Tuesday, May 08, 2007

Hebatnya Bila Berhujah

Oleh: S.N SHAHNON AHMAD

ANTARA hujah James Reeves dalam bukunya The Critical Sense ialah (terjemahan secara bebas): ‘‘Semua pengkritik sastera itu adalah parasit. Mereka itu saling tak tumpah macam penggabus habuk dan debu dari pakaian orang lain. Nampak bagaikan hendak mengemas, membersih dan menghiaskan kembali pakaian yang bukan hak punya mereka, yang bukan mereka membuatnya tapi sebenarnya mereka hendak mencincang dan terus mengoyak rabak pakaian itu. Sesungguhnya pengkritik sastera itu semuanya parasit.’’

Sekali imbas terasa sungguh bahawa hujah James Reeves ini agak keterlaluan dan membimbangkan kita kerana selama ini kita dapati dalam bidang apresiasi karya sastera, para pengkritik sememangnya punya peranan yang amat penting kerana tanpa mereka, barangkali apresiasi karya sastera tidak mampu berkembang jauh sehingga ke hari ini.

Mereka banyak membantu khalayak pembaca dalam persoalan memahami dan menghayati karya para sastera, malah mereka menyubur dan mempertinggikan daya persepsi khalayak. Malah bukan itu saja. Dengan penyelidikan dan teori mereka yang macam-macam itu telah memperlihatkan kepelbagaian kaedah membaca karya, kepelbagaian kaedah mendekati karya sastera sehingga ilmu kritikan sastera kini telah melonjak naik statusnya, malah di mana-mana universiti pun, kritikan sastera adalah antara bidang ilmu yang penting.

Dari ilmu kritikan sastera saja pun telah melahirkan banyak sarjana, para doktor falsafah, para profesor madya dan para profesor dalam bidang kritikan sastera. Sesungguhnya kata-kata James Reeves itu nampak sangat ketidakwajarannya, malah agak biadab pula rasa-rasanya: Masakan pengkritik sastera itu berstatus parasit.

Sekali imbas memang demikian tanggapan kita dari hujah itu, tapi bila kita renungi lebih mendalam dan lebih tuntas, tanpa memihak ke mana-mana golongan, terutama bila mana kita seiringkan peranan kritikan sastera dengan peranan karya sastera kreatif yang menjadi sumber utama pengkritik sastera, kita selarikan fungsi para pengkritik sastera dengan fungsi sebenar para sasterawan melalui karya mereka yang dicipta oleh mereka sendiri.

Kita bandingkan tanggungjawab para sasterawan kepada khalayak kepada bangsa dan negara dengan tanggungjawab para pengkritik sastera kepada khalayak dan kepada kepentingan mereka sendiri, kita mulai nampak kebenaran hujah James Reeves dan lantas terasa kewajarannya hujah James Reeves itu.

Mengapa tidaknya! Sumber utama pengkritik sastera ialah karya sasterawan sedangkan sumber utama sasterawan ialah kehidupan ini, alam ini dengan segala isinya. Pengkritik sastera tidak boleh mengkritik sastera dan mencipta seribu satu teori kritikan sastera dari kekosongan. Tak ada siapa pun yang boleh mencipta sesuatu dari kekosongan selain Allah s.w.t. saja.

Pengkritik sastera mahu tidak mahu perlu menenggek atau menumpang kepada sasterawan. Tak ada sasterawan, tak ada karya kreatif, tak adalah para pengkritik sastera. Hidup mati pengkritik sastera bergantung kepada sasterawan.

Pengkritik sastera benar- benar parasitlah seperti hujah James Reeves. Hidup mati para sasterawan bergantung pada alam pada kehidupan dengan segala isinya. Tak ada para pengkritik pun, sasterawan boleh berkreatif, malah boleh berkreatif lebih subur dan prolifik lagi. Tak ada gangguan daripada mana-mana pihak.

Memang soal menenggek, menumpang, tolong-menolong ini diperlukan dalam hidup kita bersama kalau niatnya baik dan hatinya ikhlas dan luhur. Tapi sebagai dedalu yang menumpang di dahan dan di batang pokok lain, memang membeban dan menyusahkan pokok. Demikian pengkritik sastera. Pengkritik sastera adalah parasit adalah dedalu. Demikian sekadar hendak berhujah dalam persoalan pengkritik sastera adalah parasit ini.

Pada mulanya dalam keadaan yang serba harmoni penglibatan pengkritik sastera memang dialu-alukan oleh sasterawan dan terutamanya oleh khalayak pembaca kerana objektif utama kehadiran pengkritik sastera ialah memperjelaskan lagi makna karya yang mungkin tidak mampu ditanggapi oleh khalayak pembaca.

Tujuannya murni dan suci. Dan oleh sebab para sasterawan mencipta karya lebih bersumberkan emosinya, pengalaman subjektifnya, imaginasinya, mimpinya, aliran pemikiran kesedaran dan aliran pemikiran ketidaksedarannya seperti yang sering diamalkan oleh pengarang-pengarang besar dunia seperti Richardson, Virginia Woolf dan James Joyce dan tidak bersumberkan logikal dan saintifik, maka pada waktu itu kritikan impresionisme atau kritikan kesan kespontananlah yang terunggul dan amat sesuai dengan hati dan rasa para sasterawan.

Kritikan impresionisme lebih melihat karya sastera secara syumul, lebih mementingkan rasa daripada logika. Dan memang amat cocoklah pendekatan impresionisme ini dengan perasaan dan subjektivisme sasterawan.

Tapi sekarang ini pendekatan kritikan impresionisme bukan saja dikutuk sebagai tidak logika dan tidak saintifik malah diambil alih oleh kritikus akademikus yang lebih banyak berteori dan lebih berlogika secara saintifik.

Dan kisah teori dan kisah akademikus dalam kritikan sastera ini memang panjang, berbelit-belit, berjungkir-balik yang serba ruwet dan mabuk kerana sejarahnya begitu panjang bertali arus dan berbelit-belit sehingga luput hujung pangkalnya. Kabur makna-maknanya, malah sejarahnya lebih hebat lagi dari sejarah karya kreatif para sasterawan itu sendiri yang menjadi sumber utama kritikan sastera.

Kita tidak lagi memperoleh katarsis atau kelegaan emosi darinya, malah sebaliknya membingungkan dan kadang-kadang menakutkan pula sehingga banyak yang lari jauh-jauh dari kritikan sastera yang berlandaskan seribu satu teori itu.

Dan secara tidak langsung “exodus” dari kritikan sastera jenis ini membawa pula “exodus” masyarakat dari karya sasterawan itu sendiri sehingga kini kesusasteraan itu sendiri pun tidak lagi diminati, malah dikutuk pula sebagai khayalan dan mimpi para sasterawan yang tidak berpijak di bumi nyata dan langsung tidak menyumbangkan kepada pembangunan, sedangkan kesusasteraan di mana- mana pun adalah merupakan juzuz terpenting dalam pembangunan tamadun sesuatu bangsa.

Tidak siapa yang boleh menafikannya bahawa kesusasteraan adalah antara yang mengagungkan tamadun sesuatu bangsa termasuk tamadun bangsa Melayu kerana hubungan kesusasteraan dengan bahasanya dan tradisinya begitu intim dan erat, tapi disebabkan kritikan-kritikan yang asyik berjungkir-balik dan keliru dan memeningkan kepala, banyak antara kita melakukan “exodus” – menjauhkan diri dari kesusasteraan.

Dan sekarang ini ilmu kesusasteraan yang pernah pada satu ketika dulu menjadi antara ilmu utama di universiti-universiti dan di sekolah-sekolah tapi kini ia teranjak menjadi ilmu pinggiran, malah banyak yang disingkir terus dari kurikulum.

Khalayak pembaca pun banyak yang turut “exodus” dari kesusasteraan, terutama karya-karya yang dikatakan serius dan berat. Mereka telah memindahkan selera mereka kepada karya-karya popular yang langsung tidak dihargai oleh pengkritik-pengkritik yang seribu satu teori ini. Demikian sekadar hendak berhujah.

Memang pada awalnya kehadiran pengkritik sastera dalam arena kesusasteraan amat penting terutama ketika pendekatan yang digunakan lebih bersifat langsung seperti umpamanya impresionisme, ekspresionisme, sosiologi dan sebagainya. Tapi semenjak tahun-tahun 60-an dan 70-an pendekatan-pendekatan ini sudah menjadi usang dan karya-karya para sasterawan kita lebih banyak disorot melalui pendekatan-pendekatan terbaru seperti umpamanya Kritikan Phenomenological dan Existential, Kritikan Hermeneutics, Kritikan Leftist, Kritikan Black Aesthetics, Kritikan Deconstructive, Kritikan Feminisme, Semiotika, Mitos dan sebagainya.

Dan kesemuanya teori ini diimport dari negara Barat terutama Amerika Syarikat dan dibawa ke sini dengan penuh kebanggaan sebagai intelektual. Dan dengan teori-teori baru yang tercetus dalam tahun-tahun 60-an 70-an inilah banyak para intelektual dan sekali gus pengkritik sastera kita memperoleh gelar sarjana dan doktor falsafah bila teori- teori ini diaplikasikan pada karya-karya sasterawan kita.

Banyak juga para sasterawan kita rasa bangga dengan kajian terhadap karya-karya mereka dengan menggunakan pendekatan-pendekatan teori-teori baru ini walaupun para sasterawan kita tidak mendapat gelaran apa-apa, malah untuk mendapat royalti sesen dua pun sulit. Demikian sekadar hendak berhujah.

Sejarah memperlihatkan bahawa nilai dan Weltanschauung golongan intelektual, termasuk pengkritik sastera, berada dalam keadaan serba tak terarah, kehilangan tradisi dan budaya, kejaran tuntutan hidup serba moden yang tak menentu.

Inilah antara lain hasil dari era perang Amerika – Vietnam yang bertahun- tahun lamanya yang memperlihatkan Barat kehilangan keinsanan dan keluputan manusiawi.

Ketua Editor Partisan Review, William Philips, berhujah bahawa intelektual Barat termasuk pengkritik sastera ini turut menerima bahana dari era Perang Vietnam yang berlarutan yang meninggalkan kekosongan wawasan dalam kebudayaan Barat, keluputan tradisi yang boleh mendorong ke depan, kehilangan arah yang utama dalam kehidupan, banyak didorong oleh persoalan dan visi yang menyimpang jauh dari kehidupan bangsa yang bertamadun, yang keseluruhannya memperlihatkan gaya hidup moden yang serba kiotik dan serba celaru. (Hujah William Phillips ini dipetik oleh Vincent B. Leitch dalam bukunya American Literary Criticism from the Thirties to the Enghties).

Maka produk dan pemikiran dari gaya hidup moden yang serba kiotik dan serba celaru inilah pula yang melahirkan teori-teori kritikan sastera yang sama kiotik dan sama celarunya dengan gaya hidup. Dan segala kekiotikan dan kecelaruan pemikiran ini dengan bangganya pula dibawa pulang ke tanah air bersama dengan pelbagai gelaran untuk diaplikasikan kepada karya para sasterawan kita.

Belajar dari gaya hidup di Barat hasil dari era Perang Vietnam ini, maka dengan mudah kita dapat bayangkan wajah-wajah dengan hati nurani intelektualisme Barat pada masa akan datang hasil dari Perang Amerika –Yahudi-Iraq dan kemungkinan Perang Amerika –Yahudi-Iran pula pasti akan lahirnya gaya hidup yang lebih kiotik dan lebih celaru lagi dalam kalangan intelektual Barat, termasuk pengkritik sastera.

Dan para sasterawan ini pula dikumpulkan ramai-ramai dalam persatuan-persatuan penulis dengan janji-janji bahawa daya kreativiti mereka akan dipertingkatkan dan karya mereka akan dianalisis oleh pengkritik-pengkritik yang semuanya bergelar. Para sasterawan pun menunggu tapi yang banyak aktivitinya bukan ada kaitan dengan kreativiti pun. Sebaliknya sasterawan-sasterawan ini banyak yang dibawa berdarmawisata.

Antara peradaban Barat dengan peradaban Melayu-Islam inilah para pengkritik sastera tersepit di celah-celahnya. Yang Barat nampak bagaikan mereka kenal betul tapi sebenarnya mereka tidak kenal. Yang wujud dalam diri mereka pun iaitu Melayu-Islam sepatutnya mereka kenal, tapi itu pun mereka tidak kenal juga.

Mereka hidup dalam keadaan limbo. Dan mereka-mereka inilah yang menentukan nasib karya sastera kreatif sasterawan kita. Siapa dapat hadiah sasteranya, siapa memenangi sayembara, siapa dapat gelaran Sasterawan Negara.

(Mungkin ada sesuatu yang boleh dikongsi...)

2 comments:

Ibnu Ali said...

Kongsi baca..

IshaQHaniS said...

Baik Kemai....