Friday, May 02, 2008

Sejenak Tentang Pemikiran (1)

Fikrah Maddiyah selalu diterjemahkan ke dalam bahasa melayu dengan maksud pemikiran kebendaan. Dalam aspek kehidupan, kebendaan atau meterialisme ini sering meniti di bibir-bibir manusia dengan maksud psikologi dan sahsiah diri, yang mana menyatakan sikap segolongan manusia yang gemar mencari sesuatu yang bersifat duniawi sambil mengenepikan aspek nilai dan ukhrawi.

Apabila kita bercerita mengenai seorang perempuan simpanan kepada seorang bergelar dato’ atau mana-mana ahli perniagaan dan politik yang kaya, kita pasti tergambar akan sikap perempuan simpanan itu yang ‘tukang kikis’, untuk menggambarkan maksud materialisme dalam erti kata psikologi. Mereka ini kebanyakannya bertuhankan hawa nafsu dan kebendaan. Ia selari dengan apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah al-Furqaan ayat 43 :

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا

Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?

Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada pengambil rasuah, ahli persatuan yang menyelewengkan dana persatuan, ahli politik yang menyongsangkan duit rakyat, hospital swasta yang hanya tahu mencekik duit pesakit dan bermacam-macam lagi gelaran materialis yang dilemparkan terhadap golongan yang hanya tahu mencari keuntungan duniawi dan mengenepikan sesuatu yang bersifat akhirat termasuk nilai etika dalam dirinya.

Tetapi dari sudut epistemologi dan falsafah, materialisme pada hakikatnya telah lama wujud dalam lipatan sejarah. Ia telah awal muncul sejak gagasan ini mengambil alih pemikiran ketuhanan dan spiritual dalam diri manusia, lebih-lebih lagi apabila berlakunya satu gerakan pembebasan dari keterikatan pihak gereja ketika munculnya gerakan renaisans pada zaman pertengahan di eropah sekitar tahun 1500 – 1700.

Pemberontakan jiwa dan pemikiran yang berlaku di eropah telah menyebabkan lahirnya beberapa kolompok manusia yang menolak pemikiran agama. Kebencian akibat tindakan kuku besi dari pihak gereja telah merubah orientasi masyarakat ketika itu kepada suatu gagasan yang menolak agama seterusnya menafikan kewujudan Tuhan yang mencipta alam.

Munculnya gagasan ini telah melahirkan masyarakat yang memandang bahawa kewujudan itu hanyalah apa yang dapat dirasai dengan pancaindera (bersifat empirikal). Ia secara tidak lansung telah menafikan wujudnya sebuah konsep ketuhanan dan menolak segala sesuatu yang wujud di sebalik meteri (benda).

Seterusnya aliran ini telah membawa suatu gerakan besar yang paling dahsyat dalam sejarah ketamadunan manusia dengan wujudnya Atheisme, Marxisme, Kapitalisme, Sekularisme, Eksistensialisme, hedonisme dan pelbagai lagi isme yang didasari oleh falsafah materialisme ini.

Ketika inilah munculnya kepopularan beberapa istilah dalam falsafah seperti istilah metafizik, iaitu sebuah lapangan ontologi yang membicarakan tentang kewujudan di sebalik materi. Istilah ini mula disedari apabila meluasnya titik-titik revolusi sains di eropah. Ia mula menjadi buah mulut para pengkaji apabila beberapa masalah fizik seperti masalah kuantum tidak dapat diselesaikan dengan prinsip-prinsip fizik. (Dengan izin Allah saya akan menulis berkenaan falsafah kuantum ini dalam entri yang akan datang).

Justeru, bagi golongan meterialis ini, revolusi sains yang berlaku dalam tamadun eropah telah memberi kredit tambahan buat meterialisme untuk muncul dengan gah. Dengan lahirnya aliran mekanistik (mechanistic wordview) yang dicambah terutamanya ditangan Newton dan Descartes, seolah-olah telah membataskan lagi kuasa Tuhan dalam kehidupan manusia.

Permulaan gerakan revolusi sains ini tidak dapat dipisahkan dengan beberapa individu yang sangat memberi kesan kepada pihak gereja. Antaranya adalah Nicolas Copernicus, ahli astronomi Poland yang mengetengahkan teori heliosentrik mengenai matahari sebagai pusat alam (sun-centered cosmos). Teori ini secara tidak lansung telah meruntuhkan teori geosentrik, iaitu teori bumi sebagai pemusatan alam (earth-centered cosmos) sebuah teori kosmologi yang dibawa Aristotle dan Ptolemy.

Teori ini dipegang kuat sekian lama oleh pihak gereja kerana dikatakan selari dengan apa yang terdapat dalam Bible. Pada dasarnya teori ini tidaklah begitu mashyur sehingga ianya dikemukakan semula oleh seorang ahli astronomi Itali, Galileo Galilei. Perbezaan teori ini telah membawa kepada terbukanya pekung kezaliman pihak gereja. Pihak gereja dengan zalim telah memenjaranya di mahkamah Inkuisisi sehingga mati kerana tindakan Galileo yang cuba membuktikan kesilapan yang dibawa gereja.

Hal ini secara tidak lansung membawa kepada gerakan pembebasan besar-besaran oleh masyarakat eropah terhadap kepercayaan agama disebabkan pencabulan yang dibawa oleh pihak gereja.

(bersambung)

2 comments:

Anonymous said...

salam wrt

i am pretty much excited to read the blog of a philosophy student. blog yang bagus, mabruk.

saya suka membaca ttg aliran pemikiran yang pelbagai ni, tapi yang lebih saya minat adalah mengetahui mcm mana aliran-aliran pemikiran ni dah mempengaruhi kehidupan orang as in the practical way.

would be very glad if u could write about it.

jzkk.

IshaQHaniS said...

insyaAllah,
moga diberi keluasan masa untuk saya menulis.

by the way, thank you for visiting...