Saturday, June 21, 2008

Belum 'Turun'

Bagi mereka yang pertama kali mahu pulang ke Malaysia sudah tentu ada sesuatu cetusan di hati mereka. Hadiah untuk keluarga? untuk rakan-rakan? untuk tunang yang tercinta? bagaimana itu dan bagaimana ini? dan macam-macam lagi barang yang perlu dicari. Itu belum campur dengan kiriman taulan dan hal-hal yang berkaitan.

Bagi saya yang selalu dicemuh rakan-rakan kerana kerap pulang, persiapan untuk pulang bukanlah sesuatu yang penting. Bahkan perjalanan yang akan bermula tidak sampai lagi 24 jam lagi seperti tidak diendahkan. Beg pun bahkan belum turun dari atas almari. Sebab itu saya kerap digelar 'orang yang suka meleceh' oleh ibu dan ayah saya.

Istilah 'meleceh' bukan baru dalam hidup saya. Dalam sesetengah keadaan, saya memang suka meleceh. Kalau perkara itu saya kira tidak logik untuk diawalkan, saya akan anggap ia tidak penting, saya akan biarkan dahulu. Kalau ada siaran bola dan aktiviti mengemas baju, saya akan memilih menonton bola dan melecehkan aktiviti mengemas baju.

Istilah 'meleceh' dalam hidup saya selalu terkait dengan berus gigi. Akibat meleceh, saya kerap dimarahi kerana selalu tertinggal berus gigi. Bukan bererti saya tidak gosok gigi, tetapi hakikatnya saya terpaksa singgah di kedai dan membeli berus gigi baru walaupun pulang ke kampung untuk dua hari.

Permasalahannya adalah, setiap yang saya fikirkan tidak logik untuk diawalkan akan sering dianggap penting dan perlu diawalkan oleh ayah saya. Tambahan lagi saya sering terlupa pada benda-benda yang kecil-kecil.

Big Boss

Beliau adalah contoh yang baik dalam hal ini, dan saya belum mampu mencontohinya untuk menghilangkan sikap meleceh ini.

Contohnya, apabila mahu pulang ke kampung atuk, ayah saya sudah siap mandi dan meletakkan beg pakaiannya di tepi pintu rumah seawal jam 9 pagi lagi walaupun perjalanan pulang ke kampung jam 2 petang nanti.

Jika saya, jam 9 pagi ini masih terlalu awal dan saya selalu fikirkan tidak logik untuk mengemas seawal ini. Saya mungkin masih lagi menonton tv dan baju-baju yang mahu dibawa pulang masih lagi terlipat di dalam almari. Kebiasaannya lipatan-lipatan baju itu akan saya keluarkan satu jam sebelum perjalanan bermula.

Ketika itulah banyak benda yang tertinggal, seperti berus gigi.

Ini salah satu sikap yang tidak 'turun' dari ayah saya kepada saya. Namun, saya katakan ianya bukan 'tidak' turun, tetapi 'belum' turun. Sikap 'meleceh' ini masih layak dilebelkan kepada saya kerana ianya masih lagi saya amalkan walaupun hingga kini. Perkara kemas mengemas adalah kerja yang paling membosankan dan saya suka untuk ianya 'dilecehkan'.

Saya tulis begini supaya saya berubah. Sudahlah 'meleceh', saya pula sering terlupa pada perkakasan yang kecil-kecil. Ada seorang rakan mengusik. Kalau saya segera berkahwin sudah tentu ada yang setia mengingatkan. Saya angkat kening dan menjawab, "good idea!".

Idea yang bagus, namun takkanlah saya mahu kahwin semata-mata supaya ada seseorang yang setia mengingatkan saya. Dan secara ringkasnya saya jawab kepada rakan saya itu, "kau fikir dalam fatrah belajar ni, mak ayah aku mahu bagi?"

Ya, ini entri provokasi untuk ibu dan ayah saya. Entri selanjutnya bakal ditulis di tanah air. Doakan perjalanan saya mudah-mudahan selamat pergi dan pulang.

Saturday, June 14, 2008

Sebiji Bola, Dua Wajah

Mengikuti perkembangan dunia bola sepak membawa saya menonton aksi kejohanan Euro 2008 yang sudah seminggu berlalu. Aksi-aksi sengit dan semangat untuk memenangi pihak lawan adalah motivasi yang paling saya suka dalam bola sepak eropah.

Corak di Eropah, kalau anda dijatuhkan atau ditolak pemain lawan, tiada masa untuk dilewahkan, bangun, dan teruskan permainan. Tetapi berlainan dengan di Asia, kalau sekiranya dijatuhkan, kaki pihak lawan yang dicari dulu. Kemusian disusuli dengan caci maki hamun yang berlarutan hingga ke luar padang.

Itu semangat kesukanan dan motivasi yang bagus untuk diri. Kemenangan pasukan adalah perkara nombor satu. Skil individu dan gol peribadi adalah perkara yang diletakkan di prioriti kedua.

Ini adalah sikap yang baik dan wajar dicontohi dalam sesebuah medan perjuangan. Perkara yang berkaitan dengan individualiti diletakkan ditempat nombor dua. Dan yang menjadi prioriti dan keutamaannya adalah kondisi pasukan atau sesebuah jemaah.

Ada suatu perkara yang menarik tentang Euro 2008 melalui pemerhatian saya. Walaupun mereka orang-orang eropah, namun dari sudut bentuk muka atau raut wajah, mereka mempunyai perbezaan. Ia adalah sebuah kejohanan merebut sebiji bola oleh dua jenis wajah. Di nusantara pun, perbezaan wajah tidak dapat dinafikan antara penduduk negara-negara asia tenggara.

Sebagai contoh, antara orang Malaysia dan orang Indonesia. Walaupun berada serumpun di bawah rumpunan nusantara, namun kita mampu untuk membezakan iras wajah antara orang Malaysia dengan orang Indonesia.

Namun perkara ini bukan suatu yang mudah kerana perbezaan ini sangat sedikit. Hanya orang Indonesia dan Malaysia sahaja yang mampu untuk membezakan alis wajah sesama mereka. Buktinya, di Mesir orang-orang arab begitu sukar untuk membezakan antara orang Malaysia dengan orang Indonesia di sini.

Mereka lazimnya dapat mengecam melalui gaya pemakaian dan cara bercakap. Seorang sahabat saya berbangsa arab juga menghadapi masalah yang sama untuk membezakan antara orang Malaysia dengan orang Indonesia.

Pendek kata, walaupun ada sedikit kelainan, namun secara pukul ratanya orang-orang nusantara mempunyai alis wajah yang tidak banyak beza. Warna kulit, jenis rambut, mata, hidung dan lain-lain lagi, kita masih lagi berkongsi 'brand' yang sama.

Namun, ketika menonton Euro 2008 nanti, cuba perhatikan wajah diantara Cesc Fabregas dan Dirk Kuyt. Ini hanya sekadar contoh. Saya yakin hampir kebanyakan pemerhati dapat mencari beza iras wajah antara kedua mereka. Kuyt, seorang penyerang Belanda mempunyai alis wajah ke'inggeris'an, manakala Fabregas, pemain perancang bahagian tengah pasukan Sepanyol mempunyai wajah iras ke'arab'an.

Apabila menyelusuri catatan sejarah, kita tidak akan hairan jika dikatakan orang Sepanyol dan orang Italy mempunyai wajah ke'arab'an. Ini kerana ketika zaman kemuncak peradaban Islam sewaktu pemerintahan Khilafah Abasiyah dahulu, bangsa timur telah pun bercampur dengan bangsa Barat khususnya di kedua-dua negara ini, iaitu Sepanyol dan Italy.

Fakta ini sesuatu yang menarik dan tidak dapat dinafikan oleh dunia. Andalusia dan Sicily, kedua-dua kota ini dahulu menjadi kota pertembungan dua tamadun dari dua arah yang berbeza. Tamadun timur yang digerakkan dengan ruh jihad islami dan tamadun Barat yang digerakkan dengan penubuhan kerajaan Christendom.

Kekuatan skil perang dan pengusaan ilmu sains orang-orang timur sedikit sebanyak telah mewujudkan rasa takjub orang-orang barat terhadap tamadun timur. Sehinggakan para pemimpin dan orang-orang barat meninggalkan bahasa latin mereka dan bertutur dalam bahasa arab untuk menghadiri kuliah ilmu dan memahami sains yang dipelopori oleh orang-orang timur.

Dan kelansungan pertembungan tamadun ini berlaku dengan tercetusnya perang salib seterusnya mewujudkan peralihan tamadun dari timur ke barat dalam pelbagai aspek dan lapangan keilmuan. Peralihan tamadun ini secara tidak lansung mencetuskan sebuah gagasan renaisans yang mengubah warna dan bentuk dunia sehingga hari ini.

Maka, tidak hairanlah jika di eropah masih ramai lagi manusia yang berwajah ke'arab'an terutama di kedua negara ini, Sepanyol dan Italy.

Walaupun sejarah peralihan tamadun mampu untuk mereka ubah, tapi alis wajah mereka tetap menjadi bukti yang kukuh mengenai peralihan tamadun Islam ke tamadun eropah yang berlaku pada kemuncak kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu.

Hari ini dunia Islam masih lagi mengagung-agungkan sejarah itu. Sejarah hanya tinggal sejarah, dan ianya adalah cermin belakang yang harus digunapakai untuk memandu ke arah yang dituju. Ia tidak boleh diubah namun boleh menjadi jalan pandu menuju ke destinasi.

Umat Islam dahulu menjadi sangat gemilang kerana kesatuan daulah dan khilafahnya. Tetapi kini kita telah membeli demokrasi yang dijual kerana kealpaan kita sendiri.

Sejarah tidak akan berubah, ia hanya digunakan sebagai jalan pandu kearah yang mahu dituju. Selamat menonton.

Saturday, June 07, 2008

Seorang Wanita

Dia itu, apabila kasih dan rindunya mengalir pada seorang laki-laki yang bergelar suami, maka akan menerbitkan seribu keindahan dalam taman jiwanya, membariskan sejuta kasih sayang, dan membentang hamparan rasa, juga membubu degup sebuah keimanan.

Seorang wanita itu, apabila dirinya dilihat oleh sepasang mata bergelar suami yang cukup menyayanginya, dia akan terpaku malu, kemerahan di lesung pipinya, hati bagai dicandu, matanya dipuput mekal dengan ketaatan, dan itu adalah cetusan memuncak bagi perasaan cinta seorang lelaki yang bergelar suami. Wanita itu akan selalu berada dalam jiwanya.

Bagi seorang suami, isteri yang solehah itu adalah perkara yang paling utama dalam hidup. Dialah penyeri dihati, pelembut bagi jiwa, penawar ketika sakit, ubat yang sangat berharga, dan nikmat dari Allah s.w.t yang paling besar dalam diri seorang laki-laki, kerana dia hadir untuk mencurah rasa ketenangan dan kesenangan dalam taman jiwa seorang lelaki.

Inilah pandangan Islam terhadap seorang wanita yang bergelar isteri. Penyeri rumah tangga sang suami. Perkahwinan telah meletur seribu satu macam pengisian dalam jiwanya, juga mengajarkan bahawa Islam begitu memandang tinggi nilai dan darjat seorang wanita dalam bibit kehidupan perkahwinan.

Bertitik tolak dari nilai yang tinggi ini, seorang peribadi muslimah tidak akan menjual dirinya dengan harga yang murah untuk mendapatkan harga sebuah kasih sayang. Kehormatannya dipelihara dengan aman dan menghias dirinya dengan keperibadian gadis muslimah yang sempurna.

Seorang laki-laki muslim adalah mereka yang memilih kesempurnaan, namun tidaklah meletakkan kesempurnaan itu pada paras kecantikan, keindahan tubuh badan, serta harta, dan pangkat kekayaan. Justeru peribadi muslim akan meletakkan suatu ukuran pada hati, jiwa dan keperibadian seorang muslimah.

Ia bahkan mencari seorang wanita yang menghias diri dengan sifat-sifat Islami yang tinggi dan mampu mewujudkan kehidupan rumah tangga yang indah dan tenteram.

Al-Quran telah menggambarkan hubungan ini sebagai suatu yang fitrah dan abadi diantara dua jantina yang berbeza ini. Seperti mana dalam surah ar-Rum ayat 21:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
(Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir)

Sesungguhnya fitrah penciptaan seorang wanita itu adalah dari sisi para suaminya. Supaya si suami mampu dideriakan dengan rasa fitrah (mahabbah dan rahmah). Fitrah itu adalah kecenderungan untuk melahirkan kasih sayang terhadap wanita miliknya.

Fitrah ini adalah kimia yang terjalin dalam sebuah hubungan jiwa. Jiwa seorang adam untuk cenderung kepada seorang hawa yang dicipta untuknya. Jiwa seorang hawa pula adalah untuk merasakan ketenteraman ketika berada bersama dengan seorang adam yang dikasihinya. Ia adalah sebuah ikatan kimia yang diadun dengan rasa cinta dari Tuhan yang Maha Pencipta, yang berkuasa untuk melahirkan perasaan fitrah yang begitu suci dan luhur itu.

Maka, Kehendak Allah s.w.t telah mengikat antara dua jiwa ini agar keduanya merasakan ketenangan, ketenteraman dan kesenangan di dalam rumah tangga yang indah dan menyenangkan, yang dipenuhhi dengan cinta yang tulus dan kasih yang tiada akhirnya.

Rasulullah s.a.w menegaskan dalam banyak wasiat baginda bahawa kecantikan bukanlah kayu ukuran yang sebenar, tetapi kecantikan juga merupakan ciri yang termasuk dalam sifat utama yang dicari oleh laki-laki dan wanita yang solehah. Antaranya nasihat Baginda s.a.w kepada Ibnu Abbas:

"Mahukah aku beritahumu tentang sebaik-baik perkara yang dimiliki oleh seseorang? Iaitu wanita solehah yang apabila melihat kepadanya akan menyenangkanmu, dan apabila kamu menyuruhnya ia akan taat, dan apabila pergi darinya ia akan menjaga hak suaminya."
(Riwayat al-Hakim)


Ini merupakan diantara pesanan Rasulullah s.a.w kepada para muslimin agar pernikahan mereka didasari dengan keseimbangan antara jasad, ruh, akal, jiwa dan emosi, agar kasih sayang menjadi kukuh dan tidak goyah apabila dicabar dengan kekerasan jiwa. Juga ia merupakan kunci rahsia kepada pembangunan sebuah rumah tangga yang menjadi tempat tumbuhnya generasi muslimin, melahirkan kepahlawanan dan melahirkan anak-anak zuriat yang genius.

Seorang yang bernama wanita itu tidak dilahirkan dalam fitrah yang bersifat individualistik, bahkan dia lahir dari sebuah kondisi jiwa yang tidak lurus sifatnya, cenderung kepada hawa nafsu, kerana fitrah akalnya selalu lemah dan mudah ditewaskan oleh nafsu dan emosi.

Maka itu, Wanita tidak dapat lari dari kecenderungannya terhadap kehadiran seorang lelaki dalam hidup, itulah fitrah seorang wanita. Dia dilahirkan untuk ditenangkan oleh kasih sayang dari seorang suami. Telah berwasiat Rasulullah s.a.w:

"Berwasiatlah kamu kepada wanita dengan wasiat yang baik, kerana wanita diciptakan dari tulang rusuk, dan tulang rusuk yang paling bengkok sekali adalah yang tersusun paling atas (dalam struktur tulang rusuk manusia), kalau engkau meluruskannya, engkau akan mematahkannya, dan jika engkau biarkan, ia akan tetap bengkok, maka berwasiatlah kepada para wanita dengan wasiat yang baik."
(Riwayat Bukhari & Muslim)


Alangkah besarnya perhatian Rasulullah s.a.w terhadap fitrah para wanita ini. Maka, hati seorang lelaki harus terbina atas pemahaman yang mendalam terhadap jiwa seorang wanita dan sifatnya. Seorang suami tidak boleh lari dari bertoleransi terhadap kesalahan isterinya, dan akan banyak menerima kekhilafan dari isteri sejajar dengan tabiat dan fitrahnya.

Dengan demikian, kehidupan rumah tangga mereka akan terasa aman, tenang dan bahagia. Tiada pertengkaran yang akan menghalang dalam kehidupan perkahwinan mereka kerana si suami begitu memahami hati dan jiwa isterinya. Orang beriman yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan laki-laki yang terbaik dikalangan manusia adalah seorang suami yang paling baik memberikan layanan terhadap isterinya.

(Entri ini bersifat dewasa, sila banyakkan berpuasa)

Tuesday, June 03, 2008

Politik Islam?

Gila. Dunia blogger Melayu sudah diibarat sebagai dunia blog politikus. Sana sini berbincang perkara yang sama. Iaitu politik.

Walaupun tak semua blog bercerita tentang politik, namun apabila setiap kali melayari dunia maya, mata ini takkan terlepas dari blog-blog yang bersifat 'political' dan isu semasa.

Itu memang sudah jadi lumrah, blog politik adalah blog yang paling disukai ramai. Bak kata sebahagian blogger, kalau mahu blog anda ramai pengunjung, tulis-tulislah pasal politik. Lebih-lebih lagi apabila tercetusnya angin tsunami politik di tanah air pasca PRU-12 yang lalu.

Entah macam-macam blog yang muncul. Biasanya blog-blog politik ini 'unidentified author', kecuali beberapa jenis manusia yang memang berani menonjol diri serta bakat untuk menulis perihal politik. Bukan mudah, silap-silap langkah boleh kena humban dalam 'abu gharib', ops.. silap, ISA.

Blog ini adalah diantara blog yang paling malas untuk melepaskan entry-entry berlabel politik. Takut? hahaha.. Nak takut siapa? blog ini pun bukanlah menjadi perhatian sangat. Tak lebih hanyalah kawan-kawan saja yang berkunjung. Itu pun pasal mahu tahu apa perkembangan terbaru.

Pengunjung yang tak kenal pula, kadang-kadang bila masuk laman ni dan tengok artikel yang panjang-panjang, malas nak baca. Terus keluar. Malas nak serabut kepala baca artikel yang panjang-panjang, lagilah artikel bersifat ilmiah. Tambah lagi, orang-orang melayu kebanyakannya memang tidak tertarik (malas) dalam lapangan pembacaan ini.

Yang mereka gemar lazimnya pada perkara yang berkaitan dengan politik dan kutuk mengutuk. Sebab itu blog politik dan blog kutuk mengutuk selalu tidak terlepas dari mendapat rating yang tinggi.

Blog ini memang dikhususkan untuk suara peribadi penulisnya. Lebih bersifat sastera, analitikal, kritikal dan optimistik terhadap pembangunan nilai dan jiwa. Siapa mahu baca, silakan. Yang tak mahu baca dan hanya mahu 'copy paste' html dari blog ini pun, silakan. Dunia blog adalah dunia kebebasan.

Ada juga yang meminta pada blog ini untuk memberi ulasan setidak-tidaknya pendirian penulisnya berkenaan politik tanah air terutama ketika PRU-12 yang lalu.

Permintaan itu terpaksa aku tolak dengan baik dan tertib. Sebab dunia politik tanah air bukanlah dunia aku. Bagi aku, politik yang sebenar adalah politik Imamah. Maaf, politik Imamah bukanlah hak orang-orang Syi'ah. Ia adalah kewajipan seluruh orang Islam, namun ramai yang tidak perasan. Ia adalah politik cara Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a.

Politik adalah fitnah yang paling besar sekali dalam sejarah Islam. Itu adalah fakta. Bukan aku cerita main-main. Muktamar saqifah Bani Sa'adah barangkali yang pertama, namun masih boleh diterima ramai.

Tetapi apabila konspirasi pembunuhan Saiyidina Uthman tercetus, itulah saat yang aku rasa paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam. Politik cara Rasulullah s.a.w dan khulafa' ar-rasyidin semakin hilang, dan selepas itu timbul seribu satu perpecahan dalam ummat.

Itu politik yang aku fikir wajib dan lebih utama untuk aku perjuangkan. Politik tauhid dan politik yang sebenar-benar politik. Dan kalau aku menulis pun mengenai politik, aku akan menulisnya tentang politik cara itu. Mungkin aku katakan begitu sebab politik dimana-mana pun kini sudah melalut banyak.

Walaupun 'substance' politik demokrasi ada persamaan dengan politik Imamah, namun kedua-duanya masih lagi berbeza. Aku masih katakan yang politik demokrasi masih kurang sempurna. Ia politik yang menzalimi Islam. Sebab apa aku katakan politik demokrasi menzalimi orang-orang Islam?

Sebab politik demokrasi masih lagi dipersempadani oleh sepadan yang bernama 'negara' dan 'bangsa'. Itu sebenarnya 'essence' yang mahu dijual kepada orang-orang Islam.

Tak usahlah kita mahu memperjuangkan hak palestin, dan tak perlu kita bersemangat untuk memperjuangkan nasib orang-orang Islam yang dizalimi, jika kita masih lagi bergelumang dengan politik yang menyempadani orang-orang Islam dengan tembok 'negara' dan 'bangsa'.

Demokrasi tidak akan dapat memperjuangkan penentangan kita terhadap kezaliman zionisme, bahkan kita akan terus tunduk kepada Amerika dan dunia barat kerana kita masih lagi terkongkong di dalam tembok sebuah negara yang lemah. Ya, demokrasi adalah sebuah proksi.

Jika parti Islam menang sekalipun di Malaysia, belum tentu ummat Islam berubah. Mungkin hanya di malaysia, sedangkan hak orang-orang Islam yang lain tetap akan dizalimi. Lihat saja di timur tengah, adakah demokrasi mampu menyelesaikan kemelut di Asia Barat dan ketidaksefahaman negara-negara Arab?

Kita lihat sendiri peperangan yang berlaku sesama saudara Islam, sedangkan pihak yang mencetuskannya bertepuk tangan menonton sebuah pementasan. Adakah demokrasi itu pada hakikatnya berjaya membela Islam?

Politik demokrasi memang sudah selalu menidakkan hak manusia. Kita perlu ubah segera. Saudara-saudara kita yang dizalimi dan diperkosa itu sudah tidak tertahan lagi dengan penderitaan yang mereka sedang alami. Adakah ini perjuangan Hizbut Tahrir dan Syi'ah? Oh, tidak. Sedarlah, politik Imamah adalah perjuang dan kewajipan setiap orang Islam. Ingat, fardhu kifayah.

Kalau kita katakan yang kita mahu berpolitik cara Islam, mengapa kita masih lagi mahu mengambil corak politik Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a secara separuh-separuh dari segi teknikalnya? sedangkan sudah menjadi perintah Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 208, agar kita mengambil corak kehidupan Islami secara keseluruhan? atau rupanya kita masih lagi rabun dan ego untuk menerima kebenaran?

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

(Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu)

Adakah aku tidak realistik? dan tidak berpijak di bumi yang nyata?

Jawapan: Mengapa tidak? Mengapa aku tidak mahu memperjuangkan sesuatu kewajipan dan sebuah perjuangan yang tidak mustahil?