Monday, October 08, 2007

Pizza Ekonomi

Tinggal lagi beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut hari raya aidilfitri. Alahai, sudah besar-besar begini memang method hari raya sudah berubah. Kalau dahulu, tarikh 1 Syawal memang yang paling dinanti dan menyeronokkan. Banyak perkara, mercun ada, juga air-bom, bunga api kucing, dan paling seronok sekali boleh jalan-jalan ke rumah nenek tua si penyongel.

Itu dahulu, entah sudah berapa tahun waktu-waktu begitu sudah berlalu. Tetapi ki
ni silibus 1 syawal sudah berubah. Walaupun masih ditahap layak untuk meminta duit raya dari pakcik dan makcik di kampung, tetapi kenikmatan sambutan aidilfitri sudah jauh berbeza, agak kendur sedikit. Semacam perayaan sudah tak beri lagi apa-apa makna melainkan aktiviti berziarah sahaja.

Tetapi bila sudah dewasa (belum pun sangat), visi dan misi ada perbezaan. Ada semacam penghayatan yang sedikit istimewa pada syawal kini. Walaupun kenikmatan mercun dan bunga api kucing sudah tidak terasa, tetapi jiwa kemenangan selepas keluar dari madrasah Ram
adhan itu dapat dirasa dengan begitu baik sekali. Berbeza penghayatannya ketika masih seronok memegang bunga api kucing.

Malah kadang kala 1 Syawal disambut dengan penuh kesyukuran dan kesedihan. Sy
ukurnya terasa setelah melepasi dugaan-dugaan Ramadhan dan sedihnya apabila meninggalkan kenikmatan Ramadhan. Ini semua tidak saya rasai ketika umur yang kecil, waktu musim bunga api kucing, tetapi dengan rahmat-Nya, saya mampu merasainya setelah umur yang meningkat kini. Tahap kenikmatan itu berbeza mengikut kematangan ilmu dan penghayatan saya.

Saya bukan sahaja sedang menunggu detik-detik Sya
wal, malah lebih pahit lagi sedang menunggu detik-detik kehabisan bercuti. Ya, empat bulan di tanah air seakan-akan tidak terasa. Pakcik dan makcik yang bertanyakan soalan 'bila mahu pulang' memang betul-betul mengesankan saya. Maka itu terpaksa juga menjawab dengan berkira-kira bilakah baki cuti yang tinggal. Tentu sekali tidak lama.

Dua tiga rakan sudah bertanya-tanya:


”Kau tak boring ke cuti ni? Aku dah boring tahap muntah dah ni. Rase macam nak balik dah.”


Saya jawab 'tidak'. Itu mungkin jawapan paling jujur saya. Bagaimana mana saya mahu boring kalau banyak lagi buku dan majalah yang dibeli belum habis dibaca. Mahu diangkut semua dalam kapal terbang sungguh tidak mampu. Hanya diperuntukkan 40kg sahaja. Habis pakaian saya mahu sumbat dimana kalau yang dibawa semuanya buku?

Ibu sudah mula bising kini sebab saya menyimpan stok buku saya di biliknya. Habis biliknya berkecah dengan buku. Saya hanya menyerakkan di bawah sahaja, lagi mudah dilihat. Kalau disusun tinggi, agak begitu susah untuk mengambilnya. Letak sahaja dibawah, barangkali saya fikir susunan begitu lebih praktikal.


Saya tak pandai menipu. Memang ada sedikit kerinduan untuk pulang. Teringat akan ahli bait saya yang rajin membancuh teh susu, tuan rumah yang asyik mahu menaikkan sewa rumah, khutbah syeikh Ismail yang bersemangat, dan yang paling istimewa, rindu untuk mendengar kembali suara imam polis berdahi hitam yang selalu saya ajuk-ajuk bacaannya ketika disana.

Memang manusia selalu begitu. Saat benda yang jauh dari kelopak mata, ia begitu dirindukan. Tetapi apabila sudah berada di hadapan mata, maka dibuat acuh tak acuh sahaja. Ketika ini akan kembali rindu itu pada nostalgia-nostalgia yang lama. Sifirnya memang begitu bagi saya. Seperti waktu ini, roti canai sudah malas mahu saya kunyah, walhal itulah makanan yang paling rindui k
etika bercadang mahu pulang dahulu.

Dan kini, sudah mula dipalit kerinduan sedikit demi sedikit dengan rutin-rutin isi perut di sana. Isyh (roti pita) dan fuul yang menjadi menu mingguan saya, makarona bil laham dan kusyary hindi yang kedainya berada tepat di tengah suuk asyir. Lagi pula dengan kibdah dan sogoq 30 qirsy yang saya gemari, dimakan bersama dengan jeruk lobak merah, jeruk sengkuang dan buah zaitun, juga yang paling dirindui adalah potongan-potongan pizza ekonom
i yang selalu dibelanjai Akmal.

Ya, pizza ekonomi memang menu tambahan untuk rumah kami.
Saya gelarkan ia 'pizza ekonomi' kerana harganya murah dan rasa yang sedap, lagi pula ada khidmat penghantaran ke rumah berbanding dengan kedai lain. Memang ekonomik!

Kini walaupun sudah hampir 4 bulan bercuti di rumah, saya masih belum terasa mahu pulang lagi. Tetapi rindu untuk pulang tetap juga ada walaupun sedikit. Kuliah yang padat sudah lama tak dengar. Kerenah kawan-kawan arab dan loya buruk mereka pun sudah lama tidak dilayan. Ya, tiket saya hujung bulan ini. Nampaknya, saya pulang seorang mungkin, sebab rakan yang lain pulang pada tarikh dan waktu yang berlainan.


Huh, beginilah cuti saya. Kata orang, hujan emas dinegeri orang, hujan batu dinegeri sendiri. Tapi dua-dua pun baik dan saya sukai. Sama sahaja emas atau batu, dua-dua tak boleh diminum berbanding hujan biasa. Nampaknya saya tidak dapat gunakan pepatah itu pada waktu sebegini. Haha....

2 comments:

Anonymous said...

Adakah ia domino? Memang tersangat ekonomi walau perlu keluarkan fulus kabir juga. Kabirlah bagi pelajar seperti kita-kita. Pizza Ekonomi ini ( andai tepat ) satu alternatif juga bagi Pizza Hut- Boikot jgn tak boikot- segala arguemntasi kepada alqasam adalah silent.

IshaQHaniS said...

haha... ya gad'aan...