Friday, February 23, 2007

Antara Dua...

Saya tidak pernah termimpi untuk berkahwin awal. Apatah lagi mendirikan rumah tangga dalam jangka umur yang sangat muda ini. Umur saya belum mencecah suku abad lagi, tetapi ramai yang memberitahu bahawa jodoh itu di tangan tuhan. Kadang-kadang ia datang dengan tak disangka-sangka.

Saya mengenali 'A' sejak dari sekolah menengah lagi. Kali pertama ketemunya adalah di kedai gambar berhadapan dengan Wetex Parade, di Muar, Johor. Tauke kedai itu yang memperkenalkan saya dengannya. Memang saya menyukainya sejak dari pandang pertama lagi. Mereka kata itu adalah cinta pandang pertama. Tapi bagi saya cinta itu bukanlah apa yang dipandang, tetapi ia adalah apa yang dipupuk.

Setelah tamat sekolah menengah, saya berkenalan dengan 'E' pula. Kali ini melalui internet. Kemaruk saya pada 'A' kini beralih arah pula pada 'E'. Saya kerap menghabiskan masa untuknya berjam-jam dengan alasan untuk berkenalan lebih dekat. Rupanya saya dapat tahu yang si 'E' ini mengenali 'A'. Mereka rupanya kerap bersama ke kedai gambar. Habislah....

Akhirnya saya buat keputusan untuk berdiam diri, hinggalah saya ke luar negara untuk menyambung pelajaran.

Tetapi ketika saya pulang ke tanah air kali ini, si 'A' dan 'E' memang membuatkan saya betul-betul berfikir tentang hidup. Memang betul. Pasangan itu berdua. Saya dan pasangan saya itu. Tetapi mana mungkin saya memilih si 'A' dan 'E' sekaligus. Gila. Mana saya ada wang untuk mengambil mereka berdua sekali gus menjadi teman hidup. Orang lain mungkin boleh, tetapi tidak bagi saya.

Saya ada pendirian dan prinsip saya yang tersendiri. Kasih sayang itu tidak boleh dikongsi dengan dua teman yang berbeza dalam neraca kezaliman. Kalau saya rasa saya tidak mampu, maka tidak perlu saya menggatal untuk berkongsi kasih. Tetapi persoalan yang paling teruja adalah mahukah si 'A' dan 'E' ini bermadu? dan saya terfikir berapakah hari untuk saya bersama dengan 'A'? dan berapa hari pula masa yang terluang untuk berada disisi 'E'.

Saya telah berbincang dengan ibu dan ayah saya. Tetap sama, mereka berdiam sahaja. Dari awal lagi saya sudah jangkakan yang mereka pasti tidak gembira. Alasan mereka hanyalah saya masih belajar lagi. Ini pun sudah kali yang ke berapa saya minta izin dengan mereka, saya pun sudah tak ingat. Tetapi kali ini nasib saya bertuah. Mereka senyum bersetuju.

Lagi indah khabar yang saya dengar adalah mereka akan membantu saya dari segi kewangan! Ibu berjanji akan keluar wang lebih untuk saya. Entah apa rahmat yang datang, saya pun tidak mengetahui. Hanya DIA yang tahu.

Ditambah lagi pula, mereka inginkan ianya berlansung sederhana dan kalau boleh sebelum saya pulang ke sana untuk menyambung pelajaran. Mungkin mereka mahu saya bawanya sekali ke sana. Mereka kata takut saya terasa kesunyian. Saya tidak ada masalah. Orang sorong bantal, lagi cepat kita lelapkan mata.

Tetapi masalah masih tak selesai. Saya tidak mahu salah pilih. Saya tidak sanggup untuk melihat diantara mereka ada yang kecewa. Ketika ini teringat pula lagu 'Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu' dari Ukays. Oh... saya begitu tidak mampu untuk mengambil kedua-duanya.

Semalam, saya ke Jusco Tebrau. Bertemu dengan 'A'. Petangnya pula saya berjumpa dengan 'E' di tempat yang sama. Kami bersua muka setelah lama tidak ketemu. Hilang rasa rindu yang selama ini kegersangan. Cukup lama kami bersua muka. Kulit si 'A' semakin gelap, katanya selalu terdedah pada cahaya. Cermin mata lensa si 'E' pula tetap tidak berubah seperti dulu. Tetapi mereka dua-dua masih 'okey' lagi.

'Alpha' dari Sony dan 'EOS' dari Canon adalah dua siri kamera digital yang menarik, yang membuatkan saya rambang mata dan teruja untuk memilih. Kepala saya pening untuk memilih antara dua ini walaupun ibu saya bersedia untuk 'support' separuh dari harganya.

Tetapi saya tidak akan tunggu lebih lama. Majlis pembelian ini harus berlansung sebelum saya pulang ke sana. Mereka kata biarlah sederhana dalam memilih, tidak mahal dan tidak murah kerana yang murah lazimnya cepat rosak dan yang mahal selalunya terasa merugikan.

Jangankan kerana Sony Alpha dan Canon EOS kerap diletakkan bersebelahan di dalam kedai gambar, saya sudah rambang mata untuk memilih antara keduanya. Jadilah pemilih dan pencinta yang bijak...

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum hanis hehehehe

cerita yag menarik...hampir2 tertipu siut betul...rupanya camera .. ingatkan apa lah tadi...tapi kira oklah penceritaan yang menarik mendatangkan minat orang nak tahu siapa 'a' dan 'e' hehehehe..

beli alpha ke eos..berapa harga?ingatkan nak suruh adik aku belikan kat sana jek...sihat tak nie?bila balik sini..

oklah nis ada masa jumpa lagi...ilalliqa maa salamah.

IshaQHaniS said...

salam...
alhmdllah... sihat2 org bujang.
aku balik 7/3 ni... doakn perjalanan selamat semuanye.
aku curangla.. aku telah memilih 'O'... hehehe...
ilal liqa'