Monday, March 12, 2007

Membukukan Minda

Menghidupkan bidang perbukuan sesuatu masyarakat adalah ibarat menghidupkan tamadun dan empayar pemikiran mereka yang tersendiri. Tak dinafikan bahawa buku atau kata lainnya karya ilmiah, merupakan sesuatu yang sub-wajib dalam menyampaikan displin keilmuan.

Mahu tidak mahu, sejarah telah banyak mencatit tentang pertolongan buku dalam menghidupkan tradisi ketamadunan manusia. Tamadun Islam misalnya melalui zaman perbukuan yang unik. Beratus ribu buku dan karya ilmiah telah dihasilkan oleh tangan-tangan mereka yang ajaib. Itupun belum dikira lagi yang dibakar dan dibuang di dalam laut oleh manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab.

Daripada orang Arab, Eropah, sehinggalah kepada orang Parsi, menghasilkan buku ibarat melatih otak mereka untuk menghafal dan mengulangkaji semula tentang apa yang dipelajari. Tetapi bukan mudah untuk menghasilkan sebuah karya ilmiah. Menulis sebuah buku ilmiah bukanlah semudah melahap mi ramen dengan sup bebola udang, ianya memerlukan tumpuan, komitmen dan bahan yang mencukupi.

Menulis buku atau karya ilmiah adalah merupakan intepretasi para penulis terhadap ilmu yang dikaji dan dikuasainya. Minat ini sebenarnya adalah hobi yang tidak asing bagi seseorang pencinta ilmu. Buku pada mereka adalah ibarat ibu, dadah atau juga daun marijuana pada pandangan mata para pencintanya. Kadang-kala dalam sesetengah kes, buku sering dijadikan isteri pertama berbanding isteri mereka yang sedia ada.

Dakwah

Pada zaman ini, banyak konsep dakwah diperluaskan dalam bidang yang pelbagai. Ada yang berbentuk nasyid, kempen, Akademi Fantasia, blogging, fitnah dan sebagainya. Tetapi kita perlu tahu bahawa bapa kepada segala cabang dakwah ini adalah buku. Sama ada dakwah yang menyesatkan mahupun yang benar, buku menjadi suatu yang sangat penting dalam menyebakan agama Islam.

Dalam kelas Adab Arabiy yang saya hadiri semalam, Dr Fathi Hijazi ada menyebut tentang uniknya para ulama menghasilkan buku. Ada tiga golongan ulama dalam menyampaikan dakwah mereka. Sama ada dia hanya memberi kuliah, tanpa menulis. Atau dia hanya menulis, tanpa memberi kuliah. Ataupun dia menulis dan memberi kuliah. Yang anehnya, ketiga-tiga golongan ini menghasilkan begitu banyak kuantiti buku beserta dengan kualitinya.

Syeikh Mutawalli Asy-Sya'rawi adalah contoh manusia yang tidak pernah menulis buku, tetapi bukunya penuh dipasaran. Pernah beberapa kali beliau cuba untuk menulis, tetapi gagal, sehingga akhirnya beliau sendiri berkata pada dirinya bahawa 'Sesungguhnya engkau tidak boleh menulis, engkau hanyalah seorang pemberi kuliah'. Anak-anak muridnya yang begitu gigih menulis apa yang dikuliahkannya.

Begitu juga dengan Imam Ibnu Kathir, sesetengah guru-guru saya menceritakan bahawa Tafsir Quran ul-Azim itu tidaklah ditulis olehnya, bahkan dicatit sendiri oleh anak muridnya sehingga catitan tadi dikumpulkan menjadi sebuah buku.

Imam Ar-Rafi'e pula adalah contoh insan yang hanya manulis dan tidak pernah memberi kuliah. Ini kerana beliau yang tidak mampu mendengar ketika berumur belasan tahun, tidak dapat mengetahui tahap bahasa manusia disekelilingnya. Dengan sedikit ilmu yang dipelajari ketika usia kecilnya (sebelum kehilangan pendengaran), Imam Ar-Rafi'e mampu belajar dan mengajar melalui penulisannya. Sebab itu tidak semua yang mampu untuk faham apa yang ditulisnya kecuali orang-orang yang betul-betul menguasai sastera arab.

Akhir sekali Dr. Fathi Hijazi meletakkan nama Syeikh al-Ghazali sebagai penulis dan pemberi kuliah yang terbaik. Sehinggakan para pembaca bukunya berkata bahawa 'Seakan-akan saya mendengar dia memberi kuliah sewaktu membaca bukunya'.

Walaupun begitu menurut Dr. Fathi, masing-masing mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Ada yang mampu menulis dan ada yang tidak. Ada juga yang penulisannya lebih baik dari kuliahnya, dan sebaliknya. Tetapi visi dan matlamat mereka tidaklah lari dari tujuan sebenar mereka iaitu berdakwah kepada Allah dan agamanya.

Sub-Budaya

Zaman kini telah berubah dan realitinya juga turut berubah. Boleh dikatakan bahawa bidang perbukuan sekarang ini telah dimonopoli oleh Barat. Walaupun rujukan-rujukan agama Islam masih lagi pada tangan masyarakat Arab, tetapi perihal orientalisme sedikit sebanyak telah menukar qiblat rujukan ini dari timur ke barat.

Fakulti pengajian Islam dan yang berkaitan dengan Oriental Studies, telah membuka ruang dan menarik begitu ramai sarjana ke Eropah. Tidak kira di Oxford, Cambridge, mahupun di Glasgow, kajian ilmiah semakin hari semakin merancakkan lagi persaingan. Para graduan lepasan ijazah dalam bidang pengajian Islam kini lebih gemar ke Eropah berbanding ke timur, dan universiti-universiti hebat itu sering dijadikan pilihan utama dalam membuat thesis dan kajian.

Dengan rujukan yang lebih liberal dan global, kajian-kajian di barat ini nampaknya semakin menjadi perhatian ramai berbanding di timur. Lantas perspektif dan kecenderungan masyarakat Islam yang mula menjeling-jeling kearah barat telah menjadikan institusi pengajian Islam di timur tengah mula dipinggirkan sedikit demi sedikit.

Ditambah lagi dengan puak-puak yang bertelagah seperti Wahhabi dan fanatisme lain di dunia arab, lebih memeningkan kepala masyarakat jika dibandingkan dengan tradisi liberalis barat yang lebih bertolak ansur dan berbahas dalam ruang lingkup ilmiah. Itupun belum ditambah lagi dengan buku-buku ilmiah mereka yang dipasarkan di seluruh pelusuk dunia.

Pendek kata, dalam senyap-senyap masyarakat Islam telah jauh ketinggalan dalam bidang ini lantas berada semakin jauh daripada apa yang disasarkan Islam. Bagi orientalis, buku dan penulisan mereka adalah senjata terbaik yang paling tajam untuk menusuk pemikiran orang-orang Islam. Memang benar bahawa mereka menulis berdasarkan fakta dan dalil, tetapi hikmahnya jauh sekali tersasar dan juga maqasid ilmiah mereka bertentangan dengan kehendak Islam.

Membukukan Orang Malaysia

Di Malaysia, buku bukanlah sesuatu yang istimewa bagi kebanyakan orang. Bidang perbukuan masih lagi belum boleh dijadikan bidang pekerjaan dan pemenuhkan poket para penulis. Jika ada pun, hanya beberapa orang sahaja yang mampu berbuat begitu. Itupun kerana mereka memang mempunyai nama besar dalam bidang ini. Kebanyakan orang Malaysia masih lagi takut-takut untuk menceburkan seluruh tenaganya untuk menulis. Menulis buku hanyalah dijadikan sumber tepi atau juga sebagai hobi mengisi kekosongan waktu mereka sahaja.

Walaupun ketinggalan, tetapi akhir-akhir ini ada sedikit berubah gaya langkahnya. Sayangnya, berubah langkah itu hanyalah novel-novel cinta yang laris di kedai buku. 'Asmara Ini', 'Cinta Tak Keruan', 'Kau Tak Sayang Aku' dan macam-macam lagi adalah contoh novel-novel cinta yang laris dipasaran. Lihat sahaja carta 'top ten' buku-buku Malaysia di dinding kedai buku, masih lagi dikuasai oleh novel.

Amat malanglah nasib bagi penulis-penulis karya ilmiah di Malaysia. Buku yang dipasarkan hanya dibeli orang satu dua untuk rujukan berbanding novel-novel ghairah cinta yang macam pisang goreng panas. Sampai bila agaknya kita mahu bermalu di hadapan Karen Armstrong dan rakan-rakan orientalis lain, yang mana mereka makan duit hasil penulisan buku sendiri....

4 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum.

Boleh enta jelaskan apa yang dimaksudkan dengan ayat:

Pada zaman ini, banyak konsep dakwah diperluaskan dalam bidang yang pelbagai. Ada yang berbentuk nasyid, kempen, Akademi Fantasia, blogging, fitnah dan sebagainya.

Terutama:

Konsep dakwah dan keterkaitannya dengan cabang yang diberikan seperti AF dan Fitnah.

Apakah konsep dakwah yang dipersembahkan oleh AF? Juga fitnah apakah yang boleh digunakan untuk berdakwah?

IshaQHaniS said...

Wa'laikumsalam...

Dua contoh ini memang saya sengaja misalkan, tetapi bukan bererti saya bersetuju dengan apa yang dikatakan sebagai 'dakwah AF/prog realiti' dan 'dakwah fitnah' itu.

Sebagai orang yang berprinsip menghormati kata2 orang lain, saya mencontohkan perkara itu mengikut pandangan orang yg berpandangan begitu.

Mudah ceritanya, dahulu ada seorang budak jawa berambut botak yg mencuba2 nasib memasuki AF, dan akhirnya terlepas masuk. Lantas dia berazam kononnya utk berdakwah melalui program itu.

Lantas sebahagiannya menjadi realiti dan akhirnya dgn platform AF itu dia telah melahirkan sebuah album berzanji dan marhaban, juga beberapa buah album berunsur dakwah. Sebagai orang yg menghormati pendiriannya yg menganggap AF sebagai platform dakwah, saya menjadikan itu sebagai misal pd artikel ini.

Tentang dakwah fitnah itu, saya rasa saudara noni (anonymous) tentu sudah tahu. Siapa lagi kalau bukan kumpulan ekstrimis agama di Malaysia yang menggila mengutuk dan memfitnah tok2 guru pondok dan ustaz2 tradisionalis di tanah air. Tidak perlulah saya sebutkan siapa.

Fitnah2 dan mencela menjadi mainannya, dengan alasan kononnya mengembalikan kemurnian Islam sedangkan perkara yg difitnah itu hanya berkaitan dengan masalah cabang yg kecil yg tidak membawa apa2 makna jika berbalah mengenainya.

Matlamatnya dilidah adalah berdakwah, tetapi senjatanya adalah fitnah, itu yg saya maksudkan dengan dakwah fitnah.

Walaupun penulis menulis berkenaan dengan 'dakwah AF' dan 'dakwah fitnah', ia bukanlah bermaksud penulis bersetuju mengenainya...

Anonymous said...

o0o0o baru saya faham. terima kasih atas respond.

IshaQHaniS said...

sama-sama... moga persoalan menambah keilmuan.