Thursday, March 01, 2007

Tips Orang Dewasa

Bungkusan pertama dibuka. Isinya ialah set minuman yang mengandungi sebiji teko, enam cawan dan enam piring. Cantik dan memang diperlukan oleh pasangan yang baru memulakan alam rumah tangga.

Bungkusan kedua pula dibuka. Isinya juga set minuman. Hadiah ketiga dan keempat yang dibuka juga sama, set minuman. Setelah semua hadiah dibuka, pengantin baru itu ada 17 set minuman.

Selain berdozen set minuman, turut dikumpul pada hari membuka hadiah itu ialah sembilan periuk elektrik, tujuh seterika, enam mesin pengisar (blender), lima kipas angin, empat lampu meja, empat pembakar roti, dua cerek elektrik dan tiga jam dinding.

Bukanlah tidak menghargai barang-barang yang diterima, tetapi jika terlalu banyak barang yang sama, ia sudah menjadi suatu pembaziran. Sebagai pasangan baru, bilakah agaknya hendak digunakan kesemua 17 set minuman ini?

Sejak dulu lagi memberi hadiah adalah salah satu ciri khas dalam perkahwinan. Selain sumbangan wang ringgit, hadiah adalah pemberian yang ikhlas kepada pasangan pengantin. Sumbangan wang tidak kira berapa jumlahnya memang amat dialu-alukan oleh tuan rumah. Sebenarnya, ini yang paling praktikal, sekurang-kurangnya boleh menampung perbelanjaan kenduri.

Pemberian hadiah juga amat dihargai. Tetapi, kalau kena caranya, hadiah-hadiah ini akan menjadi lebih bererti. Tentulah dua set minuman akan lebih digunakan, jika 17 set mungkin banyak yang akan disimpan di bawah katil. Apa perlunya sembilan periuk elektrik untuk pasangan baru yang memasak mungkin hanya dua atau tiga kali seminggu? Ini kerana mereka lebih banyak makan diluar kerana mudah dan murah.

Satu pembakar roti sudah mencukupi, yang selebihnya mungkin akan berkarat di stor. Sebuah seterika sudah memadai untuk menggosok baju, yang selebihnya mungkin jadi perhiasan. Batapa halnya enam mesin pengisar dan lain-lain barang yang sama itu? Ada kemungkinan barang-barang yang terlebih itu akan dibungkus semula untuk dihadiahkan di majlis perkahwinan orang lain pula!

Masanya sudah tiba untuk kita menghentikan pembaziran dan merancang sebelum membeli hadiah untuk perkahwinan. Satu cara yang mudah ialah berpakat dengan kawan-kawan yang hendak membeli hadiah.

Katakan ada 10 orang kenalan untuk memberi hadiah seorang kawan yang menjadi raja sehari. Ada kemungkinan semua sepulah kenalan itu akan membeli hadiah yang sama iaitu cerek elektrik.Tentulah lebih baik dan lebih bijak, sekiranya mereka berpakat untuk membeli hanya satu hadiah. Jika sebuah cerek harganya RM30, kali sepulah sudah jumlahnya RM300.

Wang yang dikumpul oleh sepuluh orang itu boleh digunakan untuk membeli satu yang harganya lebih mahal dan mungkin lebih diperlukan. Dengan RM300 mungkin boleh dibeli sebuah ketuhar. Kalau tidak sepuluh, dua tiga orang pun boleh berpakat untuk membeli sejenis hadiah. Kalau tidak berpakat, kemungkinan pengantin akan menerima tiga pembakar roti.

Entah kenapa dari dulu hingga sekarang, orang kita tertarik betul untuk menghadiahkan benda-benda seperti set minuman, seterika, periuk elektrik dan jam dinding.

Mungkin kita boleh cuba hadiah lain yang lebih praktikal. Contohnya, set alat pertukangan, sangkar burung (untuk yang meminati burung), set memancing, pakaian dan set sukan, atau mesin pemotong rumput. Untuk pasangan yang minat menjahit, mungkin kawan-kawan boleh berpakat menghadiahkan mesin jahit automatik. Atau, jika diketahui pengantin meminati haiwan, boleh hadiahkan kucing siam, ikan koi atau kura-kura.

Dan, tentu tidak salah menghadiahkan pengantin baru dengan bonsai, pohon cempaka atau lain-lain tumbuhan taman yang boleh menghias rumah. Juga tidak salah menghadiahkan anak duriah baka terbaik. Atau kalau hendak kelainan tetapi bermanfaat untuk santapan minda pengantin, hadiah berbentuk langganan majalah boleh dicuba. Langganan majalah PESONA PENGANTIN cuma RM100 untuk 12 keluaran. Setiap bulan apabila majalah dihantar ke rumah, pengantin pasti akan teringat dan menghargai pemberian hadiah itu.

Pendek kata, jangan asyik dengan set minuman atau pembakar roti. Kalau banyak sangat cawan, pengantin pun susah hendak mengingat siapa pengirimnya. Hadiahkan sesuatu yang ada sedikit kelainan dan boleh membangkitkan kenangan kepada pengantin tersebut.

Bagaimanapun suka diingatkan, janganlah demi untuk mencari kelainan, diberikan pula hadiah yang bukan-bukan. Contoh: kalau pengantin meminati haiwan, jangan pula dihadiahkan anak harimau atau badak sumbu. Walaupun pengantin mempunyai kolam ikan yang besar dan cantik, janganlah dihadiahkan buaya tembaga atau ikan paus dan ular sawa. Cukuplah hadiahkan ikan koi dan kura-kura.

Amaran: jangan sesekali menghadiahkan kapak, lembing, pedang samurai atau bom tangan buatan sendiri. Tidak digalakkan juga menghadiahkan keris, walaupun hanya untuk hiasan dinding. Tidak baik juga malah boleh dianggap kurang ajar menghadiahkan sesuatu seolah-olah mencabar atau memperlekeh kejantanan pengantin lelaki, seperti kapsul Tongkat Ali.

Pendek kata, bukan mudah memilih hadiah untuk pengantin. Kalau tersilap beri boleh disalah tafsir dan menyinggung perasaan. Kalau diberi barang yang sama dan tidak dimanfaatkan, membazir pula jadinya.

Cara yang terbaik dan pasti akan disukai oleh pengantin ialah dengan bertanya bakal pengantin sebelum membeli hadiah. Memang tidak biasa dilakukan, tetapi tidak salah sekiranya kita bertanya. "Saya nak beri awak hadiah, apa yang rasanya awak perlukan?"

Kalau semua bertanya begitu pengantin boleh menentukan apa yang diperlukan: peralatan memasak, mini TV, set hi-fi, perisian komputer, akuarium, set permainan karum, pencukur janggut dan sebagainya yang berpatutan. Tetapi, mentang-mentang ada yang bertanyakan hadiah, janganlah pula meminta sesuatu yang diketahui di luar kemampuan orang yang bertanya. Janganlag suka mengambil kesempatan, nanti kena penendang. Contoh: tentu tidak munasabah sekiranya pengantin meminta kereta Produa Kelisa atau meminta sebuah apartment mewah. Kalau dia tergamak meminta TV 29 inci atau peti sejuk berukuran besar, pun sudah dikira melampau.

Akhir kalam, amalan memberi hadiah kepada pengantin perlu diteruskan. Ini adalah cara kita meraikan dan menghormati pasangan yang baru memasuki alam rumah tangga. Bagaimanapun, cara kita memberi hadiah dan apa hadiah yang hendak diberi perlu disesuaikan dengan keperluan pengantin. Pembelian hadiah pun boleh dirancang dan boleh dikongsi bersama.

No comments: