Saturday, September 13, 2008

al-Muntazhar (siri 2)

Kecenderungan saya untuk cuba-cuba menulis tentang sains politik agak ketara sejak akhir-akhir ini. Mungkin juga dikatakan kerana situasi politik tempatan yang agak tidak stabil menyebabkan saya tergerak untuk mengomen tentang perkara ini.

Namun realitinya saya bukanlah terkesan dengan politik tempatan (politik BN-PR), tetapi akhir-akhir ini saya cukup terkesan dengan beberapa tanda dan hint-hint yang benar-benar memberikan kesan yang cukup signifikan dalam diri saya dan apa yang telah bermain-main di fikiran saya selama ini.

Saya nampak beberapa perkara.

Pertama, saya kira bahawa detik waktu yang berlalu saat ini, hari ini dan zaman ini, sangat begitu hampir waktunya dengan apa yang dikatakan sebagai akhir zaman. Period waktu yang berlalu antara zaman Rasulullah S.A.W dan ruang waktu akhir zaman yang disebut-sebut Baginda S.A.W dalam hadisnya sangat menunjukkan beberapa ciri yang positif (mungkin kita telah berada di penghujung period ini).

Ketika mendengar berita tentang tiga gempa bumi direkodkan telah berlaku dalam tempoh satu hari, hati saya jadi kacau lagi. Beberapa sumber menyatakan gempa bumi yang berlaku di Iran, Jepun dan Indonesia itu berlaku dengan serentak.

Suku abad ini begitu banyak kejadian gempa bumi termasuk bencana alam yang lain telah berlaku. Tsunami yang begitu kerap melanda daratan beberapa tahun lalu dan ribut taufan yang agak kerap menyerang eropah dan Amerika kebelakangan ini adalah sebagai contoh yang begitu untuk meransang intuisi saya untuk mengatakan bahawa suatu petanda besar (yang akan berlaku) telah pun muncul.

Saya tidak mahu menjadi Nostradamus yang dikatakan bijak meramal, sedangkan ramalan ini telah lama diberitahu oleh junjungan besar Rasulullah S.A.W pada zaman baginda lagi. Dilaporkan juga bahawa antara tahun 1960-an hingga 1990-an, kadar bencana alam yang berlaku telah meningkat 10 kali ganda berbanding sebelumnya.

Ramai orang membuat prediksi berkenaan perkara ini. Mereka kira ini adalah disebabkan oleh kemurkaan Tuhan atas dosa dan kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia. Mungkin sahaja ianya benar, kerana di dalam al-Quran disebut bahawa:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia ( timbulnya yang demikian) kerana allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)"
(Surah Ar-Rum : 41)


Namun, saya fikir ini bukanlah sekadar bencana-bencana kosong yang disebabkan oleh kemaksiatan manusia semata-mata, tetapi membawa mesej yang sangat penting kepada umat Islam. Ia bahkan, pada perkiraan saya, adalah sebuah mesej dan tuntutan agar perlunya ummat Islam bersatu di bawah paksi dan sentrik agama. Kerana pemimpin-pemimpin akhir zaman telah bersedia untuk muncul.

Sewaktu berbual, saya katakan pada ayah saya yang mungkin sahaja kelansungan umur dunia ini tidak lama. Mungkin 200-300 lagi, atau mungkin lebih sedikit dari itu, atau mungkin juga kurang dari jumlah agakan saya itu. Saya hanya beragak, sedangkan pengetahuan mutlak itu hanya ada pada Allah S.W.T.

Saya katakan lagi bahawa kejadian yang berlaku di sekeliling telah banyak meransang naluri ini untuk menerima kenyataan bahawa period zaman yang dikatakan oleh Nabi S.A.W itu sangat begitu rapat, sehinggakan realiti kehidupan manusia pada hari ini sudah terlalu pening dengan pergolakan yang berlaku dalam dunia kini.

Mungkin zamannya telah tiba untuk putaran itu berubah. Period bahawa kedudukan Islam berada di atas (ketika zaman Nabi S.A.W dan para sahabat) telah pun berlalu.

Kemudian ummat Islam berhadapan dengan putaran (berada dibawah) seperti sebuah roda. Ummat ditindas dan dizalimi pada waktu itu hinggalah saat ini dan barangkali kita kini sedang berada pada penghujung zaman kezaliman itu.

Perbantaian umat Islam di Iraq, Afghanistan dan merata-rata tempat lagi menjadi suatu tekanan yang cukup besar bagi ummat Islam. Ia akan menekan lagi sedikit demi sedikit. Tekanan itu ditambah lagi dengan kuasa politik Amerika yang memegang nadi kehidupan umat Islam kini, dan akhir-akhir ini gergasi kafir itu bermain-main pula dengan harga minyak sehingga kehidupan manusia umumnya merana.

Tekanan-tekanan yang berlaku ini meluap-meluap sifatnya dan berlaku sedikit demi sedikit, bagaikan lava gunung berapi. Hanya tunggu waktu yang tepat untuk meletus. Realiti ini jika berlaku memberi khabar bahawa gerhana yang berlaku dalam dunia Islam bakal berakhir, dan cahaya matahari yang cerah akan muncul dengan sempurna.

Persoalannya kini, adakah perubahan ini akan berlaku secara natural atau ia akan disusuli dengan kedatangan 'the man' sebagai pemimpin dalam era kebangkitan ini?

Ya, insan tersebut pernah disebut Nabi S.A.W dalam hadisnya dan ianya pasti kan muncul. Cuma waktunya bila? bilakah dia akan muncul? atau sebenarnya telah muncul, cuma belum dikenali lagi? Itu semua masih dalam persoalan, dan persoalan itu bakal terungkap satu-persatu kelak.

Hanya saya yang kini masih lagi berfikir, adakah 'al-Mahdi al-Muntazhar' itu akan muncul ketika zaman huru-hara seperti yang sedang kita tempuhi ketika ini? Tanda-tanda bahawa kita seakan mahu melangkah masuk ke 'period baru' itu sudah banyak kelihatan, namun ramai yang masih belum sedar kerana mengejar dunia meterial mereka.

Manusia kini ramai yang sudah lupa akan realiti dunia mereka. Akhir zaman itu pastinya akan tiba dan medan politik waktu itu pasti akan dipimpini oleh seorang lelaki seperti mana yang telah dijanjikan.

Salam yang penuh pujian untuk menyambut kehadirannya.

Mungkin saat tibanya nanti akan mencantas segala teori Fukuyama yang saya telah sebut-sebutkan pada artikel bertajuk al-Muntazhar (siri 1) yang lalu.

(bersambung)

No comments: