Saturday, June 14, 2008

Sebiji Bola, Dua Wajah

Mengikuti perkembangan dunia bola sepak membawa saya menonton aksi kejohanan Euro 2008 yang sudah seminggu berlalu. Aksi-aksi sengit dan semangat untuk memenangi pihak lawan adalah motivasi yang paling saya suka dalam bola sepak eropah.

Corak di Eropah, kalau anda dijatuhkan atau ditolak pemain lawan, tiada masa untuk dilewahkan, bangun, dan teruskan permainan. Tetapi berlainan dengan di Asia, kalau sekiranya dijatuhkan, kaki pihak lawan yang dicari dulu. Kemusian disusuli dengan caci maki hamun yang berlarutan hingga ke luar padang.

Itu semangat kesukanan dan motivasi yang bagus untuk diri. Kemenangan pasukan adalah perkara nombor satu. Skil individu dan gol peribadi adalah perkara yang diletakkan di prioriti kedua.

Ini adalah sikap yang baik dan wajar dicontohi dalam sesebuah medan perjuangan. Perkara yang berkaitan dengan individualiti diletakkan ditempat nombor dua. Dan yang menjadi prioriti dan keutamaannya adalah kondisi pasukan atau sesebuah jemaah.

Ada suatu perkara yang menarik tentang Euro 2008 melalui pemerhatian saya. Walaupun mereka orang-orang eropah, namun dari sudut bentuk muka atau raut wajah, mereka mempunyai perbezaan. Ia adalah sebuah kejohanan merebut sebiji bola oleh dua jenis wajah. Di nusantara pun, perbezaan wajah tidak dapat dinafikan antara penduduk negara-negara asia tenggara.

Sebagai contoh, antara orang Malaysia dan orang Indonesia. Walaupun berada serumpun di bawah rumpunan nusantara, namun kita mampu untuk membezakan iras wajah antara orang Malaysia dengan orang Indonesia.

Namun perkara ini bukan suatu yang mudah kerana perbezaan ini sangat sedikit. Hanya orang Indonesia dan Malaysia sahaja yang mampu untuk membezakan alis wajah sesama mereka. Buktinya, di Mesir orang-orang arab begitu sukar untuk membezakan antara orang Malaysia dengan orang Indonesia di sini.

Mereka lazimnya dapat mengecam melalui gaya pemakaian dan cara bercakap. Seorang sahabat saya berbangsa arab juga menghadapi masalah yang sama untuk membezakan antara orang Malaysia dengan orang Indonesia.

Pendek kata, walaupun ada sedikit kelainan, namun secara pukul ratanya orang-orang nusantara mempunyai alis wajah yang tidak banyak beza. Warna kulit, jenis rambut, mata, hidung dan lain-lain lagi, kita masih lagi berkongsi 'brand' yang sama.

Namun, ketika menonton Euro 2008 nanti, cuba perhatikan wajah diantara Cesc Fabregas dan Dirk Kuyt. Ini hanya sekadar contoh. Saya yakin hampir kebanyakan pemerhati dapat mencari beza iras wajah antara kedua mereka. Kuyt, seorang penyerang Belanda mempunyai alis wajah ke'inggeris'an, manakala Fabregas, pemain perancang bahagian tengah pasukan Sepanyol mempunyai wajah iras ke'arab'an.

Apabila menyelusuri catatan sejarah, kita tidak akan hairan jika dikatakan orang Sepanyol dan orang Italy mempunyai wajah ke'arab'an. Ini kerana ketika zaman kemuncak peradaban Islam sewaktu pemerintahan Khilafah Abasiyah dahulu, bangsa timur telah pun bercampur dengan bangsa Barat khususnya di kedua-dua negara ini, iaitu Sepanyol dan Italy.

Fakta ini sesuatu yang menarik dan tidak dapat dinafikan oleh dunia. Andalusia dan Sicily, kedua-dua kota ini dahulu menjadi kota pertembungan dua tamadun dari dua arah yang berbeza. Tamadun timur yang digerakkan dengan ruh jihad islami dan tamadun Barat yang digerakkan dengan penubuhan kerajaan Christendom.

Kekuatan skil perang dan pengusaan ilmu sains orang-orang timur sedikit sebanyak telah mewujudkan rasa takjub orang-orang barat terhadap tamadun timur. Sehinggakan para pemimpin dan orang-orang barat meninggalkan bahasa latin mereka dan bertutur dalam bahasa arab untuk menghadiri kuliah ilmu dan memahami sains yang dipelopori oleh orang-orang timur.

Dan kelansungan pertembungan tamadun ini berlaku dengan tercetusnya perang salib seterusnya mewujudkan peralihan tamadun dari timur ke barat dalam pelbagai aspek dan lapangan keilmuan. Peralihan tamadun ini secara tidak lansung mencetuskan sebuah gagasan renaisans yang mengubah warna dan bentuk dunia sehingga hari ini.

Maka, tidak hairanlah jika di eropah masih ramai lagi manusia yang berwajah ke'arab'an terutama di kedua negara ini, Sepanyol dan Italy.

Walaupun sejarah peralihan tamadun mampu untuk mereka ubah, tapi alis wajah mereka tetap menjadi bukti yang kukuh mengenai peralihan tamadun Islam ke tamadun eropah yang berlaku pada kemuncak kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu.

Hari ini dunia Islam masih lagi mengagung-agungkan sejarah itu. Sejarah hanya tinggal sejarah, dan ianya adalah cermin belakang yang harus digunapakai untuk memandu ke arah yang dituju. Ia tidak boleh diubah namun boleh menjadi jalan pandu menuju ke destinasi.

Umat Islam dahulu menjadi sangat gemilang kerana kesatuan daulah dan khilafahnya. Tetapi kini kita telah membeli demokrasi yang dijual kerana kealpaan kita sendiri.

Sejarah tidak akan berubah, ia hanya digunakan sebagai jalan pandu kearah yang mahu dituju. Selamat menonton.

No comments: