Monday, November 27, 2006

Perang Ke Atas Protozoa

Minggu lepas adalah minggu 'baringan' bagi saya. Hampir separuh masa saya di rumah. Kelas mengajar Mantiq pun terpaksa ditangguhkan kerana si 'protozoa' ini. Sebenarnya bukanlah si 'protozoa' yang salah tetapi Akmal (ahli bilik) menamakannya sebagai pesalah. Atas alasan apa saya kurang pasti (mungkin sejarah silam).


Seminggu saya terbaring demam mungkin adalah supaya saya mengingat kebesaran yang Maha Esa. Mungkin juga sebagai platform untuk saya berehat di rumah. Tetapi ia bukanlah masa yang sesuai sebab peperiksaan fasal ini akan bermula 6 Januari 2007 ini dan tidak banyak masa lagi untuk saya mengulangkaji.

Hakikatnya serangan 'protozoa' yang dimaksudkan adalah serangan 'Otitis Media' bersama Bendalir. Ia menyerang kedua telinga saya pada malam hari dan menyebabkan kesakitan yang teramat sangat.

Bagaimanakah ianya terjadi? Ia terjadi disebabkan virus atau bakteria yang memasuki telinga saya dan membuat onar di dalamnya. Diantara penyebab utama penyakit ini adalah keadaan sejuk yang amat melampau, dan lazimnya kanak-kanak sering terkena jangkitan ini (tu yang x puas ati tu...).

Lazimnya bakteria atau virus ini akan menyerang dan membengkakkan saluran 'eustachian' ataupun 'eustachian tubes' atau juga 'adenoids' (kedudukannya berdekatan dengan kerongkong). Dengan sebab jangkitan dan bengkakan daripada virus itu, saluran 'eustachian' akan tersumbat oleh bendalir dan juga mukus daripada cuaca yang sejuk. Kadang-kala ia akan dirasa begitu menyakitkan sekali terutama pada malam hari.


Sudah tentu telinga dan pendengaran saya akan terjejas. Walaupun sementara tetapi risiko hariannya amat memedihkan. Antaranya:

1) Saya sukar bangun pagi kerana alarm di 'henset' tidak kedengaran.
2) Saya seringkali terlepas mendengar iqamat di mesjid menyebabkan lambat ke mesjid.
3) Saya kerapkali terlepas dengar panggilan ahli bait atau tidak mendengar apa yang mereka bualkan.
4) Suara televisyen terpaksa saya kuatkan menyebabkan pencemaran bunyi di rumah.
5) Banyak lagi...

Ini semua mungkin ujian dan rahmat Allah untuk menguji saya dan menguatkan iman saya. Barangkali tergambar dalam benak fikiran bagaimana penderitaan sahabat-sahabat saya yang tidak mampu mendengar langsung. Adakah mereka redha ataupun hangin satu badan macam saya?

Semoga Allah merahmati saya, menjadikan saya hambanya yang bersyukur dan meletakkan saya dikalangan hamba-hambanya yang soleh.

No comments: