Tuesday, August 12, 2008

Jom Berbisnes !

"Bro, tiga ratus ringgit je", dia tekun memujuk.

"Malas la aku ni", saya menjawab berbasa-basi.

Sudah hampir sebulan setengah di tanah air. Terasa macam sekejap berlalu walau banyak perkara yang telah berlaku dalam cuti musim panas ini. Saya menghirup udara kini ditempat baru.

Bayu-batu laut sesegar pantai Mersing dahulu telah lama ditinggalkan, seawal tahun lagi. Kini di tempat baru, nampak dan terasa lebih damai juga mudah. Ke kedai mudah, ke pasar, ke masjid, ke Kuala Lumpur dan ke Johor Bharu, semuanya lebih mudah!

Dalam kesempatan cuti ini juga ramai yang ajak bekerja. Ada yang suruh saya mengajar di sekolah dan ada juga yang ajak berniaga. Ajakan berniaga memang banyak saya terima. Tak kurang juga ada pelawaan untuk menyertai perniagaan yang mampu segera menguntungkan. Saya suka mengangkat bahu tanda tidak mahu memberi jawapan.

Bukannya saya tidak suka berniaga. Suka, bahkan otak saya boleh dikatakan ada sedikit 'business minded'. Cuma idea-idea bisnes dalam fikiran ini biasanya cadangkan pada rakan-rakan yang minat berbisnes, sedangkan tulang ini terasa begitu kaku untuk memulakannya.

Malaskah saya? tidak juga. Memanglah, kalau mahu kaya tidak ada cara lain kecuali berbisnes. Ia adalah lubuk kekayaan. Melainkan jika anda benar-benar komitmen dalam menjadi salah seorang dari golongan pencuri tegar!

Siapa yang tidak mahu. Kalau bermodal tiga ratus berbalasnya ribu-ribu. Tetapi entah betul entah tidak akad dan kaedahnya. Kadang-kadang yang haram dan halal sudah tidak lagi menjadi pokok keutamaanya bila duit yang berkebat-kebat disorong dihadapan mata.

Keluarga saya bukan keluarga bisnes. Datuk dan nenek bukan juga orang bisnes. Bahkan pakcik-makcik juga bukan dari kelompok orang yang benar-benar berbisnes. Cuma seingat saya, ibu pernah kata bahawa moyang saya dari sebelah ayah berasal dari kelompok pedagang yang datang dari tanah besar China. Entah cerita palsu atau dongengan, saya pun tidak mendapat kepastiannya.

Namun, dalam keluarga saya ada juga yang turun bernaluri bisnes. Abang saya memang berminat. Dia terkadang-kadang punya idea perniagaan yang bagus dan kini (sambil ketawa) menjadi menantu kepada salah seorang saudagar yang kaya dan hebat dalam bisnes di Malaysia.

Workaholic

Ada satu rasa yang saya fikir sepatutnya tidak adil untuk diri saya sendiri, malah mungkin juga orang lain. Iaitu sifat kurang senang saya kepada orang yang menceburi bisnes tetapi dalam masa yang sama tidak bertanggungjawab.

Bukan bermaksud tidak bertanggungjawab terhadap perniagaan mereka, tetapi tidak bertanggungjawab pada diri mereka sendiri, keluarga dan masyarakat. Kebanyakan punca yang menyebabkan keruntuhan akhlak generasi remaja kini adalah disebabkan oleh ibu bapa mereka yang terdiri dari kelompok peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Mereka boleh berbangga dengan kerjaya mereka, membina sebegitu besar empayar perniagaan dan korporat, tetapi dalam masa yang sama tidak menyediakan masa yang berkualiti untuk anak-anak membesar dan mendapatkan kasih sayang. Ini merupakan salah satu sebab saya punya sedikit rasa kesal dengan mereka yang menceburi bidang bisnes.

Sepatutnya perniagaan tidak boleh dipersalahkan. Tetapi sikap meterialisme kelompok ibu bapa tanpa strategi pendidikan spiritualisme terhadap keluarga yang menjadi pokok persoalan. Yang telah mengheret mereka menjadi 'workaholic' adalah sebuah pekerjaan yang bernama perniagaan kerana untuk pergi lebih jauh dalam dunia bisnes, mereka terpaksa bekerja 16 jam satu hari.

Perniagaan adalah warisan Nabi s.a.w dan juga para sahabat. Para sahabat tidak punya masalah menjadi pendidik yang baik kepada anak-anak walaupun mereka berbisnes. Hakikatnya yang membantu mereka adalah kekuatan jiwa dan iman mereka. Berbeza dengan ibu bapa kini yang sibuk berbisnes tetapi tidak mempunyai jiwa dan rohani yang kukuh untuk merasakan sikap bertanggungjawab.

Saya tertarik dengan sindiran sinis dari sebuah drama bertajuk 'Jeneral Tua' yang saya tonton baru-baru ini. Cetusannya sangat mudah. Anak-anak adalah kain putih yang dicorakkan oleh ibu bapa. Tetapi kini apabila anak-anak menjadi rosak, media yang dipersalahkan, kerajaan yang dituduh tidak peka, sedangkan yang menjadi tanggungjawab untuk mencorak anak-anak adalah mereka (ibu bapa).

Hatta sekiranya jika masyarakat kita digula-gulakan dengan hiburan yang melampau sekalipun namun dalam masa yang sama terdidik dengan jiwa dan rohani, sudah pasti mereka (anak-anak) akan berpaling dari keburukan dengan sendirinya dan memilih untuk berada dalam kebaikan. Pendek kata, anak-anak ini jika kebaikan yang kita ajari mereka, maka sudah pasti kebaikan juga yang mereka akan pilih. Pokok pangkalnya adalah tanggungjawab ibu bapa dan bagaimana mereka mencorakkannya.

Ketinggalan

Orang Melayu dalam apapun kerjaya, seingat saya, selalu tertinggal. Tak ada apa yang boleh dibanggakan selain adat dan budaya yang masih dipelihara. Dalam perniagaan pula, amat jauh sekali jika mahu dibanggakan. Walaupun kita sering bangga anak melayu yang berjaya dalam korporat, ada juga yang ke angkasa, menjejak everest dan macam-macam lagi, namun kita harus sedar yang bukan melayu lebih ramai lagi yang mampu dan berjaya melakukannya.

Jadi apalah yang mampu untuk kita banggakan. Melayu hanyalah sebuah bangsa yang terkenal dengan adat dan budayanya, namun cara kerja amat-amat ketinggalan. Orang Melayu bukan beku, malah ada juga yang bijak dan kreatif. Namun semangatnya selalu jauh meninggalkan keazamannya.

Sebagai contoh, jika bercerita dunia bisnes Melayu tidak lain orang akan selalu menyebut nama Tan Sri Syed Mokhtar untuk menjadi kebanggaan. Sebut sahaja peniaga Melayu yang berjaya, pasti terbaca namanya.

Itu pun sudah hentak-hentak kepala kerana rasa bangga menjadi orang yang sebangsa dengan Syed Mokhtar. Terasa malu. Hakikatnya yang bukan melayu lebih ramai lagi yang lebih kaya berbanding Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary. Apa yang ada pada peniaga Melayu?

Hal orang Melayu yang sering ketinggalan hakikatnya membawa imej agama Islam yang kuno dan 'out-dated'. Lebih tepat lagi, sikap bangsa melayu yang lebih selesa dengan dunianya yang selesa telah menyangkut sama esensi Islam yang majoritinya menjadi pegangan agama bagi bangsa Melayu. Kalau disebut orang melayu ketinggalan, maka orang Islam pun jadi ketinggalan.

Tak payahlah berbangga dengan negara Malaysia yang maju dari sudut ekonominya, sedangkan yang banyak membantu untuk membangunkan ekonomi itu adalah bangsa Cina!

Salah satu sebabnya adalah sikap saya dan anda semua yang tidak mahu berubah, selesa dengan apa yang ada dan tidak mahu berfikir di luar kotak. Minda masih lagi pada tahap lama, sedangkan falsafah minda orang-orang melayu sepatutnya sudah melangkau lebih jauh dari apa yang mereka ada sekarang ini.

Minda adalah kunci kejayaan. Ilmu adalah peransangnya. Minda adalah tapak langkah untuk berubah kerana disitulah tempat dan sumber idea-idea baru, ia adalah mesin penjanaan kreatif dan kritis. Jika minda tidak dibangunkan, ia tidak jauh bezanya dengan sifat dan sikap haiwan ternakan!

No comments: