
Ada dua kemungkinan. Sama ada terlalu mudah atau terlalu senang. Itu kebarangkalian yang klise wujud. Namun setelah keluar, masing-masing mengadu soalan tadi begitu sukar.
Tetapi saya melihat, bukan soalan itu yang sukar sebenarnya tetapi kerana terlalu banyak dalil yang perlu difahami dan dihafal menyebabkan ia berserabut, ditambah lagi dengan bahasa kitab yang cukup tidak memahamkan. Kami bersetuju untuk bertawakkal sahaja.
"tawakkal aja lah, asal tak jadi nasrani sudah". Berseloroh.
Ramai sebenarnya yang kurang faham, mengapa dikatakan subjek tauhid adalah subjek yang susah.
Saya menjawab, sebenarnya yang susah itu bukanlah tauhid. Tauhid tidaklah sesukar mana pun. Asal kita faham apa yang dimengertikan pada surah al-ikhlas "Qul Huwallahu Ahad", itulah tauhid. Tauhid adalah monotheisme, menyembah tuhan yang satu.

Yang membawa kepeningan kepada ramai itu sebenarnya adalah ilmu kalam, bukan pemahaman tauhid. Maka, secara pandang kasarnya dapat kita katakan bahawa ilmu kalam dan konsep tauhid adalah dua kondisi yang berbeza.
Jadi, perspektif ini dapat digambarkan sebagai berikut.
Tauhid adalah suatu matlamat, dan ilmu kalam adalah sebuah alat. Antara alat dan matlamat adalah perkara yang tidak dapat dipisahkan. Seperti dunia dan akhirat. Kehidupan akhirat adalah matlamat setiap makhluk, dan alat untuk sampai kepada tujuan akhirat itu adalah kehidupan dunia. Sebab itu dunia dikatakan sebagai jambatan kepada akhirat.
Maka secara tidak lansung, ilmu kalam juga dipanggil dengan nama ilmu tauhid kerana matlamat kalam ini adalah untuk menegakkan konsep tauhid.
Mengapa digelar ilmu itu dengan ilmu kalam?
Ilmu Kalam adalah ilmu yang membicarakan tentang kepercayaan (aqidah) dalam agama Islam yang didasari dengan dalil yang yakin (al-Quran dan as-Sunnah).
Ia juga digelar dengan ilmu al-tauhid, ilmu usuluddin, ilmu al-feqh al-akbar dan ilmu al-aqidah.

Atau juga kerana terlalu banyak perbicaraan golongan yang berselisih, atau juga disebabkan kekuatan yang diberikan Allah s.w.t untuk berbicara tentang aqidah keimanan orang-orang Islam.
Sebahagian ulama juga ada yang menyatakan bahawa ilmu kalam dan ilmu usul feqh adalah merupakan tunjang kekuatan masyarakat Islam, kerana ilmu ini adalah mantik bagi orang-orang Islam. Dua ilmu ini juga merupakan sebuah mantik yang menggantikan identiti ilmu mantik yang dicipta oleh orang-orang Yunani.
Ada kawan-kawan saya yang selalu bergurau dengan saya. Katanya 'buat apa belajar ilmu kalam ni, sesat semuanya'. Saya ketawa. Saya tak marah mereka sebab mereka ini memang suka bergurau. Namun saya suka sindiran sinis ini kerana ia membuatkan saya berfikir mengapa saya belajar ilmu kalam ini.
Di Malaysia saya pernah juga mendengar ada suara-suara pedas yang sinis terhadap ilmu tauhid. Bukan calang-calang orang yang berkata tu. Dari kalangan mufti yang suka kontroversi. Dia kata "itulah orang Malaysia ni, balik-balik belajar sifat 20, tak membawa kepada perkembangan minda masyarakat".
Saya faham, hanya orang kurang pengetahuan sahaja yang akan mengeluarkan tuduhan yang entah apa-apa. Lalu saya ambil keputusan untuk tidak bertindak menyerang kembali. Saya hanya tersenyum dari belakang sebab saya tahu yang berkata itu bukanlah orang yang ahli dalam ilmu kalam. Biarkan orang yang semufti dengannya sahaja yang membetulkan.

Memang kebanyakan kata-kata tohmahan terhadap ilmu kalam kebanyakannya datang dari orang yang bukan ahli dalam ilmu kalam. Jarang saya jumpa mereka betul-betul memahami kalam dalam masa yang sama juga mencela ilmu kalam.
Saya berfikiran, bahawa sebahagian besar dari mereka memandang sinis terhadap ilmu kalam ini terbina atas realiti tidak sealiran dengan orang yang meletakkan dasar ilmu kalam ini seperti Imam al-Asya'ari, Imam al-Maturidi, Imam al-Ghazali dan lain-lain. Masalah kesalafian barangkali. Saya diajar guru-guru untuk selalu bersangka baik dengan mereka ini.
Seperti yang saya katakan, ilmu kalam adalah sebuah alat yang meletakkan suatu dasar dan juga syarat untuk mengisbat (menetapkan) zat dan sifat Allah s.w.t mengikut dalil-dalil yang disepakati. Maka ilmu kalam adalah suatu manhaj (metodologi) yang memelihara pemikiran makhluk daripada menyatakan sesuatu yang tidak layak bagi Allah s.w.t sebagai al-Khaliq.
Dasar inilah yang mengandungi di dalamnya sifat-sifat 20 yang dikatakan sebagai kunci untuk mengenal siapa Tuhan kita. Para ulama terdahulu, mereka adalah golongan yang begitu memahami hak-hak Allah s.w.t.
Sepanjang hayat mereka telah dikorbankan semata-mata berusaha untuk meletakkan satu jalan yang perlu dipatuhi bagi setiap orang muslim dalam perihal untuk mengenal dan mengetahui tentang zat dan juga sifat Tuhan mereka. Jalan dan dasar inilah yang dinamakan sebagai ilmu kalam.