada kebaikan dan berpesan-pesan kepada kesabaran'.

Itulah yang selalu saya fikirkan dalam jangka waktu setahun setengah ini. Saya mentarbiyah diri untuk menjadi penulis yang berakhlak dan tidak meninggi diri. Saya katakan pada diri sendiri bahawa kamu boleh mula menulis setelah kamu telah kenal akan diri kamu sendiri.

Bila kamu sudah sedar siapa diri kamu dan memuliakan hak orang lain, nescaya mulakanlah kembali tulisan kamu kerana kamu akan sentiasa berada di bawah payung naungan Allah SWT.

Namun sesuatu yang kita perlu tahu adalah; setiap sesuatu yang ditakdirkan untuk seseorang hamba adalah yang terbaik buat dirinya walaupun dia merasakan perkara itu sangat buruk.

Saya juga selalu berdoa dan memohon supaya saya segera kenal kembali pada diri sendiri untuk memulakan kembali lontaran idea di dalam blog yang sangat miskin ini. Mudah-mudahan ia segera termakbul.

Saya akan kembali bila sudah bersedia nanti.

No comments: