Thursday, February 09, 2006

Pasir Ini Bukan Kawan

Gegaran di Kota Kaherah masih kedengaran lagi. Terutama ketika muntakhab (pasukan) Mesir menang dalam perlawanan mereka dengan pasukan yang bertamu. Bunyi hon kereta dan dan pukulan gendang sering membisingi jalan-jalan kota. Apa yang mereka semua raikan barangkali sebagai satu simbol kebangkitan bola sepak Mesir pada Kejohanan Piala Afrika 2006 ini.

Negara-negara Afrika sudah bangkit untuk berada di taraf dunia. Pemain-pemain mereka sudah menjadi 'hero' di EPL dan La Liga. Barangkali bilakah pula dapat melihat pasukan negara yang 'mesti' kalah di setiap pertandingan yang disertai akan bangkit setaraf dengan negara-negara lain?. Entah bila mungkin dapat melihat mimpi itu menjadi kenyataan. Masalah dadah pun belum tentu dapat diselesaikan inikan pula permainan.

Geram juga melihat pasukan Senegal yang tewas pada tuan rumah. Semua gara-gara mutu pengadilan yang gagal menyerlah. Memberi kelebihan kepada tuan rumah bukanlah alasan yang terbaik. Senegal sepatutnya dihadiahkan penalti gara-gara Diomansy Kamara dijatuhkan. Pada saya Senegal bermain cemerlang malam tadi dan menghampiri perlawanan akhir, tetapi hak mereka dinafikan pengadil.

Pasukan yang terbaik adalah yang seharusnya layak untuk mara, bukan tuan rumah seharusnya menang. Huh... ditambah lagi dengan adegan Mido dan Hassan Shehata yang memalukan. Seluruh manusia di dunia ini menyaksikan drama pergaduhan yang memalukan itu. Macam budak-budak. Hanya dapat katakan, tunggulah dan rasakan gegaran Ivory Coast yang ingin membalas dendam di perlawanan akhir nanti... (huhuhu....)

Minggu ini mungkin minggu terakhir berada dalam kerehatan yang panjang. Ah, tidak panjang mana, baru beberapa minggu bercuti. Cuti memang menyeronokkan, terutama apabila dapat meluang masa yang banyak untuk tidur!

Tetapi cuti yang terlalu lama juga membosankan, terutama apabila fikiran menjadi malas untuk berfikir, otot menjadi keras untuk bergerak dan tubuh menjadi berat untuk bangun. Barangkali cuti membolehkan diri untuk berehat seketika, minum air, dan menyambung semula perjalanan yang masih jauh.

Untuk semester dua ini sahaja ada lebih kurang 8-9 madah yang perlu disediakan. Memang agak parah. Lima madah pun sudah memitamkan, inikan pula sembilan. Tetapi hati perlu tabah. Jika tidak susah itu bukan nama berlajar, barangkali mengeja. Bermuhasabah kembali, apakah yang telah diperolehi sepanjang cuti ini ya?

Cuti itu merehatkan atau cuti itu rehat. Dua perkara yang berbeza. Mungkin jawapannya terpulang pada individu. Tetapi saya lebih cenderung pada kenyataan cuti itu merehatkan. Merehatkan bukan bererti rehat tetapi lebih kepada menenangkan fikiran sebentar setelah letih menjalani proses pembelajaran.

Minggu ini agak terkurung. Jarang keluar rumah kecuali ke masjid berdekatan. Kota Kaherah agak teruk diliputi oleh debu disebabkan ribut pasir yang seronok melanda. Pakaian pun tidak dijemur diluar disebabkan debu. Agak mengejutkan kerana sebelum ini tidak seteruk ini.

Debu berserakan dimerata-rata tempat, tiada yang tidak berdebu. Mungkin ini juga petanda bahawa tamatnya musin sejuk. Tetapi pada pagi saya menulis ini udara agak sejuk juga. Lihaf (selimut tebal) sehelai sahaja tak memadai. (Terkurung dalam kesejukan dinihari...)

No comments: