Friday, June 08, 2007

Balik Lagi?


Beberapa
hari lalu, saya sempat singgah di sebuah maktabah (kedai buku) dan mencapai beberapa buah buku di atas rak. Saya sekadar ingin mensasar beberapa buah buku untuk dibawa pulang ke Malaysia ketika cuti musim panas nanti. Azamnya agar dapat melangsaikannya sepanjang tempoh bergoyang kaki ketika berada di Malaysia.

Tangan gatal ini asyik menyelak-menyelak beberapa naskhah buku sambil melihat tajuk-tajuk fokusnya dan tuan kedai dari tadi asyik memerhatikan saya. Akhirnya saya terjumpa sebuah buku bertajuk Advocate of Dialogue, tulisan Fethullah Gulen. Saya masih teringat berjumpa dengan buku-buku Mr. Gulen ini ketika berlansungnya Ma’rad Kutub tahun lepas, tetapi tidak bertemu dengan yang ini. Akhirnya ketika ma’rad itu saya hanya membeli The Essential of The Islamic Faith.

Saya menyelak-menyelak beberapa helaiannya dan membaca beberapa buah fragmen serta subtopik, sungguh mengujakan. Terlakar disitu beberapa juzuk penting mengenai dialog dan toleransi yang patut dianjurkan dalam monopoli medan dakwah. Saya mengambilnya dari rak dan terus membayar tanpa ingin bertolak ansur tentang harganya.

Bagi sesetengah negara, saya yakin mereka punya corak dakwahnya yang berlainan antara sesebuah negara dengan negara yang lain. Di Malaysia, kita jarang untuk mendengar berkaitan dengan perihal dialog antara agama kerana keperluan dakwah tidaklah terlalu mendesak ke arahnya.

Jikalau adapun, ia hanya seruan-seruan menjurus kepada idea perlaksanaan dialog itu, tetapi masyarakat Malaysia jarang-jarang sekali terdedah kepada perkara ini melainkan diantara kalangan ahli-ahli akademik yang sudi untuk berpanas punggung mendengar. Justeru amat jarang sekali untuk menarik dan melibatkan orang-orang awam mengikutinya.

Misi-misi dakwah di Malaysia lazim tertumpu kepada masalah-masalah fikah dan akidah yang disampaikan oleh para pendakwah. Kerana masyarakat muslim di Malaysia umumnya masih lagi haus dari sudut pemantapan pegangan akidah. Mereka tahu mereka itu orang Islam, tetapi sayang sekali amat buta lansung mengenai apa itu Islam, prinsip dan dasarnya.

Ayat yang lebih sesuai untuk menerangkan tentang mereka adalah, mereka ini hanya orang Islam atas tag nama sahaja, tetapi jauh sekali untuk menamakan Islam dalam cara hidup dan tingkah laku kehidupannya. Akidah? Kosong. Fikah? Lagilah jauh. Pendek kata, Islamnya mereka adalah disebabkan dia lahir dari perut seorang perempuan yang bernama Islam, tidak lebih dari itu.

Kalau tidak masakan makcik kampung tu boleh mudah berkata ”kita ada nabi... awak mane ade nabi, kita semua dah dijamin oleh nabi kita untuk masuk syurga” (suara ala-ala kanak-kanak 4 tahun). Itu adalah diantara kata-kata makcik tua pengikut rasul melayu, Si Kahar sesat yang amat hauskan pegangan akidah Islam. Itu baru sedikit yang kita tahu!

Begitulah misi dominan dakwah di Malaysia. Islam sudah ada, tetapi pengikutnya masih kontang pengisiannya.

Adapun di dunia barat dan negara bukan Islam, bentuk dakwahnya amat berbeza. Memerlukan daya tahan jiwa dan kekuatan intelektual, barulah anda mampu untuk survive di sana. Tribulasi terlalu banyak malah sehingga kadang-kala terlalu rigid dan sukar untuk dipertahankan. Anda perlu berhadapan dengan audiens yang rata-ratanya dogmatik dan tentu sekali berpegangan selain daripada Islam. Malah mungkin juga ada dikalangan mereka yang tidak mempercayai agama dan Tuhan.

Di sinilah peluang mereka iaitu para pendakwah di sana menggunakan sebaik mungkin platfom hak kebebasan bersuara dan bertukar-tukar fikiran juga idea. Di sinilah kelebihan dialog antara agama yang boleh diguna pakai. Dialog disisi mereka begitu teramat penting yang menjadi asas dalam membawa mesej Islam ke barat.

Justeru, dengan hanya bermodalkan seorang pendakwah, anda mungkin sekali boleh melakukan islamisasi dikalangan berjuta-juta manusia yang tidak tahu lansung tentang agama. Sebab itu, dialog ini begitu amat ditekankan di sana untuk menjentik fikiran masyarakat di sana yang hampir majoritinya gemarkan hujah secara intelektual. Anda mampu menang di sana jika hikmah kena pada tempatnya.

Hal ini sama juga berlaku dalam kehidupan Gulen. Beliau berhadapan dengan sirkit sekularisme yang melampau di Turki. Sekularisme telah menyebabkan rakyat negara tersebut seperti tidak beragama walaupun rata-rata antara mereka beragama Islam. Sekularisme yang telah membunuh lencana agama Islam di negara Daulah Uthmaniyah itu, malah hampir menukarnya seakan-akan negara bukan Islam.

Bagi peminat-peminat tulisan pemikir dan pendakwah kelahiran Erzurum, Turki ini, anda tidak harus untuk terlupa dari membelinya. Bagi para pendakwah yang mahu cuba-cuba mengambil tahu gerakan dakwah di Turki khasnya dan secara global umumnya. Anda harus mendapatkan naskhah ini.

Apa yang menariknya, Gulen tidak pernah lupa untuk membawa mesej sufism yang digambarkan sebagai ’Teacher of Minds and Hearts’. Beliau begitu menegaskan betapa pentingnya nilai kesufian dalam kehidupan seorang Muslim dan beliau tidak lupa juga untuk membawa nilai dari Risale-i Nur, karya Badiuzzaman Said Nursi, dan konsep cinta yang dibawa Mawlana Jalaluddin ar-Rumi.

Buku Advocate of Dialogue setebal 380 muka adalah naskhah yang setiap para pendakwah harus miliki. Ini adalah sebahagian dari promosi-promosi luar. Sungguh, saya tidak ambil sedikit pun komisien untuk promosi buku ini dari syarikat Fountain. Jom, siapa yang mahu bersama saya untuk melangsaikannya sepanjang cuti musim panas ini!

3 comments:

IshaQHaniS said...

Kepada pembaca, menilai pemikiran manusia perlu kepada langkah berhati-hati. Bukan semua yang kita label sebagai baik secara juz'iyyah, adalah baik secara keseluruhannya (kulliyah).
Maksudnya, Gulen adalah seorang yang berfikiran islamis, pun begitu bukan semua pemikirannya wajar kita katakan sebagai benar.
Membaca pemikiran manusia perlu kepada asas yang kuat. Yang mana selari, harus kita raikan, dan mana kurang, wajib kita betulkan...
sekian...

faqirdehilir said...

Saya pernah bertanya kepada beberapa teman turkey ttg idea2 yang dibawa oleh Mr Gulen, mereka tidak bersetuju dgn beberapa perkara.

Dalam beliau menggalang pemikiran Said Nursi, tetapi beliau tidak memakai sepenuhnya method dalam rasailnur itu, sehingga ada antara penggerak madrasah nuriah yang diasaskan oleh Said Nursi, mengganggap tindakan beliau akan menyembabkan orang memandang sinis pada rasailnur.

tapi mungkin idea2nya sesuai untuk dipraktikkan di sebuah negara sekular yang akstrem seperti turkey.

IshaQHaniS said...

yup... memang saya ade dgr mcm gitu...
dan ada qaul yg menyatakan Gulen adalah antara orang yg tidak memperjuangkan undang-undang syariah dan kehakiman...
ape2 pun secara akademiknya saya perlu membaca habiskan dahulu...
terima kasih untuk input...