Wednesday, April 11, 2007

Edisi Korek - Vatican

Saya ada bertanya pada beberapa teman saya ketika waktu santai. Pernahkah mereka mendengar tentang kota Vatican City? Kebanyakan mereka menjawab, pernah mendengar, tetapi tidak pasti di mana letak kawasannya dan setahu mereka ia tidak lebih dari sebuah bandar biasa.

Lebih membuatkan kening saya terangkat lagi adalah ada antara mereka yang menjawab tidak tahu lansung, apatah lagi mendengar tentang namanya. Saya bertanya tentang kota itu pada mereka kerana latar tempat bagi cerpen saya (Biasan Prisma) baru-baru ini adalah di kota Vatican City. Maka, point saya untuk mereka adalah, adakah mereka ada punya gambaran tentang kota kecil itu?

Berkepadatan seramai lebih kurang 800 orang, Vatican City diiktiraf sebagai negara yang terkecil di dunia. Ia terletak di dalam kawasan Rome, Italy.

Vatican City sering dijadikan tumpuan bagi masyarakat beragama Kristian. Selain daripada Baitul Laham ataupun Beth Lahm yang didirikan maharaja Costantine di Jerusalem, kota Vatican City merupakan sebuah lagi kota yang suci dan dipelihara oleh penganut agama Kristian terutamanya bagi penganut mazhab Katolik.

Apakah rahsia disebalik kota utama Christendom ini?

Vatican sebenarnya menyimpan sebuah gereja yang terbesar dalam empayar Christendom, kerajaan dunia Nasrani yang diketuai Pope. Kalau anda ke sana, dari hujung sempadan Vatican sudah kelihatan kubah putih Saint Peter's Basilica. Saint Peter's Basilica adalah sebuah gereja yang menjadi titik tengah dan tumpuan utama bagi pengunjung Vatican City.

Della Consiliazione Road
Laluan Ianni Amedeo ke Saint Peter's Basilica dalam Biasan Prisma

Kalau tepat di bawah kubah hijau Masjidil Nabawiy, Medina al-Munawwarah, bersemadinya jasad mulia baginda Rasulullah s.a.w, maka tepat di bawah kubah Saint Peter's Basilica pula bersemadinya jasad St Peter, salah seorang dari pengikut Nabi Isa a.s daripada dua belas orang pengikutnya.

Pada sekitar tahun 1939 and 1949, para pengkaji arkeologi telah menemukan dengan sebuah kompleks pemakaman manusia di bawah binaan Saint Peter's Basilica itu, yang mana ia menunjukkan tarikh binaan sekitar kurun ke 2-3 selepas tarikh kelahiran Nabi Isa a.s.

Gambaran Bawah Tanah Altar

Dan pada tahun 1950, Pope Pius XII mengumumkan secara rasmi tentang penemuan batu nesan itu setelah hampir sepuluh tahun dilakukan carigali. Penemuan paling berharga yang mereka jumpai di situ adalah sebuah monumen berkedudukan betul-betul di bawah altar (tempat pemujaan) Saint Peter's Basilica yang dipercayai tersemadinya batu nesan Saint Peter.

Pada sebuah tampalan plaster simen dinding berwarna merah dikawasan berkenaan, para pengkaji menemui sebuah torehan yang ditulis dengan tulisan besar Greek "NETPOC ENI" yang bermaksud "Peter di Dalam" seperti dalam di bawah:


Persoalannya, benarkah jasad yang tertanam itu adalah Peter, salah seorang daripada 'Twelve Apostles' dalam Bible atau juga adalah salah seorang dari 'Hawariyun' pengikut setia Nabi Isa a.s yang diceritakan di dalam Al-Quran?

Ibnu Jarir At-Tabari dalam tafsirnya, al-Qurtubi juga di dalam tafsirnya, dan Ibn Kathir dalam kitab sejarahnya al-Bidayah wal-Nihayah ada menyebut tentang Hawariyun yang dua belas ini. Dalam satu athar shahih dari Ibn Abbas r.a, beliau ada menyebut tentang dua belas Hawariyun yang bersama Nabi Isa a.s ketika mana baginda diangkat oleh Allah s.w.t ke langit.

Dan dalam al-Bidayah wal-Nihayah dan kitab Tarikh Ibn Khaldun, ada riwayat lain yang menamakan Hawariyun yang dua belas itu. Mereka adalah Bitris, Ya'akub Bin Zabeeda, Yohanes saudara Ya'akub, Andraus, Filibs, Abrithalma, Matta, Tumas, Ya'akub Bin Halqia, Tadaus, Fatatia, dan Yudas Karyayutoh.

'Twelve Apostles' dalam Bible pula ada menamakan mereka sebagai berikut, Peter, John son of Zabedee, James, Andrew, Philip, Bartholomew, Matthew, Thomas, James son of Alphaeus, Thaddaeus, Simon the Canaanite, dan Judas Iscariot.

Antara Bitris dan Peter ada persamaan dari segi nama. Bahasa arab yang tidak punyai sebutan 'P' lazimnya digantikan dengan 'B'. Ada persamaan jika diinggeriskan nama Bitris, ia mirip Peters.

Al-Quran menyebut :

وَإِذْ أَوْحَيْتُ إِلَى الْحَوَارِيِّينَ أَنْ آمِنُواْ بِي وَبِرَسُولِي قَالُوَاْ آمَنَّا وَاشْهَدْ بِأَنَّنَا مُسْلِمُونَ
"Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada pengikut Isa yang setia : Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada rasul-Ku. Mereka menjawab : Kami telah beriman dan saksikanlah (wahai rasul) bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang patuh (kepada seruanmu)"
(al-Maidah : 111)


Kesucian kota Vatican City pada kaca mata masyarakat Kristian salah satunya disebabkan oleh Saint Peter's Basilica yang menyimpan jasad Saint Peter dan jasad-jasad Pope yang lain. Sama ada Peter itu adalah Bitris yang disebut Ibn Kathir dalam kitab sejarahnya ataupun bukan, saya bukanlah orang yang layak untuk menyatakan kebenarannya. Hanya Dia Yang Maha Tahu.

Keselarian antara al-Quran dan Bible adalah perkara yang selalu kita dapati terutama dari sudut analisa sejarahnya. Bagi situasi ini, kita harusnya berpegang bahawa segala yang selari dengan al-Quran layak untuk terimanya, tetapi yang bercanggah harus ditolak dan yang tidak disebut di dalam nas, maka harus untuk kita berdiam diri.

Sebagai orang yang tidak hidup pada zaman tersebut dan tidak menyaksikan apa yang berlaku, kita haruslah berpegang pada prinsip 'la nusoddiquha, wala nukazzibuha' (kita tidak membenarkan, dan tidak pula menidakkan) sebagai suatu locus standi terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kitab samawi, dan tidak terdapat di dalam al-Quran kerana yang menurunkan kitab-kitab samawi tersebut bukanlah dari kalangan makhluk.

Ingat, dalam rentetan sejarah, orang yang paling bertanggungjawab dalam merosakkan agama Nabi Isa a.s ini adalah Paul, bukan Peter....

2 comments:

Jong said...

salam,
Entri yang baik! Biasan Prisma tu rupanya karya sdr!

IshaQHaniS said...

Salam...

Terima kasih faisal. Itu cerpen baru saya, masih belum dibengkelkan...