Saturday, April 28, 2007

Bisik Hati a.k.a Intuisi

Cenderung kepada sesuatu kebaikan merupakan suatu fitrah bagi makhluk yang bernama manusia. Mengapa ianya menjadi fitrah? Itu soalan yang saya tidak mampu untuk jawab, kerana saya juga seorang manusia.

Maka oleh itu, untuk mengetahui tentang fitrah, anda disarankan untuk mempersoalkannya kepada yang menciptanya. Mengapa sunnatullah itu selalu terjadi, dan mengapa perempuan cenderung kepada lelaki. Itu adalah persoalan fitrah.


Tetapi, fitrah kepada kebaikan yang lahir dari hati manusia itu boleh untuk kita kaji. Salah satu perkara y
ang kita perlu tahu dalam kecenderungan manusia kepada kebaikan adalah fungsi gerak hati.

Gerak hati, jika kita rujuk di dalam
buku-buku yang berbicara tentangnya, maka kita akan kenalinya seperti yang disebut sebagai ’intuisi’, kalau di dalam bahasa arab pula ia lebih dikenali dengan 'dhamir'.

Dhamir inilah yang selama ini bekerja untuk mencenderungkan manusia kepada kebaikan. Islam sama sekali tidak menolak konsepnya. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t menerangkan dalam suatu ayat :

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

(Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya) Qaaf : 16

Nah, kalau yang bermazhab zohiriyyah yang membaca ayat ini, sudah pasti kerjanya
mensabitkan Allah itu tempatnya lebih dalam dari urat leher manusia. Sangat cantiklah tu kalau manusia yang mengikuti metodologinya, entah apa yang digambarkan tika membaca ayat ini....

Walau apapun, kita perlu ketahui bahawa Islam mengiktiraf intuisi sebagai sesuatu metafizika
l yang wujud dalam hidup manusia. Dr Ali Ma’bud Faraghali dalam kitabnya Akhlak Islamiyah Wal Insaniyah menerangkan bahawa intuisi bukanlah lahir daripada kronologi akal atau fikiran manusia. Ianya seakan-akan suara ketuhanan ataupun ilham dari Allah untuk menggerakkan hati-hati manusia.

Intuisi ini seharusnya dipisahkan konsep pemahamannya dari akal. Kerana intuisi lahir dari sesuatu yang tertutup, yang menyebabkan ia memulakan amali terhadap perkara-perkara kebaikan.


Sedangkan akal manusia lahir dari kematangan diri dan pembelajaran antara sebab dan punca. Mudah ceritanya, akal manusia melahirkan pemikiran yang saintifik untuk membezakan sesuatu yang
bersifat baik atau buruk.Maka itu, dengan akal, ilmu, dan kefahaman, manusia hanya mampu menilai sesuatu sifat itu sama ada ia baik atau buruk berdasarkan logik akal saintifik manusia, tetapi hakikatnya ia tidak mampu membawa manusia kepada amali kebaikan.

Contohnya, manusia boleh menilai bahawa sesungguhnya perangai membid’ahkan manusia dalam perkara-perkara furu’ itu boleh mengundang perpecahan dalam Islam. Mereka mampu berfikir dan menilai, tetapi belum mampu melakukan amalinya.

Berfikir dan memahami konsep baik dan buruk tidak membawa kepada pembinaan struktur amali. Malah ada manusia punya Phd, punya ilmu banyak dalam agama, berkedudukan mufti (sensitif), menghafal hadis-hadis, dan memahami kosep dakwah Nabi s.a.w, tetapi ianya bukanlah kepastian bahawa ilmu dan jawatannya mampu membawa kebaikan pada akhlak.


Tanpa intuisi, segala aset dalam dirinya tidak mampu diterjemah ke dalam falsafah akhlaknya. Dia sedar itu buruk, tetapi disebabkan kebejatan intuisi, dia tak mampu melakukan amali kebaikan, tak mampu keluar dari kepompong songsang, tak mampu menjauhi yang buruk, lantas berakhlak dengan akhlak yang menjengkelkan.


Sebab itu, dalam kajian ini, saya lebih cenderung untuk meletakkan intuisi itu berkait ra
pat antara hidayah, akhlak dan iman.

Sejak zaman berzaman, manusia yang lahir ke dunia sangat cenderung kepada agama.
Mengapa? Kerana falsafah agama selalu membawa manusia kepada kebahagiaan hidup melalui metodologi amali. Sama ada agama samawi atau agama wad’ie (agama ciptaan manusia yang lazimnya dipengaruhi pemikiran falsafah seperti Buddha dan Confucius), manusia akan cenderung pada agama disebabkan oleh ajaran-ajaran kebaikan yang terdapat di dalamnya.

Sebab itu jangan terperanjat sekiranya masyarakat di negara-negara seperti China, Jepun dan Korea, mereka mengaku mereka adalah bangsa yang tidak beragama secara formalnya. Ini kerana, mereka lebih berpegang kepada konsep beragama secara adat dan kepercayaan sahaja, meliputi pemikiran-pemikiran tokoh failasuf seperti Confucius, Gautama Buddha dan ritual-ritual agama secara adat turun-temurun.


Sebagai contoh, perkara kebaikan dan adat ini terdapat banyak dinyatakan dalam The Analects, sebuah kitab karangan Confucius. Mengapa begitu ramai manusia cenderung memandang ajaran Confucius sebagai ajaran agama? Ia disebabkan oleh kecenderungan ajarannya membentuk jun zi iaitu ideal person yang mempengaruhi manusia dalam aspek ketinggian moraliti dan pembentukan etika dalam kehidupan.


Selain itu, konsep ’xiao’ (filial piety) telah banyak menarik manusia pada zamannya untuk beragama dengan apa yang diajari olehnya dalam aspek Qanun Akhlakiy (ethical code).
Adeline Yen Mah dalam buku tulisannya Watching The Tree menukilkan :

“We Chinese try to live by the ethical code contained in the tao and attempt to become an ideal person of noble character with honor and integrity”.

Maka tidak hairan sekiranya kita melihat mengapa manusia itu cenderung kepada ajaran agama. Intuisi sebenarnya telah memainkan peranan penting dalam mengajak manusia untuk cenderung kepada ajaran agama melalui gerak hati terhadap aspek nilai baik dan buruk.


Al-Quran dan kitab-kitab agama lain pun sebenarnya mengutaranya perihal yang sama, sehinggakan manusia atheis sekalipun akan bosan dengan kehidupnya lantaran pemikiran yang kosong tanpa rasa kekuatan hati dan naluri kebaikan. Maka, ada antara mereka yang akhirnya kembali memilih kehidupan beragama setelah sekian lama menafikannya. Ya, manusia akan tetap kembali kepada perkara kebaikan, kerana itu adalah fitrah mereka.


P/s : Untuk Pak Ary, mungkin boleh menambah lagi kaitan fungsi intuisi terhadap God Spot dalam cabang spiritual equotion untuk ceramah 'ESQ'nya... huhuhu...

No comments: