
Sebetulnya, saya pada hari ini telah menghabiskan lapan jam pergi dan balik dari Mersing ke Batu Pahat dengan menaiki bas sangkut-sangkut hanya kerana mahu menonton cerita kegemaran saya pada 15 tahun yang lalu, Transfomers. Dan pada akhirnya, hasil menjadi tidak berbaloi kerana saya terlambat hanya 10 minit selepas tayangan bermula, dan menyebabkan saya menukar pelan terus ke kedai buku.
Di dalam hati kecil saya, tidak ada orang lain lagi yang layak untuk saya salahkan melainkan apek pemandu bas Johore Motor dari Kluang ke Batu Pahat itu. Sepanjang dua jam perjalanan (sepatutnya boleh menjadi satu jam), saya tidak memikirkan yang lain melainkan tentang falsafah apek tua ini dalam memandu bas. Cukup lambat dan memang menyakitkan. Saya fikir kelajuannya hanya dalam sekitar 25-40 kmj.

Walaupun begitu, Tuhan menyelamatkan saya kerana walaupun tidak dapat menonton, sejurus kemudian di kedai DVD, sudah keluar cetakan filem Transfomers walaupun dengan punyai kualiti gambar yang agak ’ceroi’ dan membosankan.
Pun begitu, keterlambatan itu sebenarnya membawa saya berjumpa dengan empat orang rakan lama, di berlainan tempat, yang hampir 2-3 tahun tidak bertemu, malah saya seakan-akan tidak percaya pertemuan ini menjadi sebuah kebetulan buat kami. Sungguh tidak percaya, kerana ia seperti seakan-akan dirancang oleh konduktor masa.
Maka, pemergian saya ke Batu Pahat kali ini sekadar beromong kosong dengan rakan-rakan lama, dan selebihnya saya ke kedai buku memborong novel-novel terbaru yang belum lagi dimiliki. Antaranya, Memeluk Gerhana (Isa Kamari), Bila Tuhan Berbicara (Faisal Tehrani), Ayat-ayat Cinta & Pudarnya Pesona Cleopatra (Habiburrahman El-Shirazy) dan Sangeetha (Azizi Hj Abdullah)
*/ Teramatlah letih....
No comments:
Post a Comment