Thursday, August 28, 2008

al-Muntazhar (siri 1)

Mungkin ada sedikit info berguna kepada mereka yang membenci demokrasi seperti saya ini, ialah mengenai teori pengakhiran dunia yang begitu disebut-sebut suatu ketika dahulu pada awal tahun 90-an yang benar-benar mengujakan makhluk dunia.

Pada tahun 1989 di waktu musim membahangkan tenggorok manusia, para penganalisis politik dunia ketika itu gempar seketika dengan penertbitan sebuah artikel yang ditulis oleh Francis Fukuyama bertajuk 'The End of History' (barangkali boleh dterjemahkan menjadi 'Pengakhiran Sejarah').

Berturutan daripada itu, pada tahun 1992 beliau menulis sebuah buku yang berjudul 'The End of History and The Last Man' (Pengakhiran Sejarah dan Manusia Terakhir).

Apa yang menariknya tentang penulisan beliau ini?

Fukuyama mengemukakan teori bahawa gagasan 'demokrasi liberal' yang diwujudkan kini adalah sebuah wajah politik universal yang bakal dianuti oleh seluruh kerajaan di dunia, dan ia adalah penghujung kepada catatan sejarah tentang dunia ini.

Liberalisme secara mudah diertikan sebagai kebebasan, iaitu kebebasan yang telah diciptakan oleh 'pioneer' demokrasi, dan dipaksakan keatas setiap negara dunia untuk menganutinya. Tambahan lagi, demokrasi dijual dengan promosi yang begitu indah sekali. Kononnya demokrasi adalah sistem yang paling adil, memenuhi kehendak majoriti rakyat, dan wajid dianuti oleh pimpinan global.

Bagi Fukuyama, model sebuah pemerintahan demokrasi yang ideal terlukis seperti ciri-ciri berikut :

1) Secara politik : Meliputi demokrasi berparlimen, iaitu sebuah pemerintahan yang dipilih oleh hak universal rakyat.

2) Secara Ekonomi : Meliputi ekonomi pasaran bebas, iaitu kapitalisme.

3) Secara Undang-undang & Falsafah : Terkandung himpunan dari hak-hak liberal berdasarkan 'individualisme' yang kini lebih dikenali sebagai 'hak-hak asasi manusia'.

Teori politik akhir zaman ini bukan pertama kali digemburkan. Karl Marx pernah menyatakan bahawa tahap terakhir dalam sejarah politik dunia adalah sistem sosialis (komunis).

Namun ketika keruntuhan komunis di Soviet Union Eropah Timur pada penghujung 80an, teori Marxis ini seakan-akan terpadam dan tidak menjadi kenyataan. Malah Sosialisme dan komunisme yang dibawa oleh Karl Marx seperti telah ditewaskan oleh ruang demokrasi liberal yang dibawa oleh Eropah barat.

Malah sekiranya kita sedar, sehingga hari ini pun kita dapat lihat negara-negara yang dimerdekakan oleh mana-mana negara barat pasti dikenakan syarat supaya menganut demokrasi sebagai tunjang utama dalam pemerintahan negara. Pernahkah kita terfikir, jika mereka betul-betul bersikap liberal dan ikhlas, mengapa mereka tidak membenarkan negara-egara yang dimerdekakan untuk memilih corak pemerintahan negara mereka yang tersendiri?

Mengapa demokrasi yang menjadi pilihan mereka? Adakah demokrasi itu benar-benar memenuhi tuntutan penganutnya?

Fukuyama mengemukakan teori bahawa demokrasi liberal lebih unggul jika dibandingkan dengan komunisme kerana demokrasi sama sekali dapat memuaskan keinginan-keinginan penganutnya. Liberalisme sesungguhnya, bagi Fukuyama, telah membuktikan bahawa ia dapat menghasilkan kemakmuran materi dan kebendaan yang tidak tertanding.

Teori Fukuyama ini tidak selalunya dipersetujui ahli akademik, bahkan ramai yang turut menyalahkan demokrasi liberal kerana ketidakseimbangan yang dibawanya. Bagi kebanyakan penentang, mereka tidak berpendapat bahawa demokrasi ini bakal memuaskan keinginan-keinginan manusia.

Bagi Norman Daniels, demokrasi liberal akan berlaku zalim :

Satu : Ketidakadilan dalam kekuatan ekonomi mengakibatkan ketidakadilan antara si miskin dengan si kaya untuk memilih calon wakil mereka. Calon akan dipilih berdasarkan kepentingan dan pengaruh pejabat-pejabat dan jabatan-jabatan tertentu.

Kedua : Untuk menegakkan hak keadilan, si miskin kurang memiliki akses untuk mendapatkan penasihat dan konsultan undang-undang yang berkualiti tinggi untuk menegakkan keadilan mereka.

Ketiga : Golongan kaya akan memiliki kekuatan untuk mempengaruhi media.

Keempat : Golongan kaya mampu untuk mempengaruhi apa yang diajar di sekolah demi mengukuhkan lagi kepentingan mereka sendiri.

Secara keseluruhannya, ketidakadilan terhadap pemilikan ekonomi dan posisi sosial ini menafikan manfaat yang diterima daripada kebebasan politik demokrasi untuk menuntut hak kewarganegaraan. Fakta ini turut diperakui sendiri oleh John Rawls, seorang pemikir liberal yang terbesar abad ke-20 ini.

Menurut Rawls, pemilik kekayaan dan harta akan menyebabkan kebebasan politik berlaku secara tidak jujur. Orang-orang yang peroleh keuntungan sering dapat mengukuhkan diri mereka dengan posisi yang menyenangkan.

Malah parti-parti yang dipilih dibiayai bukan oleh dana-dana publik bahkan dari sumbangan peribadi, maka forum-forum politik akan terkekang dengan kepentingan kelompok yang dominan.

Tambahnya, yang paling penting sekali adalah model ideal Fukuyama mengabaikan keinginan spiritual manusia yang paling dalam. Potensi-potensi kebahagiaan akan diabaikan demi menghimpunkan kepentingan dan kekayaan duniawi untuk meneruskan survival kehidupan.

Justeru para pembaca sekalian, bagaimana Islam melihat pendekatan demokrasi liberal ini sebagai salah satu konsep sistem global akhir zaman yang mahu dicanangkan oleh pemikir-pemikir barat. Adakah Islam terkait sama alam perkara ini? Benarkah pandangan mereka itu benar atau Islam mempunyai teorinya yang tersendiri?

(bersambung)

2 comments:

NAWFAL_TIMUR said...

Salam.. Cntk blog, in4mative.. jemput masuk blog ana.. http://nawfaltimur.blogspot.com

Malmsteen said...

salam...cntik la background blog awk... bleh bgtau sy mcmana nk dptkan background yg ctik utk blog?