Seluruh hidup anda adalah kosong. Anda tidak tahu sesuatu lansung dan tiada mempunyai apa-apa. Hidup anda gelap-gelita. Segala benda anda tidak tahu. Anda dalam kegelapan dan hitam.
Pernahkah anda rasa begitu? Ataupun sedetik berada di tempat orang yang mengalaminya?
Semalam saya menonton sebuah filem yang cukup cemerlang. "Black". Sebuah filem keluaran Bollywood yang antara paling cemerlang pernah saya tonton. Boleh juga saya katakan agak rugi bagi sesiapa yang belum menontonnya. Tetapi benarkah? Entah ya...
Michelle McNally (Ranee Mukergi) lahir dalam keadaan buta, pekak dan bisu (Saya pun tidak dapat menggambarkan betapa hidup dalam keadaan tersebut). Hidupnya bukan seperti kanak-kanak lain. Permainan hariannya adalah membuat kerosakan barang-barang rumah. Didikan ayahnya adalah sepak terajang. Semua gara-gara kehidupannya yang kosong dan gelap. Dia tidak faham satu apa pun di dunia ini.
Tetapi datang satu cahaya menerangi kegelapan dalam hidupnya. Dia diperkenalkan dengan seorang guru, Debraj Sahai (AmitabhBachchan), seorang yang sangat pelik dan mempunyai cita2 yang tinggi. Sahai adalah orang yang mengubah hidup keluarga McNellydan seluruh kehidupan Michelle. Bagaimana? Hanya yang menonton sahaja tahu.
Secara umum keseluruhan 'Black' mengisahkan tentang bagaimana Debraj Sahai mengubah kehidupan Michelle dengan jari sehingga dia akhirnya berjaya masuk ke universiti dan menghabiskan berpuluh tahun di universiti sehingga memperoleh ijazah. Latar waktu sekitar era pasca-merdeka Anglo-India, filem ini pada saya berjaya membezakan dengan filem-filem 'poyo' hindustan yang lain.
Awal ceritanya berkisar tentang perubahan hidup Michelle hingga dia melanjutkan pelajaran ke universiti. Puncak klimaks lebih kurang pada 3/5 keseluruhan cerita ketika mana Sahai sudah tua dan mula menghidap Alzheimer. Dia sudah mula lupa beberapa perkara termasuk dirinya sendiri. Sejak itu hidup Michelle yang bergantung pada gurunya itu berubah. Dia perlu berusaha sendiri tanpa guru kesayangannya itu.
Bagi saya, harga tinggi yang saya letakkan untuk filem ini adalah pada nilai kemanusiaan yang dipaparkan. Terus terang belum pernahsaya menonton sebuah filem yang bernilai seperti ini dari awal hingga ke penghujung cerita. Setiap baris skrip mempunyai makna tersendiri yang begitu luas, signifikan dan berabstrak.
Mungkin orang lain boleh meletakkan stiker "CRAP" pada pintu keluar filem ini, tetapi bukan bagi saya. Satu perkara yang perlu dicontohi oleh pembikin filem Bollywood melalui filem ini adalah tiadanya tarian dan nyanyian yang cukup membunuh ketika menonton cerita-cerita Hindustan.
Satu perkara lagi dalam 'Black' ini yang patut dipuji adalah filem ini jelas 'berpuasa' daripada aksi berjoget dan berfigura ghairah, bergolek-golek di taman, serta nyanyian asmara di antara hero dan heroin seperti yang berada pada 'setiap' filem Hindustan. Jelas sekali filem ini mempunyai nilai kualiti dan skema yang tersendiri. Pujian juga saya lontarkan bagi idea dan tema filem ini.
Anda boleh mengatakan apa sahaja setelah menonton filem ini. Mungkin ramai yang bosan dengan plot cerita ini yang agak lambat dan tidak lasak, tapi mungkin boleh membuatkan anda berair biji mata. Tonton dahulu baru tahu...
/* Tolong jangan tanya saya sama ada saya menangis atau tidak...!!!
No comments:
Post a Comment