Friday, January 13, 2006

Intiha'ul Imtihan...

4hb Januari 2006 (4.30 petang) : Tamatlah imtihan fasal awal, Kuliyyah Usuluddin, tahun satu di University Al-Azhar Kaherah, Mesir. Kelegaan jelas dapat dirasakan di benak fikiran. Maklumlah, berdepan dengan kejutan budaya ini, bukan semua manusia dapat merasainya dan bukan semua manusia berjaya untuk mengatasinya. Tapi zahir wajah pelajar-pelajar tahun satu menjelmakan kelegaan yang total.

Kalau dahulu mungkin hanya memegang beberapa helaian kertas nota itupun yang diusahakan oleh guru-guru bertugas, sekarang mereka perlu memegang kitab sendiri, dan berdiri di atas nota fikiran yang direka sendiri. Maklumlah sudah bergelar mahasiswa sekarang ini.

Tetapi ada sesuatu yang masih menjadi tanda tanya. Adakah mereka ini (mahasiswa), termasuk diri saya sendiri, masih memegang kepada falsafah menuntut ilmu yang hakiki. Ataupun mereka sekadar melengkapkan diri mereka dengan segulung ijazah dan bersedia untuk berdepan dengan sektor pekerjaan? ataupun sekadar melengkapkan diri sebagai mahasiswa dan tidak pernah berfikir apa yang bakal mereka tempuhi termasuk tanggungjawab mereka selepas bergelar graduan.

Mungkin bagi mereka yang masih berpegang kepada falsafah ilmu akan terus merasai enaknya dan nikmatnya menggali ilmu dalam lapangan ini. Perasaan tamak mereka terhadap ilmu sangat tinggi. Sehingga mungkin sampai suatu ketika mereka merasakan tiada apa lagi yang dapat menghalang mereka dari menuntut ilmu. Sebagai contoh Imam Bukahari dalam sirah kembara hadithnya sanggup ke Baghdad, Kufah, Hijaz, Mesir, Syam, Naisabur dan Samarkand. Ini mungkin belum dibincangkan lagi sirah kembara Imam Syafi'e, Muslim dan kibar ulamak yang lain.

Tidak salah saya katakan kalau kebanyakan mahsiswa kita pada hari ini (bukan semua), sama sahaja di dalam negara mahupun di luar, mereka ini seringkali dimomokkan dengan kerjaya-kerjaya hebat setelah tamat pekerjaan nanti mengikut jurusan yang diambil. Bukan menafikan perlunya kerjaya selepas belajar, tetapi apa yang merisaukan lambat-laun falsafah keilmuan itu sedikit-sebanyak akan terkuis keluar dari pemikiran mahsiswa-mahasiswi kita. Hasilnya mereka ini terkesan dengan ilmu yang 'bermuqarrar' dan 'bersilibus' sahaja. Tidak mampu untuk berfikir luar daripada kotak pemikiran mereka yang sebenar, sedangkan asas keilmuan yang sebenar adalah berfikir dan mencari kebenaran hakiki.

"ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darajat"
Surah Al-Mujadalah:11
/* Selamat mengerjakan haji kepada saudara Fairuz Tamjis.

/* Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya dan seluruh manusia amnya.

"Kullu amm wa antum thaiyibuun"

No comments: