Thursday, March 22, 2007

Menerakakan Manusia

(Catatan Penat Selepas Bazaar)

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

(Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri"). (Fussilat : 33)

Trend masyarakat Malaysia akhir-akhir ini memang semakin menjadi-jadi dan meruncingkan. Mana tidaknya, kalau dahulu tok-tok guru dihormati, diberi salam dan senyuman ketika berselisih, dan dihadiri kelas pengajiannya, tetapi hari ini lansung tidak membalas senyuman, bahkan guru-guru agama sering menjadi bahan umpatan, cercaan dan hinaan termasuk oleh anak muridnya sendiri.

Menghormati guru-guru agama, atau bahasa mudahnya iaitu pendakwah, menjadi tuntutan agama. Kerana dalam sebuah ayat dari Surah Fussilat, iaitu ayat ke-33, Allah s.w.t meletakkan martabat du'ah (pendakwah) pada martabat yang paling tinggi sekali disisiNya. Kata-kata mereka adalah yang paling mulia dan paling berharga disisi Allah s.w.t dan mereka wajar untuk dihormati.

Kerana itu di dalam ayat tersebut Allah menggunakan lafaz isim tafdhil (lafiz melebihkan) iaitu أَحْسَنُ yang bererti lebih baik. Bermaksud, tiada kata-kata yang lebih baik disisi Allah melainkan kata-kata orang yang berdakwah kepada jalan Allah s.w.t berbanding kata-kata orang yang selain daripada itu.

Saya cukup tertarik untuk menulis berkenaan ayat ini kerana situasi di Malaysia kerap meminggirkan konklusi daripada ayat ini. Ada segelintir manusia sanggup tampil kehadapan manusia menghina, memfitnah dan mengkeji para pendakwah untuk mendapatkan sesuap nasi.

Alasan mereka mudah sahaja. Pendakwah ini salah, dan pendakwah itu ahli neraka. Pendakwah ini jahil, dan pendakwah itu tidak punyai critical thinking. Golongan agamawan sering menjadi kambing hitam daripada hunusan tajam dan kerasnya lidah mereka memfitnah.

Perkara ini wajar untuk kita sedihi. Mana tidaknya, kebanyakan fitnah itu datang dari orang-orang agama sendiri. Seolah-olah mendabik dada kononnya dia yang membawa kebenaran yang sebenar. Orang lain salah kerana tidak kritikal, jahil dan tidak mahu belajar hingga Phd sepertinya. Kemudian beria-ia menulis sajak dengan nada kesedihan, dengan alasan perjuangan, agar mengharapkan orang yang membacanya jatuh simpati terhadap perjuangannya.

Kemudian apabila ditegur, mula mencari alasan dengan Al-Quran dan Hadith. Segala macam bentuk kaitan daripada hadis akan dikaitkan untuk membela diri sendiri. Sehingga sanggup berkubu dibelakang nama ulama-ulama besar supaya sasaran tidak mengenainya, tetapi melukai ulama-ulama besar itu. Lantas fitnah lagi ke atas ulama-ulama besar menjadi bisul dalam barah.

Saya sebenarnya hanya suka untuk berdiri diatas pagar kalau kerbau berlaga dengan kerbau. Tapi dalam situasi sebegini, saya tidak boleh terus berdiri. Saya perlu turun sama ada ke kiri atau ke kanan untuk membantu, dan apa yang perlu saya perhatikan ialah kerbau mana yang gila, dan saya perlu berada diantara kerbau dua kerbau untuk menghentikan naik syeh kerbau gila itu.

Memang tidak dinafikan, ada segelintir pendakwah yang bukan ahli untuk berdakwah. Itu juga tidak menafikan bahawa semua orang boleh jadi pendakwah. Seperti doktor dan jurutera, ada juga doktor yang jahil ilmu kedoktoran dan ada juga engineer yang jahil tentang ilmu kejuruteraan. Tetapi kalau menyapu bersih untuk menghina semua doktor perubatan dan semua jurutera, itu adalah suatu kesalahan jenayah ilmiah terancang dari orang yang jahil.

Setiap manusia tidak dapat lari dari kesalahan, dan tugas ahli agama dan pendakwah adalah sama-sama berganding bahu mendidik umat dan masyarakat mengenal Tuhan. Mencari pelbagai alasan menjatuhkan orang lain bukan jalan yang terbaik. Mereka sebenarnya boleh menegur para pendakwah ini dengan teguran yang baik dan berhikmah. Dan menghamburkan kesalahan manusia di hadapan orang ramai bukanlah suatu bentuk teguran yang baik.

Justeru, adakah 'berterang-terangan' memberitahu kesalahan pendakwah lebih baik dari 'bersenyap-senyap' tentang jiran sebelah rumah yang bersedudukan? Semata-mata untuk menutup aib manusia! Ataupun adakah lebih baik me'neraka'kan saudara semuslim yang lain itu lebih baik daripada meletakkan nama semuslim dengan nama anak tuhan Hindu? Semata-mata untuk memelihara ikatan persaudaraan! Fikirkan...

Trend-trend seperti fitnah memfitnah dan suka mencari kelainan dalam urusan agama ini sebenarnya semakin berleluasa dan seluruh masyarakat perlu menyedarinya. Trend ini tidak lari dengan belia yang menyertai punk, skinhead dan lain-lain lagi, kerana kebanyakan mereka ini ingin mencari kelainan dan yang menjadi penggeraknya adalah dikalangan orang-orang muda yang sinonim dengan kependekan akal dan kemiskinan al-hikmah. Itulah persamaan mereka.

Walau apapun, berkat hidayah Allah, jika kita lihat para pendakwah ini mereka cukup tenang dan tidak mudah melenting dengan fitnah-fitnah sebegini. Mereka kebanyakannya tidak mengambil cakna fitnah ini dan terus istiqamah melakukan amal kebaikan dengan mengajar manusia mengenal Tuhan tanpa menyimpan sebarang dendam apa lagi mengherdik semula.

Ingatlah bahawa penghormatan kepada para pendakwah ini adalah sebuah nilai keikhlasan, terima kasih dan kemuliaan disisi Allah, kerana sesungguhnya kata-kata dan usaha mereka itu lebih baik dan terpuji disisiNya dari kata-kata manusia lain, dan tugas kita bukanlah untuk mencela mereka.

Dan untuk para pendakwah, ini ada dua ayat dari Al-Quran yang Allah telah turunkan untuk menggembirakan hati anda sekalian bila mana difitnah :

* وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا ذُو حَظٍّ عَظِيم

(Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang setia * Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar *)
(Fussilat : 34 : 35)

No comments: