Pastinya ramai yang mengenali Imam al-Ghazali. Walau tidak secara detail, justeru apabila disebut dengan gelaran al-Ghazali, pasti ada yang mengangguk dan berbisik ‘saya kenal dengan ulama ini’. Namun belum tentu kita tahu apa yang beliau telah lakukan sehinggakan beliau digelar dengan gelaran ‘Hujjatul Islam’. Kita pasti sudah kenali Imam asy-Syafi’e dengan mazhab feqhnya, Imam al-Bukhari dengan ilmu hadisnya, Imam al-Muhasibi dengan bidang tasawwufnya, namun apakah yang kita tahu mengenai syakhsiyah Islamiyah yang bergelar al-Ghazali ini?
Besar kemungkinan ramai yang mengenali al-Imam al-Ghazali, ulama kelahiran Thus, Khurasan ini melalui ‘magnum opus’nya, iaitu Ihya’ Ulumiddin. Sayyid Muhammad Rasyid Redha ketika berkomentar mengenai kitab Ihya’ dengan mengangkatnya sebagai al-ustaz al-awwal yang bermaksud guru pertama yang mana kitab ini diiktirafnya sangat memberi kesan dalam perjalanan kehidupannya. Begitu tinggi sekali pujian yang diberikan Sayyid Muhammad Rasyid Redha terhadap kitab Ihya’ karangan al-Imam al-Ghazali dalam majalah al-Manar.
Tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikan ruh dan kekuatan yang terdapat dalam magnum opus Imam al-Ghazali ini. Mungkin hanya segelintir Wahhabi jadian (baca: yang buat-buat tahu tentang ilmu agama) yang dengan bangga menolak kitab Ihya’ ini dengan alasan terdapatnya hadis palsu dan dha’if, ditambah lagi dengan semangat anti-sufi dan tasawwuf yang galak membuak-buak dalam hati kotor mereka, yang tidak mampu untuk dibersihkan lagi.
Itu hal mereka. Namun, keistimewaan Ihya’ Ulumiddin ini secara umumnya boleh diletakkan pada intisari kitab, yang mana ia melalui proses penggabungan nilai antara ilmu feqh dan ilmu tasawwuf, antara ilmu syariat dan ilmu hakikat, juga antara pemikiran dan penyucian hati.
Saya pasti anda sedia maklum bahawa Ihya’ adalah sebuah kitab tasawwuf yang menekankan tentang pembersihan jiwa dan kombinasi diantara ilmu dan amal yang membawa kepada matlamat as-sa’adah yang bererti ‘kebahagiaan’, justeru dianggapnya oleh Imam al-Ghazali sebagai matlamat terakhir dalam perjalanan kesufian.
Walaupun kitab Ihya’ diangkat sebagai antara kitab rujukan utama dan terpenting dalam bidang tasawwuf, namun saya fikir ada faktor lain selain Ihya’ yang telah menyebabkan Imam al-Ghazali digelar dan dikenali oleh para ilmuan dengan gelaran Hujjatul Islam.
Kehidupan Imam al-Ghazali dalam saat emasnya boleh dibahagikan dalam dua fasal. Fasal pertama ketika menjadi tenaga pengajar di Madrasah Nizamiyyah, kota Baghdad, ketika zaman pemerintahan Nizam al-Muluk. Dan fasal kedua di akhir hayatnya, ketika beruzlah dan menjadi ahli tasawwuf yang mana ketika itu beliau menulis kitab Ihya’ Ulumiddin.
Mungkin pada zaman moden ini al-Ghazali lebih dikenali ramai kerana tasawwuf dan Ihya’nya. Namun 900 tahun yang lalu, kota Baghdad pasti begitu berbangga kerana Madrasah Nizamiyyah mempunyai seorang ulama ulung yang berjasa membersihkan nama agama dengan ilmu dan kalamnya. Ketika berumur 34 tahun, Imam al-Ghazali telah dilantik untuk mengajar di Nizamiyyah setelah Nizam el-Muluk, pemerintah ketika itu begitu tertarik dengan keilmuan yang dimiliki oleh Imam al-Ghazali.
Keilmuan Imam al-Ghazali banyak diperturunkan daripada gurunya, iaitu Imam al-Haramain al-Juwayni yang mengajar beliau dengan ilmu-ilmu usul dan furu’ termasuk mantik, hikmah dan falsafah. Ketika mengajar di Nizamiyyah, al-Ghazali banyak menumpukan kajiannya dalam ilmu falsafah dan menelaah kitab-kitab falsafah yang terdahulu seperti tulisan-tulisan al-Farabi dan Ibn Sina.
Ketika itulah beliau menulis sebuah kitab ‘Maqasid al-Falasifah’ yang sudah cukup untuk membuktikan penguasaan al-Ghazali di dalam bidang falsafah.
Jelas pada kita bahawa akidah dan ilmu kalam merupakan tunjang utama dalam kefahaman seseorang muslim itu terhadap agamanya. Justeru, jika akidah dan kepercayaan menyimpang, maka hampir pasti boleh menyebabkan individu muslim itu tersasar dari landasan yang sebenar, dan seterusnya hampir-hampir mengheret mereka itu ke neraka Allah s.w.t akibat kekufuran dan kekafiran mereka.
Ketika itulah Imam al-Ghazali bangun dan melihat banyak kekusutan dan kecelaruan telah berlaku dalam ilmu kalam oleh golongan yang terdahulu, terutama sekali apabila prinsip-prinsip falsafah telah masuk ke dalam ilmu kalam untuk membahas tentang ketuhanan. Dalam masa yang sama terdapat kecelaruan lain yang dibawa oleh beberapa golongan yang terdahulu antaranya kelompok muktazilah dan mujassimah yang cuba menyamakan zat Allah s.w.t dengan ciri-ciri makhluk.
Imam al-Ghazali dalam hal ini begitu menentang keras golongan yang membuat cuba menghidupkan reka-rekaan dalam agama ini. Beliau lantang menentang kelompok ahli falsafah yang banyak terpengaruh dengan neo-Platonisme dan pemikiran Yunani ini dengan menulis sebuah kitab yang begitu masyhur hingga ke hari ini, iaitu ‘Tahafut al-Falasifah’.
Tahafut yang bererti keruntuhan atau juga serangan telah membawa 20 fasal masalah yang berkaitan dengan zat Allah s.w.t, alam ciptaan dan nafs. Ia merupakan sebuah kitab yang dianggap telah berjaya meruntuhkan salah faham dan kekalutan yang berlaku dalam ilmu kalam. Imam al-Ghazali sangat hikmah dan memahami golongan ahli falsafah dan muktazilah ini.
Imam al-Ghazali merasakan bahawa golongan yang menggunakan akal ini tidak harus ditumbangkan dengan dalil-dalil nas dan syarak, bahkan kumpulan ini perlu ditumbangkan dengan prinsip-prinsip mantik dan teori-teori falsafah yang mereka dewa-dewakan selama ini. Beliau telah menggunakan ilmu mantik dan kalam untuk menewaskan pencarutan dan pencabulan yang dibawa sendiri oleh golongan mutakallimin yang menyimpang dari manhaj yang sebenar.
Al-Ghazali seterusnya menulis beberapa lagi kitab berkaitan dengan ilmu kalam dan kaedah-kaedah aqli dan naqli yang sesuai untuk dijadikan manhaj atau metodologi bagi golongan ahli sunnah wal jamaah.
Antaranya ditulis kitab ‘al-Iqtisad fil-I’tiqad’ dan ‘Qawaid al-Aqa’id yang menentang kecelaruan yang dibawa oleh beberapa kelompok seperti muktazilah, batiniyyah, mujassimah dan ahli falsafah, seterusnya meletakkan sebuah metodologi yang sesuai dipakai bagi golongan ahli sunnah agar ianya terpelihara dari sebarang dakhil dalam persoalan yang berkaitan dengan aqidah dan pegangan sebagai seorang muslim.
Di penghujung umurnya, al-Ghazali kemudian memutuskan kehidupan dunia demi mencari cintanya. Lalu menulis sebuah karangan agung yang telah membersihkan hati orang-orang mukmin dan meresapkan cinta di atas segala kecintaan, iaitu sejak dari 900 tahun yang lalu hingga kini.
Lalu, apakah jenis kemuliaan yang selayaknya bagi insan yang telah berjuang menyelamatkan aqidah muslimin sejak 900 tahun itu? Iaitu jiwa yang telah menabur jasa menyelamatkan manusia dari hampir-hampir terjerumus ke tebing neraka, iaitu tebing yang dipenuhi dengan nama kekufuran dan kekafiran?
Setelah fikiran saya hampir tepu menghadami pemikiran seorang insan yang digelar al-Ghazali ini, saya gamam dan termenung seketika. Setelah satu persatu hujah-hujahnya saya amati, hati saya bertambah yakin bahawa hujah ini bukanlah hujah-hujah dari ilmu manusia, ia adalah hujah dari penciptanya untuk membersihkan kesucian agama. Hanya air mata ini sahaja yang mampu menggelarkan beliau dengan gelaran ‘Hujjatul Islam’.
No comments:
Post a Comment