Tuesday, April 17, 2007

Cerita Atuk

(Asyik-asyik mencerna ajer, kita tukar rentak pada celoteh nenek pulak...)

Memang dugaan bila waktu hampir dengan peperiksaan ini. Musim inilah banyak orang yang sakit-sakit, demam-demam, putus tunanglah, ribut pasirlah, kena sampuk. Pendek kata, angin sepoi-sepoi yang selama ini lalu, tiba-tiba diselangi dengan taufan yang bertalu-talu.

Macam jugalah masa aku tengah study ni. Angin ribut pasir pula datang kacau rambut aku tak henti-henti dari tadi. Habis buku-buku atas meja ni penuh dengan pasir, walhal baru aku buka beberapa saat. Memanglah aku duduk dekat sebelah tingkap, tapi tingkap ni aku tak buka sebab bahaya.

Rumah ardhiyah (tingkat bawah) ni memang senang untuk orang masuk. Kalau dibukakan tingkap, maksudnya sedang menunggu tetamu untuk masuk. Tingkap tertutup pun, pasir masih lagi boleh masuk, pelik. Habis buku-buku depan mata ni berpasir. Kalau ditiup tu, ada semacam cerita-cerita misteri yang jumpa barang-barang lama dekat atas loteng. Sekali tiup, berterbangan kumpulan habuk-habuk pasir yang terbentuk.

Sebulan lagi untuk peperiksaan sem akhir. Kiranya sekarang ini tengah dalam proses mahu habiskan baca kitab. Ada sepuluh madah. Nampaknya, mahu tak mahu kena set masa dari sekarang. Kalau satu madah satu kitab okey lagi, ini satu madah kadang-kadang dua atau tiga kitab kena habiskan. Tapi kira okey lagi, ada student yang kena ambil lagi banyak dari ini.

Dari mula-mula aku beli kitab tauhid ni, aku terfikir, kenapalah tajuknya 'Arjuzah Jauharatul Tauhid'? Apa halnya yang dimaksudkan dengan 'arjuzah' tu? (kalau loghat tempatan disebut 'arguzah'). Belek-belek punya belek kitab ni, tak jumpa. Selak punya selak kat dalam, tak ada. Last-last Zaki beritahu pada aku, "Kau ada study arudh wal qafiyah tak dulu?". "Ada...". "Arguzah tu adalah kumpulan bahar-bahar rajaaz...". Nasib baik ada budak lughah beritahu.

Aku buka balik kitab. Baru ternampak ada matan bahar rajaaz pada setiap topik. Hebat juga Imam al-Laqaani bikin matan macam ni. Senada bunyinya bila dibaca. Ringkas, dah tu semua point ada dalam matan. Sebenarnya masa tengah menulis ni, aku baru habiskan separuh kitab, bajetnya nak habiskan semua sebelum malam. Nanti malam nak pindah kitab lain pula.

Bila baca baru terperasan yang kitab ini agak mudah sikit dan mesra pembaca berbanding 'Taqribul Muram Syarah Tahzib Kalam' yang aku study untuk tahun satu dulu. Kalau kitab yangi tu aku boleh tahan setengah jam saja kalau dibaca terus menerus, lepas tu gerenti tidur. Apa pun moga aku diberi kekuatan untuk habiskan baca kitab-kitab ni sebelum akhir bulan, sebab kalau ikut plan, masuk bulan depan perlu tumpuan untuk Al-Quran pula.

Untuk kawan-kawan, doakan aku sama. Biasanya musim peperiksaan adalah musim yang banyak mengganggu. Musim-musim begini dah punya catatan sejarah yang banyak. Krisis cinta lebih-lebih lagi. Sudah, aku sudah letih menulis, mahu disambung membaca kitab yang baru sampai separuh. Ini pun menulis sebab pasir sedang mengganggu meja belajar aku. Aku rehat kejap, buat kopi, dan terus tulis entri ni.

No comments: