Thursday, August 07, 2008

Sebuah Hikmah

Hikmah merupakan esensi yang sangat penting dalam sebuah frasa yang digelar 'bahagia'. Hikmah melahirkan sebuah kebahagiaan. Apabila sesebuah esensi itu dikatakan melahirkan suatu yang bahagia, maka kita akan jadi yakin sekali bahawa hikmah merupakan sebuah kekuatan yang abadi dalam kehidupan.

Ia bukan ilmu untuk dijadikan sebuah teori. Ia bukan juga gagasan untuk disemai seperti rebung yang dilenturkan. Ia bahkan terhasil dari sebuah kematangan, kematangan yang berlaku dalam setiap kehidupan.

Kalau buah-buahan boleh matang dan masak untuk ranum dimakan, begitulah juga dengan kehidupan. Ia memerlukan kematangan, dan akan perlahan-lahan memunculkan sebuah pengetahuan yang kadang-kadang tidak tahu dari mana datang dan usulnya.

Hari ini kita boleh berfikir sebegini bentuknya. Tetapi tidak sama fikir itu untuk sepuluh atau dua puluh tahun lagi. Pastinya kelak cara fikir dan pandang itu amat berbeza sama sekali. Hari ini kita katakan bantal ini berwarna merah. Mungkin 3-4 tahun lagi kita akan katakan ianya berwarna maroon, sedangkan warnanya tetap sama dan tidak berubah.

Kematangan akan melahirkan cara fikir yang berbeza kerana kehidupan ini disusun mengikut suatu sukatan yang diasaskan oleh ilmu dan hikmah.

Ramai manusia yang belajar di menara gading, menghadami buku bertingkat-tingkat, malah juga punya sijil yang bersusun-susun, namun ianya bukan menjadi suatu kredit dan kepastian untuk melahirkan esensi yang bernama al-hikmah, kerana ia adalah anugerah dari Tuhan.

Hikmah bukanlah ilmu, tetapi sebahagian daripadanya. Ilmu itu sifatnya terlalu universal, produktif dan menjana. Ilmu terlalu liberal untuk disamakan dengan al-hikmah.

Ilmu adalah sesuatu yang sangat luas, meliputi segala kesucian dan kejelekan. Ilmu itu sesungguhnya begitu liberal sehingga kadang-kadang ia boleh memusnahkan, kerana ilmu mendasari segala kebaikan dan keburukan dalam dunia ini.

Ilmu berbeza dengan hikmah dari sudut hala tujunya. Ilmu meliputi kebenaran dan kesalahan sedangkan hikmah pula adalah sebuah kebenaran. Ilmu bukanlah hikmah, tetapi hikmah sebahagian daripada ilmu. Hikmah itu adalah kebijaksanaan. Ia adalah makanan bagi orang-orang yang arif.

Ilmu boleh dicari tetapi hikmah adalah sebuah pemberian. Sebuah pemberian bagi orang-orang yang arif (al-'arifin) yang cinta dengan akalnya. Mereka menggunakan akal untuk menatang al-hikmah yang diberikan. Mereka bukan sahaja belajar dari buku dan teori bahkan dari seluruh kehidupan.

Al-hikmah adalah pemberian Allah. Allah s.w.t akan memberikan al-hikmah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Dan mereka yang dikurniakan al-hikmah, pasti akan diberikan oleh-Nya dengan kebaikan yang melimpah ruah.

2 comments:

'izzaty salehhon said...

salam...izinkan saya, mengambil sedikit petikan entry ini.. =)

IshaQHaniS said...

salam...

ahlan, tiada halangan.