Tuesday, April 29, 2008

Menilai Pada Bayang-bayang

Semakin lama diintai, semakin dekat rupanya bayang-bayang itu datang. Dan ia datang kali ini seperti selalunya, menguji dan terus menguji. Namanya peperiksaan.

Tidak sampai sebulan, malah hampir beberapa minggu sahaja lagi peperiksaan akhir akan bermula. Semester kali ini semacam tidak nampak bumbu-bumbu masalah. Bahkan subjek-subjek kali ini mungkin jumlahnya lebih sedikit berbanding semester yang pertama dahulu walaupun masih terdapat yang sukar.

Cuma apa yang selalu disebut oleh jiwa saya adalah skeptisme yang serupa, bahawa peperiksaan itu adalah perkara yang sama sahaja tidak kira apa jua jenis peperiksaan, sama ada ianya susah atau senang.

Peperiksaan memang selalu ditempias rasa kekesalan dan pandangan serong dari saya. Saya agak tidak berapa suka dan gemar dengan peperiksaan. Itu memang saya akui, bahkan sejak dari dulu lagi.

Saya akui, rasa pesimis dengan peperiksaan bermulanya ketika saya menaiki tangga sebuah pentas, di sebuah dewan sekolah menengah yang serba sederhana beberapa tahun yang lalu. Sekolah Menengah Ulu Tiram barangkali, saya kurang pasti. Ketika itu tangan saya disambut oleh Menteri Pendidikan dan juga Pengarah Kementerian Pendidikan yang berada di sisinya.

Bukan sahaja disambutnya saya dengan jabat tangan, malah dia terus memeluk saya apabila disebut oleh jurucakap mengatakan saya anak kelahiran Johor. Dia cukup berbangga ketika itu kerana dua orang anak kelahiran Johor mengungguli carta pelajar terbaik keseluruhan. Saya bagi pelajar STAM dan Nur Amalina Che Bakri bagi pelajar SPM.

Hakikatnya bermula sejak detik itu. Saya mula berfikir, sekadar dengan peperiksaan itu sahaja saya sudah jadi begini. Beberapa detik selepas itu saya dipanggil lantas wartawan menyuruh saya itu dan ini. Saya semacam bingung waktu itu. Dan akhirnya, ketika gambar saya diambil dan para wartawan dari berita harian mengajak untuk menemu ramah, maka itulah detik permulaan rasa kesal saya terhadap peperiksaan.

Entah kenapa ketika itu saya betul-betul ragu dan malu pada diri saya sendiri. Saya rasa ketika itu seumpama ilmu yang saya ambil dari guru-guru saya telah dijual dengan harga sebuah kemahsyuran yang terlalu murah!

Saya mula bernada kesal dengan peperiksaan semenjak dari detik itu kalau anda semua ingin tahu. Sungguh saya katakana bahawa ini bukan cerita dan karya fiksi saya. Kisah ini telah menjadi sebahagian dari sejarah hidup saya, dan ia sama sekali telah melanggar etika yang telah saya semai dalam jiwa saya.

Saya telah membayangkan harga sebuah kemahsyuran dengan harga beberapa cebis ilmu saya yang sedikit. Saya memang begitu malu walaupun malu itu tidak saya zahirkan hadapan muka.

Saya rasa sangat malu kerana dimayhurkan dengan peperiksaan. Peperiksaan itu pada hakikatnya hanya berlaku 2 minggu sahaja, dan ianya telah mengukur suatu ukuran ilmu yang sama sekali salah dalam pendidikan hidup manusia. Manusia tidak lansung boleh diukur keilmuan dan tahap ‘pelajar terbaik’nya dengan ukuran peperiksaan, kerana peperiksaan selalu menipu.

Mengapa kita selalu ukur nilai pelajar cemerlang itu dengan peperiksaan? Mengapa kita gemar mendakwa orang yang berjaya dalam peperiksaan itu orang yang bijak dan berilmu? Ternyata memang manusia selalu tersilap.

Saya suka apabila membaca sebuah baris ayat karangan Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ‘al-Munqidh Min al-Dhalal’. Katanya:

‘Ilmu itu lebih mudah untuk aku capai berbanding amal’.

Mudah sekali tuan-tuan. Kita selalu menganggap peperiksaan itu adalah sesuatu yang paling sukar. Oleh itu, jika kita selalu mengukur keilmuan dan kebijaksanaan dengan ukuran peperiksaan, maka selayaknya juga kita mengukur ilmu dan bijaksana itu dengan ukuran amalan, kerana sesungguhnya mengamal itu lebih sukar dari menerima ilmu. Ya, pengamalan itu sepatutnya dinilai lebih sukar tahapnya berbanding dengan peperiksaan.

Itu yang sepatutnya. Tetapi yang sering berlaku zaman ini adalah yang tidak sepatutnya. Anak-anak yang cemerlang dinilai dengan ‘A’nya. Pelajar-pelajar yang cemerlang diukur dengan ‘mumtaz’nya. Kemudian diberi anugerah dan kemasyhuran. Sehinggakan kita sering berlumba-lumba untuk lebih masyhur, siapa yang lebih hebat dalam peperiksaannya. Sehingga bila anak yang bijak dan cemerlang itu akhirnya menjadi jalang pelacuran, barulah terjeda dan membeliak mata, ‘ooh, sekarang barulah kami tahu bahawa kami telah salah menilai erti cemerlang’!

Ingatlah firman Allah,

وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ

Kami tinggikan derajat orang yang Kami kehendaki; dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui.
Surah Yusuf : 76

Sepatutnya, saya tidaklah jadi sampai sebegini negatif terhadap peperiksaan. Mungkin sejarah lalu menyedarkan saya bahawa manusia selalu tersalah dalam menghukum dan menilai manusia. Kalau diikut, saya tidaklah begitu berfikiran negatif (pesimis) terhadap peperiksaan ini. Saya kirakan bahawa peperiksaan cuma sekadar kayu ukur untuk menilai penguasaan seseorang pelajar terhadap apa yang dipelajari. Itu sahaja, tidak lebih dari itu.

Saya pun ada kalanya terasa manfaatnya dari peperiksaan. Dengan peperiksaan, kita dapat sebuah gambaran secara keseluruhan mengenai ilmu yang dipelajari. Ia juga membantu menaikkan semangat belajar apabila bayang-bayang peperiksaan bakal muncul. Selain itu, saya banyak berdiskusi dengan rakan-rakan dan juga mengajar orang lain menjelang musim peperiksaan.

Itu semua manfaat yang baik dari peperiksaan. Cumanya pemahaman salah kita mengenai peperiksaan telah menyebabkan kita mencabuli dunia keilmuan, kerana kita selalu menilai orang yang bijaksana itu melalui peperiksaan. Walhal hasilnya tidak lain hanyalah sekadar sehelai kertas sijil yang tidak menjanjikan apa-apa.

Saturday, April 26, 2008

Hujjatul Islam

Pastinya ramai yang mengenali Imam al-Ghazali. Walau tidak secara detail, justeru apabila disebut dengan gelaran al-Ghazali, pasti ada yang mengangguk dan berbisik ‘saya kenal dengan ulama ini’. Namun belum tentu kita tahu apa yang beliau telah lakukan sehinggakan beliau digelar dengan gelaran ‘Hujjatul Islam’. Kita pasti sudah kenali Imam asy-Syafi’e dengan mazhab feqhnya, Imam al-Bukhari dengan ilmu hadisnya, Imam al-Muhasibi dengan bidang tasawwufnya, namun apakah yang kita tahu mengenai syakhsiyah Islamiyah yang bergelar al-Ghazali ini?

Besar kemungkinan ramai yang mengenali al-Imam al-Ghazali, ulama kelahiran Thus, Khurasan ini melalui ‘magnum opus’nya, iaitu Ihya’ Ulumiddin. Sayyid Muhammad Rasyid Redha ketika berkomentar mengenai kitab Ihya’ dengan mengangkatnya sebagai al-ustaz al-awwal yang bermaksud guru pertama yang mana kitab ini diiktirafnya sangat memberi kesan dalam perjalanan kehidupannya. Begitu tinggi sekali pujian yang diberikan Sayyid Muhammad Rasyid Redha terhadap kitab Ihya’ karangan al-Imam al-Ghazali dalam majalah al-Manar.

Tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikan ruh dan kekuatan yang terdapat dalam magnum opus Imam al-Ghazali ini. Mungkin hanya segelintir Wahhabi jadian (baca: yang buat-buat tahu tentang ilmu agama) yang dengan bangga menolak kitab Ihya’ ini dengan alasan terdapatnya hadis palsu dan dha’if, ditambah lagi dengan semangat anti-sufi dan tasawwuf yang galak membuak-buak dalam hati kotor mereka, yang tidak mampu untuk dibersihkan lagi.

Itu hal mereka. Namun, keistimewaan Ihya’ Ulumiddin ini secara umumnya boleh diletakkan pada intisari kitab, yang mana ia melalui proses penggabungan nilai antara ilmu feqh dan ilmu tasawwuf, antara ilmu syariat dan ilmu hakikat, juga antara pemikiran dan penyucian hati.

Saya pasti anda sedia maklum bahawa Ihya’ adalah sebuah kitab tasawwuf yang menekankan tentang pembersihan jiwa dan kombinasi diantara ilmu dan amal yang membawa kepada matlamat as-sa’adah yang bererti ‘kebahagiaan’, justeru dianggapnya oleh Imam al-Ghazali sebagai matlamat terakhir dalam perjalanan kesufian.

Walaupun kitab Ihya’ diangkat sebagai antara kitab rujukan utama dan terpenting dalam bidang tasawwuf, namun saya fikir ada faktor lain selain Ihya’ yang telah menyebabkan Imam al-Ghazali digelar dan dikenali oleh para ilmuan dengan gelaran Hujjatul Islam.

Kehidupan Imam al-Ghazali dalam saat emasnya boleh dibahagikan dalam dua fasal. Fasal pertama ketika menjadi tenaga pengajar di Madrasah Nizamiyyah, kota Baghdad, ketika zaman pemerintahan Nizam al-Muluk. Dan fasal kedua di akhir hayatnya, ketika beruzlah dan menjadi ahli tasawwuf yang mana ketika itu beliau menulis kitab Ihya’ Ulumiddin.

Mungkin pada zaman moden ini al-Ghazali lebih dikenali ramai kerana tasawwuf dan Ihya’nya. Namun 900 tahun yang lalu, kota Baghdad pasti begitu berbangga kerana Madrasah Nizamiyyah mempunyai seorang ulama ulung yang berjasa membersihkan nama agama dengan ilmu dan kalamnya. Ketika berumur 34 tahun, Imam al-Ghazali telah dilantik untuk mengajar di Nizamiyyah setelah Nizam el-Muluk, pemerintah ketika itu begitu tertarik dengan keilmuan yang dimiliki oleh Imam al-Ghazali.

Keilmuan Imam al-Ghazali banyak diperturunkan daripada gurunya, iaitu Imam al-Haramain al-Juwayni yang mengajar beliau dengan ilmu-ilmu usul dan furu’ termasuk mantik, hikmah dan falsafah. Ketika mengajar di Nizamiyyah, al-Ghazali banyak menumpukan kajiannya dalam ilmu falsafah dan menelaah kitab-kitab falsafah yang terdahulu seperti tulisan-tulisan al-Farabi dan Ibn Sina.

Ketika itulah beliau menulis sebuah kitab ‘Maqasid al-Falasifah’ yang sudah cukup untuk membuktikan penguasaan al-Ghazali di dalam bidang falsafah.

Jelas pada kita bahawa akidah dan ilmu kalam merupakan tunjang utama dalam kefahaman seseorang muslim itu terhadap agamanya. Justeru, jika akidah dan kepercayaan menyimpang, maka hampir pasti boleh menyebabkan individu muslim itu tersasar dari landasan yang sebenar, dan seterusnya hampir-hampir mengheret mereka itu ke neraka Allah s.w.t akibat kekufuran dan kekafiran mereka.

Ketika itulah Imam al-Ghazali bangun dan melihat banyak kekusutan dan kecelaruan telah berlaku dalam ilmu kalam oleh golongan yang terdahulu, terutama sekali apabila prinsip-prinsip falsafah telah masuk ke dalam ilmu kalam untuk membahas tentang ketuhanan. Dalam masa yang sama terdapat kecelaruan lain yang dibawa oleh beberapa golongan yang terdahulu antaranya kelompok muktazilah dan mujassimah yang cuba menyamakan zat Allah s.w.t dengan ciri-ciri makhluk.

Imam al-Ghazali dalam hal ini begitu menentang keras golongan yang membuat cuba menghidupkan reka-rekaan dalam agama ini. Beliau lantang menentang kelompok ahli falsafah yang banyak terpengaruh dengan neo-Platonisme dan pemikiran Yunani ini dengan menulis sebuah kitab yang begitu masyhur hingga ke hari ini, iaitu ‘Tahafut al-Falasifah’.

Tahafut yang bererti keruntuhan atau juga serangan telah membawa 20 fasal masalah yang berkaitan dengan zat Allah s.w.t, alam ciptaan dan nafs. Ia merupakan sebuah kitab yang dianggap telah berjaya meruntuhkan salah faham dan kekalutan yang berlaku dalam ilmu kalam. Imam al-Ghazali sangat hikmah dan memahami golongan ahli falsafah dan muktazilah ini.

Imam al-Ghazali merasakan bahawa golongan yang menggunakan akal ini tidak harus ditumbangkan dengan dalil-dalil nas dan syarak, bahkan kumpulan ini perlu ditumbangkan dengan prinsip-prinsip mantik dan teori-teori falsafah yang mereka dewa-dewakan selama ini. Beliau telah menggunakan ilmu mantik dan kalam untuk menewaskan pencarutan dan pencabulan yang dibawa sendiri oleh golongan mutakallimin yang menyimpang dari manhaj yang sebenar.

Al-Ghazali seterusnya menulis beberapa lagi kitab berkaitan dengan ilmu kalam dan kaedah-kaedah aqli dan naqli yang sesuai untuk dijadikan manhaj atau metodologi bagi golongan ahli sunnah wal jamaah.

Antaranya ditulis kitab ‘al-Iqtisad fil-I’tiqad’ dan ‘Qawaid al-Aqa’id yang menentang kecelaruan yang dibawa oleh beberapa kelompok seperti muktazilah, batiniyyah, mujassimah dan ahli falsafah, seterusnya meletakkan sebuah metodologi yang sesuai dipakai bagi golongan ahli sunnah agar ianya terpelihara dari sebarang dakhil dalam persoalan yang berkaitan dengan aqidah dan pegangan sebagai seorang muslim.

Di penghujung umurnya, al-Ghazali kemudian memutuskan kehidupan dunia demi mencari cintanya. Lalu menulis sebuah karangan agung yang telah membersihkan hati orang-orang mukmin dan meresapkan cinta di atas segala kecintaan, iaitu sejak dari 900 tahun yang lalu hingga kini.

Lalu, apakah jenis kemuliaan yang selayaknya bagi insan yang telah berjuang menyelamatkan aqidah muslimin sejak 900 tahun itu? Iaitu jiwa yang telah menabur jasa menyelamatkan manusia dari hampir-hampir terjerumus ke tebing neraka, iaitu tebing yang dipenuhi dengan nama kekufuran dan kekafiran?

Setelah fikiran saya hampir tepu menghadami pemikiran seorang insan yang digelar al-Ghazali ini, saya gamam dan termenung seketika. Setelah satu persatu hujah-hujahnya saya amati, hati saya bertambah yakin bahawa hujah ini bukanlah hujah-hujah dari ilmu manusia, ia adalah hujah dari penciptanya untuk membersihkan kesucian agama. Hanya air mata ini sahaja yang mampu menggelarkan beliau dengan gelaran ‘Hujjatul Islam’.

Wednesday, April 23, 2008

Monday, April 21, 2008

Mencerna Pemikiran v2

Jangan mempertikaikan kedudukan Kazhimah di mana. Justeru mungkin saya hanya mampu katakan bahawa Kazhimah itu adalah nama sebuah tempat yang terletak di Madinah al-Munawwarah.

Apa rahsianya?

Saya sendiri tidak mengetahui rahsia di sebalik Kazhimah secara total, namun ianya betul-betul telah membuatkan saya menangis. Pergilah ke Iskandariah dan tanya sendiri pada gerangan insan yang mencoret baris-baris keramat ini. Pergilah, dan saya tak mahu menghalang.

Minggu Yang Menekan

Setelah hampir tiga minggu saya membiarkan laman ini menjadi kilang penapaian, saya tiba-tiba berubah hati. Ini adalah kali pertama blog ini bertukar wajah setelah hampir dua tahun berada dalam wilayah coklat. Entah kenapa tiba-tiba terasa bahawa perubahan itu suatu yang memberi inspirasi kepada diri.

Yang pastinya, setiap diri harus berubah. Dan kalau tidak mahu berubah sekali pun, ia telah menjadi hukum alam bahawa seluruh jisim yang bernama makhluk akan berubah. Jika tidak berubah maka kewujudannya itu adalah kewujudan yang wajib. Maka kewujudan yang wajib itu tiadalah haknya keatas diri yang bernama makhluk, kerana kewujudan yang wajib itu adalah zat yang digelar al-Khaliq.

Jika saya meneruskan ayat untuk perenggan di atas, hampir pasti menjadi 2-3 muka panjangnya nanti. Dan anda akan menggelarkan saya pencetus kepada gerakan ilmu kalam.

Cukuplah hanya itu, saya minggu ini cukup-cukup ditekan dengan permasalahan ilmu kalam. Walaupun memberi tekanan yang cukup hebat, namun itu pasti menjadi pencetus yang hebat dalam perbahasan tauhid yang cukup mendalam.

Saya sedang menghadami manhaj dan pemikiran Imam al-Ghazali. Dalam waktu yang sama terkait rapat juga dengan beberapa syakhsiyah Islamiyah, antaranya al-Kindi, al-Farabi dan Ibn Sina yang beberapa potong dari fikrah mereka itu disangkal oleh hujjatul Islam al-Ghazali terutamanya yang berlebih-lebihan dalam permasalahan ketuhanan dan filsafat.

Buat masa ini, saya perlukan masa untuk berselimut dalam ruangan akademik. Mengambil sedikit masa untuk menganalisis, mencerap dan menyimpulkan dengan secukup kudrat yang saya mampu. Bahkan, peperiksaan akhir yang hampir pasti tidak sampai sebulan sahaja lagi pastinya menambah terik keperitan.

Doakan saudaramu ini diberi kekuatan untuk terus berjuang....!

@
:-p Selamat hari lahir yang ke-22 buat **** semalam. Semoga sihat, panjang umur, murah rezeki, dan dikurniakan sakinah oleh ALLAH s.w.t. Moga success selalu!

/* Saya menghadapi masalah tak boleh gunakan huruf besar dalam posting.
/* Ada sesiapa yang boleh bantu?

Tuesday, April 01, 2008

Inflasi Planet Bumi

Setelah selesainya sesi pembentangan kertas kerja modul untuk Adobe Photoshop beberapa hari yang lalu, saya sebagai panel pengisi mengandaikan bahawa - sampai bila kemahiran yang saya turunkan kepada mereka pada hari ini dapat mereka gunakan?

Lalu saya bertanya kepada salah seorang peserta tahun lepas. Jawapan jujurnya sangat lancar.

“Lepas habis kursus tu, boleh la buat sikit-sikit. Tapi lepas dah dua tiga bulan, lupa!”

Ya, itu jawapan yang mudah bagi mereka yang kurang melakukan latihan. Sabtu lepas, sekali lagi saya dijemput untuk mengisi slot berkaitan ‘video editing’. Hasilnya, mereka sangat teruja dan tanpa disuruh pun mereka sudah melangkaui apa yang saya suruh. Itu saya tidak kisahkan, mungkin kerana seronok dan terlalu gembira mencipta sebuah presentation. Mereka sudah dapat melangsaikan satu klip video sebelum saya menyuruhnya lagi.

Ini menunjukkan bahawa minat anak-anak didik saya begitu tinggi dengan foto dan video editing. Namun persoalannya, sejauh mana kemahiran itu mampu mereka latih dengan berterusan? Saya akan menanti hasil-hasil dari kelompok pelapis ini untuk menggantikan mereka-mereka yang telah senior kelak. Saya akan menunggunya!

Inflasi Planet Bumi

Mesir sudah mulai hangat akhir-akhir ini. Matahari yang memacak terik di atas langit sudah menunjukkan tanda-tanda musim panas yang garang akan tiba. Namun Mesir akan tetap menjadi Mesir.

Sudah hampir seminggu lebih akhbar tempatan melaporkan krisis roti di perlembahan Nil ini.

Apa tidaknya, ia menjadi masalah utama yang diperdebatkan oleh pemimpin kerajaan lebih-lebih lagi setelah berlakunya beberapa siri pergaduhan dan pembunuhan di kawasan tempat pengagihan roti.

Biasalah di Mesir. Harga sekeping roti yang naik 5 sen pun sudah riuh dibisingi rakyat dan pergaduhan bakal terjadi di mana-mana. Roti ataupun ‘isyh’ adalah makanan ruji bagi rakyat Mesir, memang patut pun untuk rakyatnya melenting. Silap-silap kerajaan yang memerintah boleh digulung rakyat sekiranya krisis roti ini tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Kenaikan harga gandum di pasaran Mesir kini dikatakan telah menjadi punca utama mengapa harga roti menjadi mahal. Di Malaysia juga berlaku perkara yang sama. Sesetengah pembekal mengambil kesempatan menyorokkan simpanan gandum-gandum mereka dan mengambil kesempatan apabila harganya meningkat tinggi kelak.

Beberapa cadangan telah dibuat. Antaranya menggantikan roti yang biasa mereka makan dengan beras dan makarona. Namun perkara itu tidak ideal, kata sesetengah mereka. Harga beras dan makarona juga kini tidak stabil, dan sedang mengalami kenaikan. Ia juga dijangka akan terus naik lagi dalam beberapa bulan yang akan datang.Saya terbaca dalam satu ruangan yang ditulis oleh kolumnis Adly Barsoum. Beliau secara sinis menceritakan idea penyelesaian untuk krisis ini melalui dialog dengan beberapa orang rakannya. Salah seorang rakannya mencadangkan agar kerajaan Mesir membeli segala hasil gamdum dari para petani dan menjadi pembekal terus ke pasaran kedai-kedai. Hal ini dapat mengatasi masalah kenaikan harga yang disebabkan oleh kerenah yang dilakukan oleh golongan pembekal.

Namun secara sinis kolumnis itu berbisik kepada rakannya, menyuruh dia berhati-hati. Golongan ahli perniagaan dan orang-orang politik yang berselindung di sebalik kenaikan harga gandum ini pasti sahaja melenting jika mendengar idea ini dari mulut rakan kolumnis itu. Ya, ada udang harimau di sebalik maggi goreng!

Begitulah senario kenaikan harga gandum dan roti yang secara tidak lansung menyebabkan setiap barang di kedai runcit juga tidak terlepas dari kenaikan harga. Kata orang-orang Mesir - roti adalah umpama udara - adakah boleh diberikan udara itu sesuka hati kepada mereka yang mahu dan dihalangnya daripada orang yang tidak mahu udara? Roti adalah hak rakyat mereka. Biarlah digigit hati dan jantung mereka, tetapi jangan digigit roti mereka!Bisik-bisik :

/* Semua barang naik harga, agak-agaknya apalah barang yang tidak naik harga?
/* Ermm... mungkin harga diri, bukan sahaja harganya tidak naik, malah dikatakan semakin murah. Ya, hanya RM 830 (130 pound) untuk seorang genius !...