Saturday, June 21, 2008

Belum 'Turun'

Bagi mereka yang pertama kali mahu pulang ke Malaysia sudah tentu ada sesuatu cetusan di hati mereka. Hadiah untuk keluarga? untuk rakan-rakan? untuk tunang yang tercinta? bagaimana itu dan bagaimana ini? dan macam-macam lagi barang yang perlu dicari. Itu belum campur dengan kiriman taulan dan hal-hal yang berkaitan.

Bagi saya yang selalu dicemuh rakan-rakan kerana kerap pulang, persiapan untuk pulang bukanlah sesuatu yang penting. Bahkan perjalanan yang akan bermula tidak sampai lagi 24 jam lagi seperti tidak diendahkan. Beg pun bahkan belum turun dari atas almari. Sebab itu saya kerap digelar 'orang yang suka meleceh' oleh ibu dan ayah saya.

Istilah 'meleceh' bukan baru dalam hidup saya. Dalam sesetengah keadaan, saya memang suka meleceh. Kalau perkara itu saya kira tidak logik untuk diawalkan, saya akan anggap ia tidak penting, saya akan biarkan dahulu. Kalau ada siaran bola dan aktiviti mengemas baju, saya akan memilih menonton bola dan melecehkan aktiviti mengemas baju.

Istilah 'meleceh' dalam hidup saya selalu terkait dengan berus gigi. Akibat meleceh, saya kerap dimarahi kerana selalu tertinggal berus gigi. Bukan bererti saya tidak gosok gigi, tetapi hakikatnya saya terpaksa singgah di kedai dan membeli berus gigi baru walaupun pulang ke kampung untuk dua hari.

Permasalahannya adalah, setiap yang saya fikirkan tidak logik untuk diawalkan akan sering dianggap penting dan perlu diawalkan oleh ayah saya. Tambahan lagi saya sering terlupa pada benda-benda yang kecil-kecil.

Big Boss

Beliau adalah contoh yang baik dalam hal ini, dan saya belum mampu mencontohinya untuk menghilangkan sikap meleceh ini.

Contohnya, apabila mahu pulang ke kampung atuk, ayah saya sudah siap mandi dan meletakkan beg pakaiannya di tepi pintu rumah seawal jam 9 pagi lagi walaupun perjalanan pulang ke kampung jam 2 petang nanti.

Jika saya, jam 9 pagi ini masih terlalu awal dan saya selalu fikirkan tidak logik untuk mengemas seawal ini. Saya mungkin masih lagi menonton tv dan baju-baju yang mahu dibawa pulang masih lagi terlipat di dalam almari. Kebiasaannya lipatan-lipatan baju itu akan saya keluarkan satu jam sebelum perjalanan bermula.

Ketika itulah banyak benda yang tertinggal, seperti berus gigi.

Ini salah satu sikap yang tidak 'turun' dari ayah saya kepada saya. Namun, saya katakan ianya bukan 'tidak' turun, tetapi 'belum' turun. Sikap 'meleceh' ini masih layak dilebelkan kepada saya kerana ianya masih lagi saya amalkan walaupun hingga kini. Perkara kemas mengemas adalah kerja yang paling membosankan dan saya suka untuk ianya 'dilecehkan'.

Saya tulis begini supaya saya berubah. Sudahlah 'meleceh', saya pula sering terlupa pada perkakasan yang kecil-kecil. Ada seorang rakan mengusik. Kalau saya segera berkahwin sudah tentu ada yang setia mengingatkan. Saya angkat kening dan menjawab, "good idea!".

Idea yang bagus, namun takkanlah saya mahu kahwin semata-mata supaya ada seseorang yang setia mengingatkan saya. Dan secara ringkasnya saya jawab kepada rakan saya itu, "kau fikir dalam fatrah belajar ni, mak ayah aku mahu bagi?"

Ya, ini entri provokasi untuk ibu dan ayah saya. Entri selanjutnya bakal ditulis di tanah air. Doakan perjalanan saya mudah-mudahan selamat pergi dan pulang.

2 comments:

Ibnsyariff....Mencari di manakah Al Ghazali said...

aslkm bro eamon.

slmt pulang.yang penting hadiah utk tunang tercinta....jgn lupa.

haha.

nak mintak kau bawakan sikit buku asas falsafah yg bagus.biar sebuah buku, tapi berkualti utk bahan bacaan aku ( aku tak nak memberatkan bagasai kau sbnrnya).ble?

nnti balik sini aku bayar ..hihi.

kau mesti nak tgk sorang lagi ank johor mampu menjadi ahli falsafh yg berjiwa azhari.so..tolonglah aku.huhu.

k.slmt bercuti dan makan roti canai - merujuk kpd entry ko yg lalu.

IshaQHaniS said...

salam.

no problemo bro...

hehe

insyaALLAH, nanti aku survey2 kan...

korang gi la talaqqi puas2, aku je yang akn geram & cemburu tengok sbb x leh pegi...

ape nak buat, org tua suro balik mesia jugak...